Nuffnang Ads

Tuesday, October 30, 2012

Semak Keputusan Peperiksaan anak-anak di SAPS

Hari ni saya cuba semula untuk menyemak keputusan Peperiksaan Akhir Tahun Nina di halaman SAPS (Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah). Minggu lepas hanya ada keputusan Peperiksaan Setengah Tahun je. Ermmm hari ni pun masih ada satu subjek yang belum dimasukkan markahnya, Bahasa Malaysia 2.
##kemaskini pada 5.11.2012: Keputusan peperiksaan dah keluar. Nina dapat 10A ;). Tahniah Nina!##

Berdasarkan keputusan peperiksaan, penekanan harus diberi kepada matapelajaran Bahasa Malaysia Pemahaman. Nina hanya mendapat 80 markah! Cukup-cukup makan untuk dapat A sahaja. Mata pelajaran lain semua sangat baik, 94 hingga 98. Pening juga saya, anak melayu, tapi Bahasa Melayu kurang mantap. Jika nak dibandingkan dengan Bahasa Arab (98) dan Bahasa Inggeris (94), macamlah Nina ni tak bercakap melayu di rumah. Di rumah, saya bukan bercakap Jerman pun dengan anak-anak, kecuali masa bebel marahkan mereka ;). Bahasa Jerman adalah bahasa perbualan untuk saya dengan Izzad. Jadi kalau tetiba mama dan papa berbual dalam bahasa Jerman, tahulah mereka ada rahsia yang sedang diperkatakan ;). Tapi sejak kebelakangan ni saya perhatikan, Nina mula dapat menangkap isi perbualan kami dan banyak perkataan Jerman yang dia dah faham maksudnya. Sejak balik dari Jerman, Nina seperti terputus hubungan dengan bahasa Jerman. Memanglah sayang, tapi saya kekok untuk berbahasa Jerman dengan dia sejak balik sini. Hajat di hati, Nina akan saya ajar bahasa Jerman mungkin setahun dua lagi. Buat masa sekarang biar dia mulakan dengan kelas tahfiz. Tak boleh terlalu banyak aktiviti, kesian kat anak-anak. Nanti tak ada masa untuk rehat pula.

Berbalik kepada keputusan peperiksan, matapelajaran Pendidikan Seni pun dapat 80 markah juga. Dari darjah 1 hingga darjah 3 Nina tak pernah dapat lebih 80 markah bagi matapelajaran Pendidikan Seni. Kuah memang betul-betul tumpah ke nasi ni, sebab baik saya mahupun Izzad, kami memang tak berbakat dalam bidang seni. Lukis melukis memang out, kecuali lukisan kejuruteraan, itupun terpaksa sebab nak lulus periksa. Lepas CAD ada, lukis pun cuma guna komputer je kan..:)

Amira pula dah tak sama sistem dengan Nina. Amira sekarang sistem KSSR. Tak ada periksa, cuma penilaian peringkat sekolah sahaja. Jujurnya saya masih agak risau, kerana sebagai ibubapa, kita tidak tahu kedudukan anak dalam sistem ini. Pada pendapat saya KSSR akan berjaya dengan kerjasama baik antara pihak sekolah dan ibubapa. Kalau sistem dijalankan tetapi pendekatan pihak sekolah tetap macam PKSR juga (tiada interaksi berterusan antara pihak sekolah dan penjaga), rasanya objektif KSSR tidak akan tercapai. Dua minggu lepas saya ada berbual dengan Cikgu Junaidah, guru Bahasa Malaysia Amira. Menurut Cikgu Junaidah, Amira dah boleh sampai ke Band 5. Band 6 mungkin susah sikit sebab soalan untuk Band 6 memang direka untuk budak yang betul-betul cemerlang. Bukan sekadar tahu jawab soalan, tetapi tahu untuk menerangkan logik jawapan yang diberikan. Di sinilah murid-murid dilatih untuk berfikiran kreatif, bukan sekadar meluahkan semula apa yang telah diberi oleh guru di dalam kelas. Saya amat positif dengan sistem ini, tetapi perlu ada kesungguhan dari pihak yang melaksanakannya. Budaya kerja perlu diubah, jika tidak, anak-anak kita bakal menjadi bahan ujikaji Sistem Pendidikan Negara sekali lagi!

Saya nampak cerewet ke dengan keputusan peperiksaan anak-anak? Entahlah ye.., saya cuma nak pastikan mereka buat yang terbaik untuk diri mereka. Selama ni saya beri kekebasan kepada mereka. Tak pernah menyekat mereka untuk bermain, gunakan tablet, laptop, internet, tengok tv. Asalkan kerja sekolah siap, dan yang terbaru mereka buat hafalan untuk kelas tahfiz, mereka bebas untuk mengisi masa lapang pada waktu petang dengan aktiviti sendiri. Cuma kalau gunakan internet, saya akan pantau kandungannya, juga TV pun ada tapisan yang dibuat. Mereka bebas mengatur jadual harian sendiri tetapi tetap tertakluk kepada peraturan asas saya, contohnya setiap hari pukul 10 malam kena masuk tidur. Saya tak pernah memberi kelonggaran kepada masa tidur terutama jika hari bersekolah. Kalau hari cuti atau kalau di kampung, itu lain cerita. Jadi dengan kebebasan yang diberi, belajar tanpa tekanan dan paksaan, saya harap mereka tak lalai. Betul keputusan masih cemerlang, cuma untuk subjek Bahasa Malaysia, memang perlu penambahbaikkan.

Wednesday, October 10, 2012

Kenapa saya pilih pusat Tahfiz sebagai pendidikan tambahan?

Jujurnya sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menghantar anak-anak kami untuk belajar di Pusat Tahfiz, samada secara separuh masa atau sepenuh masa. Mungkin pendedahan yang kurang dari pihak saya sendiri. Cuma yang pasti, saya memang berazam untuk memastikan anak-anak kami mengaji dan khatam Al-Quran sebelum mencapai usia 12 tahun. Alhamdulillah, anak sulung saya Nurina berjaya khatam 30 juzuk Al-Quran sebelum dia berusia 9 tahun. Amira (7 tahun) masih mengaji juzuk 7. Hakimi (4 tahun) sudah saya biasakan dengan Iqra'. Tetapi Hakimi masih sukar untuk fokus. Sebutan semua sudah betul, tapi mata meliar ke arah lain bila mengaji. Fahmi ada juga ikut membuka Iqra' bila kakak mengaji.

Berbalik kepada tahfiz. Segalanya bermula 2 tahun lepas. Kakak saya telah mendaftarkan anak sulungnya yang berusia 10 tahun ke sebuah pusat tahfiz sepenuh masa di Melaka. Awalnya tanpa rela dan hanya menurut kehendak abang ipar saya. Saya sebagai ibu saudara juga agak kecewa sebenarnya kerana Hidayah merupakan seorang yang bijak dan cemerlang di sekolah. Pendedahan saya tentang peluang lepasan pusat tahfiz untuk menceburi bidang profesional lain agak kurang. Ditambah pula dengan kehendak abang ipar supaya anaknya mengikuti pengajian 'Mualimah' setelah selesai pengajian Tahfiz. Maksudnya segala ilmu yang pada pendapatnya ilmu dunia terus disisihkan - pendapat yang amat saya tentang, sebabnya semua ilmu itu ilmu Allah. Ilmu Allah bukan setakat ilmu agama semata-mata! Melalui pemerhatian juga ramai lepasan pusat tahfiz yang seakan membataskan penglibatan mereka dalam bidang keagamaan sahaja: samada sebagai penceramah agama, guru-guru, pensyarah - hanya menjurus kepada pendidikan dan agama sahaja! Jarang kita didedahkan dengan kejayaan lepasan pusat tahfiz yang menceburi bidang profesional lain seperti jurutera, doktor, peguam dan sebagainya. Memang ada, tetapi kurang didedahkan kepada umum!

Melihat keupayaan Hidayah berjaya menghafaz 19 juzuk dalam tempoh tak sampai 2 tahun, saya mula memasang niat untuk melihat anak-anak saya juga mendapat didikan di pusat tahfiz, bukan sepenuh masa, tetapi hanya separuh masa. Saya mula meninjau kewujudan pusat tahfiz di persekitaran kediaman. Alhamdulillah, ada sebuah Pusat Tahfiz Perempuan berdekatan dengan rumah. Tetapi memandangkan Nurina masih belum khatam, saya pendamkan dulu hasrat saya dari pengetahuan suami. Hanya Kak Iya dan adik tahu tentang hasrat saya ni. Malangnya pusat tahfiz tersebut telah ditutup sekitar Mac 2012 kerana gurunya berpindah ke Selangor. Saya agak kecewa memikirkan hasrat saya yang tidak kesampaian. Jadi selepas Nurina khatam Al Quran pada April 2012, dia mengulang mengaji semula di rumah Cikgu Sue.

Lebih kurang 2 bulan lepas, saya mula nampak sekumpulan pelajar perempuan berpurdah kerap berulang-alik ke Jalan Beringin 9. Saya tahu sebelum ni kerap pelajar Tahfiz Lelaki yang berpusat di Beringin 11 ke Beringin 9. Mungkinkah telah dibuka pusat tahfiz perempuan pula? Hati saya kembali berbunga mengharap. Jadi minggu lepas, saya memberanikan diri mencadangkan kepada Izzad tentang hasrat saya untuk menghantar Nurina dan Amira ke pusat tahfiz secara separuh masa (dalam hati tak henti berdoa moga Izzad bersetuju). Saya percaya niat yang baik, insyaAllah akan dipermudahkan urusannya! Alhamdulillah Izzad bersetuju tanpa banyak soal, asalkan Nurina dan Amira kekal mendapat pendidikan akademik dan agama sebagaimana biasa. Syukur kepadamu ya Allah!

Setelah mendapat keizinan Izzad, saya terus ke Beringin 9 untuk bertanya. Saya dimaklumkan, premis tersebut adalah kediaman mudir (warden). Pusat Tahfiz Perempuan memang ada dibuka, tetapi di Beringin 6. Saya kemudiannya ke Beringin 6 berjumpa Ustazah Khadijah. Saya diberi borang permohonan dan diberi penerangan. Setelah selesai urusan permohonan dan sesi temuduga, akhirnya Amira dan Nurina diterima sebagai pelajar tahfiz separuh masa bermula Selasa, 09.10.2012.

Sebenarnya, rencana di dalam sisipan Mega Utusan Malaysia tentang huffaz yang menceburi bidang profesional memberi saya motivasi dan pencetus untuk saya meluahkan hasrat menghantar 2 anak perempuan belajar tahfiz kepada Izzad. Allah telah memberi jalan kepada saya dan semoga usaha kami diberkati Allah.

Amira sewaktu berusia 3 tahun dan Nurina yang berusia 5 tahun mampu menghafal dialog beberapa episod siri Upin dan Ipin yang berdurasi 5 minit setiap episod hampir tanpa sebarang kesalahan. Saya masih belum menyediakan jadual khusus untuk mereka belajar setiap hari di rumah, sekadar memastikan mereka menyiapkan kerja-kerja sekolah dan menjelang peperiksaan mereka perlu sekurang-kurangnya satu kali 'khatam' buku sekolah. Itu memadai bagi saya dan alhamdulillah mereka masih mengekalkan prestasi yang cemerlang di sekolah kebangsaan dan juga di sekolah agama. Jadi besarlah harapan saya moga kemahiran mereka untuk mengingat itu masih ada dan dapat digunakan dengan sebaiknya. Tahun lepas saya pernah melatih Amira yang terlupa untuk memberitahu saya ada satu surah tambahan untuk pertandingan Hafazan (cikgu memberi masa seminggu untuk menghafaz 11 surah). Dalam masa tak sampai sehari, dia dapat hafaz satu surah tersebut. Tahun lepas juga saya ada melatih Nurina membuat persediaan pertandingan bercerita dalam bahasa inggeris. Dengan bantuan flash card yang saya sediakan, Nurina mampu menghafal cerita dalam masa satu hari. Jadi rasanya keputusan saya tidak salah. Saya percaya mereka memiliki kemahiran asas untuk menghafaz, cuma bimbingan yang lebih sistematik daripada tenaga pengajar yang berkelayakan perlu untuk membolehkan mereka mampu menghafaz Al Quran pula.

Tuesday, October 9, 2012

Tahfiz Al-Islah, Taman Rinting

Mulai hari ni, Amira dan Nurina akan memulakan pengajian separuh masa di Pusat Tahfiz (Perempuan) Al Islah di Taman Rinting. Doa dan harapan saya moga Amira dan Nurina akan diberikan kemudahan Allah swt untuk menghadapi pelajaran baru di sana. Sedaya mungkin saya dan suami akan cuba memberikan pendidikan yang seimbang, dunia dan akhirat untuk anak-anak kami. Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk menghantar Nurina dan Amira belajar tahfiz secara separuh masa, tapi tak ada tempat yang dekat. Dulu memang ada sebuah pusat tahfiz di taman ni juga, tapi sejak guru yang mengajar berpindah ke Selangor, pusat tahfiz pun ditutup. Kebetulan Pusat Tahfiz Al Islah baru berpindah ke sini, memang rezeki saya la tu. Izzad setuju je dengan saranan saya, asalkan anak-anak tetap ke sekolah kebangsaan dan sekolah agama seperti biasa.

Jadi Amira dan Nurina akan berhenti mengaji di rumah Cikgu Sue. Petang lepas balik sekolah agama boleh mereka rehat dan siapkan kerja sekolah. Saya pun senangla sikit tak payah nak tapis siri-siri kat TV untuk mereka. Bila dah ke kelas tahfiz dari 7.30 - 9.30 malam, secara tak langsung tak dapat tengok TV ;). Mungkin boleh kot setengah jam, sebelum masuk tidur pukul 10 malam tu.

Pusat Tahfiz Perempuan Al Islah mempunyai 16 orang pelajar tahfiz sepenuh masa, 4 orang pelajar separuh masa dengan 2 orang tenaga pengajar. Hantar anak sepenuh masa (tinggal di asrama) di Pusat Tahfiz? Hmm.., setakat ini, itu bukan pilihan saya. Saya masih perlukan anak-anak dan rasanya anak-anak pun masih perlukan saya.

Wednesday, October 3, 2012

Marble Cheese Brownie

Hajat di hati nak makan Marble Cheese Brownie ni dah lama ada sejak tengok Ina dok mengiklankan brownie untuk jualan di FB dia. Puas mencari resepi yang sebiji sebentuk.. akhirnya sampai ke fotopages Rinnchan. Dulu masa zaman berfotopages, masa masih di Jerman, rajin juga mengulit fotopages Rinnchan ni yang saya kenal dari fotopages Mamafami. Tapi sejak orang sibuk dengan FB, terlupa pulak nak jejak fotopages :). Terima kasih Kak Rinnchan sebab kongsi resepi ni. Saya ambil dan kongsi pula di halaman saya. Resepi pun saya C&P bulat-bulat dari sana.. tak edit apa-apa pun. Jiran sebelah rumah, En. Azmi dan Siti yang tinggal di sebelah rumah En. Azmi pun dah merasa kek ni. Rumah Pumitha kat sebelah kanan dah terpisah dengan jalan, jadi boleh dimaafkan kalau tak diberi kan? :) Dan resepi dah pun sampai ke Cikgu Junaidah lepas dia rasa kek yang Amira beriya-iya nak beri kat cikgu dia.



MARBLE CHEESE BROWNIES 

Bahan-bahan Brownies :
250g butter
1 cwn serbuk koko
3 biji telur gred B
1 1/2 cwn gula castor
1/2 cwn susu cair
1 1/2 cwn tepung gandum *Ayak dgn BP & SB
1 tsp baking powder
1 tsp soda bikarbonate
1 tsp esen vanilla

Cara-cara:
1. Cairkan butter. Masukkan serbuk koko dan kacau rata.
2. Handwhisk gula dan telur. Masukkan ke dalam adunan butter+koko. Kacau sebati.
3. Masukkan susu cair dan kacau sebati.
4. Masukkan tepung+BP+SB sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga sebati. Akhir sekali, masukkan esen vanilla dan kacau rata.
5. Panaskan oven pada suhu 175 darj cel. Alas loyang 10" x 10" dgn grease proof paper. Biar kertas berjuntai pada dua belah yang bertentangan supaya mudah mengeluarkan brownies.
6. Tuang adunan brownies ke dalam loyang dan ratakan. Tinggalkan sedikit untuk membuat marble di atas lapisan cheese nanti.
7. Bakar selama 20min menggunakan api atas dan bawah.


Bahan-bahan lapisan cheese:
250g cream cheese
1 cwn gula castor
1 biji telur gred B

Cara-cara:
1. Pukul cream cheese hingga gebu.
2. Masukkan gula dan pukul lagi hingga sebati.
3. Masukkan telur dan pukul lagi hingga sebati.

*Selepas 20min keluarkan brownies dari oven. Tuangkan adunan cheese dan ratakan. Paipkan baki adunan brownies ke atas lapisan cheese dan lorekkan corak ikut citarasa. Masukkan semula ke dlm oven dan bakar lagi selama 15min atau sehingga cheese masak. Biarkan sejuk sebelum dipotong.