Nuffnang Ads

Friday, September 26, 2014

Kerusi Keselamatan Kanak-kanak (Child's car seat)


Baru-baru ni terbaca artikel yang dipautkan ke FB oleh seorang rakan mengenai kerusi keselamatan kanak-kanak. Artikel yang disiarkan di Paultan.org amat menarik dan patut diberi perhatian oleh ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil.

Malaysians need to start putting their children in child car seats when travelling in their cars


Menetap di Jerman sewaktu mempunyai anak kecil, kami terbiasa dengan undang-undang di sana yang mewajibkan kanak-kanak diletakkan di dalam kerusi keselamatan sewaktu menaiki kereta. Car seat merupakan antara barang keperluan bayi yang saya beli sebelum kelahiran Nurina dulu. Beli di Ebay sahaja dengan harga EUR57 untuk Maxi Cosi Citi. Barang baru, bukan terpakai. Mungkin penjual mendapat banyak hadiah yang sama semasa kelahiran anak, dan akhirnya menjual kembali dengan harga murah.


Nurina di dalam Maxi Cosi Citi 0-13kg

Maxi Cosi ni saya gunakan daripada Nurina hingga anak yang bongsu Fahmi, dan sekarang saya turunkan kepada anak adik yang kecil. 

Berbalik kepada kerusi keselamatan, saya setuju dengan pandangan penulis di Paultan. Pihak berkuasa di Malaysia seharusnya mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan untuk penumpang cilik. Kajian menunjukkan, apabila kita melakukan brek kecemasan sewaktu memandu dengan kelajuan kereta hanya 30km/h pun boleh menyebabkan kecederaan yang serius. Cuba bayangkan apa yang boleh berlaku ke atas kanak-kanak ini di dalam kereta jika mereka dibiarkan tanpa kawalan keselamatan yang sepatutnya?

Sebilangan ibu bapa yang mempunyai MPV kadangkala bangga memuatnaik gambar anak-anak mereka bergelimpangan di bahagian belakang, kononnya untuk menunjukkan betapa luasnya MPV mereka. Mereka sebenarnya berfikiran singkat. Sayang anak tapi tak bertempat. Bayi dan kanak-kanak perlu diletakkan di dalam kerusi keselamatan yang sesuai dengan usia mereka sewaktu menaiki kenderaan.

Kedudukan bayi dan kanak-kanak kecil di dalam kereta - gambar dari internet

Kerusi keselamatan untuk kanak-kanak - gambar dari internet

Anak-anak saya memang wajib duduk di car seat sejak lahir lagi. Biasanya dari usia bayi hingga 12++ bulan memang tak ada sebarang masalah. Kadang-kadang mereka tidur sepanjang perjalanan dari Johor ke Terengganu yang mengambil masa antara 8-10 jam bergantung kepada keadaan trafik dan juga masa rehat. Tips: Biarkan anak penat bermain sebelum bertolak, bila penat mereka akan cepat lelap di dalam kereta. Kadang-kadang tak sampai 10 minit bertolak, mereka dah tertidur ;). Pada usia 13-16 bulan, akan ada fasa memberontak, di mana mereka akan menangis dan menolak bila diletakkan di dalam car seat. Ataupun mereka akan bosan dan akhirnya merengek dan menangis. Cuba alihkan perhatian mereka dengan mainan and the worst what we did - lekakan mereka dengan DVD Player di dalam kereta ;). Dan sebagai ibu bapa, kita kena tegas dan jangan mengalah dengan tangisan anak. Orang kata kena hati kering sedikit. Bila kita tegas, mereka akan tahu, menangis macam manapun, kita tak akan mengalah dan mereka akan faham dan menurut akhirnya.

Anak-anak saya pun tak terlepas dari fasa tersebut. Apa yang kami buat? Kekal dengan rules - tak mengalah dan angkat anak-anak dari car seat. Pernah sekali Amira menangis dari rumah mak ke Melaka. Perjalanan selama 1 jam 15 minit disulami dengan raungan dan jeritan Amira. Saya keraskan hati walaupun Allah je yang tahu sedihnya tengok dia menangis. Dan itulah satu-satunya episod dia menolak untuk diletakkan di car seat. Selepas tu menangis sekejap-sekejap dan boleh dipujuk. Fahmi pula ada dua kejadian dia menangis tak mahu duduk di dalam car seat sewaktu saya memandu sendiri dari Kuantan ke Muar. Sepanjang perjalanan dari Pekan ke Muadzam Shah dia tak berhenti menangis. Saya abaikan tangisan dia sebab tiada tempat sesuai untuk berhenti dan saya perlu fokus kepada pemanduan - bawa 4 orang anak tu di belakang. Kejadian berikutnya sewaktu perjalana dari Muar ke Pasir Gudang, dia tak berhenti menangis dari Machap sampai ke rumah sehingga Nurina dan Amira kehabisan modal nak entertain adik mereka. Kata kuncinya di sini, jangan mengalah dengan anak-anak dan kena bersedia untuk pekakkan telinga untuk sekali dua. Pasangan pun kena beri kerjasama juga sebab tanpa kerjasama pasangan, memang tak berhasillah.

Amira dengan Graco CarGo, Nurina dengan Graco Tri Logic, Fahmi di dalam Roemer King, Hakimi di belakang di dalam Sweet Cherry

Untuk jenama pula, beli yang mampu milik. Jenama luar negara memang agak mahal, tapi menang memakai. Saya hanya beli kerusi keselamatan bayi Maxi Cosi sekali sahaja untuk kegunaan anak-anak saya seramai 4 orang. Kerusi stage 2, Roemer King pun dipakai oleh Nurina, Amira, Hakimi dan Fahmi. Kerusi Stage 3 - Graco CarGo, sekarang ni Fahmi yang pakai. Untuk stage 4  bagi usia 8 - 12 tahun, kami belikan Nurina dan Amira Graco Tri Logic. Semuanya samada kami beli yang terpakai di Internet atau semasa jualan murah di butik kanak-kanak. Sekali modal RM300 - RM400 bagi kerusi jenama luar negara untuk kegunaan 4 orang anak dalam tempoh 10 tahun, rasanya pelaburan yang berbaloi.

Graco Car Go


Graco Tri Logic Pedic


Roemer King