Nuffnang Ads

Sunday, November 12, 2017

Nombor 10 yang paling bermakna

Hari ini Amira mula Peperiksaan Sijil Darjah Enam Sekolah Agama Negeri Johor. Fahmi dan Hakimi dicutikan sekolah agama ekoran peperiksaan tersebut. Jadi mak ada kawan petang-petang macam ni. Sejak Peperiksaan Akhir Tahun sekolah kebangsaan tamat, Hakimi dan Fahmi asyiklah check di halaman SAPS untuk mengetahui keputusan peperiksaan mereka. Kadang tu sehari berkali-kali check.

Mak dia sengih je.. Tahu dah kenapa teruja sangat nak check keputusan periksa, sebab takut turun kelas! Mereka berdua tu memang kurang rajin nak belajar, tak fokus. Kalau mengadap buku, 5 minit biarkan, datang semula dah tertidur. Tapi kalau mengadap games di laptop atau telefon, berjam tak bergerak. Manalah mak mereka ni tak berangin sepoi bahasa kadang jadi taufan :)

Jadi sebelum periksa akhir tahun tempohari, mak buat perjanjian dengan anak-anak lelaki. Siapa yang turun kelas, dia tak akan dapat pegang telefon mama, papa, laptop selama SETAHUN! Muka Kimi yang paling cuak giler bila dengar syarat mama. Tapi mahu tak mahu terpaksa setuju.. hahahaha

Petang tadi sampai je rumah dari ambil Amira, Hakimi dah sibuk bertanya nombor Mykid dia. 3 Minit selepas tu terdengar suara  dia menjerit "Yey, dapat nombor 10. Yey yey yey, Kimi dapat nombor 10, tak payah turun kelas." Gamaknya nombor 10 paling bermakna dalam hidup dia. Hahahahaha. Fahmi pun tak turun kelas. Malam ni boleh tidur sambil tersengin la budak berdua tu.

Punyalah takut tak dapat pegang telefon dan laptop selama setahun, gigih mereka berdua baca buku sebelum exam tempohari. Hmmm bagus juga, nanti mak boleh apply kat benda lain pulak... Boys berdua ni memang mak kena sabar lebih sikit. Allah dah beri mak senang dan mudah dengan Nurina dan Amira, jadi mak dapat peluang untuk tambah pahala dengan Fahmi dan Hakimi... Kalauuuu mak tak jadi singalah, kalau jadi singa je... pahala pun tak dapat!

Sunday, March 20, 2016

Mykid untuk anak lahir di luar negara

Memandangkan dua anak saya , Nurina dan Amira dilahirkan di Jerman, jadi mereka tiada Mykid. Semua urusan pendaftaran selama ini terpaksa dilakukan dengan nombor sijil lahir sahaja. Setiap tahun, soalan yang sama akan diajukan guru kelas.. ,"awak tak ada nombor mykid? Eh macam mana boleh tak ada nombor mykid?" Jadi panjanglah anak-anak saya perlu jelaskan kepada guru masing-masing.

Dua tahun selepas pulang ke Malaysia, saya ada ke JPN Alor Gajah untuk bertanya tentang situasi anak saya, samada perlu buat Mykid atau tidak. Pegawai yang bertugas kata tak perlu dan tak boleh buat. Saya perlu tunggu hingga anak berusia 12 tahun.

Tahun lepas kami perlu buka akaun Tabung Haji untuk Nurina sebagai syarat untuk mengikuti Kem UPSR anjuran Berita Harian dan Tabung Haji di MRSM Pontian. Malangnya kami diberitahu sistem Tabung Haji hanya menerima nombor pengenalan diri dalam bentuk no Mykad/Mykid. Tarikh lahir Nurina pula seminggu sebelum tarikh tutup pendaftaran - masa agak suntuk. Tepat 14 Mei kami ke JPN untuk buat Mykad Nurina, tapi malangnya kami dimaklumkan nama Nurina masih belum diupdate ke dalam sistem database JPN dan permohonan perlu JPN majukan kepada pihak kedutaan untuk proses kemaskini data. Adoi.. dahla kami memang perlukan nombor kad pengenalan tu. Nak buat macam mana, tunggu ajelah. Seminggu jugalah kami tunggu panggilan telefon dari JPN. Dapat je panggilan JPN, malam tu terus ke UTC JB untuk buat Mykad. Nasib baik ada UTC, malam pun boleh buat urusan kerajaan.  Hanya selepas itu baru dapat buka akaun Tabung Haji.

Atas alasan tak mahu Amira pun mengalami nasib yang sama, jadi semasa proses membuat Mykad Nurina, saya ajukan lagi soalan yang sama kepada pegawai bertugas di UTC JB - Mykid untuk Amira. Jawapan yang sama juga saya dapat - tunggu hingga berumur 12 tahun.

Selepas keputusan UPSR keluar, Nurina menghadapi masalah untuk mohon ke Sekolah Kawalan kerana data APDM tidak tally dengan data JPN : di APDM Nurina masih guna nombor sijil lahir sebagai dokumen pengenalan diri tetapi di JPN dah ada nombor Mykad. Puas cikgu dan pegawai di PPD Pasir Gudang berusaha untuk mendaftarkan nama Nurina, tetapi masih gagal. Seminggu masalah tak selesai. Akhirnya saya ambil inisiatif menulis sendiri email ke admin APDM di Putrajaya, alhamdulillah mereka update data Nurina di APDM dan namanya berjaya didaftarkan.

Ekoran masalah dan kesulitan tersebut, saya nekad sekali lagi ke JPN Cawangan UTC JB untuk bertanya lagi tentang Mykid Amira. Kali ini dengan 2 pegawai lain dan 2 jawapan yang berbeza. Pegawai pertama kata tak boleh dan kami disuruh tunggu sehingga Amira berumur 12 tahun, manakala pegawai kedua pula kata boleh buat tetapi hanya di JPN Negeri di Setia Tropika. Pelik bila ada 2 jawapan berbeza. Saranan mana yang kami ikut? Sudah tentu saranan pegawai kedua sebab memang itu yang kami mahukan! 

Susulan daripada itu, maka hari ini saya dan Izzad ke JPN Negeri Johor untuk membuat permohonan Mykid untuk Amira. Malam sebelumnya saya dah siapkan semua dokuman berkaitan: borang permohonan, Borang W - sijil akuan lahir di luar negara dan sijil lahir asal yang dikeluarkan pihak berkuasa Jerman.

Jadi berjaya atau tidak permohonan saya? Jawpannya: Permohonan berjaya! Prosesnya sangat mudah. Ambil nombor untuk pendaftaran kewarganegaraan dan bila nombor dipanggil, kemukakan aje borang permohonan di kaunter. Mudah dan cepat! Pegawai yang bertugas di kaunter terangkan, asalkan anak tersebut dah tinggal menetap di Malaysia dan tiada komitmen di luar negara lagi, boleh mohon Mykid jika anak belum berumur 12 tahun. Dengan Mykid mereka dah ada nombor kad pengenalan sesiap dan semua urusan pendaftaran di sekolah akan jadi lebih mudah.

Masih tertanya-tanya kenapa 3 pegawai JPN sebelum ini berikan kami maklumat yang salah... Samada mereka memang tak tahu atau?? Hmmm.. Apapun lega sebab Amira dah ada nombor kad pengenalan. Mudahlah urusan pendaftaran untuk UPKK tahun ini dan UPSR serta SDEA tahun hadapan.

Jadi untuk anda yang ada anak lahir di luar negara, bila balik ke Malaysia dan anak-anak belum berumur 12 tahun, pergi ke JPN Negeri dan buat permohonan untuk mendapatkan Mykid untuk mereka. Tanpa nombor kad pengenalan, anak-anak anda mungkin bakal mengalami masalah seperti yang saya terangkan di atas. Masalah remeh je pun, tapi kalau boleh dielakkan, elok kita elakkan.

Sunday, February 21, 2016

Visiting Nurina at MRSM JB

Hari ni genap seminggu Nina mendaftarkan diri di MRSM Johor Bahru. Poor Nina! Dia taknak pergi sebenarnya dan saya pun lebih suka kalau dia kekal di SMK Dato Penggawa Timur, tapi Izzad tetap mahu Nina ke MRSM. Seharian dia menangis lepas dapat keputusan MRSM, merajuk dengan papa! Lagipun Nina dah serasi di SMK Dato Penggawa tu. My poor baby!

Hari jummat tempohari, first visit ke MRSM. Hmm Nina seems happy there, alhamdulillah. Adik-adik pun macam dah bertahun tak jumpa kakak, semua berebut nak duduk dekat-dekat kakak dan berebut-rebut nak bercakap dengan kakak. Jadi mama dan papa beri laluan kepada 4 beradik tu melepas rindu dengan cara mereka - berbual, berborak, bertukar cerita.

Hati ibu ni libang libu lagi: happy sebab tengok dia ok.. sedih bila kenangkan my first child is now away from home :'( . Rindu nak dengar dia bercerita dalam kereta semasa hantar dan ambil dia dari sekolah. Takde dah peneman saya bila layan movie di Diva. Takde peneman bila saya masak pagi-pagi sebelum dia ke sekolah. Takde dah hectic morning every monday bila semua anak-anak ke sekolah waktu pagi dengan 2 kereta bergerak ke 2 arah yang berlainan. Nina dan saya ke Penggawa, anak-anak yang lain dengan Izzad ke Rinting.

Nina dengan adik-adik, MRSM JB Feb 2016
Sabtu dapat bawa dia balik outing sekejap. Dari pukul 2.30-5.30. Jadilah sekejap je dapat bersama dia. Kami lunch lewat sebab nak tunggu Nina. Dia pun sengaja tak pergi makan tengahari tu ".. Nina nak makan sama-sama family kat rumah.." Owh.. sayunya hati dengar. Tabahla duhai hati.. tapi biasalah mama dia yang kememeh ni kan... tabahla sangat ;)

Ok, MRSM JB ni merupakan salah sebuah MRSM Cambridge-IGCSE (Cambridge International General Certificate of Secondary Education). Jadi mereka akan belajar subjek untuk KPM dan IGCSE sekaligus. Untuk IGCSE akan ada peperiksaan Checkpoint IGCSE di tingkatan 2 dan IGCSE di tingkatan 4. Untuk KPM, seperti sekolah biasa yang lain, PT3 di tingkatan 3 dan SPM di tingkatan 5. Memandangkan mereka akan menduduki IGCSE di tingkatan 4, jadi semua silibus KPM akan dihabiskan semasa di tingkatan 4. Memang beban yang agak berat untuk mereka. Bagaimana dengan Nina? InsyaAllah.. she's a strong-minded, independent young lady and I'm sure, she'll be fine.

I'm gonna miss her dearly..

Tuesday, December 29, 2015

Resepi : Ayam Masak Bali

Lama tak update blog.. cuti sekolah tapi sibuk. Tahun ni anak yang sulung UPSR kan, jadi lepas result keluar dok hantar dia interview sana sini. Setakat ni cuma dapat Sekolah Kawalan je. Kelas Rancangan Khas dan Kelas Kawalan pun dapat juga, tapi kami pilih Sekolah Kawalan. SBP tak berjaya terpilih tapi dah buat e rayuan. MRSM masih belum tahu keputusannya. Saya cuma doa yang terbaik untuk dia, apa yang terbaik untuk dia tu masih rahsia Allah. Frust? Oh tidak.. saya dahulu pun sekolah biasa juga, di kampung dan tak pernah sangka akan berpeluang ke Jerman. Tapi semua tu rezeki Allah kan. Laluan saya tak sama seperti mereka yang lepas SPM terus ke matrikulasi atau A Level, tapi penyudahnya saya tetap bersama mereka. Kena yakin dan mohon selalu kepada Allah.

Ok, kita cerita tentang resepi pulak. Sekitar 1998, saya menerima tetamu 4 orang pelajar perubatan dari Scotland yang melawat rakan mIRC mereka di Konstanz. Ada sekali mereka masak ayam sambal yang sangat sedap, tapi lupa (ke malu) nak minta resepi. Jadi saya kerap mencari dan mencuba resepi ayam sambal tapi tak pernah jumpa yang sama rasanya. Sampailah tadi selepas mencuba resepi Ayam Masak Bali. Ya Allah... rasanya 95% sama! Rasa nak menangis masa makan tengahari tadi.. Jadinya sesi makan tengahari tadi jadi sesi saya mengimbau kenangan di Jerman, berkongsi cerita dengan anak-anak. :) Cuma seingat saya kenalan tersebut menggunakan daun limau purut bagi menggantikan daun kari. Itupun kami cuma dapat bekalan daun limau purut kering di Jerman.

Sebab saya masak untuk 300-400g ayam je, jadi sukatan saya agak-agak je dan saya tambahkan sedikit kentang. Tapi resepi di bawah ni resepi asal dari FB Aisha Shukor.. Tak edit pun, just copy paste dari FB dia je... dan saya lupa nak letak belacan! hehe itulah suka derhaka resepi... Tadi makan dengan lemak pucuk manis (asin-asin) yang saya kutip dari edible garden saya, ulam pegaga juga dari edible garden dan ikan kembung goreng. 

Ayam Masak Bali.

  • 1 ekor ayam dibersihkan n selawat,tos..kunyit garamkan xperlu byk sgt..cukup satu camca kecil garam n kunyit..
  • Panaskan minyak satu cawan..minyak mmg lebih sikit..nti nk guna utk tumis..goreng ayam xperlu garing..nk juicy2..angkat
  • Ok,disebabkan uolls xpnh rasa original nyer,sila ikut resepi ni sebiji2 ya..jgn tanya kenapa byk tu ok..ikut je..jgn degil..hihi..jgn risau..In Sha Allah jadi..sukatan utk seekor ayam..


1)Blend Cili kering segenggam..Bawang besar yg merah ya 6biji (byk bwg br sedap),bwg putih satu labu,halia sikittt je,hujung jari kelingking n belacan besar stgh ibu jari
2) Serai dititik-8btg (ni yg kurus ya..klau serai yg gemuk2 tu cukup 5btg)
3)Daun kari 6tangkai-cuci n tos
4)Kicap tamin (renjis smp dpt warna mcm pic sy atas tu)
5)Gula 3sudu besar (jgn risau manis,sbb nti rasanye akn balance)
6)garam dua camca kecil

  • Minyak ayam td tu,gorengkan serai,sampai separa coklat
  • Masukkan daun kari smp garing (bkn hangus)..api sederhana ya
  • dah dpt warna cantik camtu,baru masuk semua yg dh blend td..tumis smp naik bau n garing
  • Masuk gula,garam n renjiskan kicap dlm 5kali renjis..jgn byk sgt dulu..biar warna merah maroon..
  • Masukkan ayam n masak lagi 10minit
  • Siap..jgn makan terus lps masak..biar la dulu dlm stgh jam..mkn esok lg aduii sedapppnyerr..Selamat Mencuba


Ayam Masak Bali 

Saturday, November 14, 2015

House Renovation - Part 1


Plan nak renovate rumah Melaka dah lama tersimpan, tapi cuma baru-baru ini Allah permudahkan urusan kami untuk buat pengubahsuaian rumah kami. Ramai yang bertanya: dah nak balik Melaka ke buat renovation ni? Atau, tak duduk lagi buat apa nak renovate bagai. Tak kurang juga yang bising sebab membazir katanya - alasan sama sebab kami tak duduk lagi.

Hmm setiap orang ada perkiraan masing-masing kan? Kami cuma buat congakkan kasar, harga bahan binaan dan upah meningkat saban tahun. Tak rugi rasanya kami buat pengubahsuaian  iaitu penambahan binaan kekal tanpa aksesori dalaman tambahan. Saya hanya tambah dapur berserta table top, buat stor dan laundry area.

Untuk kerja pengubahsuaian ni kami lantik firma adik Izzad, Akar Rustika dari Shah Alam sebagai arkitek dan kontraktor. Senang berurusan dengan orang yang kami kenal dan percaya. Tak mahu lagi kena seperti kes ubahsuai dry kitchen dulu, bayar mahal tapi semua yang kami nak tak dapat! Dahtu satu sen pun tak dikurangkan walau janji nak beri barang berkualiti, tetapi yang kami dapat standard biasa-biasa. Cuma soft locking door system untuk kitchen cabinet yang jadi pengubat hati!


Pelan asal projek ubahsuai - pergola di car porch kami KIV dulu

Perbincangan lapan mata kami buat semasa balik raya haji di rumah MIL pada September lepas, walaupun sebenarnya yang banyak bercakap adalah biras saya selaku MD dan saya sebagai pelanggan. Dua orang adik beradik, suami saya dan adik lelakinya jadi pemerhati dan hanya menyampuk sesekali je. Rekaan mengikut kehendak saya, suami cuma tengok plan dan approved mengikut bajet yang kami peruntukkan. Semuanya mudah sebab kehendak kami biasanya tak banyak beza. Kami mementingkan praktikaliti dan simple. Jadi saya cuma pastikan ikut je 2 perkara tu, pasti akan approve! ;)

Projek ubahsuai kali ini melibatkan penambahan struktur binaan kekal di bahagian belakang rumah bersaiz 26 x 9 kaki. Dapur utama bersaiz 20 x 9 kaki berserta table top konkrit 9 x 7 kaki, stor penyimpanan barang 6 x 3 kaki dan laundry area 6 x 4.5 kaki. Mengikut perancangan asal, satu binaan pergola di depan rumah juga akan dibuat, tetapi bila difikir semula, binaan kayu tersebut boleh aje dibuat kemudian kerana pemasangannya mudah dan tak memakan masa. Cuma binaan kekal di bahagian dapur yang jika dibuat selepas kami pindah akan sedikit mengganggu rutin harian - habuk, bising dan sebagainya.

Jadi pada 05.10.2015 kerja-kerja ubahsuai mula dijalankan. Saya berikan mereka 20.11.2015 sebagai date line untuk menyiapkan dapur saya. Biras saya Naem sentiasa memaklumkan saya tentang progress ubahsuai. Syarat saya cuma satu, bekalkan barang-barang yang berkualiti sebagaimana yang tertakluk dalam perjanjian.


Proses awal penyediaan tapak - kerja ikat besi dengan struktur asal rumah telah selesai


Proses memlaster bahagian luar dan dalam rumah

Dua minggu selepas kerja-kerja dimulakan, dapur saya dah siap 65%. Proses mencari dan menunggu jubin dapur agak memakan masa. Keseluruhan dinding menghadap belakang dan dinding kanan saya pasang jubin dari lantai ke siling. Senang nak bersihkan nanti dan tak perlu nak cat! Teringat Frau Mueller, tukang masak semasa saya tinggal di Schloss Heidelberg untuk persediaan PNDS. Setiap hari selesai menyediakan sarapan pagi untuk kami dia akan bersihkan dan lap semua dinding di dapur. Setiap hari! Kalau ikutkan tak kotor mana pun, tapi dia memang pembersih.

Thursday, October 29, 2015

Sketsa di kedai runcit

Beberapa hari lepas saya ke kedai runcit untuk membeli sedikit sayur dan surat khabar. Semasa mengira harga barang yang saya beli, terjadilah dialog berikut..

"Surat khabar ni kakak punya?" Tanya pembantu kedai Acheh merujuk kepada naskhah NST di atas meja.
"A ah." Jawab saya ringkas
"Pandai ek kak baca inggeris."
"Bolehla sikit-sikit."
"Sikit-sikit ye kak? Hmm."

Huhuhu, bila pakai selebet ke kedai, beli NST pun orang tanya boleh baca tak surat khabar tu. Sebab tu ada peribahasa Jerman berbunyi "Kleider machen Leute" yang bermaksud manusia dinilai berdasarkan imej luarannya.

Sebelum ni pun pernah saya ke Tesco, bertshirt lengan panjang, tak berbedak, tanpa handbag sambil mendukung anak lalu di hadapan booth Program Diploma UTM. Bersungguh-sungguh adik di situ memujuk supaya saya mendaftar program mereka.

"Ambil diploma sambil bekerja kak, tak perlu cuti, separuh masa je."
"Takpelah dik, malas dah nak belajar lagi." Jawab saya sambil tersenyum.

Dua tiga hari berikutnya, usai urusan di sebuah agensi dan masih berpakaian ala-ala eksekutif dengan high heel dan handbag, saya lalu di hadapan booth yang sama, tapi kehadiran saya langsung tidak dikejar seperti sebelum itu. See, saya yang bertshirt tanpa make up dianggap tak berpelajaran berbanding saya dengan imej kedua. Saya senyum sendiri dengan ragam dunia.

Di rumah mak mertua pun beberapa kali saya dianggap sebagai maid oleh tetamu yang datang beraya atau ketika kenduri-kendara ketika saya sibuk membantu mengemas. Kejadian yang terbaru semasa raya Aidilfitri tempohari. Seorang saudara jauh mami menegur saya yang baru keluar dari pantry dan menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya yang menunggu giliran untuk mengambil makanan.

"Oh ni pekerja baru ke, dah lama kerja sini."
"Saya? Oh tak, tak, saya menantu mami."
Saudara mami tersenyum kelat dan dapat saya lihat merah mukanya menahan malu. Saya hanya tersenyum dan menyambung kerja di dapur.

Petang tu terjumpa dia di rumah mak saudara mami yang saya panggil Tok Su dan dia datang kepada saya meminta maaf sebab menganggap saya sebagai maid. Saya hanya tersenyum sambil berkata, tak mengapa. Tok Su yang terdengar perbualan kami bertanya, tetapi saya hanya senyum je.. Dan tok Su menambah..

"Nape? Dia kata Dah maid mami ke?" Saya dan Tok Su masing-masing hanya ketawa. Dan saudara jauh mami tu tersenyum simpul malu.

Tok Su selalu marahkan saya bila tolong maid mami buat kerja. Tok Su pernah kerja kat rumah mami masa saya balik bercuti dengan Nina tahun 2003 dulu. Kerja Tok Su cuma tolong-tolong mami siram bunga dan buat kerja luar. Bila turn saya bawa Nina ke rumah Tokmi dia, memang Tok Su la jadi kawan saya berbual, sambil bantu dan teman dia buat kerja.

Kleider machen leute... betullah peribahasa tu ;)



Tuesday, October 6, 2015

Brownie Kedut aka Chewy Goey Brownie

Minggu lepas saya buat Brownie Kedut aka Chewy Goey Brownie. Resepi dapat dari Afzan Mohd di FB. Semoga murah rezeki beliau yang tak lokek berkongsi resepi. Siap pesan lagi dia halalkan kalau orang nak buat berniaga! Ada sesetengah orang tu, dah kongsi resepi kat FB tapi bila orang dok share tak beritahu, dia marah-marah. Tak faham betul. Dah share kat FB, lepas tu set untuk tatapan umum, biasalah orang anggap memang kita betul-betul nak share kan? So tak perlulah nak sentap tak tentu pasal, iye tak? Dia tak tahu berapa banyak pahala dia dapat bila ramai orang yang share dan ramai pulak yang dapat manfaat dari resepi tersebut. 

Ok saya pun nah share resepi Afzan, moga resepi ni jadi amal jariah beliau kelak. InsyaAllah.. Betul kata Afzan, brownie ni tak terlalu cakey dan tak terlalu chewy. Sangat sedap! Bahan pun tak mahal sangat dan berbaloi untuk dicuba. Ok jom kita tengok resepinya..

Brownie Kedut
Brownie Kedut

Bahan 1:
100g butter suhu bilik - buttercup atau sebarang jenis butter lain
100g gula biasa
90g gula perang
2 biji telur - saya guna 3 biji sebab saiz telur kecil

Bahan 2:
40g dark chocolate button Beryl - saya guna Selbourne
Secubit nescafe - saya guna 2 sudu teh kopi pekat sebab kehabisan stock nescafe

Bahan 3:
100g tepung gandum
40g serbuk koko
3g garam - saya tinggalkan garam sebab guna salted butter
** Gaul bahan kering dan ayak
Bahan 4:
90g dark chocolate button

Cara:

  1. Campurkan butter, gula biasa, gula perang. Panaskan dengan api perlahan sampai butter cair. Bila nampak macam ada lapisan minyak, ketepikan dari api.
  2. Gunakan whisk dan kacau seketika hingga suam, dalam 1 minit macam tu. Masukkan telur dan kacau hingga sebati. Adunan akan jadi sedikit likat. Kacau hingga betul-betul sebati.
  3. Kemudian ketika masih suam, masukkan bahan-bahan 2. Kacau hingga coklat cair. Adunan akan jadi likat.
  4. Gunakan spatula. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan kaup balik setiap kali selepas masukkan tepung. Kaup balik hingga adunan jadi licin. Tunggu 5 minit.
  5. Masukkan bahan 4 dan kacau sekali dua sahaja. Tuang dalam adunan 8x8 inci yang dialas kertas pembakar. Bakar selama 25 minit sahaja pada suhu 160 C. Kalau suka boleh tabur nut sebelum bakar. Dah siap boleh keluarkan dari oven dan tunggu sejuk baru potong. 

Brownie ni sedap kalau dipanaskan 20 saat dalam micro wave sebelum dihidangkan. Choc button dalam tu akan cair sedikit. Tapi kalau makan macam tu je pun dah ok.. Kalau nak potong, gunakan pisau yang tajam dan lap bersih pisau sebelum potongan berikutnya. Dengan cara ni akan terhasil potongan yang bersih dan cantik. Tapi untuk makan sendiri ni saya main taram je... anak-anak pun dah tak sabar tunggu... Jadi apa lagi.. cubalah!