Nuffnang Ads

Saturday, November 14, 2015

House Renovation - Part 1


Plan nak renovate rumah Melaka dah lama tersimpan, tapi cuma baru-baru ini Allah permudahkan urusan kami untuk buat pengubahsuaian rumah kami. Ramai yang bertanya: dah nak balik Melaka ke buat renovation ni? Atau, tak duduk lagi buat apa nak renovate bagai. Tak kurang juga yang bising sebab membazir katanya - alasan sama sebab kami tak duduk lagi.

Hmm setiap orang ada perkiraan masing-masing kan? Kami cuma buat congakkan kasar, harga bahan binaan dan upah meningkat saban tahun. Tak rugi rasanya kami buat pengubahsuaian  iaitu penambahan binaan kekal tanpa aksesori dalaman tambahan. Saya hanya tambah dapur berserta table top, buat stor dan laundry area.

Untuk kerja pengubahsuaian ni kami lantik firma adik Izzad, Akar Rustika dari Shah Alam sebagai arkitek dan kontraktor. Senang berurusan dengan orang yang kami kenal dan percaya. Tak mahu lagi kena seperti kes ubahsuai dry kitchen dulu, bayar mahal tapi semua yang kami nak tak dapat! Dahtu satu sen pun tak dikurangkan walau janji nak beri barang berkualiti, tetapi yang kami dapat standard biasa-biasa. Cuma soft locking door system untuk kitchen cabinet yang jadi pengubat hati!


Pelan asal projek ubahsuai - pergola di car porch kami KIV dulu

Perbincangan lapan mata kami buat semasa balik raya haji di rumah MIL pada September lepas, walaupun sebenarnya yang banyak bercakap adalah biras saya selaku MD dan saya sebagai pelanggan. Dua orang adik beradik, suami saya dan adik lelakinya jadi pemerhati dan hanya menyampuk sesekali je. Rekaan mengikut kehendak saya, suami cuma tengok plan dan approved mengikut bajet yang kami peruntukkan. Semuanya mudah sebab kehendak kami biasanya tak banyak beza. Kami mementingkan praktikaliti dan simple. Jadi saya cuma pastikan ikut je 2 perkara tu, pasti akan approve! ;)

Projek ubahsuai kali ini melibatkan penambahan struktur binaan kekal di bahagian belakang rumah bersaiz 26 x 9 kaki. Dapur utama bersaiz 20 x 9 kaki berserta table top konkrit 9 x 7 kaki, stor penyimpanan barang 6 x 3 kaki dan laundry area 6 x 4.5 kaki. Mengikut perancangan asal, satu binaan pergola di depan rumah juga akan dibuat, tetapi bila difikir semula, binaan kayu tersebut boleh aje dibuat kemudian kerana pemasangannya mudah dan tak memakan masa. Cuma binaan kekal di bahagian dapur yang jika dibuat selepas kami pindah akan sedikit mengganggu rutin harian - habuk, bising dan sebagainya.

Jadi pada 05.10.2015 kerja-kerja ubahsuai mula dijalankan. Saya berikan mereka 20.11.2015 sebagai date line untuk menyiapkan dapur saya. Biras saya Naem sentiasa memaklumkan saya tentang progress ubahsuai. Syarat saya cuma satu, bekalkan barang-barang yang berkualiti sebagaimana yang tertakluk dalam perjanjian.


Proses awal penyediaan tapak - kerja ikat besi dengan struktur asal rumah telah selesai


Proses memlaster bahagian luar dan dalam rumah

Dua minggu selepas kerja-kerja dimulakan, dapur saya dah siap 65%. Proses mencari dan menunggu jubin dapur agak memakan masa. Keseluruhan dinding menghadap belakang dan dinding kanan saya pasang jubin dari lantai ke siling. Senang nak bersihkan nanti dan tak perlu nak cat! Teringat Frau Mueller, tukang masak semasa saya tinggal di Schloss Heidelberg untuk persediaan PNDS. Setiap hari selesai menyediakan sarapan pagi untuk kami dia akan bersihkan dan lap semua dinding di dapur. Setiap hari! Kalau ikutkan tak kotor mana pun, tapi dia memang pembersih.