Nuffnang Ads

Tuesday, December 29, 2015

Resepi : Ayam Masak Bali

Lama tak update blog.. cuti sekolah tapi sibuk. Tahun ni anak yang sulung UPSR kan, jadi lepas result keluar dok hantar dia interview sana sini. Setakat ni cuma dapat Sekolah Kawalan je. Kelas Rancangan Khas dan Kelas Kawalan pun dapat juga, tapi kami pilih Sekolah Kawalan. SBP tak berjaya terpilih tapi dah buat e rayuan. MRSM masih belum tahu keputusannya. Saya cuma doa yang terbaik untuk dia, apa yang terbaik untuk dia tu masih rahsia Allah. Frust? Oh tidak.. saya dahulu pun sekolah biasa juga, di kampung dan tak pernah sangka akan berpeluang ke Jerman. Tapi semua tu rezeki Allah kan. Laluan saya tak sama seperti mereka yang lepas SPM terus ke matrikulasi atau A Level, tapi penyudahnya saya tetap bersama mereka. Kena yakin dan mohon selalu kepada Allah.

Ok, kita cerita tentang resepi pulak. Sekitar 1998, saya menerima tetamu 4 orang pelajar perubatan dari Scotland yang melawat rakan mIRC mereka di Konstanz. Ada sekali mereka masak ayam sambal yang sangat sedap, tapi lupa (ke malu) nak minta resepi. Jadi saya kerap mencari dan mencuba resepi ayam sambal tapi tak pernah jumpa yang sama rasanya. Sampailah tadi selepas mencuba resepi Ayam Masak Bali. Ya Allah... rasanya 95% sama! Rasa nak menangis masa makan tengahari tadi.. Jadinya sesi makan tengahari tadi jadi sesi saya mengimbau kenangan di Jerman, berkongsi cerita dengan anak-anak. :) Cuma seingat saya kenalan tersebut menggunakan daun limau purut bagi menggantikan daun kari. Itupun kami cuma dapat bekalan daun limau purut kering di Jerman.

Sebab saya masak untuk 300-400g ayam je, jadi sukatan saya agak-agak je dan saya tambahkan sedikit kentang. Tapi resepi di bawah ni resepi asal dari FB Aisha Shukor.. Tak edit pun, just copy paste dari FB dia je... dan saya lupa nak letak belacan! hehe itulah suka derhaka resepi... Tadi makan dengan lemak pucuk manis (asin-asin) yang saya kutip dari edible garden saya, ulam pegaga juga dari edible garden dan ikan kembung goreng. 

Ayam Masak Bali.

  • 1 ekor ayam dibersihkan n selawat,tos..kunyit garamkan xperlu byk sgt..cukup satu camca kecil garam n kunyit..
  • Panaskan minyak satu cawan..minyak mmg lebih sikit..nti nk guna utk tumis..goreng ayam xperlu garing..nk juicy2..angkat
  • Ok,disebabkan uolls xpnh rasa original nyer,sila ikut resepi ni sebiji2 ya..jgn tanya kenapa byk tu ok..ikut je..jgn degil..hihi..jgn risau..In Sha Allah jadi..sukatan utk seekor ayam..


1)Blend Cili kering segenggam..Bawang besar yg merah ya 6biji (byk bwg br sedap),bwg putih satu labu,halia sikittt je,hujung jari kelingking n belacan besar stgh ibu jari
2) Serai dititik-8btg (ni yg kurus ya..klau serai yg gemuk2 tu cukup 5btg)
3)Daun kari 6tangkai-cuci n tos
4)Kicap tamin (renjis smp dpt warna mcm pic sy atas tu)
5)Gula 3sudu besar (jgn risau manis,sbb nti rasanye akn balance)
6)garam dua camca kecil

  • Minyak ayam td tu,gorengkan serai,sampai separa coklat
  • Masukkan daun kari smp garing (bkn hangus)..api sederhana ya
  • dah dpt warna cantik camtu,baru masuk semua yg dh blend td..tumis smp naik bau n garing
  • Masuk gula,garam n renjiskan kicap dlm 5kali renjis..jgn byk sgt dulu..biar warna merah maroon..
  • Masukkan ayam n masak lagi 10minit
  • Siap..jgn makan terus lps masak..biar la dulu dlm stgh jam..mkn esok lg aduii sedapppnyerr..Selamat Mencuba


Ayam Masak Bali 

Saturday, November 14, 2015

House Renovation - Part 1


Plan nak renovate rumah Melaka dah lama tersimpan, tapi cuma baru-baru ini Allah permudahkan urusan kami untuk buat pengubahsuaian rumah kami. Ramai yang bertanya: dah nak balik Melaka ke buat renovation ni? Atau, tak duduk lagi buat apa nak renovate bagai. Tak kurang juga yang bising sebab membazir katanya - alasan sama sebab kami tak duduk lagi.

Hmm setiap orang ada perkiraan masing-masing kan? Kami cuma buat congakkan kasar, harga bahan binaan dan upah meningkat saban tahun. Tak rugi rasanya kami buat pengubahsuaian  iaitu penambahan binaan kekal tanpa aksesori dalaman tambahan. Saya hanya tambah dapur berserta table top, buat stor dan laundry area.

Untuk kerja pengubahsuaian ni kami lantik firma adik Izzad, Akar Rustika dari Shah Alam sebagai arkitek dan kontraktor. Senang berurusan dengan orang yang kami kenal dan percaya. Tak mahu lagi kena seperti kes ubahsuai dry kitchen dulu, bayar mahal tapi semua yang kami nak tak dapat! Dahtu satu sen pun tak dikurangkan walau janji nak beri barang berkualiti, tetapi yang kami dapat standard biasa-biasa. Cuma soft locking door system untuk kitchen cabinet yang jadi pengubat hati!


Pelan asal projek ubahsuai - pergola di car porch kami KIV dulu

Perbincangan lapan mata kami buat semasa balik raya haji di rumah MIL pada September lepas, walaupun sebenarnya yang banyak bercakap adalah biras saya selaku MD dan saya sebagai pelanggan. Dua orang adik beradik, suami saya dan adik lelakinya jadi pemerhati dan hanya menyampuk sesekali je. Rekaan mengikut kehendak saya, suami cuma tengok plan dan approved mengikut bajet yang kami peruntukkan. Semuanya mudah sebab kehendak kami biasanya tak banyak beza. Kami mementingkan praktikaliti dan simple. Jadi saya cuma pastikan ikut je 2 perkara tu, pasti akan approve! ;)

Projek ubahsuai kali ini melibatkan penambahan struktur binaan kekal di bahagian belakang rumah bersaiz 26 x 9 kaki. Dapur utama bersaiz 20 x 9 kaki berserta table top konkrit 9 x 7 kaki, stor penyimpanan barang 6 x 3 kaki dan laundry area 6 x 4.5 kaki. Mengikut perancangan asal, satu binaan pergola di depan rumah juga akan dibuat, tetapi bila difikir semula, binaan kayu tersebut boleh aje dibuat kemudian kerana pemasangannya mudah dan tak memakan masa. Cuma binaan kekal di bahagian dapur yang jika dibuat selepas kami pindah akan sedikit mengganggu rutin harian - habuk, bising dan sebagainya.

Jadi pada 05.10.2015 kerja-kerja ubahsuai mula dijalankan. Saya berikan mereka 20.11.2015 sebagai date line untuk menyiapkan dapur saya. Biras saya Naem sentiasa memaklumkan saya tentang progress ubahsuai. Syarat saya cuma satu, bekalkan barang-barang yang berkualiti sebagaimana yang tertakluk dalam perjanjian.


Proses awal penyediaan tapak - kerja ikat besi dengan struktur asal rumah telah selesai


Proses memlaster bahagian luar dan dalam rumah

Dua minggu selepas kerja-kerja dimulakan, dapur saya dah siap 65%. Proses mencari dan menunggu jubin dapur agak memakan masa. Keseluruhan dinding menghadap belakang dan dinding kanan saya pasang jubin dari lantai ke siling. Senang nak bersihkan nanti dan tak perlu nak cat! Teringat Frau Mueller, tukang masak semasa saya tinggal di Schloss Heidelberg untuk persediaan PNDS. Setiap hari selesai menyediakan sarapan pagi untuk kami dia akan bersihkan dan lap semua dinding di dapur. Setiap hari! Kalau ikutkan tak kotor mana pun, tapi dia memang pembersih.

Thursday, October 29, 2015

Sketsa di kedai runcit

Beberapa hari lepas saya ke kedai runcit untuk membeli sedikit sayur dan surat khabar. Semasa mengira harga barang yang saya beli, terjadilah dialog berikut..

"Surat khabar ni kakak punya?" Tanya pembantu kedai Acheh merujuk kepada naskhah NST di atas meja.
"A ah." Jawab saya ringkas
"Pandai ek kak baca inggeris."
"Bolehla sikit-sikit."
"Sikit-sikit ye kak? Hmm."

Huhuhu, bila pakai selebet ke kedai, beli NST pun orang tanya boleh baca tak surat khabar tu. Sebab tu ada peribahasa Jerman berbunyi "Kleider machen Leute" yang bermaksud manusia dinilai berdasarkan imej luarannya.

Sebelum ni pun pernah saya ke Tesco, bertshirt lengan panjang, tak berbedak, tanpa handbag sambil mendukung anak lalu di hadapan booth Program Diploma UTM. Bersungguh-sungguh adik di situ memujuk supaya saya mendaftar program mereka.

"Ambil diploma sambil bekerja kak, tak perlu cuti, separuh masa je."
"Takpelah dik, malas dah nak belajar lagi." Jawab saya sambil tersenyum.

Dua tiga hari berikutnya, usai urusan di sebuah agensi dan masih berpakaian ala-ala eksekutif dengan high heel dan handbag, saya lalu di hadapan booth yang sama, tapi kehadiran saya langsung tidak dikejar seperti sebelum itu. See, saya yang bertshirt tanpa make up dianggap tak berpelajaran berbanding saya dengan imej kedua. Saya senyum sendiri dengan ragam dunia.

Di rumah mak mertua pun beberapa kali saya dianggap sebagai maid oleh tetamu yang datang beraya atau ketika kenduri-kendara ketika saya sibuk membantu mengemas. Kejadian yang terbaru semasa raya Aidilfitri tempohari. Seorang saudara jauh mami menegur saya yang baru keluar dari pantry dan menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya yang menunggu giliran untuk mengambil makanan.

"Oh ni pekerja baru ke, dah lama kerja sini."
"Saya? Oh tak, tak, saya menantu mami."
Saudara mami tersenyum kelat dan dapat saya lihat merah mukanya menahan malu. Saya hanya tersenyum dan menyambung kerja di dapur.

Petang tu terjumpa dia di rumah mak saudara mami yang saya panggil Tok Su dan dia datang kepada saya meminta maaf sebab menganggap saya sebagai maid. Saya hanya tersenyum sambil berkata, tak mengapa. Tok Su yang terdengar perbualan kami bertanya, tetapi saya hanya senyum je.. Dan tok Su menambah..

"Nape? Dia kata Dah maid mami ke?" Saya dan Tok Su masing-masing hanya ketawa. Dan saudara jauh mami tu tersenyum simpul malu.

Tok Su selalu marahkan saya bila tolong maid mami buat kerja. Tok Su pernah kerja kat rumah mami masa saya balik bercuti dengan Nina tahun 2003 dulu. Kerja Tok Su cuma tolong-tolong mami siram bunga dan buat kerja luar. Bila turn saya bawa Nina ke rumah Tokmi dia, memang Tok Su la jadi kawan saya berbual, sambil bantu dan teman dia buat kerja.

Kleider machen leute... betullah peribahasa tu ;)



Tuesday, October 6, 2015

Brownie Kedut aka Chewy Goey Brownie

Minggu lepas saya buat Brownie Kedut aka Chewy Goey Brownie. Resepi dapat dari Afzan Mohd di FB. Semoga murah rezeki beliau yang tak lokek berkongsi resepi. Siap pesan lagi dia halalkan kalau orang nak buat berniaga! Ada sesetengah orang tu, dah kongsi resepi kat FB tapi bila orang dok share tak beritahu, dia marah-marah. Tak faham betul. Dah share kat FB, lepas tu set untuk tatapan umum, biasalah orang anggap memang kita betul-betul nak share kan? So tak perlulah nak sentap tak tentu pasal, iye tak? Dia tak tahu berapa banyak pahala dia dapat bila ramai orang yang share dan ramai pulak yang dapat manfaat dari resepi tersebut. 

Ok saya pun nah share resepi Afzan, moga resepi ni jadi amal jariah beliau kelak. InsyaAllah.. Betul kata Afzan, brownie ni tak terlalu cakey dan tak terlalu chewy. Sangat sedap! Bahan pun tak mahal sangat dan berbaloi untuk dicuba. Ok jom kita tengok resepinya..

Brownie Kedut
Brownie Kedut

Bahan 1:
100g butter suhu bilik - buttercup atau sebarang jenis butter lain
100g gula biasa
90g gula perang
2 biji telur - saya guna 3 biji sebab saiz telur kecil

Bahan 2:
40g dark chocolate button Beryl - saya guna Selbourne
Secubit nescafe - saya guna 2 sudu teh kopi pekat sebab kehabisan stock nescafe

Bahan 3:
100g tepung gandum
40g serbuk koko
3g garam - saya tinggalkan garam sebab guna salted butter
** Gaul bahan kering dan ayak
Bahan 4:
90g dark chocolate button

Cara:

  1. Campurkan butter, gula biasa, gula perang. Panaskan dengan api perlahan sampai butter cair. Bila nampak macam ada lapisan minyak, ketepikan dari api.
  2. Gunakan whisk dan kacau seketika hingga suam, dalam 1 minit macam tu. Masukkan telur dan kacau hingga sebati. Adunan akan jadi sedikit likat. Kacau hingga betul-betul sebati.
  3. Kemudian ketika masih suam, masukkan bahan-bahan 2. Kacau hingga coklat cair. Adunan akan jadi likat.
  4. Gunakan spatula. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan kaup balik setiap kali selepas masukkan tepung. Kaup balik hingga adunan jadi licin. Tunggu 5 minit.
  5. Masukkan bahan 4 dan kacau sekali dua sahaja. Tuang dalam adunan 8x8 inci yang dialas kertas pembakar. Bakar selama 25 minit sahaja pada suhu 160 C. Kalau suka boleh tabur nut sebelum bakar. Dah siap boleh keluarkan dari oven dan tunggu sejuk baru potong. 

Brownie ni sedap kalau dipanaskan 20 saat dalam micro wave sebelum dihidangkan. Choc button dalam tu akan cair sedikit. Tapi kalau makan macam tu je pun dah ok.. Kalau nak potong, gunakan pisau yang tajam dan lap bersih pisau sebelum potongan berikutnya. Dengan cara ni akan terhasil potongan yang bersih dan cantik. Tapi untuk makan sendiri ni saya main taram je... anak-anak pun dah tak sabar tunggu... Jadi apa lagi.. cubalah!



Aktiviti to kill the time

Dah dua hari sekolah ditutup sebab jerebu. Anak-anak pun kebosanan sebab tak boleh keluar rumah. Jadi semalam Nina dan Amira cuba buat Chocolate Muffin. Ok saya serahkan dapur kat mereka, duduk jauh-jauh walau dalam hati bergelodak nak datang dekat. Tak boleh datang dekat nanti saya petpotpetpot.. cerewet kan mama diaorang ni ;). So daripada mereka cuak, baiklah saya menjauhkan diri, cuma sebelum mereka mula tu pesan apa nak kena buat, cuci telur bersih-bersih dan pastikan ikut resepi step by step. Mereka guna resepi mana tah, Nina yang google di Internet.

Lepas batch pertama dah masuk oven, Nina datang..
"Ma, dalam resepi ada suruh letak gula, tapi kenapa kat cara buat takde pun letak gula?"
"Abistu Nina letak gula tak?"
"Nina tak letaklah.."
"La.. kalau tak letak, tak manislah, bak resepi tu mama tengok."
Selepas belek.. hmm memang takde step letak gula pun... samada dia yang salah salin, atau....
"Dah yang baki tu pergi sukat dan tambahkan gula."
"Ok ke ma? Tak apa?"
"Tak pe boleh je, tapi lain kali kena hati-hati.."

Cubaan pertama Nina & Mira bakar muffin
So inilah hasilnya Choc Muffin Nina dan Mira. Saya beri markah 6 la dari 10. Rasa agak baik cuma tektur muffin yang tak mencapai kualiti muffin dan rasa soda bikarbonat yang agak kuat. Hasil yang pada saya cukup baik untuk anak-anak berusia 12 dan 10 tahun. Saya dulu umur 16 tahun baru belajar buat kek. Ingat lagi resepi kek span pandan yang mak dapat semasa pergi tengok orang buat demonstrasi buat kek di Bilik GPW kat kampung. Saya ikut resepi tu step by step, tapi 2 kali cubaan saya tak menjadi.. Huwaaa sedihnya. Dahla setiap satu adunan perlukan 10 biji telur. Bahan-bahan yang bukan murah untuk ekonomi keluarga kami waktu tu.

Selepas gagal kali kedua, abah tanya nak buat lagi tak? Saya jawab, tak nak! Abah pujuk supaya jangan putus asa.. tapi saya memang serik. Tak pernah sekali pun saya buat kek sampailah saya belajar di Jerman dan buat kek pertama sempena birthday saya yang ke 23. Pun tak berapa nak menjadi, tapi selepas tu saya banyak beli buku kek, buat ikut resepi. Yang buat lagi bersemangat sebab bahan-bahan untuk buat kek murah di Jerman. Jadinya skill semakin baik dari sehari ke sehari.. Macam-macam kek saya buat. Yang paling kerap Brownie, Apple Cake dan Streussel Cheese Cake. Kalau dessert tu memang Tiramisulah yang jadi pilihan.

Harini mereka merengek nak buat Chewy Goey Brownie aka Brownie Kedut pulak. Jadi dapur diserahkan sekali lagi kepada mereka. Saya ok je asalkan mereka pandai kemas selepas buat kerja. Dan wow! Mereka memang kemaskan dapur seperti keadaan asal.. Suka, suka, suka :)

Ninamira ChewyGoeyBrownie

Saya minta diaorang derhaka pada resepi, guna separuh dark chocolate dan separuh milk chocolate. Hasilnya, kalau ikut resepi asal lagi sedap. Bila guna milk chocolate, hmm tekstur dia rapuh sikit dan rasa agak milky. Ok yang ni saya beri 9/10. Lulus dengan baik! Nak tahu apa komen Kimi si drama king tu?

"Ermmm kek yang tersedap di alam semesta ini"

Hahaha mau tak menyengih panjang si kakak-kakak dengar pujian Kimi. Sekejap je dah abis satu loyang. Misi lepas ni nak ajar mereka buat puding roti pulak. Puding roti ni favourite Amira. Hujung minggu ni kot boleh buat...



Tuesday, September 15, 2015

Top 100 RHB-NST National Spell It Right - State Challenge, Galleria Kotaraya, JB

Pada 4 September 2015, Nurina terpilih sebagai salah seorang peserta Top 100 RHB-NST National Spell It Right - State Challenge yang diadakan di Galleria Kotaraya, Johor Bahru.

Pada pusingan Preliminery di UTM Skudai yang diadakan pada 10 April lepas Amira turut serta, tetapi tidak terpilih ke pertandingan peringkat negeri. Nurina dan 3 rakan lain dari SK Taman Rinting 3 (Nursyafiqah, Irfan Isqandar, Farid Hakimi) membawa cabaran untuk bersaing dengan peserta lain dari seluruh Johor.



Nurina tewas di pusingan akhir kalah mati (sudden death) untuk pemenang kumpulan kepada penyandang juara tahun lepas yang juga juara tahun 2015. Tak mengapa, job well done dear. I'm so proud of you!

Peserta kelima, Group 1


1 to 1 sudden death


Preliminary pada April 2015 di UTM Skudai: Nurina 3 dari kiri, Amira 5 dari kiri

Friday, June 12, 2015

Banana muffins with choc chips and honey-cinnamon walnut

Mak aii dah bersawang blog ni. Lama betul tak update.. Alasan? Hahaha sibuk kot.. tak sempat.. tak ada idea :) Ok alang-alang dah update ni, apa kata kita tengok resepi muffin pisang ni. Mudah dah sedap!


Banana muffins with choc chips and honey-cinnamon walnut

Banana muffins with choc chips and honey-cinnamon walnut


Bahan:   untuk 12 cups muffin
1 ½ cawan tepung
1 st soda bikarbonat
1 st baking powder
¼ st garam
¾ cawan gula castor (saya kurangkan satu sudu besar gula castor, tambahkan 1 sudu besar gula perang)
1 st esen vanilla
3 biji pisang di lecek
1 biji telur
1/3 cawan mentega cair (saya gantikan dengan minyak jagung)
Walnut – dicincang, gaul dengan 1 sudu besar madu dan ½ sudu teh serbuk kayu manis
Choc chips

Cara:
  1. Ayak tepung, baking powder, soda bikarbonat. Masukkan garam, gula dan gaulkan sebati bahan kering.
  2. Pukul telur dengan whisk. Masukkan pisang lecek, vanilla dan minyak, gaul sebati.
  3. Tuangkan bahan kering ke dalam bahan cair dan gaul sebati dengan senduk. Jangan terlebih gaul!
  4. Sudukan adunan ke dalam paper cup ¾ penuh atau lebih sedikit kalau nak dapatkan muffin yang naik gebu.
  5. Taburkan choc chips dan walnut
  6. Bakar dengan suhu 175 C selama 25 minit. Angkat dan biarkan sebentar sebelum disejukkan