Nuffnang Ads

Showing posts with label kids. Show all posts
Showing posts with label kids. Show all posts

Sunday, March 20, 2016

Mykid untuk anak lahir di luar negara

Memandangkan dua anak saya , Nurina dan Amira dilahirkan di Jerman, jadi mereka tiada Mykid. Semua urusan pendaftaran selama ini terpaksa dilakukan dengan nombor sijil lahir sahaja. Setiap tahun, soalan yang sama akan diajukan guru kelas.. ,"awak tak ada nombor mykid? Eh macam mana boleh tak ada nombor mykid?" Jadi panjanglah anak-anak saya perlu jelaskan kepada guru masing-masing.

Dua tahun selepas pulang ke Malaysia, saya ada ke JPN Alor Gajah untuk bertanya tentang situasi anak saya, samada perlu buat Mykid atau tidak. Pegawai yang bertugas kata tak perlu dan tak boleh buat. Saya perlu tunggu hingga anak berusia 12 tahun.

Tahun lepas kami perlu buka akaun Tabung Haji untuk Nurina sebagai syarat untuk mengikuti Kem UPSR anjuran Berita Harian dan Tabung Haji di MRSM Pontian. Malangnya kami diberitahu sistem Tabung Haji hanya menerima nombor pengenalan diri dalam bentuk no Mykad/Mykid. Tarikh lahir Nurina pula seminggu sebelum tarikh tutup pendaftaran - masa agak suntuk. Tepat 14 Mei kami ke JPN untuk buat Mykad Nurina, tapi malangnya kami dimaklumkan nama Nurina masih belum diupdate ke dalam sistem database JPN dan permohonan perlu JPN majukan kepada pihak kedutaan untuk proses kemaskini data. Adoi.. dahla kami memang perlukan nombor kad pengenalan tu. Nak buat macam mana, tunggu ajelah. Seminggu jugalah kami tunggu panggilan telefon dari JPN. Dapat je panggilan JPN, malam tu terus ke UTC JB untuk buat Mykad. Nasib baik ada UTC, malam pun boleh buat urusan kerajaan.  Hanya selepas itu baru dapat buka akaun Tabung Haji.

Atas alasan tak mahu Amira pun mengalami nasib yang sama, jadi semasa proses membuat Mykad Nurina, saya ajukan lagi soalan yang sama kepada pegawai bertugas di UTC JB - Mykid untuk Amira. Jawapan yang sama juga saya dapat - tunggu hingga berumur 12 tahun.

Selepas keputusan UPSR keluar, Nurina menghadapi masalah untuk mohon ke Sekolah Kawalan kerana data APDM tidak tally dengan data JPN : di APDM Nurina masih guna nombor sijil lahir sebagai dokumen pengenalan diri tetapi di JPN dah ada nombor Mykad. Puas cikgu dan pegawai di PPD Pasir Gudang berusaha untuk mendaftarkan nama Nurina, tetapi masih gagal. Seminggu masalah tak selesai. Akhirnya saya ambil inisiatif menulis sendiri email ke admin APDM di Putrajaya, alhamdulillah mereka update data Nurina di APDM dan namanya berjaya didaftarkan.

Ekoran masalah dan kesulitan tersebut, saya nekad sekali lagi ke JPN Cawangan UTC JB untuk bertanya lagi tentang Mykid Amira. Kali ini dengan 2 pegawai lain dan 2 jawapan yang berbeza. Pegawai pertama kata tak boleh dan kami disuruh tunggu sehingga Amira berumur 12 tahun, manakala pegawai kedua pula kata boleh buat tetapi hanya di JPN Negeri di Setia Tropika. Pelik bila ada 2 jawapan berbeza. Saranan mana yang kami ikut? Sudah tentu saranan pegawai kedua sebab memang itu yang kami mahukan! 

Susulan daripada itu, maka hari ini saya dan Izzad ke JPN Negeri Johor untuk membuat permohonan Mykid untuk Amira. Malam sebelumnya saya dah siapkan semua dokuman berkaitan: borang permohonan, Borang W - sijil akuan lahir di luar negara dan sijil lahir asal yang dikeluarkan pihak berkuasa Jerman.

Jadi berjaya atau tidak permohonan saya? Jawpannya: Permohonan berjaya! Prosesnya sangat mudah. Ambil nombor untuk pendaftaran kewarganegaraan dan bila nombor dipanggil, kemukakan aje borang permohonan di kaunter. Mudah dan cepat! Pegawai yang bertugas di kaunter terangkan, asalkan anak tersebut dah tinggal menetap di Malaysia dan tiada komitmen di luar negara lagi, boleh mohon Mykid jika anak belum berumur 12 tahun. Dengan Mykid mereka dah ada nombor kad pengenalan sesiap dan semua urusan pendaftaran di sekolah akan jadi lebih mudah.

Masih tertanya-tanya kenapa 3 pegawai JPN sebelum ini berikan kami maklumat yang salah... Samada mereka memang tak tahu atau?? Hmmm.. Apapun lega sebab Amira dah ada nombor kad pengenalan. Mudahlah urusan pendaftaran untuk UPKK tahun ini dan UPSR serta SDEA tahun hadapan.

Jadi untuk anda yang ada anak lahir di luar negara, bila balik ke Malaysia dan anak-anak belum berumur 12 tahun, pergi ke JPN Negeri dan buat permohonan untuk mendapatkan Mykid untuk mereka. Tanpa nombor kad pengenalan, anak-anak anda mungkin bakal mengalami masalah seperti yang saya terangkan di atas. Masalah remeh je pun, tapi kalau boleh dielakkan, elok kita elakkan.

Sunday, February 21, 2016

Visiting Nurina at MRSM JB

Hari ni genap seminggu Nina mendaftarkan diri di MRSM Johor Bahru. Poor Nina! Dia taknak pergi sebenarnya dan saya pun lebih suka kalau dia kekal di SMK Dato Penggawa Timur, tapi Izzad tetap mahu Nina ke MRSM. Seharian dia menangis lepas dapat keputusan MRSM, merajuk dengan papa! Lagipun Nina dah serasi di SMK Dato Penggawa tu. My poor baby!

Hari jummat tempohari, first visit ke MRSM. Hmm Nina seems happy there, alhamdulillah. Adik-adik pun macam dah bertahun tak jumpa kakak, semua berebut nak duduk dekat-dekat kakak dan berebut-rebut nak bercakap dengan kakak. Jadi mama dan papa beri laluan kepada 4 beradik tu melepas rindu dengan cara mereka - berbual, berborak, bertukar cerita.

Hati ibu ni libang libu lagi: happy sebab tengok dia ok.. sedih bila kenangkan my first child is now away from home :'( . Rindu nak dengar dia bercerita dalam kereta semasa hantar dan ambil dia dari sekolah. Takde dah peneman saya bila layan movie di Diva. Takde peneman bila saya masak pagi-pagi sebelum dia ke sekolah. Takde dah hectic morning every monday bila semua anak-anak ke sekolah waktu pagi dengan 2 kereta bergerak ke 2 arah yang berlainan. Nina dan saya ke Penggawa, anak-anak yang lain dengan Izzad ke Rinting.

Nina dengan adik-adik, MRSM JB Feb 2016
Sabtu dapat bawa dia balik outing sekejap. Dari pukul 2.30-5.30. Jadilah sekejap je dapat bersama dia. Kami lunch lewat sebab nak tunggu Nina. Dia pun sengaja tak pergi makan tengahari tu ".. Nina nak makan sama-sama family kat rumah.." Owh.. sayunya hati dengar. Tabahla duhai hati.. tapi biasalah mama dia yang kememeh ni kan... tabahla sangat ;)

Ok, MRSM JB ni merupakan salah sebuah MRSM Cambridge-IGCSE (Cambridge International General Certificate of Secondary Education). Jadi mereka akan belajar subjek untuk KPM dan IGCSE sekaligus. Untuk IGCSE akan ada peperiksaan Checkpoint IGCSE di tingkatan 2 dan IGCSE di tingkatan 4. Untuk KPM, seperti sekolah biasa yang lain, PT3 di tingkatan 3 dan SPM di tingkatan 5. Memandangkan mereka akan menduduki IGCSE di tingkatan 4, jadi semua silibus KPM akan dihabiskan semasa di tingkatan 4. Memang beban yang agak berat untuk mereka. Bagaimana dengan Nina? InsyaAllah.. she's a strong-minded, independent young lady and I'm sure, she'll be fine.

I'm gonna miss her dearly..

Tuesday, October 6, 2015

Aktiviti to kill the time

Dah dua hari sekolah ditutup sebab jerebu. Anak-anak pun kebosanan sebab tak boleh keluar rumah. Jadi semalam Nina dan Amira cuba buat Chocolate Muffin. Ok saya serahkan dapur kat mereka, duduk jauh-jauh walau dalam hati bergelodak nak datang dekat. Tak boleh datang dekat nanti saya petpotpetpot.. cerewet kan mama diaorang ni ;). So daripada mereka cuak, baiklah saya menjauhkan diri, cuma sebelum mereka mula tu pesan apa nak kena buat, cuci telur bersih-bersih dan pastikan ikut resepi step by step. Mereka guna resepi mana tah, Nina yang google di Internet.

Lepas batch pertama dah masuk oven, Nina datang..
"Ma, dalam resepi ada suruh letak gula, tapi kenapa kat cara buat takde pun letak gula?"
"Abistu Nina letak gula tak?"
"Nina tak letaklah.."
"La.. kalau tak letak, tak manislah, bak resepi tu mama tengok."
Selepas belek.. hmm memang takde step letak gula pun... samada dia yang salah salin, atau....
"Dah yang baki tu pergi sukat dan tambahkan gula."
"Ok ke ma? Tak apa?"
"Tak pe boleh je, tapi lain kali kena hati-hati.."

Cubaan pertama Nina & Mira bakar muffin
So inilah hasilnya Choc Muffin Nina dan Mira. Saya beri markah 6 la dari 10. Rasa agak baik cuma tektur muffin yang tak mencapai kualiti muffin dan rasa soda bikarbonat yang agak kuat. Hasil yang pada saya cukup baik untuk anak-anak berusia 12 dan 10 tahun. Saya dulu umur 16 tahun baru belajar buat kek. Ingat lagi resepi kek span pandan yang mak dapat semasa pergi tengok orang buat demonstrasi buat kek di Bilik GPW kat kampung. Saya ikut resepi tu step by step, tapi 2 kali cubaan saya tak menjadi.. Huwaaa sedihnya. Dahla setiap satu adunan perlukan 10 biji telur. Bahan-bahan yang bukan murah untuk ekonomi keluarga kami waktu tu.

Selepas gagal kali kedua, abah tanya nak buat lagi tak? Saya jawab, tak nak! Abah pujuk supaya jangan putus asa.. tapi saya memang serik. Tak pernah sekali pun saya buat kek sampailah saya belajar di Jerman dan buat kek pertama sempena birthday saya yang ke 23. Pun tak berapa nak menjadi, tapi selepas tu saya banyak beli buku kek, buat ikut resepi. Yang buat lagi bersemangat sebab bahan-bahan untuk buat kek murah di Jerman. Jadinya skill semakin baik dari sehari ke sehari.. Macam-macam kek saya buat. Yang paling kerap Brownie, Apple Cake dan Streussel Cheese Cake. Kalau dessert tu memang Tiramisulah yang jadi pilihan.

Harini mereka merengek nak buat Chewy Goey Brownie aka Brownie Kedut pulak. Jadi dapur diserahkan sekali lagi kepada mereka. Saya ok je asalkan mereka pandai kemas selepas buat kerja. Dan wow! Mereka memang kemaskan dapur seperti keadaan asal.. Suka, suka, suka :)

Ninamira ChewyGoeyBrownie

Saya minta diaorang derhaka pada resepi, guna separuh dark chocolate dan separuh milk chocolate. Hasilnya, kalau ikut resepi asal lagi sedap. Bila guna milk chocolate, hmm tekstur dia rapuh sikit dan rasa agak milky. Ok yang ni saya beri 9/10. Lulus dengan baik! Nak tahu apa komen Kimi si drama king tu?

"Ermmm kek yang tersedap di alam semesta ini"

Hahaha mau tak menyengih panjang si kakak-kakak dengar pujian Kimi. Sekejap je dah abis satu loyang. Misi lepas ni nak ajar mereka buat puding roti pulak. Puding roti ni favourite Amira. Hujung minggu ni kot boleh buat...



Tuesday, September 15, 2015

Top 100 RHB-NST National Spell It Right - State Challenge, Galleria Kotaraya, JB

Pada 4 September 2015, Nurina terpilih sebagai salah seorang peserta Top 100 RHB-NST National Spell It Right - State Challenge yang diadakan di Galleria Kotaraya, Johor Bahru.

Pada pusingan Preliminery di UTM Skudai yang diadakan pada 10 April lepas Amira turut serta, tetapi tidak terpilih ke pertandingan peringkat negeri. Nurina dan 3 rakan lain dari SK Taman Rinting 3 (Nursyafiqah, Irfan Isqandar, Farid Hakimi) membawa cabaran untuk bersaing dengan peserta lain dari seluruh Johor.



Nurina tewas di pusingan akhir kalah mati (sudden death) untuk pemenang kumpulan kepada penyandang juara tahun lepas yang juga juara tahun 2015. Tak mengapa, job well done dear. I'm so proud of you!

Peserta kelima, Group 1


1 to 1 sudden death


Preliminary pada April 2015 di UTM Skudai: Nurina 3 dari kiri, Amira 5 dari kiri

Friday, September 26, 2014

Kerusi Keselamatan Kanak-kanak (Child's car seat)


Baru-baru ni terbaca artikel yang dipautkan ke FB oleh seorang rakan mengenai kerusi keselamatan kanak-kanak. Artikel yang disiarkan di Paultan.org amat menarik dan patut diberi perhatian oleh ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil.

Malaysians need to start putting their children in child car seats when travelling in their cars


Menetap di Jerman sewaktu mempunyai anak kecil, kami terbiasa dengan undang-undang di sana yang mewajibkan kanak-kanak diletakkan di dalam kerusi keselamatan sewaktu menaiki kereta. Car seat merupakan antara barang keperluan bayi yang saya beli sebelum kelahiran Nurina dulu. Beli di Ebay sahaja dengan harga EUR57 untuk Maxi Cosi Citi. Barang baru, bukan terpakai. Mungkin penjual mendapat banyak hadiah yang sama semasa kelahiran anak, dan akhirnya menjual kembali dengan harga murah.


Nurina di dalam Maxi Cosi Citi 0-13kg

Maxi Cosi ni saya gunakan daripada Nurina hingga anak yang bongsu Fahmi, dan sekarang saya turunkan kepada anak adik yang kecil. 

Berbalik kepada kerusi keselamatan, saya setuju dengan pandangan penulis di Paultan. Pihak berkuasa di Malaysia seharusnya mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan untuk penumpang cilik. Kajian menunjukkan, apabila kita melakukan brek kecemasan sewaktu memandu dengan kelajuan kereta hanya 30km/h pun boleh menyebabkan kecederaan yang serius. Cuba bayangkan apa yang boleh berlaku ke atas kanak-kanak ini di dalam kereta jika mereka dibiarkan tanpa kawalan keselamatan yang sepatutnya?

Sebilangan ibu bapa yang mempunyai MPV kadangkala bangga memuatnaik gambar anak-anak mereka bergelimpangan di bahagian belakang, kononnya untuk menunjukkan betapa luasnya MPV mereka. Mereka sebenarnya berfikiran singkat. Sayang anak tapi tak bertempat. Bayi dan kanak-kanak perlu diletakkan di dalam kerusi keselamatan yang sesuai dengan usia mereka sewaktu menaiki kenderaan.

Kedudukan bayi dan kanak-kanak kecil di dalam kereta - gambar dari internet

Kerusi keselamatan untuk kanak-kanak - gambar dari internet

Anak-anak saya memang wajib duduk di car seat sejak lahir lagi. Biasanya dari usia bayi hingga 12++ bulan memang tak ada sebarang masalah. Kadang-kadang mereka tidur sepanjang perjalanan dari Johor ke Terengganu yang mengambil masa antara 8-10 jam bergantung kepada keadaan trafik dan juga masa rehat. Tips: Biarkan anak penat bermain sebelum bertolak, bila penat mereka akan cepat lelap di dalam kereta. Kadang-kadang tak sampai 10 minit bertolak, mereka dah tertidur ;). Pada usia 13-16 bulan, akan ada fasa memberontak, di mana mereka akan menangis dan menolak bila diletakkan di dalam car seat. Ataupun mereka akan bosan dan akhirnya merengek dan menangis. Cuba alihkan perhatian mereka dengan mainan and the worst what we did - lekakan mereka dengan DVD Player di dalam kereta ;). Dan sebagai ibu bapa, kita kena tegas dan jangan mengalah dengan tangisan anak. Orang kata kena hati kering sedikit. Bila kita tegas, mereka akan tahu, menangis macam manapun, kita tak akan mengalah dan mereka akan faham dan menurut akhirnya.

Anak-anak saya pun tak terlepas dari fasa tersebut. Apa yang kami buat? Kekal dengan rules - tak mengalah dan angkat anak-anak dari car seat. Pernah sekali Amira menangis dari rumah mak ke Melaka. Perjalanan selama 1 jam 15 minit disulami dengan raungan dan jeritan Amira. Saya keraskan hati walaupun Allah je yang tahu sedihnya tengok dia menangis. Dan itulah satu-satunya episod dia menolak untuk diletakkan di car seat. Selepas tu menangis sekejap-sekejap dan boleh dipujuk. Fahmi pula ada dua kejadian dia menangis tak mahu duduk di dalam car seat sewaktu saya memandu sendiri dari Kuantan ke Muar. Sepanjang perjalanan dari Pekan ke Muadzam Shah dia tak berhenti menangis. Saya abaikan tangisan dia sebab tiada tempat sesuai untuk berhenti dan saya perlu fokus kepada pemanduan - bawa 4 orang anak tu di belakang. Kejadian berikutnya sewaktu perjalana dari Muar ke Pasir Gudang, dia tak berhenti menangis dari Machap sampai ke rumah sehingga Nurina dan Amira kehabisan modal nak entertain adik mereka. Kata kuncinya di sini, jangan mengalah dengan anak-anak dan kena bersedia untuk pekakkan telinga untuk sekali dua. Pasangan pun kena beri kerjasama juga sebab tanpa kerjasama pasangan, memang tak berhasillah.

Amira dengan Graco CarGo, Nurina dengan Graco Tri Logic, Fahmi di dalam Roemer King, Hakimi di belakang di dalam Sweet Cherry

Untuk jenama pula, beli yang mampu milik. Jenama luar negara memang agak mahal, tapi menang memakai. Saya hanya beli kerusi keselamatan bayi Maxi Cosi sekali sahaja untuk kegunaan anak-anak saya seramai 4 orang. Kerusi stage 2, Roemer King pun dipakai oleh Nurina, Amira, Hakimi dan Fahmi. Kerusi Stage 3 - Graco CarGo, sekarang ni Fahmi yang pakai. Untuk stage 4  bagi usia 8 - 12 tahun, kami belikan Nurina dan Amira Graco Tri Logic. Semuanya samada kami beli yang terpakai di Internet atau semasa jualan murah di butik kanak-kanak. Sekali modal RM300 - RM400 bagi kerusi jenama luar negara untuk kegunaan 4 orang anak dalam tempoh 10 tahun, rasanya pelaburan yang berbaloi.

Graco Car Go


Graco Tri Logic Pedic


Roemer King

Friday, November 15, 2013

Cuti hujung minggu di Johor tukar ke Jumaat dan Sabtu?

Dua, tiga hari kebelakangan ni agak hangat juga diperkatakan tentang berita bahawa Johor akan menukar cuti hujung minggu kepada Jumaat dan Sabtu. Betul ke? Hmm kalau tak silap, Johor telah menukar cuti hujung minggu dari Jumaat/Sabtu kepada Sabtu/Ahad bermula Januari 1990. Saya masih bersekolah menenengah lagi waktu tu. Mula-mula tu macam pelik je, tapi lama-lama, sebulan dua jadi normal je. Berbalik kepada cakap-cakap tersebut, macam mana ye? Kalau pertukaran cuti hujung minggu ni menyeluruh, maksudnya tidak kira swasta atau kerajaan terlibat, oklah kot.. tapi kalau cuma kerajaan je, mungkin ada yang lompang sana sini nanti. Apa-apa pun kita tunggu pengumuman Kerajaan Negeri Johor... Cuti Jumaat ke, Sabtu ke, Ahad ke... yang penting masih diberi cuti.. ;) 

Hari ini merupakan hari terakhir penggal persekolahan bagi tahun 2013. Jadi semalam telah diadakan Hari Anugerah Juara SKTR 3 untuk meraikan anak-anak yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan juga pentaksiran tahun 2013. Alhamdulillah Nurina dan Amira masih mengekalkan prestasi yang baik dalam peperiksaan dan pentaksiran masing-masing. Di sekolah agama pun kedudukan mereka kekal dengan peningkatan peratus yang sangat baik. Alhamdulillah. 


Foto: Die Schwestern bei "Hari Anugerah Juara SKTR 3 Taman Rinting" ;)
Nurina dan Amira di Hari Anugerah Juara SKTR 3, Taman Rinting

Untuk Nurina, bermula tahun depan saya akan mulakan jadual belajar. Tahun depan dia dah darjah 5, jadi perlu diperkenalkan dengan cara belajar yang lebih bersistem. Bersistem, bukan beban! Saya masih percaya dengan kaedah "anak-anak perlu dilatih bahawa belajar itu sesuatu yang menyeronokkan". Tuition for kids is a big NO to me! Benarkan mereka bebas bermain di luar - bukan games atau gadjet. Sentiasa pantau kerja sekolah mereka dan bantu mana yang perlu - bantu, bukan buatkan kerja sekolah mereka. Juga pastikan anak-anak tak ponteng sekolah. Alhamdulillah anak-anak memang tahu dan ikut peraturan saya, semua kerja sekolah perlu disiapkan sebelum maghrib. Adalah sekali dua mereka tersasar, dan biasanya saya akan pandang sebelah mata aje. Selepas maghrib dan makan malam, mereka boleh rehat sebelum masuk tidur pukul 10.00 malam. Tidur yang cukup (7-8 jam) amat penting supaya anak-anak tak letih dan boleh fokus di dalam kelas pada keesokan harinya.

Monday, July 1, 2013

D untuk Bahasa Melayu :O

Pagi sabtu kami ke hari terbuka SKTR 3 bagi menandatangani Buku Rekod persekolahan anak-anak. Mula-mula ke kelas Amira. Keputusan yang kami dapat adalah keputusan KSSR tahun lepas!! Kami keliru, hilang kata-kata. Apa perlunya membincangkan keputusan tahun 2012 pada pertengahan tahun 2013?? Secara keseluruhannya Amira mencapai Band 4 dan Band 5 kecuali untuk matapelajaran DST (Dunia Sains dan Teknologi) hanya mencapai Band 2. Alasannya, memang itu Band tertinggi yang mampu dicapai oleh pelajar kerana kekangan masa (silibus banyak tetapi hanya diperuntukkan 1 masa berganda setiap minggu). DST hanya sekali seminggu? Ya, tak tipu.. saya pun pelik semasa menyemak jadual persekolahan Amira tahun lepas, tetapi memang itu arahan Kementerian Pelajaran. Macam mana nak perkasakan sains? Hmmm siapalah yang merangka jadual di KPM agaknya.

Banyak yang nak ditanya kepada guru kelas Amira tetapi kami kesuntukan waktu sebab perlu ke kelas Nurina dan ke Sekolah Agama pula untuk menghadiri mesyuarat PIBG dan majlis penyampaian hadiah Amira. Satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah pemahaman Bahasa Inggeris dan cikgu minta supaya Amira kuatkan suara bila membaca di dalam kelas! :)

Di kelas Nurina kami dihidangkan dengan kejutan dari guru kelas. "Alhamdulillah ada penambahbaikkan dari Gagal (D) dalam Bahasa Melayu 2 (Pemahaman) pada ujian setara bulan Mac kepada Sangat Baik (A) kali ini". Saya ingatkan saya salah dengar dan mata pun salah tengok.. Blurr sekejap... GAGAL Bahasa Melayu 2?? Macam mana boleh sampai gagal? Markah pula hanya 35%. Nak kata pelajaran merosot, tidak juga, sebab mata pelajaran lain (teras dan tambahan) semuanya masih Sangat Baik (A, A+) dan dia dapat keputusan 4A1D.

Tak kiralah walaupun ia keputusan bulan Mac dan untuk bulan Mei dia kembali kepada prestasi asal. Bagi saya dan suami, ini sebagai tanda yang dia tak stabil. Tetapi kenapa? Kalau sekadar penurunan ke B atau C, bagi saya masih boleh difahami. Tetapi dari A ke D, seakan dia mengalami black out! Masa untuk kembali duduk bercerita dengan Nurina semula. Perlu menyelami hati dia semula.. tanya masalah dia... Saya akui, kebelakangan ni memang kami kurang berpeluang duduk berdua, bercerita macam dahulu. Masa sangat terbatas dengan aktiviti hariannya yang penuh. Dan saya perlu gunakan masa yang ada sebaiknya, insyaAllah kami akan perbaiki kelemahan yang ada.

Banyak perkara perlu saya atur semula. Ada ruang yang perlu dibaiki. 

Thursday, March 21, 2013

Kutu @Louse @Laeuse

Anak-anak perempuan saya yang dua orang tu diserang kutu. Ini bukan main kutu ya... ini kutu parasit yang dok menginap di hotel 5 star kat atas kepala tu. Allah, saya memang paling tak suka kalau mereka kena kutu ni. Tak senang duduk selagi kutu-kutu tu tak hilang. Ini kali ke 4 mereka dijangkiti kutu. Kali terakhir kena kutu selepas bercuti di kampung bulan November lepas. Rasanya semua orang tahu kutu tu apa kan? Dan mungkin juga masa kecik-kecik dulu pernah kena serang kutu. Saya tak terkecuali dan bertahun jugak kutu jadi teman saya dan adik. Kenapa tak hilang?? Hmmm tu kena tanya mak sayalah ;)

Kutu; english louse (plural-lice), german laus (plural laeuse)

Kutu dewasa. Gambar dari www.joeyliu.com


Kutu dewasa dan telur kutu. Gambar dari licehappens.com
Isk.. bila bercakap tentang kutu, kepala tetiba pulak rasa gatal-gatal :(. Jadi semalam saya cuci kepala Amira dengan syampu Anti-Lices yang ada dalam simpanan - elok ada stock syampu ni kalau kat rumah ada anak-anak kecil. Kutu ni senang berjangkit dan kalau dah terkena, mudah nak uruskan dengan syampu ni. Syampu ni boleh dibeli di farmasi tanpa priskripsi doktor.

Mula-mula basahkan kepala, ratakan pada rambut dan biarkan 10 minit, lepas tu bilas. Syampu semula rambut dengan syampu biasa, bilas dan keringkan rambut. Lepas tu saya terus cari telur-telur kutu di kepala Amira. Sejam jugalah saya mengadap kepala Amira. Banyak betul telur-telur kutu tapi seekor kutu pun saya tak jumpa dan kulit kepala dia tak ada pulak yang luka bekas gigitan kutu. Jadi saya rasa, mungkin dia dapat dari sepupu dia masa balik kampung sebelum mak pergi umrah 2 minggu lepas. Kutu memerlukan masa 8 - 12 hari untuk menetas jadi tak sempat menetas lagilah tu. Kalau semua telur-telur kutu tu sempat menetas, haru jadinya! Selepas mereka balik dari tahfiz, giliran Nina pula untuk dicarikan kutu. Tak banyak telur kutu yang saya jumpa. Hmm hari ni lepas mereka balik sekolah, kena cari lagi dan pastikan semua telur-telur kutu habis ditarik keluar.

Ni shampoo yang saya gunakan untuk buang kutu kepala mereka. Beli kat farmasi je
Kebetulan awal minggu ni ada keluar artikel tentang kutu ni di sisipan kesihatan Utusan Malaysia. Macam tahu-tahu je anak-anak saya kena kutu... :). Boleh baca tentang "kutu ganggu psikologi" di sini..


Sunday, November 4, 2012

Kelas renang di Permas Jaya Sport Centre

Akhirnya berjaya juga mendaftarkan Nina dan Amira ke kelas renang pada musim cuti sekolah yang akan datang, setelah hasrat tersebut tertangguh selama 2 tahun! Pada cuti sekolah tahun 2010 tak jadi sebab mereka 4 beradik kena chicken pox semasa cuti sekolah hujung tahun tu. Rancangannya nak ke kelas renang dengan anak-anak jiran saya E-Ling (Wo Bing dan Shi Nie) juga Vishen anak Murali dan Suzy. Sebab anak-anak saya kena chicken pox, terpaksalah batalkan janji dengan mereka. Cuti tahun 2011 pulak kena HFMD. Alhamdulillah tahun ni semua ok, jadi boleh teruskan plan yang tertangguh. Semalam dah pergi daftarkan mereka. Kos untuk setiap orang sebanyak RM240 bagi 16 kali sesi latihan renang.

Kelas renang mereka akan bermula pada 12 November sebanyak 3 kali seminggu. Ikutkan nak buat setiap hari pun boleh. Tapi untuk beginner macam Nina dan Amira, 3 kali seminggu pun dah cukup rasanya. Semalam pun dah jumpa Coach Jimmy yang sangat baik. Kali pertama jumpa pun saya rasa selesa dan harap Nina dan Amira dapat belajar dengan baik. Lepas ni boleh kot kalau saya pulak yang belajar berenang ;)

Friday, November 2, 2012

Mendidik anak bercakap

Mengajar budak untuk bertutur dengan sempurna memang memerlukan kesabaran yang tinggi kan? Sejak kecil saya memang tak pernah bercakap dengan anak-anak menggunakan bahasa bayi. Contohnya mamam (makan), alan (jalan), anje (manja) dan lain-lain lagi. Satu kajian saintifik atas perkembangan pertuturan bayi menunjukkan bahawa bayi yang sering didedahkan dengan bahasa bayi, lebih berisiko untuk membesar sebagai kanak-kanak yang pelat.

Alhamdulillah Amira dan Nina tidak pelat sejak kecil, cuma mengambil masa untuk menyebut sukukata yang sukar seperti ny dan ng. Jadi ada satu fasa di mana Nina menyebut monget (monyet) dan bungi (bunyi). Ini mengingatkan saya kepada rakan baik semasa belajar di Jerman, Juvita yang memang tak boleh menyebut suku kata ny. Rindu kenangan saya dan Faridah mengusik dan memerangkap Juvita supaya dia menyebut perkataan nyanyi, bunyi, monyet... :) Amira pula memang jelas pertuturannya sejak belum berusia 2 tahun lagi. Hakimi, sekarang berusia 4 tahun dan saya masih berjuang untuk membetulkan pertuturannya. Kadang-kadang ok, tapi ada kalanya ke laut! Contohnya untuk suku kata ny dan ng. Ada perkataan yang sempurna dibunyikan seperti bunyi dan monyet, tapi tengok jadi tenok pula.

Susun atur ayat pun hampir 99% sempurna, cuma untuk untuk sesetengah ayat pertanyaan seperti, "mama, bila kita nak sampai ni?" atau "mama, kita dah nak sampai ke?" akan bertukar jadi "mama, bila kita nak dah sampai?" dan "mama, kita nak dah sampai ke?". Dulu pun stokin akan jadi toskin. Sekarang dengan bangga dia akan cakap: "Mama, tenok, tenok, Kimi dah pandai cakap... sto-kin. Pandai kan Kimi?" Hahaha betul kat satu tempat, yang setempat lagi masih tak boleh nak tune. Sampaikan Izzad cakap, "Kimi ni, dalam satu ayat, dia terbalikkan perkataan. Dalam perkataan, dia terbalikkan huruf pulak!"

Setakat ni Fahmi (3 tahun) masih sukar untuk menyebut l.Huruf dan suku kata lain walaupun dia dah boleh sebut.. Kimi tetap jadi TIMI, Kakak Mira jadi Kakak BILA. Sama juga dengan Hakimi, walaupun dah boleh sebut perkataan adik, tapi bila sebut adik merujuk kepada Fahmi, tetiba bertukar jadi ADEH.

Hahaha menulis tentang sukukata-sukukata ni, teringat pulak tugasan Prof. Dr. Koeppel untuk bab Asimilasi  bunyi bagi subjek Phonetik & Phonologie dulu... 

Tuesday, October 30, 2012

Semak Keputusan Peperiksaan anak-anak di SAPS

Hari ni saya cuba semula untuk menyemak keputusan Peperiksaan Akhir Tahun Nina di halaman SAPS (Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah). Minggu lepas hanya ada keputusan Peperiksaan Setengah Tahun je. Ermmm hari ni pun masih ada satu subjek yang belum dimasukkan markahnya, Bahasa Malaysia 2.
##kemaskini pada 5.11.2012: Keputusan peperiksaan dah keluar. Nina dapat 10A ;). Tahniah Nina!##

Berdasarkan keputusan peperiksaan, penekanan harus diberi kepada matapelajaran Bahasa Malaysia Pemahaman. Nina hanya mendapat 80 markah! Cukup-cukup makan untuk dapat A sahaja. Mata pelajaran lain semua sangat baik, 94 hingga 98. Pening juga saya, anak melayu, tapi Bahasa Melayu kurang mantap. Jika nak dibandingkan dengan Bahasa Arab (98) dan Bahasa Inggeris (94), macamlah Nina ni tak bercakap melayu di rumah. Di rumah, saya bukan bercakap Jerman pun dengan anak-anak, kecuali masa bebel marahkan mereka ;). Bahasa Jerman adalah bahasa perbualan untuk saya dengan Izzad. Jadi kalau tetiba mama dan papa berbual dalam bahasa Jerman, tahulah mereka ada rahsia yang sedang diperkatakan ;). Tapi sejak kebelakangan ni saya perhatikan, Nina mula dapat menangkap isi perbualan kami dan banyak perkataan Jerman yang dia dah faham maksudnya. Sejak balik dari Jerman, Nina seperti terputus hubungan dengan bahasa Jerman. Memanglah sayang, tapi saya kekok untuk berbahasa Jerman dengan dia sejak balik sini. Hajat di hati, Nina akan saya ajar bahasa Jerman mungkin setahun dua lagi. Buat masa sekarang biar dia mulakan dengan kelas tahfiz. Tak boleh terlalu banyak aktiviti, kesian kat anak-anak. Nanti tak ada masa untuk rehat pula.

Berbalik kepada keputusan peperiksan, matapelajaran Pendidikan Seni pun dapat 80 markah juga. Dari darjah 1 hingga darjah 3 Nina tak pernah dapat lebih 80 markah bagi matapelajaran Pendidikan Seni. Kuah memang betul-betul tumpah ke nasi ni, sebab baik saya mahupun Izzad, kami memang tak berbakat dalam bidang seni. Lukis melukis memang out, kecuali lukisan kejuruteraan, itupun terpaksa sebab nak lulus periksa. Lepas CAD ada, lukis pun cuma guna komputer je kan..:)

Amira pula dah tak sama sistem dengan Nina. Amira sekarang sistem KSSR. Tak ada periksa, cuma penilaian peringkat sekolah sahaja. Jujurnya saya masih agak risau, kerana sebagai ibubapa, kita tidak tahu kedudukan anak dalam sistem ini. Pada pendapat saya KSSR akan berjaya dengan kerjasama baik antara pihak sekolah dan ibubapa. Kalau sistem dijalankan tetapi pendekatan pihak sekolah tetap macam PKSR juga (tiada interaksi berterusan antara pihak sekolah dan penjaga), rasanya objektif KSSR tidak akan tercapai. Dua minggu lepas saya ada berbual dengan Cikgu Junaidah, guru Bahasa Malaysia Amira. Menurut Cikgu Junaidah, Amira dah boleh sampai ke Band 5. Band 6 mungkin susah sikit sebab soalan untuk Band 6 memang direka untuk budak yang betul-betul cemerlang. Bukan sekadar tahu jawab soalan, tetapi tahu untuk menerangkan logik jawapan yang diberikan. Di sinilah murid-murid dilatih untuk berfikiran kreatif, bukan sekadar meluahkan semula apa yang telah diberi oleh guru di dalam kelas. Saya amat positif dengan sistem ini, tetapi perlu ada kesungguhan dari pihak yang melaksanakannya. Budaya kerja perlu diubah, jika tidak, anak-anak kita bakal menjadi bahan ujikaji Sistem Pendidikan Negara sekali lagi!

Saya nampak cerewet ke dengan keputusan peperiksaan anak-anak? Entahlah ye.., saya cuma nak pastikan mereka buat yang terbaik untuk diri mereka. Selama ni saya beri kekebasan kepada mereka. Tak pernah menyekat mereka untuk bermain, gunakan tablet, laptop, internet, tengok tv. Asalkan kerja sekolah siap, dan yang terbaru mereka buat hafalan untuk kelas tahfiz, mereka bebas untuk mengisi masa lapang pada waktu petang dengan aktiviti sendiri. Cuma kalau gunakan internet, saya akan pantau kandungannya, juga TV pun ada tapisan yang dibuat. Mereka bebas mengatur jadual harian sendiri tetapi tetap tertakluk kepada peraturan asas saya, contohnya setiap hari pukul 10 malam kena masuk tidur. Saya tak pernah memberi kelonggaran kepada masa tidur terutama jika hari bersekolah. Kalau hari cuti atau kalau di kampung, itu lain cerita. Jadi dengan kebebasan yang diberi, belajar tanpa tekanan dan paksaan, saya harap mereka tak lalai. Betul keputusan masih cemerlang, cuma untuk subjek Bahasa Malaysia, memang perlu penambahbaikkan.

Thursday, February 2, 2012

Pemeriksaan mata

Semalam saya bawa Fahmi yang berusia 2 tahun berjumpa dengan pakar mata di Regency Specialist Hospital, Seri Alam. Fahmi sakit ke? Takdelah.. anak saya tu juling sikit. Orang melayu kata juling air. Tak teruk sangat, tapi memang perlukan rawatan. Mengikut buku-buku dan artikel yang saya baca, kanak-kanak yang juling perlu dibawa ke pakar mata bila berusia 2 tahun. Jadi semalam saya bawalah dia berjumpa pakar mata di Regency, Dr. Lee Mun Seng.

Saya agak terkejut dengan anggaran kos rawatan yang diberikan. Kos untuk dapatkan eyeglass prescription je mencecah RM2000: RM1500 kos anesthetic dan RM500 kos rawatan. Itu belum masuk kos cermin mata lagi. Secara amnya saya agak kurang puashati dengan sesi konsultasi dengan doktor tersebut. Bahasa badan yang tak ramah, tapi saya puji sikap beliau yang berterus terang tentang kos rawatan sekiranya saya mahu Fahmi dirawat sebelum dia berumur 3 atau 4 tahun. Dahla hari sebelum tu pembantu dia tersalah beri temujanji pada saya. Saya diminta datang seawal 8.30 pagi hari Selasa, 31 Januari 2012. Bila saya sampai ke hospital, diaorang beritahu hari Selasa doktor ada petang je. Diaorang pun pelik kenapa saya diberikan temujanji waktu pagi. Petang memang sah saya tak ada masa, sibuk ke hulu ke hilir ambil dan hantar anak ke sekolah. Jadi terpaksa ubah temujanji ke hari Rabu. 10 minit sebelum pukul 9 saya dah sampai dan daftar tapi masih kena tunggu sejam sebab doktor belum sampai! 2 hari saya tunggu, jumpa doktor tak sampai 10 minit! Hmmm.. sabar jelah.

Lepas ni saya akan ke Penawar untuk dapatkan pandangan pakar kedua. Menurut Dr Lee Mun Seng, saya masih ada masa sehingga Fahmi berumur 8 tahun untuk buat rawatan. Tetapi menurut info yang saya baca, lagi lewat rawatan diberikan, kebarangkalian untuk cacat kekal terutama bagi mengenali kehadiran objek 3D adalah lebih tinggi. Dari segi kosmetik memang mudah untuk dirawat. Yang saya risaukan, kelewatan mendapatkan rawatan akan semakin menjejaskan fungsi mata yang bakal membataskan pemilihan kerjaya bila Fahmi dewasa kelak. Dan kalau Penawar boleh berikan harga yang lebih rendah, saya akan terus buat rawatan di sana. 2k di Regency hanya untuk dapatkan priskripsi kanta masih terlalu mahal buat saya. Serimax pun hanya beri kami 1k setahun untuk claim kos rawatan sekeluarga! Kita tengok, apa kata Pusat Perubatan Penawar.

Wednesday, November 2, 2011

Serba salah

Sehingga kini, saya amat tidak bersetuju sekiranya anak saya dilantik menjadi pengawas sekolah seawal usia 9 tahun. Pengawas sekolah bererti dia akan berbaju lain, tak kiralah dari segi warna atau jenis. Saya tak mahu dia berasa, dirinya 'lebih' dari orang lain. Saya khuatir ia akan menjadi titik tolak kepada wujudnya perasaan 'perasan bagus' di dalam diri anak-anak saya.

Dan semalam, perkara itu berlaku. Nurina pulang dari sekolah dan menyerahkan surat lantikan dirinya sebagai pengawas sekolah bagi sesi persekolahan 2012. Bukan menidakkan keupayaan anak sendiri, juga bukan tidak mahu bekerjasama dengan pihak sekolah, tapi saya masih kuat dengan pendirian saya sebelum ini. Masih terbayang di ruang mata pengalaman bersekolah suatu masa dahulu. Ketika dalam darjah 5, kawan-kawan yang rapat dengan saya dilantik menjadi pengawas. Selepas mereka bertudung biru, saya bukan lagi kawan mereka. Pengawas dengan 'klik' mereka sendiri. Sebab itu saya berazam untuk tidak jadi seperti mereka apabila saya sendiri dilantik menjadi pengawas sekolah pada tahun berikutnya. Pengalaman yang sama berlaku semasa di sekolah menengah. Saya hanya 'diterima' semula apabila saya juga berbaju biru seperti mereka!

Anak-anak, saya tanamkan dengan sifat jangan memilih kawan. Asalkan dia baik, tak kisahlah dia pandai atau tidak, kawan je. Selalu saya bertanya, siapa rakan sebelah meja; dengan siapa dia rehat dan berkongsi bekalan makanan yang saya bekalkan. Saya galakkan dia berkongsi makanan dengan rakan. Tujuan saya, mudah-mudahan akan membina sifat pemurah dalam diri anak-anak saya.

Berbalik kepada cerita pengawas. Saya tidak bersetuju. Izzad bersetuju, tapi selepas mendengar alasan saya, dia serahkan semula keputusan kepada saya. Alasan Izzad, saya yang lebih kenal anak kami, sebab dia jarang bersama anak-anak - tak tahu nak 'judge' sifat sebenar anak-anak. Nurina pula bersungguh-sungguh nak jadi pengawas! Semalam dia menangis semahunya (tanpa suara) bila saya kata TAK BOLEH. Hari ni pun sama juga. Saya masih belum kembalikan borang persetujuan ibu bapa. Saya tersepit antara kemahuan saya dan anak. Bimbang sekiranya keputusan mengikut kemahuan dan acuan saya bakal mengguris hati anak dan meninggalkan bekas di hati mereka. Bagaimana jika ia menjadi dendam yang terpendam? Tambah teruk sekiranya ia menyebabkan dia kehilangan tumpuan di sekolah.

Barangkali isu ini remeh bagi sesetengah ibu. Cuma ia agak memenuhkan kepala saya saat ini.. :). Hampir saja menenggelamkan rasa teruja saya untuk Amira yang akan mewakili daerah Pasir Gudang dalam Kuiz Kecemerlangan Akademik PASTI peringkat negeri Johor di Simpang Renggam esok. 2 tahun lepas Nurina mendapat tempat kedua peringkat negeri Melaka. Bagaimana dengan Amira? Good Luck Amira, Viel Glueck!!

-----Update-----
Amira dapat tempat ketiga untuk seluruh negeri Johor dan Pelajar Terbaik Pasti Kawasan Pasir Gudang 2011. Alhamdulillah....

Wednesday, October 19, 2011

Kememeh

Macam mana nak menangani anak yang kememeh? Ni dah kira kememeh tahap kronik nih. Puas dah buat macam-macam cara... berlembut, berkeras, tegas, denda, etc.. tapi biasanya hanya bertahan 2, 3 hari.. lepas tu jadi semula.

Mati kutu dah sebenarnya dengan Amira. Mudah sangat menangis.. terlalu sensitif! Kita tersalah cakap sikit pun dah boleh buat dia mengalirkan air mata! Lemas dibuatnya. Cikgu pun selalu komplen... pasal belajar ok, tak ada masalah langsung. She is the best in her school! Cuma bab kememeh tu la, cikgu mengaji pun komplen juga.

Semalam memang tahap kesabaran saya sangat-sangat tipis. Amira terpilih mewakili sekolah dalam Pertandingan Kecemerlangan PASTI peringkat daerah Pasir Gudang. Jadi cikgu buatlah latih tubi untuk dia. Bolehnya dia menangis bila kena buat latihan. Hishhh geram betul. Kat rumah lepas bagi dia rehat, saya minta dia baca sirah Rasulullah s.a.w.

"Baca dan hafal dulu, nanti mama check." Sejam berlalu... tiba-tiba dia datang, "Ma.., buku tertinggal kat dalam kereta."
"Haaa.., habis tu dari tadi Amira buat apa kat dalam bilik tu? Kan mama suruh baca sirah!"
"Kakak Nina suruh sikatkan rambut dia."
"Dah, dah pergi ambik buku tu cepat. Lain yang orang suruh, lain yang dibuatnya."

Dan bebelan saya pun panjang berjela. Lagi buat kita geram, baru marah cam tu dia dah meraung macam kena pukul! Siapa yang tak panas hati...

Amira, Amira... kuatkanlah sikit hati tu.. jangan sensitif sangat!

Monday, October 10, 2011

Minggu peperiksaan

Bermula hari ini sampailah minggu depan, satu demi satu peperiksaan akhir anak-anak akan bermula. Hari ni Amira mula periksa, hingga minggu depan. 17. Oktober pula, Nurina akan mula periksa sekolah agama. Cuma jadual peperiksaan akhir tahun untuk sekolah kebangsaan je belum diedarkan. Cuti Deepavali nanti ada tugas besar yang menanti. Gott, gibt mir genug Kraft! Sekarang ni pun sebenarnya banyak urusan yang perlu diselesaikan. Pening jugak nak urus satu persatu.. banyak sangat! :) Izzad pun agak sibuk dan bakal bertambah sibuk menjelang pertengahan bulan sebab ada audit yang menanti! Hahaha, habis outstation minggu lepas, berderet kerja perlu diselesaikan.. kesian dia! Tambah pulak dengan urusan maid yang tak selesai lagi. Haishhh berapa kali nak kena panjat pejabat imigresen ni?

Fahmi dah semakin petah jadi burung kakak tua :) Rajin mengulang apa yang kita sebut. Seronok melayan dia. Dan ragamnya pun boleh tahan juga. Kalau dah merajuk dan mengamuk..., jenuh nak memujuk dia. Papa dia pulak suka sangat menyakat si 'bongsu' ni. Sekarang ni saya dipanggil MANG, MAMANG atau AMANG (MAma + ayaNG) dan Izzad jadi PANG (PApa + abaNG). Kelakar betul bunyinya. Anak-anak yang lain, memang ada fasa diaorang panggil APANG untuk papa... tapi mama, tetap bunyi mama. Cuma dengan Fahmi ni... merasa pulak jadi Mang :D.. Dah macam Siamang pulak bunyinya.. :)

Friday, June 17, 2011

Mengadap cikgu :)

hari ni Hari Terbuka kat Tadika PASTI. Kena jumpa cikgu Amira dan tanda buku rekod. Alhamdulillah Amira ok.. Dia je yang tak puas hati sebab tak dapat nombor 1 lagi. Puas jugaklah memujuk.. "mama dan papa tak kisah Mira dapat nombor berapa pun, yang penting Amira ok kat sekolah. Nombor 2 pun ok jugak apa.."

Esok giliran Izzad pulak bawa Nurina mengadap Cikgu Sahariza. Esok Sabtu, boleh masuk pejabat lewat sikit...