Nuffnang Ads

Friday, December 30, 2011

Tentang Dhia.. renungan sejenak

Semalam berakhirlah episod Akasia Tentang Dhia. Saya antara yang terjebak dengan drama ni, walaupun agak lewat mengikutinya. Rasanya minggu kedua Tentang Dhia bersiaran baru saya ikut menonton. Bukan nak membincangkan keseluruhan cerita Tentang Dhia, cuma saya tertarik dengan usaha penerbit, penulis skrip dan pengarah menyampaikan mesej-mesej baik kepada penonton melalui drama ini.

Di rumah saya, filem-filem dan drama seram adalah taboo. Selain daripada kurang senang dengan pemaparan unsur khurafat di dalamnya, saya memang penakut pun dan tak mahu anak-anak membesar dalam suasana yang takutkan hantu. Nanti jadi macam saya. Kecil-kecil dulu selalu ditakut-takutkan dengan hantu, momok, pocong dan macam-macam lagi. Jadi siaran TV di rumah akan melalui penapisan saya. - Kadang terlepas jugak babak tembak menembak, bergaduh.. tapi apa yang pasti... bab cerita hantu dan seram memang tak pernah lolos! Kartun yang menggunakan bahasa kasar juga tiada tempat di rumah saya. Hagemaru, Asarichan, Sinchan dan ntah apa-apa -chan lagi memang kena sekat! Walaupun Boboiboy saya lepaskan, saya masih kurang senang dengan penggunaan bahasa 'tak guna' yang sering diulang anak-anak. Penat juga nak latih anak-anak jangan sebut perkataan tu. Nak haramkan Boboiboy, rasa kejam pulak sebab siri tu memang jadi kegilaan anak-anak. Tak dapat tengok TV, mereka ber'you tube' di tablet pulak...

Ok, ok, kita berbalik kepada apa yang nak saya bincangkan. Memerhati keadaan masyarakat sekeliling, saya jadi sedih kerana masyarakat islam kita masih percaya kepada bantuan selain daripada Allah. Kebiasaan berjumpa bomoh berpindah pula kepada berjumpa ustaz! Tarbiah islam sedikit sebanyak berjaya mengubah masyarakat kita 'lari' daripada bomoh, tapi bomoh pun pandai. Mereka tahu, orang kita tak mahu jumpa bomoh, mereka guna title ustaz, tetapi hakikatnya mereka masih menggunakan bantuan jin dan dampingan mereka dalam perubatan. Golongan ustaz seperti inilah yang merosakkan reputasi pengamal-pengamal perubatan islam tulen yang HANYA menggunakan kalimah Allah dalam tujuan perubatan.

Masyarakat kita ada yang mudah sangat percaya dan selalu bersangka baik dengan title ustaz pengamal perubatan yang mereka temui. Bila timbul persoalan, ustaz tersebut menggunakan khidmat khadam (jin peliharaan), makan akan dijawab: "Ustaz tu tetap gunakan ayat-ayat Al Quran untuk mengubat". Atau "jin ustaz tu adalah jin islam". Mereka lupa, sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin. Syirik bila meminta selain daripada Allah. Menggunakan bantuan jin dalam perubatan juga adalah syirik! Menjadi masalah bila kalimah Allah dicampur-adukkan dengan perbuatan yang syirik kerana manusia akan lebih tertarik dengan penonjolan nilai-nilai islam dalam perubatan yang ditunjukkan! Malang sekali.

Wednesday, December 21, 2011

Ada ke patut...., muka maid ke saya ni?

Hari ni cuaca cerah, ada matahari. Alhamdulillah, bolehlah keluarkan baju-baju yang segan silu nak kering dalam rumah ni. Hujan yang berhari-hari turun juga menyebabkan halaman rumah penuh dengan sampah daun mangga. Hari ni 'garbage day', cuaca pun baik, mood nak mengemas luar pun ada, jadi lepas siapkan anak-anak, saya pun mula menyapu dan memungut sampah. Tiba-tiba ada suara menegur: "Wes maring pasar mbak?" (Dah pergi pasar kak?) Saya tak menjawab. "Loh ora nyauri" (La, tak jawab pun). Siapa pulak cakap jawa dengan saya nih? Saya toleh rumah belakang mencari arah suara yang datang. Rupanya dari salah seorang pekerja Indonesia yang sedang mengemas di rumah belakang (mengecat, potong dan pungut dahan kayu). Hmm, diaorang cakap dengan saya rupanya.

Huwaaaaaa.. diaorang ingat saya maid?? Ish, agak-agaklah sikit. Ni main taram je. Tahulah muka ni memang muka jawa. Tak pernah menafikan pun KEJAWAAN saya ni. Apa diaorang ingat yang buat kerja-kerja luar macam tu maid je ke? Sedih nih.. :p. Hmmmm sebelum ni pun masa dok rumah mak mertua kat Shah Alam, selalu orang ingat saya ni maid. Penat, penat saya belajar panjat bangunan tetinggi, naik kapal terbang lagi, diaorang bagi jawatan maid je? isk isk isk. Agaknya maid je kot yang dok gendong budak ke hulu ke hilir. Kita pun biasa tengok kan kat taman permainan, mak bapak duduk kat kerusi dok perhati maid melayan anak-anak main. Maid jiran sebelah rumah mak mertua pun memula ingat saya ni pengasuh "anak-anak saya". Dia baru kerja kat rumah jiran mertua saya dan satu hari tu dia nampak saya tengah melayan anak-anak main kat depan rumah. Dia macam pelik bila saya beritahu, yang budak-budak tu anak saya!

Pernah sekali masa balik Terengganu, beraya rumah kaum kerabat mak mertua. Sampai rumah orang, biasalah kita salam-salam kan? Masa tu, diaorang perkenalkanlah, ni maid si polan, yang tu maid si polan. Tiba kat saya tuan rumah tu boleh tanya: "Yea ni hok sape pulok?" (Ni maid siapa pulak?) Mak mertua saya jawab "Eh, yang ni isteri Izzad...". Dah, dah memang sah muka ni muka seberang!! Cuma tak tampal perkataan MAID je kat dahi!

Cukuplah dengan iklan selingan. Kita serius semula. Sebenarnya saya melihat senario yang membimbangkan di sini. Mesej yang sampai kepada pekerja Indonesia atau sesetengah orang kita: TUGAS MENGURUSKAN RUMAH DAN MELAYAN ANAK-ANAK ADALAH TUGAS PEMBANTU RUMAH. Kenapa jadi macam tu? Sebab kita juga. Sesetengah ibu bapa yang menggaji pembantu rumah mudah MELEPASKAN seluruh tanggungjawab menguruskan rumah dan anak-anak kepada pembantu rumah. Mereka lupa, mereka hanya menggaji PEMBANTU. Hanya PEMBANTU. Bukan PENGGANTI!!

Tak salah menggunakan pembantu sekiranya mampu dan memerlukan. Tak ada salahnya. Tak salah di sisi undang-undang, juga tak salah dari segi moral. Yang jadi salah, bila kita lepaskan semua tugas menguruskan rumah dan anak-anak kepada pembantu. Ibu bapa yang menggunakan khidmat pembantu tak boleh lupa tanggungjawab mereka kepada anak-anak. Jangan dinafikan hak anak-anak kepada kita. Hak untuk mendapat belaian dan pelukan kasih sayang kita. Hak untuk didengari rintihan dan kemahuan emosi mereka. Hak mereka untuk digurau-senda oleh kita. Bukan hak dalam bentuk material semata-mata.

Pelukan, sentuhan, belaian, perhatian dan kasih sayang yang kita beri sepanjang membesarkan anak-anak itulah yang akan 'mengikat' anak-anak dengan kita. Masa kita dengan anak amat singkat sebenarnya. 12 tahun pertama kehidupan mereka amat penting untuk kita dekatkan diri dengan anak-anak. Rugilah kita, jika dalam tempoh tersebut kita sia-siakan masa yang ada. Percayalah, selepas tempoh itu, anak-anak akan semakin menjauhkan diri daripada kita. Jika mereka membesar tanpa sentuhan dan belaian ibu bapa, tak mustahil kita akan 'kehilangan' mereka. Jika selama ini, bibik di rumah menjadi rujukan mereka, seiring usia, kawan-kawan pula akan menjadi tempat rujukan mereka. Mahukah kita dipinggirkan, tidak dihiraukan anak-anak sendiri tika usia merangkak senja? "Kami sibuklah mak, tak sempat nak balik jenguk mak". Di kala itu, seribu penyesalan tak berguna.

Seringkali saya terdengar ungkapan sebegini. "Sesibuk mana pun I, I akan pastikan untuk luangkan masa berkualiti untuk anak-anak I. It's quality, not quantity, that count!" Ya, saya bersetuju, kita perlu beri masa berkualiti untuk anak-anak. Kalau kita ada 24 jam sehari kat rumah dengan anak-anak, tapi anak-anak dibiarkan tanpa perhatian, pun tak guna juga! Tapi kalau seharian tak jumpa anak, bila balik rumah dan jumpa anak kita hanya sebut: "Alahai sayang mama, mari cium sikit dekat mama". Kemudian kita pass semula anak kepada bibik. Bahagian mana yang nak kita kira sebagai masa berkualiti? Bahagian anak cium pipi kita yang sekadar 2, 3 saat itu? Tiba masa makan, bibik dah suap anak makan siap-siap supaya tak ganggu mak, ayah nak menjamu selera. Tonton TV sekejap. "Bik, bawa budak-budak ni masuk tidur, dah pukul 10". Sekali lagi, "Ok honey, it's bedtime. Come give me a big hugs. Good night!". Dan tanggungjawab dilepaskan lagi kepada bibik untuk menidurkan anak. Mudah kan? Lagi parah yang membiarkan anak-anak tidur dengan pembantu. Alasannya, tangisan anak kecil waktu malam mengganggu masa tidur dan rehat mereka! Astaghfirullahalazim! Kalau sampai macam tu sekali, apa perlunya ada anak? Sesak nafas bila tengok perangai manusia yang macam ni.

Berdasarkan contoh di atas, di mana, bahagian yang mana boleh kita kategorikan pemberian masa berkualiti daripada ibu bapa kepada anak-anak mereka? Seharian anak-anak di rumah dengan pembantu. Makan juga disuap pembantu. Sampaikan masa untuk tidur pun, masih lagi tangan pembantu yang membelai mereka. Berapa banyak komponen kasih sayang yang diabaikan di sini? Inilah realiti semasa yang banyak kita lihat (saya tak kata semua ye!). Menyedihkan tapi itulah hakikat.

Tak mudah mendidik anak-anak sebenarnya. Kena ikhlaskan diri, niatkan segalanya hanya kerana Allah, hanya untuk mencari keredaan Allah. InsyaAllah, sesukar manapun, akan ada penyelesaiannya. 24 jam sehari, 7 hari seminggu mengadap perangai yang berbagai ragam, kadang-kala kepala jadi pusing. Tapi percayalah penat lelah akan segera hilang bila anak datang memeluk dengan penuh sayang. Saya sendiri bukan ibu yang sempurna. Anak-anak tak terlepas dari marahan dan bebelan saya, tapi saya cuba setiap hari untuk memperbaiki diri. Sentiasa berazam untuk menjadi ibu yang baik kepada anak-anak saya. Harapan saya cuma satu, benih yang kami semai dan kami jaga dengan dibajai kasih sayang, ditambah dengan didikan agama yang sewajarnya moga akan jadi pohon rimbun yang boleh saya dan suami menumpang teduh kelak. InsyaAllah.

Tuesday, December 6, 2011

Home Sweet Home

Akhirnya kami selamat sampai ke rumah di Pasir Gudang. Percutian yang sepatutnya cuma seminggu, terlajak jadi hampir 3 minggu disebabkan kegagalan CAVENZI menghantar semua perabot ke rumah di Ayer Keroh seperti yang dijanjikan.

Perjalanan semalam memang mencabar. Biasanya saya memerlukan 2.15 jam untuk sampai ke rumah dari Ayer Keroh, tapi semalam lebih 3.30 jam sebab memandu dalam hujan lebat. Itupun saya dah membuat lencongan dengan mengambil laluan alternatif ke Pasir Gudang melalui Lebuhraya E22 Senai - Desaru, dan terus ke Tanjung Langsat/Pasir Gudang. Kalau saya ikut Skudai dan masuk ke Lebuhraya Pasir Gudang, harus saya tersekat di tengah jalan sebab air naik atas jalan dan banyak pokok tumbang!

Alhamdulillah kami sampai dengan selamat walaupun banyak rintangan di perjalanan. Fahmi yang selama ni sangat baik duduk di dalam 'seat' menangis sepanjang perjalanan dari Yong Peng ke Pasir Gudang. Saya berhenti sekejap di Machap untuk menyusukan Fahmi dan tukar baju sebab Fahmi muntah! :) Dari Machap Hakimi naik dengan Izzad. "Nak naik dengan papa". Bila tengok Izzad masukkan 'seat' ke kereta dia, Fahmi pun sibuk nak ikut papa. Kami pun ubah seat Fahmi juga ke kereta Izzad. Jadi Fahmi, Hakimi dan Nurina naik dengan Izzad; Amira pula naik dengan saya. Selesai kami pindahkan semua 'seat', tiba-tiba Fahmi tak mahu pula naik dengan Izzad... hehehe kena pindahkan semula ke kereta saya. Nasib baik mood papa diaorang baik.. :) Danke dir Schatz!

Ingatkan lepas menyusu, tukar baju dan berhenti sekejap di Machap, Fahmi akan berhenti menangis. Rupa-rupanya masuk je kereta dan mula gerak, dia sambung semula nyanyian lagu merdu. Nak buat macam mana.., saya pekakkan telinga je lah. Dahla memandu dalam hujan lebat dengan jarak penglihatan yang terbatas, kereta pulak banyak atas 'hiway' ditambah lagi dengan dendangan lagu merdu khas dari Fahmi. Kalau tak sabar dan tak boleh lapangkan kepala, macam-macam boleh berlaku. Alhamdulillah saya ada 2 orang 'babysitters' yang berusaha sedaya upaya menenangkan adik mereka. Tabik hormat pada Amira dan Nurina! Mama angkat topi. Sampai di Cahaya Baru, Fahmi baru ok...

Sepanjang perjalanan dari Tanjung Langsat ke rumah banyak pokok tumbang di tengah jalan. Hampir-hampir saya terlanggar pokok melintang di tengah jalan. Izzad di depan saya tak perasan ada kayu melintang sebab sibuk melayan Hakimi tengok api dari serombong kilang tak sempat mengelak kayu, tapi saya terselamat. Hampir ke susur masuk Rinting, air naik atas jalan, jadi saya ambil lencongan masuk dari Sekolah Agama di Geharu. Jalan depan kuil sebelum susur masuk ke rinting memang selalu naik air. Harus saya tersekat di situ lama kalau tak ambil lencongan.

Semalam merupakan perjalanan yang agak memenatkan bagi saya. Anak-anak pun asyik bertanya "bila nak sampai rumah, mama". Menurut Izzad, Hakimi tak berhenti bercakap sepanjang perjalanan dari Yong Peng ke Pasir Gudang, siap main Lat-tali-tamplom lagi dengan Izzad dalam kereta! Tapi tiba rumah terus menangis dapatkan saya. "Nak naik kereta mama..." Hehehe baru 2 jam tak nampak mama dah menangis bagai. Macam mana nak tinggal kerja macam ni?

Monday, December 5, 2011

Review CAVENZI - pengalaman menyakitkan hati berurusan dengan Cavenzi!

Setelah rumah yang kami beli pada tahun 2008 dan kunci kami terima pada disember 2009 terbiar selama hampir 2 tahun, maka bermula pertengahan tahun ini kami mula menanam rumput di laman, pasang grill, pasang lampu dan kipas. Pengubahsuaian dapur kami KIV dulu memandangkan kami masih lagi tinggal di Pasir Gudang. Cukuplah dengan kabinet kecil di dapur untuk menyimpan sedikit pinggan mangkuk. Lagipun kalau semua benda nak dibuat dalam satu masa, banyak juga perbelanjaannya. Pada cuti Deepavali lepas kami balik lagi ke Melaka untuk mencari perabot. Niat hanya untuk meninjau je di Cavenzi di Taman Semabok Perdana, tapi Izzad terus beli! Hmmm mulanya saya agak keberatan dengan tema hitam putih yang dipilih, tapi melihat kepada bajet kami dan juga keterbatasan waktu untuk Izzad meninjau-ninjau ke kedai lain, saya bersetuju aje. Jadi hari tu kami beli semua perabot asas untuk rumah kami di Cavenzi.

Di Cavenzi kami membeli kelengkapan untuk 3 bilik tidur.  Set bilik 2 dan bilik 3 terdiri daripada katil berukuran queen, meja sisi, almari 2 pintu dan cermin. Set untuk bilik tidur utama terdiri daripada katil bersaiz queen, almari 4 pintu, meja solek, kerusi dan meja sisi. Selain daripada itu set ruang tamu terdiri daripada sofa 3+2, meja kopi, rak TV dan multimedia dan rak pamer juga menjadi pilihan. Untuk ruang makan kami memilih meja empat segi dengan 6 kerusi. Kami beli mana yang penting sahaja. Bilik 4 kami biarkan kosong dulu sebab bilik tu akan digunakan sebagai bilik bacaan dan bilik kerja. Perancangannya kami akan buat build in book storage dan work place. Mungkin saya akan tempatkan day bed yang boleh dijadikan tempat tidur juga. Setelah membayar deposit sebanyak 30% daripada jumlah belian, kami bersetuju untuk penghantaran barang pada 19.11.2011. Bayaran penuh perlu dibuat sebelum penghantaran barang.

Seminggu selepas membuat tempahan, bahagian stor Cavenzi menghubungi saya untuk memastikan tarikh penghantaran. Mengambilkira kekangan waktu, saya membuat perubahan tarikh penghantaran dari 19.11.2011 ke 21.11.2011 untuk membolehkan saya pulang ke Melaka dan melunaskan baki bayaran sebanyak 70%. 18 November merupakan hari terakhir penggal persekolahan, jadi saya bimbang tak sempat balik ke Melaka. Jadi kami bersetuju dengan tarikh yang baru. Pada pagi 19 November saya ke Cavenzi untuk melangsaikan baki bayaran dan mereka berjanji untuk menelefon saya petang itu bagi menetapkan masa penghantaran. Satu petang saya menunggu, malam baru mereka telefon untuk MENANGGUHKAN PENGHANTARAN!! Hah?? Lepas bayar habis tiba-tiba nak tangguh pulak! Selepas berbincang, saya TERPAKSA bersetuju dengan tarikh baru, 23.11.2011. Sebelum tu mereka beri pilihan untuk hantar separuh barang, pasang kemudian. Atau hantar pada 24.11.2011. Mana boleh sebab saya dah plan nak balik semula ke Pasir Gudang pada hujung minggu tu. Dan sebelum tu saya nak bawa anak-anak balik ke rumah mak pada hari Khamis!

Pagi Ahad saya ke Cavenzi sekali lagi untuk meluahkan ketidakpuasan hati saya kepada Pengurus Cavenzi. Mereka berjanji, barang-barang saya akan dihantar pada 23.11.2011 lengkap! Tidak ada satu barang pun akan tertinggal! Pengurus Cavenzi Melaka, Encik Iskandar Ong sendiri berkata, dia akan pastikan barang-barang saya akan dihantar tepat pada tarikh baru yang telah dipersetujui. Saya siap ingatkan sekali lagi, kalau hantar 2, 3 kali, berapa kali saya nak ulang alik JB-Melaka. Berbekalkan janji Encik Iskandar, saya pulang ke rumah. Pada 23.11.2011 mereka menelefon saya lebih kurang pukul 10.00 pagi untuk mengetahui jalan ke rumah. "Hmm, bagus jugak diaorang ni, janji pukul 11, tapi pukul 10 dah sampai", fikir saya. Tiba di rumah, satu persatu barang diturunkan dan saya dihidangkan dengan satu kejutan! Barang-barang saya masih tak lengkap! Barang dah turun baru mereka nak beritahu?? Apa boleh saya buat selain dari terpaksa bersetuju untuk penghantaran berikutnya? Saya tanya bila? "Minggu depan" jawab mereka. Saya nak tarikh tapi yang saya dapat hanya MINGGU DEPAN. Sedap-sedap je diaorang aturkan jadual saya. Ingat JB-Melaka tu sebelah rumah ke apa? Mana masa saya lagi, minyak, tol... Yang paling saya sakit hati bila keluar 'statement'. "Akak pilih je masa yang sesuai dengan akak, tak payah pening kepala, kami akan hantar ikut masa akak. Bila-bila masa akak 'free' akak 'call' je kami dan kami akan hantar barang."

Hellooooooo sedapnya mulut bercakap. Ini saya dah atur masa sayalah ni, tapi korang yang tak padai nak tepati janji dan tak pandai nak telefon beritahu pulak tu. Cara cakap, macam saya yang buat masalah. Sudahlah tu ada ke patut sampai rumah baru beritahu saya, barang tak lengkap! Memang tak bertanggungjawab! Lepas siap pasang set bilik tidur, baru saya perasan, sofa tak ada. Saya tanya pekerja yang pasang katil tu. Dia kata, lori akan datang sekali lagi untuk hantar. Laaa.. tadi kata almari bilik tidur 3 je yang tak ada dengan set meja makan. Bila saya periksa semula, untuk bilik tidur 3 cuma ada tilam je!!!! Tak boleh jadi nih. Nak marah, yang ada cuma 2 orang budak tukang pasang je. Saya diamkan. Tak lama lepas tu pemandu lori telefon saya lagi. Saya ingatkan nak beritahu dia nak hantar sofa, rupanya nak beritahu, sofa akan dihantar sekali dengan set bilik tidur 3 dan set meja makan. Ya Allah, sakitnya hati saya hanya tuhan je yang tahu. Nak je saya sembur, tapi saya masih bersabar. Sakit hati tapi macam biasa TERPAKSA terima. Masa tu tak terfikir pun nak telefon Encik Iskandar, pengurus Cavenzi Melaka. Cuma petang tu saya SMS Encik Iskandar, beritahu situasi saya. Ingat dia nak jawab? Hmmmm jangan harap!! Sakit hati buat saya langsung tak ada mood nak telefon dan ke Cavenzi lagi. Izzad pun suruh tunggu je sampai minggu depan.

Seminggu menunggu, akhirnya pada hari Rabu, 30 November mereka telefon untuk 'confirmkan' tarikh penghantaran barang yang masih kurang. Mereka nak hantar pada hari Khamis, 01.12.2011. Hari Jumaat baru saya terima semua barang saya sebab Khamis tu kereta rosak pulak (bateri kong) jadi saya tak dapat balik ke Melaka.

Kesimpulan yang boleh saya buat lepas berurusan dengan Cavenzi:

  1. Saya tak akan lagi ke Cavenzi untuk membeli perabot!
  2. Service out!
  3. Communication and management out!
  4. Mereka buat polisi, pembeli kena lunaskan bayaran sebelum penghantaran barang, tapi mereka sendiri tak dapat tepati tarikh penghantaran.
  5. Service after sale out! Mentang-mentanglah kami dah lunaskan bayaran, tak ada inisiatif dari bahagian sale untuk bertanya samada barang kami dah sampai atau tidak. Juga tidak, selepas aduan pertama yang saya buat. Tak usah tanya tentang SMS saya yang tak berbalas. Kalau beli setakat dua tiga ratus, mungkin saya boleh terima kalau diberi layanan seperti ni, tapi kami beli barang lengkap untuk satu rumah. Memang tak pandai jaga customer. Menyesal pun ada berhabis beribu kat diaorang...


Berminat dengan CAVENZI?? Lupakan saja... jangan harap saya akan ke sana lagi!

Sunday, November 27, 2011

Cuti-cuti Shah Alam

Khamis lepas abah SMS Izzad beritahu mereka nak datang Pasir Gudang. Memandangkan Izzad sibuk dan saya pula masih di Melaka menguruskan rumah kami, jadi saya cadangkan kepada Izzad supaya benarkan saya memandu sendiri ke Shah Alam. 2, 3 hari di sana saya kembalilah semula ke Melaka, menyambung urusan yang belum selesai ni.
Mulanya Izzad tak benarkan, tapi selepas beberapa ketika, dia setuju. Memang saya tak pernah memandu sendiri ke Shah Alam. Mungkin itu yang menyebabkan Izzad tak benarkan pada mulanya. Jadi, jumaat petang saya dan anak-anak bertolak ke Shah Alam. Alhamdulillah perjalanan kami dipermudahkan. Cuma jammed hampir sejam di Seremban sebab ada accident.

Tuesday, November 22, 2011

Cuti sekolah

Sabtu lepas bermulalah cuti penggal akhir persekolahan bagi sesi 2011. Nurina menamatkan darjah dua dengan mendapat 5A, tempat kedua dalam kelas. Sekolah Agama tempat pertama dengan peratus keseluruhan sebanyak 96%. Amira muncul pelajar terbaik taska, pelajar terbaik PASTI Kawasan Pasir Gudang dan pelajar ketiga terbaik bagi PASTI Negeri Johor.

Cuti ni saya agak sibuk dengan anak-anak yang dijangkiti HFMD. Bermula dengan Amira, kemudian menyusul Hakimi dan akhir sekali Fahmi. Nurina terselamat kerana dari awal saya sudah asingkan dia dari Amira. Izzad pun saya asingkan daripada anak-anak kerana melalui pembacaan saya di blog-blog yang saya lawati, kebarangkalian untuk lelaki dewasa dijangkiti HFMD adalah tinggi. Rumah pun dah macam bau hospital dek Dettol spray untuk membasmi kuman. Tangan kerap dicuci, samada dengan sabun atau cecair antiseptik. Penting supaya Izzad tidak dijangkiti. Saya bimbangkan final audit dia penghujung November nanti. Izzad perlu sihat supaya kerja-kerja di pejabat tidak tergendala. Tambahan pula selepas adik memaklumkan kepada saya bahawa Alim dijangkiti HFMD daripada Mu'az dan Iman.

Minggu pertama cuti sekolah ni saya dan anak-anak di Melaka menguruskan rumah. Minggu kedua baru balik kampung. Izzad sibuk dengan persiapan akhir sebelum 'final audit' pada 29 November ini. Jadi saya bawa anak-anak jauh dari kesibukan bapa mereka agar Izzad lebih fokus dan tidak perlu rasa bersalah bila kerap terpaksa pulang lewat.

Wednesday, November 2, 2011

Serba salah

Sehingga kini, saya amat tidak bersetuju sekiranya anak saya dilantik menjadi pengawas sekolah seawal usia 9 tahun. Pengawas sekolah bererti dia akan berbaju lain, tak kiralah dari segi warna atau jenis. Saya tak mahu dia berasa, dirinya 'lebih' dari orang lain. Saya khuatir ia akan menjadi titik tolak kepada wujudnya perasaan 'perasan bagus' di dalam diri anak-anak saya.

Dan semalam, perkara itu berlaku. Nurina pulang dari sekolah dan menyerahkan surat lantikan dirinya sebagai pengawas sekolah bagi sesi persekolahan 2012. Bukan menidakkan keupayaan anak sendiri, juga bukan tidak mahu bekerjasama dengan pihak sekolah, tapi saya masih kuat dengan pendirian saya sebelum ini. Masih terbayang di ruang mata pengalaman bersekolah suatu masa dahulu. Ketika dalam darjah 5, kawan-kawan yang rapat dengan saya dilantik menjadi pengawas. Selepas mereka bertudung biru, saya bukan lagi kawan mereka. Pengawas dengan 'klik' mereka sendiri. Sebab itu saya berazam untuk tidak jadi seperti mereka apabila saya sendiri dilantik menjadi pengawas sekolah pada tahun berikutnya. Pengalaman yang sama berlaku semasa di sekolah menengah. Saya hanya 'diterima' semula apabila saya juga berbaju biru seperti mereka!

Anak-anak, saya tanamkan dengan sifat jangan memilih kawan. Asalkan dia baik, tak kisahlah dia pandai atau tidak, kawan je. Selalu saya bertanya, siapa rakan sebelah meja; dengan siapa dia rehat dan berkongsi bekalan makanan yang saya bekalkan. Saya galakkan dia berkongsi makanan dengan rakan. Tujuan saya, mudah-mudahan akan membina sifat pemurah dalam diri anak-anak saya.

Berbalik kepada cerita pengawas. Saya tidak bersetuju. Izzad bersetuju, tapi selepas mendengar alasan saya, dia serahkan semula keputusan kepada saya. Alasan Izzad, saya yang lebih kenal anak kami, sebab dia jarang bersama anak-anak - tak tahu nak 'judge' sifat sebenar anak-anak. Nurina pula bersungguh-sungguh nak jadi pengawas! Semalam dia menangis semahunya (tanpa suara) bila saya kata TAK BOLEH. Hari ni pun sama juga. Saya masih belum kembalikan borang persetujuan ibu bapa. Saya tersepit antara kemahuan saya dan anak. Bimbang sekiranya keputusan mengikut kemahuan dan acuan saya bakal mengguris hati anak dan meninggalkan bekas di hati mereka. Bagaimana jika ia menjadi dendam yang terpendam? Tambah teruk sekiranya ia menyebabkan dia kehilangan tumpuan di sekolah.

Barangkali isu ini remeh bagi sesetengah ibu. Cuma ia agak memenuhkan kepala saya saat ini.. :). Hampir saja menenggelamkan rasa teruja saya untuk Amira yang akan mewakili daerah Pasir Gudang dalam Kuiz Kecemerlangan Akademik PASTI peringkat negeri Johor di Simpang Renggam esok. 2 tahun lepas Nurina mendapat tempat kedua peringkat negeri Melaka. Bagaimana dengan Amira? Good Luck Amira, Viel Glueck!!

-----Update-----
Amira dapat tempat ketiga untuk seluruh negeri Johor dan Pelajar Terbaik Pasti Kawasan Pasir Gudang 2011. Alhamdulillah....

Wednesday, October 19, 2011

Kememeh

Macam mana nak menangani anak yang kememeh? Ni dah kira kememeh tahap kronik nih. Puas dah buat macam-macam cara... berlembut, berkeras, tegas, denda, etc.. tapi biasanya hanya bertahan 2, 3 hari.. lepas tu jadi semula.

Mati kutu dah sebenarnya dengan Amira. Mudah sangat menangis.. terlalu sensitif! Kita tersalah cakap sikit pun dah boleh buat dia mengalirkan air mata! Lemas dibuatnya. Cikgu pun selalu komplen... pasal belajar ok, tak ada masalah langsung. She is the best in her school! Cuma bab kememeh tu la, cikgu mengaji pun komplen juga.

Semalam memang tahap kesabaran saya sangat-sangat tipis. Amira terpilih mewakili sekolah dalam Pertandingan Kecemerlangan PASTI peringkat daerah Pasir Gudang. Jadi cikgu buatlah latih tubi untuk dia. Bolehnya dia menangis bila kena buat latihan. Hishhh geram betul. Kat rumah lepas bagi dia rehat, saya minta dia baca sirah Rasulullah s.a.w.

"Baca dan hafal dulu, nanti mama check." Sejam berlalu... tiba-tiba dia datang, "Ma.., buku tertinggal kat dalam kereta."
"Haaa.., habis tu dari tadi Amira buat apa kat dalam bilik tu? Kan mama suruh baca sirah!"
"Kakak Nina suruh sikatkan rambut dia."
"Dah, dah pergi ambik buku tu cepat. Lain yang orang suruh, lain yang dibuatnya."

Dan bebelan saya pun panjang berjela. Lagi buat kita geram, baru marah cam tu dia dah meraung macam kena pukul! Siapa yang tak panas hati...

Amira, Amira... kuatkanlah sikit hati tu.. jangan sensitif sangat!

Wednesday, October 12, 2011

Telefon genggam atau telefon bimbit?

Istilah mana satu yang betul sebenarnya? Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, hanya wujud istilah telefon bimbit = telefon selular. Jadi, rasanya istilah telefon genggam wujud daripada terjemahan terus perkataan 'hand phone' ke dalam bahasa melayu. Hehehe.. mimpi apa saya bercakap tentang bahasa pulak hari ni? :) Hmm saje je, bukan apa... teringat, kali pertama saya gunakan telefon bimbit. Saya mula terjebak, kalau tak silap tahun 2001. Telefon bimbit pertama saya dihadiahkan oleh Faridah, jenama D2 Vodafone. Dalam kalangan rakan-rakan satu batch, saya orang terakhir yang menggunakan telefon bimbit! :). Puas kena racun kawan-kawan, tapi saya selesa dengan telefon talian tetap je, sampailah Faridah hadiahkan telefon tu. Itupun telefon tu lebih banyak duduk di rumah berbanding ikut saya berjalan :p.

Lepas D2, saya beralih kepada Nokia. Nokia 3210 menemani saya dari tahun 2004 hingga tahun 2008. Nokia tu pun milik Izzad yang dibeli pada tahun 2000. Saya paling sayang Nokia 3210.. cuma beratnya tu yang tak tahan... :). Selepas Nokia 3210, ada 3 telefon lain yang saya gunakan, masih setia dengan Nokia. 2 menemui ajal di tangan anak-anak, satu lagi masih elok. Berganti lagi sebab Izzad minta saya tukar guna telefon Nokia 6300 pulak. "Telefon yang lama tu takde kamera, susah nak tengok gambar anak-anak kalau abang out station". Jadi saya pun bertukar ke telefon berkamera penghujung 2010. Tak sampai 6 bulan guna telefon tu, LCD pulak retak. Anak-anak yang kecil ni herolah katakan, semua benda dicampak dan dibalingnya. Saya beralih pula ke Nokia C5 yang baru Izzad beli tak sampai 2 bulan. Macam separuh hati je member masa nak tukar hak milik.. ;). C5 jadi rezeki saya sebab Serimax sponsor dan 'paksa' dia guna Blackberry - mudah untuk check e-mail kalau dia out station.

Saya bukanlah 'gadjet freak' dan saya tak perlu sentiasa boleh dihubungi. Jadi, saya masih boleh hidup tanpa telefon bimbit. Saya tetap saya yang simple-mimple. Buktinya, bertahun-tahun di Jerman, saya kekal saya yang dulu juga. Jati diri saya tak pernah berubah. Cara hidup, mentaliti masyarakat sana, sedikit sebanyak mungkin mempengaruhi hidup saya kini, tapi melayu saya tak ada slanga Jerman. Teringat komen jiran sebelah rumah mak. "Nko belajo jauh-jauh sampai luo negeri, tapi bila balik kampung tak kekok buat keje-keje luo, menebas, menyangkul". Errrr... saya cuma jawab. "Saya tetap saya Kak Som, belajar tinggi bukan bermakna saya tak boleh buat kerja-kerja macam ni dah". Mungkinlah bagi sesetengah orang, bila dah belajar tinggi, dah pergi oversea.., mereka tak pandang kerja-kerja remeh di kampung. Tapi bukan saya ye.

Yang ketara perubahan saya... Jerman mengubah saya dari minah bunga-bunga kepada seorang wanita simple yang lemas dengan bunga-bunga style English and Co.... Dulu, suatu masa dahulu..., memang saya suka bunga-bunga macam tu.... hahahahaha. Kawan-kawan masa kat Poly pun masih 'mentrademarkkan' saya dengan "Zubaidah yang lemah-lembut, gemalai, lady like tu". Hahahahaha.... lembut? lady like? Eeeiii meremang bulu roma... :D

Monday, October 10, 2011

Minggu peperiksaan

Bermula hari ini sampailah minggu depan, satu demi satu peperiksaan akhir anak-anak akan bermula. Hari ni Amira mula periksa, hingga minggu depan. 17. Oktober pula, Nurina akan mula periksa sekolah agama. Cuma jadual peperiksaan akhir tahun untuk sekolah kebangsaan je belum diedarkan. Cuti Deepavali nanti ada tugas besar yang menanti. Gott, gibt mir genug Kraft! Sekarang ni pun sebenarnya banyak urusan yang perlu diselesaikan. Pening jugak nak urus satu persatu.. banyak sangat! :) Izzad pun agak sibuk dan bakal bertambah sibuk menjelang pertengahan bulan sebab ada audit yang menanti! Hahaha, habis outstation minggu lepas, berderet kerja perlu diselesaikan.. kesian dia! Tambah pulak dengan urusan maid yang tak selesai lagi. Haishhh berapa kali nak kena panjat pejabat imigresen ni?

Fahmi dah semakin petah jadi burung kakak tua :) Rajin mengulang apa yang kita sebut. Seronok melayan dia. Dan ragamnya pun boleh tahan juga. Kalau dah merajuk dan mengamuk..., jenuh nak memujuk dia. Papa dia pulak suka sangat menyakat si 'bongsu' ni. Sekarang ni saya dipanggil MANG, MAMANG atau AMANG (MAma + ayaNG) dan Izzad jadi PANG (PApa + abaNG). Kelakar betul bunyinya. Anak-anak yang lain, memang ada fasa diaorang panggil APANG untuk papa... tapi mama, tetap bunyi mama. Cuma dengan Fahmi ni... merasa pulak jadi Mang :D.. Dah macam Siamang pulak bunyinya.. :)

The number you have dialed is not in service!

Secara rasminya saya bebas dari HP yang menemani saya selama ni... Owh.., rasa pelik, rasa lain macam. HP yang seharusnya membantu kehidupan, lebih banyak menyusahkan dan memberi saya masalah sejak kebelakagan ini. Jadi, saya tiada pilihan lain... terpaksalah berpisah. Bak kata orang, dari hidup merana, baik pisah sahaja ;). FB pun bye-bye...! Kawan-kawan lama dan kawan-kawan semasa di FB? Hmmm.. memang sayang hubungan dengan kawan-kawan.. tapi saya lagi sayangkan privisi saya. Gangguan-gangguan luar tu kalau datang tak kena masa memang boleh mengganggu emosi... lebih-lebih lagi bila berurusan dengan orang yang setengah masak... 'Masak' kita nak layan karenahnya.

Kalau kawan dok dekat, boleh jugak ketuk-ketuk botol cam citer P Ramlee tu... heheh teringat mak kalau citer bab P Ramlee nih... Mak kan peminat setia citer hitam putih nih... ;)

Masa yang terluang, anak-anak ada untuk menghiburkan saya.. Kerja tak pernahnya nak habis di rumah ni. Lagipun kalau saya bekerja semula nanti.., dah tentu tak ada banyak masa. Kena biasa-biasakan jugak nih.. :)

Monday, October 3, 2011

Memory Lane....

BAD OLDESLOE, GERMANY -- KIATO, ATHENS, GREECE


View Larger Map

Suggested routes:
E-75 and E75 : 2,732 km, 1 day 4 hours

A7 : 2,721 km, 1 day 7 hours

A14 : 2,773 km, 1 day 7 hours



Hari nih hari ulangtahun penyatuan antara Jerman Timur dan Jerman Barat. Dalam bahasa Jerman disebut 'Tag der deutschen Einheit'. Jadi izinkan saya untuk menyingkap kembali memori.. ;) Dalam dok mengoogle tadi... tergoogle la pulak route yang biasa Izzad lalu sepanjang dia bekerja di Kiato - Athens, Greece dan saya bersama Nurina tinggal di Bad Oldesloe. Ya Allah, jauhnya Izzad drive... Dalam map ni, rasanya ikut jalan darat je.. tapi Izzad biasanya drive sampai Brindisi atau Bari di Itali, naik kapal Superfast, dan turun di Patras, Greece. Route yang sama saya, Faridah dan Juvita guna masa kami travel ala-ala Backpackers.. :) Bila tu?? 13 tahun yang lepas! :)

Ha... yang ni baru salah satu route yang Izzad bebetul lalu... Tapi naik feri dari Veniece lagi.... Hmmm cantiknya Veniece di musim panas! Rindu nak g Europe lagi... hmm kena suruh anak2 blaja pandai2 la nampaknya.. bleh pergi melawat diaorang nanti :)


View Larger Map

Thursday, September 29, 2011

Fitnah

Sesungguhnya fitnah merupakan satu elemen yang cukup bahaya, apatah lagi fitnah terhadap agama yang boleh menjurus kepada hukum membunuh, kerana al-Quran ada menegaskan bahawa fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan. (Maksud ayat 191 dan 217 surah al-Baqarah)

Saya ambil petikan dari blog http://selaras.web44.net/fitnah.php berkenaan Konsep Al-Qur'an tentang Fitnah...

"Kalaupun mereka berangkat juga bersama-sama denganmu, maka mereka hanyalah akan menambah beban kesusahan belaka kepadamu, dan mereka akan menyusup ke celah-celah barisanmu untuk menyebarkan kekacauan, lagi pula di dalam barisanmu ada orang-orang yang lemah iman yang senang mendengarkan hasutan mereka. Dan Allah Maha Mengetahui akan segala tingkah laku orang-orang yang zalim." At-Taubah:47

Orang kafir dan orang munafik akan mengalami penderitaan yang mengerikan di neraka sebagai balasan atas fitnah yang mereka sebabkan:

"Rasakanlah siksaan itu, siksaan yang dahulu kamu minta supaya disegerakan." Adz-Dzariyat:14

Fitnah akan merajalela di muka bumi kecuali jika orang beriman saling melindungi satu sama lain:

"Adapun orang-orang yang kafir, mereka bersetia kawan terhadap sesamanya dalam menghadapi kaum mu'min. Jika kamu tidak menggalang kesetia-kawanan pula seperti mereka, akan terjadilah kekacauan dan kerusakan yang besar di muka bumi ini."
Al-Anfal:73

Tuesday, September 20, 2011

Baju Flowergirls

Alhamdulillah misi saya menjahit 3 helai baju flowergirls untuk Majlis Sambut Menantu adik ipar, Izzwan telah selesai. Saya sangat berpuas hati dengan hasilnya. Lagi bersemangat untuk belajar jahit dengan lebih baik. Sekurang-kurangnya, baju-baju saya dan anak-anak tak perlu dibeli atau ditempah lagi...


Inilah hasil kerja projek jahitan baju-baju flowergirls saya...

Sunday, September 11, 2011

Tak sayang mulut

Ada orang memang tak sayang mulut. Suka suki je fitnah orang. Memang macam ni kot bila akhir zaman. Fitnah memfitnah tu dah jadi mainan bibir. Kalau orang kafir yang buat kerja fitnah memfitnah ni, saya tak kisah sangat, sebab dah sah-sah mereka bukan islam, walaupun kalau nak diikutkan, dari segi moral ia tetap sesuatu yang tak elok. Bila seorang yang mengaku islam, pakai tudung bagai… tapi kerjanya tak habis-habis memfitnah orang, sentiasa menyusahkan hidup orang, apa kes?? Apa dia ingat dia akan menongkat langit? Tak ingat janji Allah? Setiap perbuatan kita, samada baik atau buruk , walau sekecil biji sawi akan dihitung Allah seadil-adilnya. Tak ada yang akan terlepas dari hitungan Allah. Janji Allah itu benar. Hari Perhitungan itu benar.

Selagi bernyawa, selagi Izrail belum datang memberi salam, selagi itu pintu taubat masih terbuka luas. Gunakan kesempatan yang Allah beri, penuhi baki hayat yang ada dengan perkara yang berfaedah. Besar dosa memfitnah orang. Cuba bayangkan, ajal tiba sebelum kita sempat untuk meminta maaf daripada orang yang kita fitnah. Macam mana tu? Bagaimana pula, kalau orang yang kita fitnah, yang kita aniaya tidak reda dengan apa yang kita buat? Janji Allah, doa orang teraniaya -tak kira seorang yang kufur atau yang beriman-, akan sampai direct pada Allah.

Friday, September 2, 2011

Happy Anniversary!

Alhamdulillah... hari ni genap 11 tahun usia perkahwinan kami.

Menarik untuk dikongsi... Izzwan, adik bongsu Izzad dan pasangannya juga bernikah pada hari ini, ulangtahun perkahwinan kami. Jadi lepas nih... dua beradik ni, kalau buat-buat lupa anniversary... memang tak patut :)

Selamat Ulangtahun Perkahwinan untuk kami... dan Selamat Pengantin Baru untuk Izzwan dan Dian Farhana!

Monday, July 4, 2011

FB Account inactive

Hari ni saya dengan tabahnya mengagahkan diri untuk menutup akaun FB yang telah menemani saya selama hampir 4 tahun. Saya mula aktif FB sejak September 2007 selepas menerima pelawaan Hana Eliza. Sebelum tu pun ada dapat pelawaan Nor Azmmi Masripan, tapi saya macam tak berminat nak join. Setakat hari ni, alhamdulillah saya berjaya berhubung semula dengan hampir 200 orang rakan-rakan lama. Tapi terpaksa ditinggalkan dek desakan semasa iaitu gangguan dari pihak yang tak diundang!

Hujung minggu ni nak ke Celcom sekali lagi. Nak uruskan 'cross sms' yang masih berlaku lagi. Kepala dah sesak dengan budak tak makan diajar nih.. lagi kita diamkan, lagi dia buat hal.

Sunday, June 26, 2011

Hari ke 3

Apa saja yang saya tak buat untuk menjauhkan diri daripada pengacau? Facebook pun dah diset kepada 'private'. Kata laluan (password) dah berapa kali tukar. Berpuluh 'character' nak kena hafal sekarang ni. Kalau dulu, kata laluan ciput seciputnya, kontot aje. Dan yang terkini, semua blog atas nama saya, Zue Yusof terpaksa dibuka hanya untuk orang yang saya kenali. Maknanya kena tapis dululah... :). Macam bagus je tulis kan? Entah-entah takde siapa pun yang akan perasan dengan kehilangan blog-blog saya ni... :p

http://www.das-bin-ich-zueyusof.blogspot.com
http://www.kokocincau.blogspot.com

dengan rasminya akan dicutikan dari pandangan umum untuk sementara waktu.

Menulis akan tetap saya buat. Lebih-lebih lagi dalam bahasa Jerman. Dengan Izzad pun dah kurang berkomunikasi dalam bahasa Jerman sekarang ni. Jadi ini aje medium yang ada untuk membolehkan saya terus berfikir dalam bahasa Jerman.

Berapa lama saya akan 'offline'? Hanya Allah yang tahu. Selagi gangguan tak hilang, selagi itu kot saya akan senyap. Memanglah kita boleh abaikan gangguan-gangguan tersebut, cuma kadang-kala bila gangguan datang di kala emosi kita pun tak berapa baik, takut akan mendatangkan mudarat kepada diri sendiri dan keluarga. Jadi sebelum perkara yang tak diingini berlaku, eloklah kita kurangkan risiko untuk diri terus diganggu. Tak rugi apa pun. Keluarga adalah keutamaan saya, jadi emosi saya perlu sentiasa sihat untuk anak-anak dan suami.

Friday, June 17, 2011

Mengadap cikgu :)

hari ni Hari Terbuka kat Tadika PASTI. Kena jumpa cikgu Amira dan tanda buku rekod. Alhamdulillah Amira ok.. Dia je yang tak puas hati sebab tak dapat nombor 1 lagi. Puas jugaklah memujuk.. "mama dan papa tak kisah Mira dapat nombor berapa pun, yang penting Amira ok kat sekolah. Nombor 2 pun ok jugak apa.."

Esok giliran Izzad pulak bawa Nurina mengadap Cikgu Sahariza. Esok Sabtu, boleh masuk pejabat lewat sikit...

Thursday, June 16, 2011

Sepandai-pandai tupai melompat

Minggu lepas, dengan rasminya CSI musim ke 11 tamat. Akhirnya Nate Haskell mati juga! Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah. Hahaha, dalam CSI Nate Haskell tak jatuh ke tanah, tapi jatuh ke tangga. Jatuh juga tu, dan yang penting dia dah MATI. Dr. Jekyll dah mati... Nate Haskell pun dah tamat riwayatnya, hmmm apa cerita untuk musim ke 12 nanti? Janganlah pulak Ray Langston jadi pengganti Haskell, sudah....

Hukum alam, siapa bersalah, akan tetap terima hukuman yang sepatutnya. Seandainya di dunia kita terlepas, padang Mahsyar adalah pasti dan di sana perbuatan kita akan diadili Allah s.w.t. Dan Allah itu maha adil. Dosa kita pada Allah, kita minta ampun pada pencipta kita. Dosa sesama manusia, hanya manusia yang dapat mengampunkannya. Hari ini kita aniaya orang, jangan kita lupa, Allah tahu segalanya. Sekiranya orang yang kita aniaya tidak redha dengan perbuatan kita dan berdoa kepada Allah, doa orang teraniaya, tak kira orang beriman atau golongan kafir, doa mereka tiada hijab!

Thursday, May 26, 2011

Baju untuk Flowergirl

Adik ipar yang bongsu akan menamatkan zaman bujang September nanti, insyaAllah. Jadi saya ditugaskan untuk menjahit 3 helai baju untuk flowergirl pada majlis tersebut. Hmmm... kalau baju kurung memang no problem la... dress ni kena makan masa sikit. Tak pernah buat pun dress sebenarnya... huwaaaaaa. Tapi kalau tak cuba, sampai bila pun tak akan tahu kan? Jadi, saya terima cabaran.. hehhehe

Baju Flower girl yang dah siap... :).
Tema yang mak mertua minta ialah hitam/grey@silver/putih. Kira-kira sebulan sebelum majlis, tetiba mak mertua tukar tema kepada hitam/gold. Macam mana ni? Baju dah separuh siap.. Nak kena stop jahit dan tukar tema ke? Saya agak kesuntukan masa nak mencari kain, potong dan jahit. Baju saya, Hakimi dan Fahmi pun dah beli warna silver/hitam/putih. Pejam mata jelah....

Monday, May 23, 2011

Tiada yang lebih baik selain daripada susu ibu!

<< Seorang ibu yang masih berpantang mengeluh kepenatan kerana terpaksa bangun malam untuk membancuh susu untuk bayinya >>

Terus terang, air mata saya menitis bila dengar cerita di atas. Pertama sekali air mata simpati untuk si bayi yang tidak disusui ibunya. Dan air mata simpati untuk si ibu yang mungkin masih tidak menyedari, dia telah mengabaikan satu anugerah Allah yang amat berharga - Kesempatan untuk menyusukan anak, saat anak paling dekat dengan ibunya selain sewaktu di dalam kandungan!

Kadang-kadang bila mengikuti kisah keluarga kurang bernasib baik yang perlukan bantuan, hati jadi terusik bila sampai ke bahagian berita "...perlukan duit belanja susu untuk bayi yang berusia 2 bulan...". Ya Allah ibu..., Allah dah anugerahkan kita dengan keupayaan untuk menyusukan bayi, kenapa susu formula juga yang menjadi pilihan? Seharusnya dalam situasi ekonomi keluarga sebegitu, tidak perlu timbul masalah untuk beli susu. Kenapa tidak dimanfaatkan rezeki Allah untuk bayi??

Tiada susu lain yang dapat menandingi kebaikan dan khasiat susu ibu. Tapi masih ramai ibu-ibu di Malaysia yang 'bangga' menyusukan anak-anak mereka dengan susu formula. Lagi mahal harga susu, lagi tinggi standard mereka!

Thursday, May 19, 2011

Macam-macam soalan.. :)

Hari Ahad lepas kami menunaikan janji untuk belikan durian buat anak-anak. Kopak jugalah poket untuk Raja Kunyit. Hmmmm agak kecewa dengan rasanya. Mungkin sebab asyik bandingkan dengan Musang King yang sememangnya sedap! :)

Dalam dok menikmati durian tu, Izzad dok bagi soalan yang ntah apa-apa. Adake dia tanya:
I: "Yang, agak-agaklah kan, siapa orang pertama kat dunia ni yang mula makan durian?"
Z: Sambil sengih sumbing dan fikir, laa soalan apa nih? "kenapa pulak abang tanya cam tu?"
I: "Iyelah, cuba ayang tengok durian ni penuh dengan duri, macam mana manusia tahu, buah ni boleh dimakan? Tentu orang pertama yang nak makan pun takut kan?"

Rasa nak nangis, nak gelak dan yang banyak sebenarnya saya mati kutu nak jawab soalan Izzad ni. Tak ada soalan lain ke dia nak bagi? :p Dahla orang baru nak baik demam.. 4 hari tak boleh bangun. Kena soalan cam ni, boleh jatuh gedebub semula.. hahahahaha

Dan semalam masa tengah makan malam, satu lagi soalan cepu emas dari Izzad. Siapa manusia pertama yang makan kerang??? Saya cuma senyum je.. sebab dia mula buat teori sendiri.. :) Macam-macam teori keluar sampaikan Nurina sound kami: "Mama, papa, kata... masa makan tak boleh bercakap." Saya pandang Izzad, Izzad pandang saya semula dan kami gelak! Tapi lepas tu saya terangkan semula pada Nurina, kita boleh bercakap semasa makan, tapi jangan dengan mulut yang penuh dengan makanan dan pastikan juga jangan asyik bercakap, sampai terlupa nak makan. Betul ke ajaran tu? Atau.. adakah ia alasan orang dewasa untuk menyelamatkan diri? :p

Wednesday, May 18, 2011

Pelik...

kadangkala perangai manusia ni memang pelik. Ada manusia yang sanggup bersusah payah untuk MENYUSAHKAN hidup orang lain! Yang membuatkan lagi pelik... orang yang disusahkan tu tak ada hutang apa-apa pun pada dia, tak pernah menyusahkan hidup dia dan yang penting tak buat salah apa pun pada dia. Dahla tak kenal secara formal pun, tak ada kaitan dan tak ada pertalian langsung.

Geram dan sakit hati bila hidup kita selalu dan sering diganggu. Apa yang dia nak? Apa yang dia dapat? Puas hati agaknya dapat menyusahkan hidup orang. Dia lupa, doa orang teraniaya tiada hijab!

Simpati pada orang yang hidup dalam dunia fantasi. Orang yang hanyut dalam dunia ciptaannya sendiri....

Tuesday, May 3, 2011

Orang sakit mental melambak!

Bila kita obses dengan sesuatu, dan kita menyeksa orang lain untuk mendapatkan apa yang kita mahu, itu dah masuk kategori sakit mental! Kenapa saya kategorikan seperti itu? Seseorang yang obses terhadap sesuatu, dan tidak berupaya untuk mengawal keinginan tersebut, dia akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan yang dihajati dengan apa cara sekalipun. Dalam situasi ini, banyak tindakan yang dilakukan adalah sangat tidak masuk akal, keterlaluan.

Kenapa ya, manusia adalah semulia-mulia umat yang diberikan akal oleh Allah. Manusia jugalah yang banyak melakukan kemusnahan.. sesama manusia. Bila jiwa kacau, kita perlu kembali kepada Allah, jangan bertuankan nafsu!

Saturday, April 23, 2011

Memudahkan, jangan menyusahkan

Entry kali ni kira sambungan daripada entry semalam. Nilaikan kisah dibawah:

"Seorang anak pulang dari sekolah dan mengadu pada emaknya, dia kini ditempatkan di tempat duduk di barisan belakang dalam kelas. Si ibu kemudian bertemu guru 'minta tolong' anaknya dipindahkan semula ke baris depan. Guru kemudian bercakap dengan murid di dalam kelasnya, siapa yang ibu bapanya datang komplen tentang tempat duduk akan disuruh duduk di atas lantai. Si anak kembali mengadu kepada ibu, minta jangan datang ke sekolah lagi untuk komplen isu tersebut. Si ibu marah dengan tindakan guru dan bercadang untuk bertemu sekali lagi dengan guru tersebut, nak pergi sound! Katanya dia guna ayat 'minta tolong', jadi kenapa cikgu tu perlu sindir-sindir begitu."

Jujurnya saya sendiri pernah secara kebetulan dapat tahu anak saya yang dahulunya duduk di barisan depan telah dipindahkan ke belakang. Satu pagi tu, anak saya tertinggal bekal lagi (dah kes ke berapa ntah tahun ni je..). Jadi saya pergi hantar. Memandangkan waktu tu masih waktu perhimpunan lagi, jadi saya terus ke kelas. Di atas meja, di mana sepatutnya anak saya duduk, tertampal nama budak lain. Puas jugalah membelek satu persatu. Akhirnya jumpa. Baris belakang, tengah. Kenapa Nurina ditukarkan tempat? Bila dia balik sekolah saya tanya. Dia pun terangkan segalanya. Hmmm ok.

Sebagai ibubapa, dah tentu kita mahukan yang terbaik untuk anak kita. Kalau boleh semua benda kita nak kawal hatta di mana patut mereka ditempatkan di dalam kelas. Dalam kes Nurina, saya pasti, guru kelas ada alasan tersendiri, kenapa dia susun semula kedudukan dalam kelas. Mungkin murid yang agak ketinggalan, yang perlukan lebih perhatian duduk di barisan depan sekarang. Bayangkan mereka ada lebih 30 orang di dalam kelas yang perlu dididik, diajar. Dalam hal ni, just be fair to the others. Ibubapa lain pun nak anak mereka cemerlang juga. Kalau kita tengok, anak kita ok je dalam kelas, tak kisahlah dia duduk di mana pun. Yang penting dia perlu fokus. Tak perlu pergi serang cikgu hanya disebabkan masalah remeh sebegini. Kita bergantung kepada khidmat guru untuk membantu kita mendidik anak-anak kita, jadi kita bantu juga guru dengan memberi sokongan kepada mereka!

Friday, April 22, 2011

Sayang biar berpada

Setiap ibubapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Sebab itu, kita tengok ramai kalangan kita sanggup buat apa sahaja, asalkan hajat anak tertunai. Rasa bersalah kalau melihat anak kecewa, hajat tak kesampaian. Persoalannya, betul ke cara itu? Atau anak perlu didedahkan dengan kekecewaan, agar mereka dapat membina emosi, bagaimana untuk mengatasi rasa kecewa dengan bijaksana? Ada buruk dan baiknya bagi kedua-dua tindakan yang kita buat.

Bagi ibubapa yang mengambil pendekatan menuruti segala kemahuan anak, hati akan tenang, kepala tak berserabut melihat muka anak masam mencuka atau anak yang diam membatu tanda memberontak. Tapi, percayalah tenang itu hanya untuk sementara sahaja. Akan datang, anak akan buat 'scene' yang sama atau mungkin bertambah lagi, jika kemahuan mereka tidak dituruti. Lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dan kita akan selalu perlu mengalah semata-mata untuk memenuhi permintaan dan kehendak anak-anak. Hasilnya:

++ Dikhuatiri nak-anak akan membesar tanpa belajar erti kecewa dan mereka tidak akan ada kebolehan untuk mengatasi kekecewaan. Satu kemahiran yang amat penting dan perlu dipelajari, kerana kita pun tahu, langit tidak selalunya cerah dan pelbagai cabaran menanti mereka di hadapan.

++ Mungkin anak akan mempunyai kurang kebolehan untuk mengurus kewangan dengan bijak. Sebab mereka dah terbiasa, apa nak boleh dapat. Mama, papa boleh support. Tengok je di sekeliling kita sekarang, students U dah dapat pinjaman, biasiswa tapi masih minta duit kat mak, ayah. Mana pergi duit pinjaman, biasiswa? Dah habis buat beli telefon bimbit canggih, baju berjenama, enjoy, shopping.

++ Bila semua benda mudah dan boleh diperolehi, anak-anak tidak tahu menghargai nilai sesuatu benda.

Bagi ibubapa yang memilih untuk sedikit "kedekut", mungkin perlu berhadapan dengan karenah anak-anak yang merajuk, bilamana hajat mereka tidak dituruti. Kedekut di sini bukanlah bermakna, semua tak boleh. Tapi kita sebagai ibubapa kena kawal kehendak dan kemahuan anak-anak. Kita bertanggungjawab untuk membimbing mereka, kerana anak-anak, lebih-lebih lagi yang masih kecil dan di peringkat awal remaja, mereka belum boleh berfikir dengan rasional. Di sinilah kita sebagai ibubapa perlu memainkan peranan yang sewajarnya.

Sayang anak biar berpada. Jangan nanti bila nasi sudah jadi bubur, baru kita menggelabah.

Friday, February 25, 2011

Tak mahu belajar bahasa melayu ke?

Kadang-kadang bila bercakap dengan mak cik india dan cina di kejiranan ni, buat saya terfikir. Diaorang ni orang Malaysia ke, atau orang India, China? Bahasa Melayu memang out! Tak ada kesedaran ke nak belajar bahasa kebangsaan? Bukan nak rasis... tapi sepatutnya kalau dah memang lahir di Malaysia... tak ada masalah nak bertutur dalam bahasa kebangsaan.. ni merangkak-ragkak. Hakimi yang baru belajar bercakap tu pun lagi terer rasanya!

Tuesday, February 8, 2011

Tuisyen

"Tak hantar anak pergi tuisyen ke?"
"Pandai ek dia kat sekolah, hantar tuisyen ke?"
"Saje je hantar dia tuisyen, dia lemah sikit subjek tu"
"You nak join I? I ada panggil cikgu datang rumah untuk anak I. Kalau you nak, anak you boleh join sekali."

Itu antara pertanyaan yang biasa lalu kat telinga saya bila tiba topik tuisyen. Jangan salah anggap, saya bukan anti tuisyen, ok! Tidak sama sekali! Saya cuma anti pada tuisyen tak bertempat! Tuisyen tak bertempat? Apa tu? Yelah... tuisyen untuk budak umur 5, 6, 7, 8 tahun! Kalau iye pun nak sangat anak tu cemerlang akademik, takkan umur 5 tahun dah hantar tuisyen! Fikirlah sikit kak oiii.. bebudak tu dari pagi sampai tengahari di taska, lepas tu mengaji. Habis mengaji hantar tuisyen pulak. Dah... bila masanya budak-budak tu nak main? Tu belum kira lagi nak kena siapkan homework yang cikgu taska bekalkan balik rumah. Tak ada life bebudak tu.

Sepatutnya budak-budak umur 5 - 9 tahun tu kita biarkan mereka puas jadi kanak-kanak. Biarkan mereka teroka dunia kanak-kanak mereka. Memanglah pelajaran tu penting, tapi dengan cara kita pantau kerja-kerja sekolah mereka, dah cukup rasanya untuk peringkat umur ni. Duit tuisyen tu boleh kita gunakan untuk beli bahan bacaan lain untuk anak-anak.

Sunday, January 30, 2011

Hospital Rakan Bayi

Masa mula-mula balik Malaysia dan berkesempatan melawat anak sepupu Izzad di Hospital Putrajaya, saya tertarik dengan Plak yang ditampal di ruang menunggu hospital. Tertera pengiktirafan 'HOSPITAL RAKAN BAYI'. Tertanya-tanya saya apa pulak Hospital Rakan Bayi ni? Lepas tu barulah saya tahu... apa HRB tu.

Berpeluang melahirkan Izzul Hakimi di Hospital Melaka (juga salah satu HRB), dan pengalaman menemankan adik saya yang berkampung di Hospital Melaka kerana anaknya menghidap 'newborn jaundice' membuatkan saya tertanya-tanya kembali. Layakkah mereka diiktiraf sebagai HRB? Pada pendapat saya, mereka belum layak diiktiraf sebagai HRB. Kenapa? Saya beri sebab dan alasan.

1) Kekurangan pakar laktasi. Seingat saya, hanya seorang pakar laktasi yang saya jumpa. Seorang wanita india. Dia yang beri penerangan semasa kursus suami sebagai peneman dan dia juga yang datang ke wad lepas lebih 6 jam saya bersalin!

2) Sejam pertama selepas bayi dilahirkan adalah waktu paling penting untuk bayi dan ibu, kerana refleks menyusu bayi sangat kuat pada waktu ini. Cogankata ini memang diwar-warkan, tapi tidak dipraktikkan! Bayangkan, lepas melahirkan Hakimi diaorang bagi sekejap Hakimi kat saya, lepas tu masa bidan jahit luka, diaorang bawa keluar Hakimi. Saya tunggu hampir sejam diaorang tak pulangkan Hakimi.. lepas saya minta Hakimi untuk disusukan, baru diaorang bagi. Itupun kejap je.. lepas tu diaorang ambil balik! Adik saya lagi parah... saya lupa nak pesan kat dia suruh minta baby. So lepas 4 jam lahir baru dia mula nak susukan Mu'az... mana nak budak tu. HRB bukan setakat ada pegawai laktasi je... bidan kat wad bersalin pun kena praktikkan juga motto tu!

3) Hospital Rakan Susu Formula di wad kanak-kanak! 2 hari pertama masa Mu'az kena tahan wad, adik saya tak dapat bermalam sekali, jadi pagi saya hantar dia ke hospital, malam saya ambil dia balik. Untuk bekalan susu sebelum dia datang, kami tinggalkan susu yang diperah. Kena masuk dalam bekas plastik, tulis nama, tarikh etc.. Tapi susu adik saya tak digunakan pun untuk susukan Mu'az! Dah pesan, bagi susu ibu, tapi cuma seorang jururawat kat situ yang 'pakai' cakap kami! Menangis adik saya terpaksa buang susu yang dia penat-penat perah. Masa tu dia belum beli pam susu Avent lagi. Beli yang simple je, sampai sakit-sakit tangan dia mengepam susu.

4) Bimbingan ala kadar. Bagi saya yang dah melalui 2 kelahiran sebelum Hakimi, mungkin tak kekok lagi nak menyusukan bayi, tapi kalau macam tulah bimbingan yang pegawai laktasi tu beri untuk semua ibu di situ, senang-senang saya bagi markah 1 daripada 10 markah! Kenapa? Sebab dia datang cuma sekali selama 2 hari saya di wad dan sekadar bertanya, samada saya dah susukan bayi dan beritahu saya supaya teruskan penyusuan. Itu aje!

5) Kemudahan sekadar ada. Tiada bilik khas untuk ibu melarikan diri dan menyusukan bayi sekiranya ibu merasa terganggu dengan kehadiran tetamu pesakit lain di katil sebelah menyebelah.

Banyak lagi saya nak tulis.. tapi nantilah saya masukkan dalam entri lain. Panjang sangat dah, lagipun saya dah mengantuk.. selamat malam!

Thursday, January 27, 2011

Sayangkan isteri, tinggal tinggalkan

Siapalah yang mencipta peribahasa tu kan? Kalau ikut peribahasa tu, Izzad memang bebetul sayangkan saya la ek? Sebab selalu kena tinggal.. hikhikhik. Isnin depan Izzad akan ke Kuantan lagi selama 2 minggu. Jadi, Tahun Baru Cina ni kami bercuti tanpa Izzad lagi. Alang-alang Izzad tak ada, saya plan nak jenguk rumah kat Ayer Keroh. Bersih-bersihkan mana yang patut, pergi potong nama Amira kat SK Bukit Beruang, ambil surat kat rumah Kak Nani. Banyak urusan yang boleh saya selesaikan.

Berbalik kepada tajuk entri hari ni. Sebenarnya sejak baru kahwin lagi saya dah biasa PJJ (Perkahwinan Jarak Jauh) dengan Izzad. Masa saya kat Heidelberg dan Izzad kat Konstanz, kami jumpa 2 minggu atau sebulan sekali. Biasanya saya la yang turun ke Konstanz sebab saya boleh susun jadual kelas 'cantik-cantik' punye. Kelas saya padat dari Isnin sampai Khamis. Jumaat tu pagi je saya ada kelas, beg dah letak siap-siap dalam locker kat stesen keretapi. Jadi habis je kelas pukul 11.15 saya terus bergegas naik keretapi untuk balik ke Konstanz. 5, 6 jam lepas tu, sampailah saya ke Konstanz.

Lepas kami abis belajar, Izzad dapat kerja kat Jerman, saya pulak balik Malaysia dengan baby Nurina. Memula cadang nak balik 2 bulan je, tapi jadi 6 bulan pulak! Kes nak tunggu tiket murah kat MATTA Fair..:) Bila balik semula ke Jerman, Izzad selalu kerja kat site sebab dia buat high speed railway untuk ICE di Ingolstadt dan Nuernberg. 2 minggu sekali baru dia balik. Kalau dia kerja luar Jerman, lagilah 4, 5 minggu baru balik. Jadi saya dah terbiasa uruskan hidup kami anak beranak sendiri.

Wednesday, January 26, 2011

Hari tanpa beg plastik

Rasanya semua orang dah tahu kan, setiap Sabtu mulai Januari 2011 adalah hari tanpa beg plastik. Satu langkah ke arah gaya hidup yang lebih mesra alam. Idea yang amat bagus.

Tengahari Sabtu lepas tetiba Izzad telefon dari pejabat. "Yang, Goh tak hantar lagilah report yang abang nak kena check tu. Kita hantar jam Nina dan Amira kat City Chain tu hari ni nak? Lepas tu boleh beli barang-barang dapur sekali. Abang masuk office esok je la."

So, sabtu tu kami pergi Jusco Teberau City untuk hantar jam Nina dan Amira yang 'pening lalat', beli jeans untuk Nina sebab seluar dia sume dah singkat dan beli barang untuk saya sikit. Lepas tu kami pergi Tesco Extra Plentong untuk beli barang-barang dapur. Tiba Tesco, saya pelik jugakla, kenapa tak ramai orang kat Tesco ni? Saya tengok jam, 22 haribulan. Sebab belum gaji ke? Tapi kalau Tesco Plentong, tak kiralah belum gaji ke, dah gaji ke, memang selalu ramai orang. Atau sebab hari tanpa beg plastik? Saya ngan Izzad buat kesimpulan, mungkin sebab hari tanpa beg plastik! Walaupun kami takdela yakin sangat dengan kesimpulan yang kami buat tu. Jadi hari tu kami dapat berbelanja dengan tenang dan tak perlu tunggu lama di kaunter! Bestnya kalau selalu macam nih :)

Ahad tu, on the way balik ke rumah dari office, Izzad singgah Tesco sekejap sebab dia terlupa nak beli kopi untuk office. Dan memang betul pun apa yang kami agak semalam, sebab orang tak datang shopping hari Sabtu tu. SEBAB TAK ADA BEG PLASTIK! Izzad cakap, cashier kat Tesco yang beritahu. Orang tak datang/kurang datang shopping sebab tak ada beg plastik! Adeh.. sengal betul. Sampai macam tu sekali orang kita tak nak beri sokongan? Kalau kita kata mentaliti dunia ketiga, pandai pulak marah.

Saya tak nampak apa yang susah pun tak ada beg plastik. Masa tinggal di Jerman dulu, kalau pergi kedai memang diaorang tak sediakan beg plastik pun. Ada beg plastik kat kaunter tu, tapi kena bayarlah, 30 cent satu kalau tak silap. Biasanya saya akan bawa beg kain (Einkaufstaschen) dan masukkan barang sume dalam tu. Tak pun bawa je beg galas, ha masukkan sume dalam beg, habis cerita!

Pergi berbelanja kat sini hari Sabtu, macam tu jugaklah kami buat. Tapi sebab naik kereta, kami bawa kotak boleh lipat (Klappbox - saya bawa balik dari Jerman dulu, ada lagi, tahan betul). Kat kereta, sume barang susun @ masukkan dalam kotak. Senang nak angkat masuk rumah. 2 kali angkat dah selesai. Kalau guna beg plastik, mau 4, 5 kali ulang alik angkat beg-beg plastik tu. Kan jimat tenaga! Orang kita ni memang 'resistant' kot untuk pembaharuan, terutama kalau perubahan atau pembaharuan ke arah yang lebih positif! Kalau yang negatif tu cepat je terima. Pelik betul!

Monday, January 24, 2011

Surirumah dan Facebook

Topik macam bagus! Hehehehe... 2 minggu lepas kot, masa tengah tukar siaran kat tv, tetiba tersagkut kejap kat slot Ustazah Siti Nor Bahyah, Semanis Kurma. Pasal Facebookla.. bla, bla, bla. Tapi saya tertarik ngan apa yang Aziz M. Osman cakap.. sume ada pro dan kontranya. Baik dan buruk kesan penggunaan Facebook adalah bergantung kepada si pengguna sendiri. Lepas tu ustazah tu ada tanye tetamu dia sorang lagi (Zila Bakarin kalau tak silap saya) tentang surirumah yang ada Facebook, patut ke tak patut surirumah berfacebook. Saya terus malas nak follow, tukar channel lain.. so saya sendiri pun tak tahu apa pandangan peribadi ustazah tu.

Surirumah dan Facebook. Apa yang salahnya? Apa yang peliknya? Surirumah bukan robot pun. Apa, ingat dengan title surirumah, dah tak boleh nak buat benda lain? Kena masak, jaga anak, uruskan rumah, tanam bunga, jirus bunga, sapu sampah, buang sampah.. itu je? Kalau ada sesiapa la yang fikir macam tu, ha saya suruh diaorang masuk darjah satu balik! Berfacebook tu tak salah. Yang salahnya kalau gunakan Facebook tu untuk tujuan tak baik... macam test market ke, cari cinta lama, cari cinta baru (ni kes untuk yang dah kahwin ek!).

Susu ibu vs susu formula

Terfikir-fikir, apa cerita pertama saya nak masukkan dalam blog ni. Sebenarnya topik ni selalu bermain kat kepala. Cuma baru sekarang ada medium untuk saya ketengahkan topik ni. Saya gunakan dua-dua, susu ibu dan susu formula. Masa Nurina kecil saya susukan dia sepenuhnya sampai dia berumur setahun, lepas tu campur dengan susu formula. Dia 2 tahun je, stop susu ibu dan terus dengan susu formula. Amira pula 2 tahun susu ibu dan lepas tu baru susu formula. Hakimi, susu ibu sampai umur 7 bulan, lepas tu campur. Kenapa campur awal sangat? Nanti saya cerita kat entri lain. Sampai sekarang Hakimi masih belum berhenti susu ibu lagi. Sekarang ni dia kongsi menyusu? Ya betul, kongsi dengan Fahmi. Jadi sekarang saya menyusukan 2 anak lelaki saya (Hakimi 2 tahun 3 bulan, Fahmi 1 tahun 2 bulan).

Saya nak komen banyak pasal susu formula ni pun, saya bukannya pandai sangat. Cuma pada pendapat saya, setiap bayi seharusnya mendapat HAK mereka untuk menyusu susu ibu. Kalau ibu tak mampu untuk susukan 2 tahun seperti disunnahkan, 6 bulan pertama susu ibu sepenuhnya pun memadai. Lepas tu bolehlah campur dengan susu formula.

Saya sendiri masa mengandungkan Nurina, tak pernah terfikir nak beri dia susu formula. Alhamdulillah saya lahirkan Nurina di Jerman, di mana mereka amat menitik beratkan penyusuan eksklusif untuk bayi sehingga berumur 6 bulan! Agaknya kalau masa tu saya di Malaysia, mungkin Nurina membesar dengan susu formula! Bayangkan, selepas Nurina lahir, 4 jam saya dan 3 jururawat (bidan, jururawat kanak-kanak dan pakar laktasi) berusaha supaya Nurina menyusu. Dia hisap 2, 3 kali dan lepas tu tidur! Dan begitulah episod yang sama berulang sepanjang 6 hari saya di hospital.

Sakit, bengkak, nak bergerak pun susah. Mujur saya tak demam dan payudara tak kena jangkitan kuman. Sampaikan terpaksa pam untuk rasa lega sikit. Nurina akan ditimbang setiap kali sebelum dan selepas menyusu untuk memantau jumlah susu yang dia minum. Seksa kan? Kalau tak kuat semangat, mungkin saya dah beralih ke susu formula. Yang buat saya kagum, jururawat dan doktor di situ tak pernah sekali pun bagi cadangan supaya saya susukan Nurina dengan susu formula. Sebaliknya mereka tak henti-henti bagi semangat dan dorongan supaya saya teruskan penyusuan. Ditakdirkan saya di Malaysia masa tu, rasanya dah lama jururawat beri anak saya susu formula!!

Di hospital mereka berikan rawatan akupunktur untuk melancarkan pengaliran susu dan setiap kali lepas menyusukan Nurina, payudara saya akan dituam dengan 'coolig pad' daripada keju sejuk! Bila kami balik rumah, rutin menimbang Nurina dan mengepam susu diteruskan dengan penimbang digital dan pam elektrik Medela yang disewa dari farmasi. Jururawat yang datang memantau saya dan Nurina selama 10 hari pun sentiasa beri dorongan supaya saya teruskan penyusuan. Sakit, luka, rasa tertekan tu adatlah, lebih-lebih lagi untuk ibu muda macam saya, katanya. Yang penting jangan putus asa. Sentiasa rehatkan diri, minda dan banyakkan pengambilan air dan makanan yang berkhasiat dan seimbang.

Saturday, January 22, 2011

Blog dalam Bahasa Melayu

As salam...,
terbuat juga akhirnya blog dalam bahasa melayu. Bukannya malas nak guna bahasa jerman lagi... kokocincau.blogspot.com masih wujud dan akan terus wujud, sebab kat situlah saya akan terus jaga bahasa jerman saya supaya tak berkarat! :p

Kenapa ada blog kedua? Entah ek... hehhehe sebenarnya saya ni memang suka menulis. Pernah berangan-angan nak jadi penulis novel macam Khadijah Hashim, Ahadiat Akashah, tapi itulah, bahasa tak cukup mantap, tersadailah saya kat tengah-tengah. Kira bolehlah.. tak bute teknologi dan tak juga hampeh dalam sastera! Perasan betul anak Pak Usop nih ;)

Jadinya, blog ni khusus untuk saya merapu dalam bahasa ibunda, selain blog kokocincau, kalau tetiba saya nak berangan bermata biru.. hehehehehe. Dan satu lagi, kalau bolehlah, saya akan pastikan penggunaan bahasa saya taklah guna bahasa singkat dan kontot macam tulis SMS tu. Tak ada la nak guna bahasa baku penuh bertatabahasa tu, cuma saya akan cuba sebaik mungkin ok! Tapi kalau tak berjaya jugak... jangan marah... :)