Nuffnang Ads

Showing posts with label Komplen. Show all posts
Showing posts with label Komplen. Show all posts

Friday, January 25, 2013

Tahap sivik masyarakat Malaysia @parking kereta

Semalam Malaysia cuti sempena Maulidur Rasul. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhamad s.a.w. Semalam juga merupakan ulangtahun Nina yang ke 10 mengikut kalendar islam. Nurina lahir pada 12 Rabiulawal 1424 @ 14 Mei 2003.

Selepas bersarapan di rumah, kami ke Nagoya untuk membeli langsir kelas Nina dan kain untuk dibuat jubah Nina dan Amira. Selesai urusan di Nagoya kami ke Johor Jaya pula untuk mencari keperluan pejabat Izzad, tapi tak jumpa pun... kesian Izzad :(. Selesai semua urusan dah tengahari, jadi mencari tempat untuk makan tengahari pula. Kami putuskan untuk ke AEON Bukit Indah sebab dah lama tak makan di BBQ Chicken. Sejak BBQ Chicken di Tesco Extra Plentong ditutup, baru dua kali kami ke BBQ Chicken di AEON Bukit Indah - jauh sangat! Kalau tidak, sejak pindah ke  sini, dah jadi rutin kami sebulan sekali ke BBQ Chicken Plentong. Nak makan setiap minggu di sana, kopaklah poket.. Sebulan sekali satu keluarga, kira ok lagilah.

Cuti umum, pengunjung AEON pun ramai. Masalah utama tentu nak mencari tempat parking. Masing-masing sibuk mencari tempat parking betul-betul depan pintu masuk. Tak salah nak cari tempat yang strategik, yang salah bila parking di tempat yang tak betul. Jalan dua hala yang boleh memuatkan 3 kereta lalu sebelah menyebelah diparkingnya kiri dan kanan jalan. Macam mana orang nak lalu? Kalau setakat parking sebelah je, bolehlah tahan. Ini sampai menyusahkan orang nak lalu. Sikap mementingkan diri tahap gaban betul!

Oklah, kami pergi tempat yang jauh sikit, banyakkkkkk lagi tempat parking, tapi kena berjalan sikitlah. Hampir ke pintu masuk ke TGV Cinema, ada banyak parking lot untuk OKU. Yang menarik perhatian saya, semua lot tersebut berantai dan berkunci? Sampai macam tu sekali kena buat. Sampai terpaksa dirantai, dikunci untuk mengelakkan orang yang tak berkenaan menyalahgunakan tempat parking khas tersebut! Ada tertera nombor telefon untuk dihubungi sekiranya OKU ingin menggunakan tempat tersebut. Perasaan saya bercampur baur: marah, geram, kecewa, malu. Kalaulah pelancong asing melihat keadaan ini, apa agaknya yang mereka fikirkan? Masyarakat kita memang mementingkan diri sendiri. Tak malu untuk menggunakan kemudahan yang buka hak mereka untuk menggunakannya. Kalau di Tesco, orang kita yang tak membawa anak-anak kecil tanpa rasa bersalah dan malu, selamba je menggunakan parking lot yang dikhaskan untuk ibu bapa yang membawa anak-anak kecil.

Kalau di barat, tempat duduk di dalam bas atau keretapi yang dikhaskan untuk OKU, warga emas dan ibu-ibu mengandung akan kekal kosong jika tiada 3 golongan tersebut walaupun bas penuh dan mereka lebih rela berdiri daripada mengambil tempat tersebut. Kenapa? Mereka amat menghormati hak dan lebih patuh kepada undang-undang. Sekiranya ada yang melanggar undang-undang, akan ada orang yang datang tolong mengingatkan. Dan itu bukan sesuatu yang janggal. Tak payah polis, anggota masyarakat sendiri saling mengingatkan antara satu sama lain.

Mereka merasa malu untuk parking di ruangan khas OKU, malu untuk duduk di tempat duduk yang dikhaskan untuk OKU. Nilai-nilai murni ini telah diterapkan sejak mereka kecil lagi. Orang kita? Semuanya main langgar aje... Oh Malaysiaku!






Sunday, December 16, 2012

Perempuan Melayu merokok? Bukan sesuatu yang pelik dah...

As Salam...

bagus je intro hari ni. Hari ni nak bercerita tentang perempuan dan rokok. Kalau zaman saya sekolah dulu, rata-rata yang kena cekup merokok adalah budak lelaki. Tapi sekarang, budak perempuan pun sama naiknya... Tak tahulah bila trend budak perempuan merokok ni sampai ke Malaysia.

Sewaktu di Jerman memang saya tak nafikan, perempuan merokok dengan lelaki merokok dah macam tak ada beza. Mungkin ada yang kata, kalau saya boleh terima keadaan tu, kenapa nak pertikaikan perempuan yang merokok di Malaysia? Hmmm banyak sebabnya. Salah satunya, mereka di sana tu kebanyakannya hidup tanpa pegangan, tak ada agama. Hidup bersama sampai beranak pinak tanpa ikatan perkahwinan yang sah pun sudah menjadi suatu perkara biasa bagi mereka. Jadi isu perempuan merokok dah tentulah cuma sisik je bagi mereka. Tapi kita lain, kita masih beragama, ada adat resam Melayu yang terkenal sebagai bangsa yang penuh tatasusila dan bersopan santun. Jadi bila perempuan melayu merokok, tak ke sangat kontra dengan kebiasaan kita? Itu belum masuk lagi bab fatwa yang mengharamkan rokok... Kalau ikut hukum islam, maka jawapannya adalah NO NO and NO!

Sabtu merupakan hari berbelanja stok mingguan untuk keluarga kami. Semalam kami ke Tesco Extra Plentong. Lepas maghrib kami gerak dari rumah dan makan malam di KFC. Tesco agak lengang dan KFC pun tak sesak. Selang semeja di belakang kami ada 2 orang perempuan, seorang lelaki bersama bayi mereka . Sedang saya menghabiskan lebihan ayam Hakimi, Izzad bersuara membebelkan orang belakang kami merokok sambil memegang bayi. Saya takdelah nak toleh belakang kan, nanti nampak tak sopan pula. Tapi marah jugaklah, apa hal pulak merokok dalam kawasan berhawa dingin, sambil pegang baby pulak tu. Saya bayangkan tentu lelaki tu yang Izzad maksudkan.

Bila kami bangun dan beredar, saya tanya semula kat Izzad, siapa yang merokok tadi. "Perempuan baju putih tu la. Dahla merokok dalam kawasan ni, pegang baby tu. Tak bertanggungjawab betul." Laaaa perempuan rupanya, ingatkan dia bebelkan lelaki yang duduk sebelah dia. Memang tak bertanggungjawab betullah tu... tak pepasal anak dia jadi sekunder smoker. Kalaupun tak sayang diri sendiri, belajarlah sayangkan anak tu. Kadang-kadang bila berjalan dengan anak-anak dan terserempak dengan perempuan yang merokok, mereka akan bertanya juga. Alhamdulillah, biasanya saya akan selalu dapat ilham untuk terangkan situasi kat mereka dan lepas tu selitkan ingatan untuk mereka.. ;) Dah nama pun mak kan? Jadi syarahan jangan dilupa...

Monday, February 13, 2012

Hangin lagi

Siapa agaknya yang mula gunakan perkataan hangin ni? Rasanya tak pernah wujud perkataan hangin ni masa saya sekolah dulu-dulu.

Semalam saya memang hangin betul. Mak saya sekarang ni kerja sampingan dia mengurut orang. Sejak bila dia mula mengurut pun saya tak berapa pasti sebenarnya. Masa saya kecil dulu ada jugalah mak mengurut, tapi biasa-biasa je. Itupun cuma urut anak-anak kalau terseliuh ke, sakit badan ke dan urut kalau abah sakit pinggang. Tapi biasanya sayalah yang tukang pijak-pijak belakang abah bila abah penat atau sakit pinggang.. :). Sebelum saya pergi Jerman dulu mak tak mengurut pun. Bila saya balik 10 tahun kemudian, mak dah jadi tukang urut! Ramai pulak customer!

Dan semalam mak saya dibawa pergi seorang hamba Allah ke rumah dia di Kundang Ulu, kira-kira 10km dari kampung saya untuk mengurut. Janjinya mengurut seorang je. Pukul 11 pagi dia ambil mak kat rumah. Biasanya kalau mengurut seorang je, sejam dah siap. Tapi semalam pukul 6.45 petang baru dia hantar mak balik semula! Cuba bayangkan betapa risaunya kami. Dahla telefon rumah orang tu, dia tak angkat. Kami nak pergi tak tahu arah. Dia pulak langsung tak inform atau telefon beritahu lambat hantar mak balik. Macam-macam perkara timbul kat kepala kami adik beradik. Lagi buat kami sakit hati, dalam jangkamasa tu mak kena urut 6 orang!! Helloooo mak saya tu dah tua, dah 75 tahun. Kesianla sikit kat orang tua tu.

Sebab risau sangat, kakak saya yang tinggal dengan mak di kampung pergi bertanya sana sini untuk cari rumah hamba Allah tu. Masa mak pergi kakak saya tak ada sebab dia ada kelas. Pukul 6.30 petang kakak saya sampai rumah hamba Allah tu dan diberitahu, mak baru je dihantar balik. Tak ada langsung perkataan maaf sebab lewat hantar mak dan tak inform kami. Diaorang boleh buat selamber derk je. Eiiii orang jenis ni pun ada. Tak tahu kami adik beradik punyalah risau semalam. Memang tak ada adab! Malam semalam saya telefon mak, pesan kat mak, kalau orang tu datang minta urut lagi, jangan ikut! Kalau dia banyak songeh, suruh dia telefon saya. Sedap-sedap je buat mak orang macam tu.

Tengahari tadi lepas hantar Amira dan Nurina ke sekolah agama dan angkat Hakimi yang tertidur dalam kereta, Fahmi minta air dan nak tidur. Saya baru je placing atas karpet nak baca suratkhabar. Tiba-tiba Fahmi muntah! Habis sofa, karpet dan lantai. Alahai anak mama... baru nak luruskan badan, dah ada kerja menanti. Jadi mandikan Fahmi, angkat Hakimi masuk bilik dan mula kerja-kerja membersih dan mencuci lantai. Bab cuci najis ni tak boleh ikut suka je. Bukan setakat zahir nampak bersih, tapi tak suci. Cuci muntah tak cukup setakat lap dan lepas tu kita mop. Belum suci lagi tu. Kalau terpijak dengan kaki yang basah, lepas tu dibawa merata-rata rumah sampai ke tempat solat, takut menjejaskan solat kita. Wudhu' tak batal, tapi bila kita dalam keadaan berwudhu' dan nak solat tapi kaki yang basah pijak lantai yang tak suci, tu yang jadi masalah ;). Sebab tu juga saya cukup jaga kalau ada cicak masuk dan tinggalkan najis di lantai. Saya cuci dulu najis cicak tu, kemudian baru mop lantai. Muntah pula perlu dicuci dengan air yang mengalir.

Lepas sesi mencuci dan membersih, saya tengok Fahmi dah tertidur dalam bilik. Jam dah pun pukul 3.15 petang. Nak kena ambil Nurina dan Amira pula. Hakimi dan Fahmi yang tidur perlu dipindahkan ke dalam kereta. Dalam perjalanan ke sekolah, dalam keadaan yang dah terlambat, ada je orang yang tak reti bahasa bila atas jalan. Yang tak reti nak bagi signal bila nak membelok satu hal. Kita ni yek yek le tunggu dia utk beri laluan, la rupenye dia belok. Dah lepas tu bertali arus pulak kereta lalu... geramnya! Dah lepas satu halangan, mamat depan ni pulak bersantai-santai atas jalanraya. Kok iye pun nak bercinta kat telefon tu, takkan bawa 30km/j je? Huhs letihla orang macam ni. Selalu orang kata perempuan je yang tak pandai memandu atas jalan, tapi lelaki pun serupa! Yang ego langsung tak nak beri signal bila belok, yang suka cilok ikut dan dia je, yang keluar simpang tak pandang kiri kanan macamlah dia ada 7 nyawa. Kadang tu bawa kereta besor mahal-mahal tapi tak ikut law! Hish... letih!

Friday, January 6, 2012

Parkinglah elok-elok

Setiap tahun mesti ada mak ayah yang ikut suka dia je parking kereta masa nak tunggu anak balik sekolah. Sakit hati wooo tengok perangai orang macam ni. Beraturlah elok-elok. Ini tidak, ada tu sesuka dia 'double side parking' kat tempat yang sesak. Dah tak pasal-pasal orang sebelah tu takleh nak keluar. Orang belakang tak boleh nak lalu.. yang depan pun tersangkut! Yang beratur parking tepi jalan pulak, minimakanlah jarak seminima mungkin, supaya orang lain pun dapat tempat jugak. Hmmm ada tu jaraknya, nak masuk satu kereta tak muat, tapi kalau tak masuk kereta kat situ, kita bleh dok bersimpuh main batu seremban!

Kalau kat sekolah agama lagi tensen. Jalan dahla sempit, ada jugak yang tak reti-reti nak parking elok-elok supaya ada laluan untuk kereta lain bergerak! Yang dok membatu parking depan pagar tunggu anak pun ada, padahal kat belakang berderet orang tunggu nak lalu!

Letihla orang macam ni. Spesis ni lebih kurang sama dengan orang yang potong barisan ikut lorong kecemasan kat hiway bila jammed. Pentingkan diri sendiri.. omputeh cakap selfish, orang Jerman cakap selbstsuechtig!

Monday, December 5, 2011

Review CAVENZI - pengalaman menyakitkan hati berurusan dengan Cavenzi!

Setelah rumah yang kami beli pada tahun 2008 dan kunci kami terima pada disember 2009 terbiar selama hampir 2 tahun, maka bermula pertengahan tahun ini kami mula menanam rumput di laman, pasang grill, pasang lampu dan kipas. Pengubahsuaian dapur kami KIV dulu memandangkan kami masih lagi tinggal di Pasir Gudang. Cukuplah dengan kabinet kecil di dapur untuk menyimpan sedikit pinggan mangkuk. Lagipun kalau semua benda nak dibuat dalam satu masa, banyak juga perbelanjaannya. Pada cuti Deepavali lepas kami balik lagi ke Melaka untuk mencari perabot. Niat hanya untuk meninjau je di Cavenzi di Taman Semabok Perdana, tapi Izzad terus beli! Hmmm mulanya saya agak keberatan dengan tema hitam putih yang dipilih, tapi melihat kepada bajet kami dan juga keterbatasan waktu untuk Izzad meninjau-ninjau ke kedai lain, saya bersetuju aje. Jadi hari tu kami beli semua perabot asas untuk rumah kami di Cavenzi.

Di Cavenzi kami membeli kelengkapan untuk 3 bilik tidur.  Set bilik 2 dan bilik 3 terdiri daripada katil berukuran queen, meja sisi, almari 2 pintu dan cermin. Set untuk bilik tidur utama terdiri daripada katil bersaiz queen, almari 4 pintu, meja solek, kerusi dan meja sisi. Selain daripada itu set ruang tamu terdiri daripada sofa 3+2, meja kopi, rak TV dan multimedia dan rak pamer juga menjadi pilihan. Untuk ruang makan kami memilih meja empat segi dengan 6 kerusi. Kami beli mana yang penting sahaja. Bilik 4 kami biarkan kosong dulu sebab bilik tu akan digunakan sebagai bilik bacaan dan bilik kerja. Perancangannya kami akan buat build in book storage dan work place. Mungkin saya akan tempatkan day bed yang boleh dijadikan tempat tidur juga. Setelah membayar deposit sebanyak 30% daripada jumlah belian, kami bersetuju untuk penghantaran barang pada 19.11.2011. Bayaran penuh perlu dibuat sebelum penghantaran barang.

Seminggu selepas membuat tempahan, bahagian stor Cavenzi menghubungi saya untuk memastikan tarikh penghantaran. Mengambilkira kekangan waktu, saya membuat perubahan tarikh penghantaran dari 19.11.2011 ke 21.11.2011 untuk membolehkan saya pulang ke Melaka dan melunaskan baki bayaran sebanyak 70%. 18 November merupakan hari terakhir penggal persekolahan, jadi saya bimbang tak sempat balik ke Melaka. Jadi kami bersetuju dengan tarikh yang baru. Pada pagi 19 November saya ke Cavenzi untuk melangsaikan baki bayaran dan mereka berjanji untuk menelefon saya petang itu bagi menetapkan masa penghantaran. Satu petang saya menunggu, malam baru mereka telefon untuk MENANGGUHKAN PENGHANTARAN!! Hah?? Lepas bayar habis tiba-tiba nak tangguh pulak! Selepas berbincang, saya TERPAKSA bersetuju dengan tarikh baru, 23.11.2011. Sebelum tu mereka beri pilihan untuk hantar separuh barang, pasang kemudian. Atau hantar pada 24.11.2011. Mana boleh sebab saya dah plan nak balik semula ke Pasir Gudang pada hujung minggu tu. Dan sebelum tu saya nak bawa anak-anak balik ke rumah mak pada hari Khamis!

Pagi Ahad saya ke Cavenzi sekali lagi untuk meluahkan ketidakpuasan hati saya kepada Pengurus Cavenzi. Mereka berjanji, barang-barang saya akan dihantar pada 23.11.2011 lengkap! Tidak ada satu barang pun akan tertinggal! Pengurus Cavenzi Melaka, Encik Iskandar Ong sendiri berkata, dia akan pastikan barang-barang saya akan dihantar tepat pada tarikh baru yang telah dipersetujui. Saya siap ingatkan sekali lagi, kalau hantar 2, 3 kali, berapa kali saya nak ulang alik JB-Melaka. Berbekalkan janji Encik Iskandar, saya pulang ke rumah. Pada 23.11.2011 mereka menelefon saya lebih kurang pukul 10.00 pagi untuk mengetahui jalan ke rumah. "Hmm, bagus jugak diaorang ni, janji pukul 11, tapi pukul 10 dah sampai", fikir saya. Tiba di rumah, satu persatu barang diturunkan dan saya dihidangkan dengan satu kejutan! Barang-barang saya masih tak lengkap! Barang dah turun baru mereka nak beritahu?? Apa boleh saya buat selain dari terpaksa bersetuju untuk penghantaran berikutnya? Saya tanya bila? "Minggu depan" jawab mereka. Saya nak tarikh tapi yang saya dapat hanya MINGGU DEPAN. Sedap-sedap je diaorang aturkan jadual saya. Ingat JB-Melaka tu sebelah rumah ke apa? Mana masa saya lagi, minyak, tol... Yang paling saya sakit hati bila keluar 'statement'. "Akak pilih je masa yang sesuai dengan akak, tak payah pening kepala, kami akan hantar ikut masa akak. Bila-bila masa akak 'free' akak 'call' je kami dan kami akan hantar barang."

Hellooooooo sedapnya mulut bercakap. Ini saya dah atur masa sayalah ni, tapi korang yang tak padai nak tepati janji dan tak pandai nak telefon beritahu pulak tu. Cara cakap, macam saya yang buat masalah. Sudahlah tu ada ke patut sampai rumah baru beritahu saya, barang tak lengkap! Memang tak bertanggungjawab! Lepas siap pasang set bilik tidur, baru saya perasan, sofa tak ada. Saya tanya pekerja yang pasang katil tu. Dia kata, lori akan datang sekali lagi untuk hantar. Laaa.. tadi kata almari bilik tidur 3 je yang tak ada dengan set meja makan. Bila saya periksa semula, untuk bilik tidur 3 cuma ada tilam je!!!! Tak boleh jadi nih. Nak marah, yang ada cuma 2 orang budak tukang pasang je. Saya diamkan. Tak lama lepas tu pemandu lori telefon saya lagi. Saya ingatkan nak beritahu dia nak hantar sofa, rupanya nak beritahu, sofa akan dihantar sekali dengan set bilik tidur 3 dan set meja makan. Ya Allah, sakitnya hati saya hanya tuhan je yang tahu. Nak je saya sembur, tapi saya masih bersabar. Sakit hati tapi macam biasa TERPAKSA terima. Masa tu tak terfikir pun nak telefon Encik Iskandar, pengurus Cavenzi Melaka. Cuma petang tu saya SMS Encik Iskandar, beritahu situasi saya. Ingat dia nak jawab? Hmmmm jangan harap!! Sakit hati buat saya langsung tak ada mood nak telefon dan ke Cavenzi lagi. Izzad pun suruh tunggu je sampai minggu depan.

Seminggu menunggu, akhirnya pada hari Rabu, 30 November mereka telefon untuk 'confirmkan' tarikh penghantaran barang yang masih kurang. Mereka nak hantar pada hari Khamis, 01.12.2011. Hari Jumaat baru saya terima semua barang saya sebab Khamis tu kereta rosak pulak (bateri kong) jadi saya tak dapat balik ke Melaka.

Kesimpulan yang boleh saya buat lepas berurusan dengan Cavenzi:

  1. Saya tak akan lagi ke Cavenzi untuk membeli perabot!
  2. Service out!
  3. Communication and management out!
  4. Mereka buat polisi, pembeli kena lunaskan bayaran sebelum penghantaran barang, tapi mereka sendiri tak dapat tepati tarikh penghantaran.
  5. Service after sale out! Mentang-mentanglah kami dah lunaskan bayaran, tak ada inisiatif dari bahagian sale untuk bertanya samada barang kami dah sampai atau tidak. Juga tidak, selepas aduan pertama yang saya buat. Tak usah tanya tentang SMS saya yang tak berbalas. Kalau beli setakat dua tiga ratus, mungkin saya boleh terima kalau diberi layanan seperti ni, tapi kami beli barang lengkap untuk satu rumah. Memang tak pandai jaga customer. Menyesal pun ada berhabis beribu kat diaorang...


Berminat dengan CAVENZI?? Lupakan saja... jangan harap saya akan ke sana lagi!

Tuesday, May 3, 2011

Orang sakit mental melambak!

Bila kita obses dengan sesuatu, dan kita menyeksa orang lain untuk mendapatkan apa yang kita mahu, itu dah masuk kategori sakit mental! Kenapa saya kategorikan seperti itu? Seseorang yang obses terhadap sesuatu, dan tidak berupaya untuk mengawal keinginan tersebut, dia akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan yang dihajati dengan apa cara sekalipun. Dalam situasi ini, banyak tindakan yang dilakukan adalah sangat tidak masuk akal, keterlaluan.

Kenapa ya, manusia adalah semulia-mulia umat yang diberikan akal oleh Allah. Manusia jugalah yang banyak melakukan kemusnahan.. sesama manusia. Bila jiwa kacau, kita perlu kembali kepada Allah, jangan bertuankan nafsu!

Friday, February 25, 2011

Tak mahu belajar bahasa melayu ke?

Kadang-kadang bila bercakap dengan mak cik india dan cina di kejiranan ni, buat saya terfikir. Diaorang ni orang Malaysia ke, atau orang India, China? Bahasa Melayu memang out! Tak ada kesedaran ke nak belajar bahasa kebangsaan? Bukan nak rasis... tapi sepatutnya kalau dah memang lahir di Malaysia... tak ada masalah nak bertutur dalam bahasa kebangsaan.. ni merangkak-ragkak. Hakimi yang baru belajar bercakap tu pun lagi terer rasanya!

Tuesday, February 8, 2011

Tuisyen

"Tak hantar anak pergi tuisyen ke?"
"Pandai ek dia kat sekolah, hantar tuisyen ke?"
"Saje je hantar dia tuisyen, dia lemah sikit subjek tu"
"You nak join I? I ada panggil cikgu datang rumah untuk anak I. Kalau you nak, anak you boleh join sekali."

Itu antara pertanyaan yang biasa lalu kat telinga saya bila tiba topik tuisyen. Jangan salah anggap, saya bukan anti tuisyen, ok! Tidak sama sekali! Saya cuma anti pada tuisyen tak bertempat! Tuisyen tak bertempat? Apa tu? Yelah... tuisyen untuk budak umur 5, 6, 7, 8 tahun! Kalau iye pun nak sangat anak tu cemerlang akademik, takkan umur 5 tahun dah hantar tuisyen! Fikirlah sikit kak oiii.. bebudak tu dari pagi sampai tengahari di taska, lepas tu mengaji. Habis mengaji hantar tuisyen pulak. Dah... bila masanya budak-budak tu nak main? Tu belum kira lagi nak kena siapkan homework yang cikgu taska bekalkan balik rumah. Tak ada life bebudak tu.

Sepatutnya budak-budak umur 5 - 9 tahun tu kita biarkan mereka puas jadi kanak-kanak. Biarkan mereka teroka dunia kanak-kanak mereka. Memanglah pelajaran tu penting, tapi dengan cara kita pantau kerja-kerja sekolah mereka, dah cukup rasanya untuk peringkat umur ni. Duit tuisyen tu boleh kita gunakan untuk beli bahan bacaan lain untuk anak-anak.

Wednesday, January 26, 2011

Hari tanpa beg plastik

Rasanya semua orang dah tahu kan, setiap Sabtu mulai Januari 2011 adalah hari tanpa beg plastik. Satu langkah ke arah gaya hidup yang lebih mesra alam. Idea yang amat bagus.

Tengahari Sabtu lepas tetiba Izzad telefon dari pejabat. "Yang, Goh tak hantar lagilah report yang abang nak kena check tu. Kita hantar jam Nina dan Amira kat City Chain tu hari ni nak? Lepas tu boleh beli barang-barang dapur sekali. Abang masuk office esok je la."

So, sabtu tu kami pergi Jusco Teberau City untuk hantar jam Nina dan Amira yang 'pening lalat', beli jeans untuk Nina sebab seluar dia sume dah singkat dan beli barang untuk saya sikit. Lepas tu kami pergi Tesco Extra Plentong untuk beli barang-barang dapur. Tiba Tesco, saya pelik jugakla, kenapa tak ramai orang kat Tesco ni? Saya tengok jam, 22 haribulan. Sebab belum gaji ke? Tapi kalau Tesco Plentong, tak kiralah belum gaji ke, dah gaji ke, memang selalu ramai orang. Atau sebab hari tanpa beg plastik? Saya ngan Izzad buat kesimpulan, mungkin sebab hari tanpa beg plastik! Walaupun kami takdela yakin sangat dengan kesimpulan yang kami buat tu. Jadi hari tu kami dapat berbelanja dengan tenang dan tak perlu tunggu lama di kaunter! Bestnya kalau selalu macam nih :)

Ahad tu, on the way balik ke rumah dari office, Izzad singgah Tesco sekejap sebab dia terlupa nak beli kopi untuk office. Dan memang betul pun apa yang kami agak semalam, sebab orang tak datang shopping hari Sabtu tu. SEBAB TAK ADA BEG PLASTIK! Izzad cakap, cashier kat Tesco yang beritahu. Orang tak datang/kurang datang shopping sebab tak ada beg plastik! Adeh.. sengal betul. Sampai macam tu sekali orang kita tak nak beri sokongan? Kalau kita kata mentaliti dunia ketiga, pandai pulak marah.

Saya tak nampak apa yang susah pun tak ada beg plastik. Masa tinggal di Jerman dulu, kalau pergi kedai memang diaorang tak sediakan beg plastik pun. Ada beg plastik kat kaunter tu, tapi kena bayarlah, 30 cent satu kalau tak silap. Biasanya saya akan bawa beg kain (Einkaufstaschen) dan masukkan barang sume dalam tu. Tak pun bawa je beg galas, ha masukkan sume dalam beg, habis cerita!

Pergi berbelanja kat sini hari Sabtu, macam tu jugaklah kami buat. Tapi sebab naik kereta, kami bawa kotak boleh lipat (Klappbox - saya bawa balik dari Jerman dulu, ada lagi, tahan betul). Kat kereta, sume barang susun @ masukkan dalam kotak. Senang nak angkat masuk rumah. 2 kali angkat dah selesai. Kalau guna beg plastik, mau 4, 5 kali ulang alik angkat beg-beg plastik tu. Kan jimat tenaga! Orang kita ni memang 'resistant' kot untuk pembaharuan, terutama kalau perubahan atau pembaharuan ke arah yang lebih positif! Kalau yang negatif tu cepat je terima. Pelik betul!

Monday, January 24, 2011

Surirumah dan Facebook

Topik macam bagus! Hehehehe... 2 minggu lepas kot, masa tengah tukar siaran kat tv, tetiba tersagkut kejap kat slot Ustazah Siti Nor Bahyah, Semanis Kurma. Pasal Facebookla.. bla, bla, bla. Tapi saya tertarik ngan apa yang Aziz M. Osman cakap.. sume ada pro dan kontranya. Baik dan buruk kesan penggunaan Facebook adalah bergantung kepada si pengguna sendiri. Lepas tu ustazah tu ada tanye tetamu dia sorang lagi (Zila Bakarin kalau tak silap saya) tentang surirumah yang ada Facebook, patut ke tak patut surirumah berfacebook. Saya terus malas nak follow, tukar channel lain.. so saya sendiri pun tak tahu apa pandangan peribadi ustazah tu.

Surirumah dan Facebook. Apa yang salahnya? Apa yang peliknya? Surirumah bukan robot pun. Apa, ingat dengan title surirumah, dah tak boleh nak buat benda lain? Kena masak, jaga anak, uruskan rumah, tanam bunga, jirus bunga, sapu sampah, buang sampah.. itu je? Kalau ada sesiapa la yang fikir macam tu, ha saya suruh diaorang masuk darjah satu balik! Berfacebook tu tak salah. Yang salahnya kalau gunakan Facebook tu untuk tujuan tak baik... macam test market ke, cari cinta lama, cari cinta baru (ni kes untuk yang dah kahwin ek!).