Rasanya tak ada orang yang tak suka menerima kejutan kan? Terutama kalau bab-bab yang membabitkan hadiah... haaa boleh senyum sampai ke telinga kan? ;). Suatu masa dahulu orang kita tak pernah bersungut kalau menerima tetamu tanpa dijangka - juga satu bentuk kejutan, sebab kita sering dididik dan diasuh: "Muliakan tetamu kerana mereka datang dengan/membawa rezeki". Saya yang masih kecil waktu tu fikir, buah tangan yang dibawa itulah "rezeki" yang dimaksudkan.. :D.. budak-budak kan lurus... mana faham mainan bahasa! Seiring dengan peredaran zaman, cara hidup orang kita pun semakin berubah. Nilai-nilai yang baik juga semakin terhakis. Berkunjung ke rumah orang tanpa terlebih dahulu memaklumkan kepada tuan rumah kini dianggap sebagai kurang sopan. Dalam masa 30 tahun, nilai yang dahulunya dilihat sebagai baik, kini tidak lagi. Masyarakat kita berkembang menjadi sebuah masyarakat yang individualistik. Dalam hal ini kita memang setaraf barat!
Eh melalut pulak dah... Biasalah kan, kalau dah mula menaip... panjang pula jadinya. Berbalik kepada membuat kejutan atau surprise. Kejutan saya untuk keluarga yang paling menjadi ialah kepulangan saya untuk kali pertama setelah berada di Jerman selama setahun lebih. Selepas membeli tiket, saya hanya maklumkan kepada adik dan kakak saya dan minta mereka merahsiakan kepulangan saya. Tahun 1996, talian telefon masih belum ada di kampung, jadi surat sahaja yang jadi penghubung antara saya dan keluarga. Kapalterbang dari Frankfurt mendarat awal pagi di Subang dan dari Subang saya ambil teksi ke Puduraya. Terkial-kial mengangkat beg besar ke tingkat atas.. "Takpe demi sebuah kejutan, semuanya sanggup ku redah..hehehe". Beli tiket KL-Muar. Tunggu bas. Sampai Muar hampir tengahari, saya upah beca untuk hantar beg dari Perhentian Bas Ekspres di Bentayan ke Hentian Teksi di Maharani sejauh 1 km, saya jalan kaki je, sebab tak sampai hati nak naik beca dan biarkan pakcik tua tu mengayuh. Tapi beg yang naik beca tu? Errr.. hehehe, tu lain... hahahha. Dengan matahari terik atas kepala, saya mula menyesal, "kenapalah pandai sangat aku ni... nak buat kejutan konon". Lepas tu kena tunggu teksi pulak nak masuk ke kampung.. Selagi tak cukup penumpang, teksi taknak jalan. Masa tu tak terfikir utk charter je satu teksi...
Korum cukup, ok jalan... Dah lepas tengahari dah masa tu. Dari Muar nak sampai ke kampung mengambil masa antara 45 minit hingga sejam, bergantung kepada pemandu teksi. Kalau dia buat kerja gila berhenti kat Bukit Gambir dan tunggu penumpang nak ke Gersik atau Kundang Ulu lagilah hampeh... Sepanjang perjalanan hati dug dag dug dag.. macam nak periksa. Sejam berlalu, sampailah depan rumah... senyap, sunyi sepi... Saya heret beg ke pintu tengah rumah. "Assalammualaikum...." Salam ke 2 baru bersahut dan pintu dibuka. Depan mata saya abah dengan muka terkejut, tak percaya. Masa saya salam dan peluk abah, dia bersuara dalam bahasa Jawa, "bertuah punya anak, kenapa nak balik tak cakap?". Ada air mata yang bergenang di mata abah dan saya dah mula menangis.. :') Menangis gembira! Gembira dapat jumpa abah dan keluarga, juga sebab misi saya berjaya!
Selepas tu ada sekali lagi saya balik tak beritahu juga, tapi abah macam dah agak sebab tetiba adik ke Muar. Dia paksa mak ikut adik... :). Sebenarnya selain nak buat kejutan, sebab utama ialah saya tak mahu menyusahkan keluarga. Dulu kami bukan orang senang, tak ada kenderaan sendiri kecuali sebuah motosikal. Jadi, kalau saya nak mereka ambil di airport, mereka kena sewa kereta. Biarlah saya yang bersusah sedikit tak mengapa...