Memandangkan dua anak saya , Nurina dan Amira dilahirkan di Jerman, jadi mereka tiada Mykid. Semua urusan pendaftaran selama ini terpaksa dilakukan dengan nombor sijil lahir sahaja. Setiap tahun, soalan yang sama akan diajukan guru kelas.. ,"awak tak ada nombor mykid? Eh macam mana boleh tak ada nombor mykid?" Jadi panjanglah anak-anak saya perlu jelaskan kepada guru masing-masing.
Dua tahun selepas pulang ke Malaysia, saya ada ke JPN Alor Gajah untuk bertanya tentang situasi anak saya, samada perlu buat Mykid atau tidak. Pegawai yang bertugas kata tak perlu dan tak boleh buat. Saya perlu tunggu hingga anak berusia 12 tahun.
Tahun lepas kami perlu buka akaun Tabung Haji untuk Nurina sebagai syarat untuk mengikuti Kem UPSR anjuran Berita Harian dan Tabung Haji di MRSM Pontian. Malangnya kami diberitahu sistem Tabung Haji hanya menerima nombor pengenalan diri dalam bentuk no Mykad/Mykid. Tarikh lahir Nurina pula seminggu sebelum tarikh tutup pendaftaran - masa agak suntuk. Tepat 14 Mei kami ke JPN untuk buat Mykad Nurina, tapi malangnya kami dimaklumkan nama Nurina masih belum diupdate ke dalam sistem database JPN dan permohonan perlu JPN majukan kepada pihak kedutaan untuk proses kemaskini data. Adoi.. dahla kami memang perlukan nombor kad pengenalan tu. Nak buat macam mana, tunggu ajelah. Seminggu jugalah kami tunggu panggilan telefon dari JPN. Dapat je panggilan JPN, malam tu terus ke UTC JB untuk buat Mykad. Nasib baik ada UTC, malam pun boleh buat urusan kerajaan. Hanya selepas itu baru dapat buka akaun Tabung Haji.
Atas alasan tak mahu Amira pun mengalami nasib yang sama, jadi semasa proses membuat Mykad Nurina, saya ajukan lagi soalan yang sama kepada pegawai bertugas di UTC JB - Mykid untuk Amira. Jawapan yang sama juga saya dapat - tunggu hingga berumur 12 tahun.
Selepas keputusan UPSR keluar, Nurina menghadapi masalah untuk mohon ke Sekolah Kawalan kerana data APDM tidak tally dengan data JPN : di APDM Nurina masih guna nombor sijil lahir sebagai dokumen pengenalan diri tetapi di JPN dah ada nombor Mykad. Puas cikgu dan pegawai di PPD Pasir Gudang berusaha untuk mendaftarkan nama Nurina, tetapi masih gagal. Seminggu masalah tak selesai. Akhirnya saya ambil inisiatif menulis sendiri email ke admin APDM di Putrajaya, alhamdulillah mereka update data Nurina di APDM dan namanya berjaya didaftarkan.
Ekoran masalah dan kesulitan tersebut, saya nekad sekali lagi ke JPN Cawangan UTC JB untuk bertanya lagi tentang Mykid Amira. Kali ini dengan 2 pegawai lain dan 2 jawapan yang berbeza. Pegawai pertama kata tak boleh dan kami disuruh tunggu sehingga Amira berumur 12 tahun, manakala pegawai kedua pula kata boleh buat tetapi hanya di JPN Negeri di Setia Tropika. Pelik bila ada 2 jawapan berbeza. Saranan mana yang kami ikut? Sudah tentu saranan pegawai kedua sebab memang itu yang kami mahukan!
Susulan daripada itu, maka hari ini saya dan Izzad ke JPN Negeri Johor untuk membuat permohonan Mykid untuk Amira. Malam sebelumnya saya dah siapkan semua dokuman berkaitan: borang permohonan, Borang W - sijil akuan lahir di luar negara dan sijil lahir asal yang dikeluarkan pihak berkuasa Jerman.
Jadi berjaya atau tidak permohonan saya? Jawpannya: Permohonan berjaya! Prosesnya sangat mudah. Ambil nombor untuk pendaftaran kewarganegaraan dan bila nombor dipanggil, kemukakan aje borang permohonan di kaunter. Mudah dan cepat! Pegawai yang bertugas di kaunter terangkan, asalkan anak tersebut dah tinggal menetap di Malaysia dan tiada komitmen di luar negara lagi, boleh mohon Mykid jika anak belum berumur 12 tahun. Dengan Mykid mereka dah ada nombor kad pengenalan sesiap dan semua urusan pendaftaran di sekolah akan jadi lebih mudah.
Masih tertanya-tanya kenapa 3 pegawai JPN sebelum ini berikan kami maklumat yang salah... Samada mereka memang tak tahu atau?? Hmmm.. Apapun lega sebab Amira dah ada nombor kad pengenalan. Mudahlah urusan pendaftaran untuk UPKK tahun ini dan UPSR serta SDEA tahun hadapan.
Jadi untuk anda yang ada anak lahir di luar negara, bila balik ke Malaysia dan anak-anak belum berumur 12 tahun, pergi ke JPN Negeri dan buat permohonan untuk mendapatkan Mykid untuk mereka. Tanpa nombor kad pengenalan, anak-anak anda mungkin bakal mengalami masalah seperti yang saya terangkan di atas. Masalah remeh je pun, tapi kalau boleh dielakkan, elok kita elakkan.
Jadi untuk anda yang ada anak lahir di luar negara, bila balik ke Malaysia dan anak-anak belum berumur 12 tahun, pergi ke JPN Negeri dan buat permohonan untuk mendapatkan Mykid untuk mereka. Tanpa nombor kad pengenalan, anak-anak anda mungkin bakal mengalami masalah seperti yang saya terangkan di atas. Masalah remeh je pun, tapi kalau boleh dielakkan, elok kita elakkan.