Nuffnang Ads

Wednesday, November 2, 2011

Serba salah

Sehingga kini, saya amat tidak bersetuju sekiranya anak saya dilantik menjadi pengawas sekolah seawal usia 9 tahun. Pengawas sekolah bererti dia akan berbaju lain, tak kiralah dari segi warna atau jenis. Saya tak mahu dia berasa, dirinya 'lebih' dari orang lain. Saya khuatir ia akan menjadi titik tolak kepada wujudnya perasaan 'perasan bagus' di dalam diri anak-anak saya.

Dan semalam, perkara itu berlaku. Nurina pulang dari sekolah dan menyerahkan surat lantikan dirinya sebagai pengawas sekolah bagi sesi persekolahan 2012. Bukan menidakkan keupayaan anak sendiri, juga bukan tidak mahu bekerjasama dengan pihak sekolah, tapi saya masih kuat dengan pendirian saya sebelum ini. Masih terbayang di ruang mata pengalaman bersekolah suatu masa dahulu. Ketika dalam darjah 5, kawan-kawan yang rapat dengan saya dilantik menjadi pengawas. Selepas mereka bertudung biru, saya bukan lagi kawan mereka. Pengawas dengan 'klik' mereka sendiri. Sebab itu saya berazam untuk tidak jadi seperti mereka apabila saya sendiri dilantik menjadi pengawas sekolah pada tahun berikutnya. Pengalaman yang sama berlaku semasa di sekolah menengah. Saya hanya 'diterima' semula apabila saya juga berbaju biru seperti mereka!

Anak-anak, saya tanamkan dengan sifat jangan memilih kawan. Asalkan dia baik, tak kisahlah dia pandai atau tidak, kawan je. Selalu saya bertanya, siapa rakan sebelah meja; dengan siapa dia rehat dan berkongsi bekalan makanan yang saya bekalkan. Saya galakkan dia berkongsi makanan dengan rakan. Tujuan saya, mudah-mudahan akan membina sifat pemurah dalam diri anak-anak saya.

Berbalik kepada cerita pengawas. Saya tidak bersetuju. Izzad bersetuju, tapi selepas mendengar alasan saya, dia serahkan semula keputusan kepada saya. Alasan Izzad, saya yang lebih kenal anak kami, sebab dia jarang bersama anak-anak - tak tahu nak 'judge' sifat sebenar anak-anak. Nurina pula bersungguh-sungguh nak jadi pengawas! Semalam dia menangis semahunya (tanpa suara) bila saya kata TAK BOLEH. Hari ni pun sama juga. Saya masih belum kembalikan borang persetujuan ibu bapa. Saya tersepit antara kemahuan saya dan anak. Bimbang sekiranya keputusan mengikut kemahuan dan acuan saya bakal mengguris hati anak dan meninggalkan bekas di hati mereka. Bagaimana jika ia menjadi dendam yang terpendam? Tambah teruk sekiranya ia menyebabkan dia kehilangan tumpuan di sekolah.

Barangkali isu ini remeh bagi sesetengah ibu. Cuma ia agak memenuhkan kepala saya saat ini.. :). Hampir saja menenggelamkan rasa teruja saya untuk Amira yang akan mewakili daerah Pasir Gudang dalam Kuiz Kecemerlangan Akademik PASTI peringkat negeri Johor di Simpang Renggam esok. 2 tahun lepas Nurina mendapat tempat kedua peringkat negeri Melaka. Bagaimana dengan Amira? Good Luck Amira, Viel Glueck!!

-----Update-----
Amira dapat tempat ketiga untuk seluruh negeri Johor dan Pelajar Terbaik Pasti Kawasan Pasir Gudang 2011. Alhamdulillah....

No comments:

Post a Comment