Nuffnang Ads

Friday, May 4, 2012

Rindu yang tak pernah padam

Pagi ini saya secara tidak sengaja ke halaman Ustaz Hasrizal Abdul Jamil menceritakan tentang pemergian ayahandanya yang tercinta pada tahun 1992. Sebagai seorang yang memang rapat dengan abah, air mata pasti akan berjurai gugur bila membaca kisah seperti ini. Kememeh tu memang satu hal lah kan, tapi topik kenangan hubungan ayah-anak memang selalu buat saya hiba.

Sehingga sekarang saya seboleh mungkin mengelakkan pengunaan perkataan 'arwah' bila menyebut nama abah atau bila bercerita tentang abah. Bagi saya, abah masih dan akan terus hidup di hati saya sampai bila-bila. Bukan nak menafikan pemergian abah, tapi menyebut 'arwah' seakan menjarakkan antara saya dan abah. Lagilah dengan ketiadaan pusara yang boleh kami kunjungi (abah meninggal di Madinah selepas selesai mengerjakan ibadah haji bersama mak pada 2005), membuatkan saya rasa, abah masih ada! Tiada pusara bukan bermakna tidak boleh berdoa untuk abah. Saya cuba pastikan ada fatihah untuk abah setiap kali usai solat (walaupun kadang-kadang termiss juga terutama bila solat dalam keadaan nak cepat! - maaf bah, akan cuba perbaiki). Dalam keadaan biasa pun, bila teringat abah, saya akan sedekahkan fatihah. Hanya itu yang mampu saya buat sekarang sebagai balasan atas bakti dan jasanya membesarkan saya dan memberi didikan hingga saya mampu pergi jauh hingga ke Jerman. Dan segalanya atas pertolongan Allah jua!

 Dulu abah selalu pesan, setiap kali usai solat jangan lupa sedekah fatihah untuk Nabi Muhammad saw, sahabat-sahabat nabi, datuk nenek yang dah meninggal dunia, ibu bapa kalau mereka dah pergi. "Nanti terang kubur mereka. Kalau tidak, gelap je". Saya tak mahu kubur abah gelap. Saya tak mahu jadi anak yang tak tahu mengenang budi. Saya tak mahu 'tinggalkan' abah keseorangan. Saya mahu abah sentiasa ada. Abah sentiasa 'hidup' di hati saya.

No comments:

Post a Comment