Sejak 7 tahun lepas, kedatangan 14 Februari akan membuatkan saya pilu. Hari ini genap 7 tahun abah pergi meninggalkan kami. Abah pergi mengadap Ilahi selepas menunaikan rukun islam yang kelima. Abah menghembuskan nafas terakhir di Madinah beberapa jam sebelum bertolak ke Jeddah untuk mengambil penerbangan pulang ke tanah air pada 14 Februari 2005 jam 4.50 petang waktu Madinah. Hanya emak yang menemani abah hingga ke akhir hayatnya. Emak kata abah berjaya menyempurnakan syahadahnya dan hanya kalimah Allah, Allah yang keluar dari bibir abah hingga ke nafas yang terakhir. Syukur padamu Ya Allah. Abah pergi dalam keadaan yang baik.
Kesian mak terpaksa meninggalkan jasad abah sebelum selesai urusan pengkebumian sebab perlu menaiki pesawat yang telah dijadualkan. Pengurusan jenazah disempurnakan sepenuhnya oleh pihak Tabung Haji. Terima Kasih Tabung Haji! Setelah selesai urusan pengkebumian, kami telah dihubungi oleh pegawai Tabung Haji yang memaklumkan bahawa jenazah abah telah selamat disemadikan di Perkuburan Baqi' pada 15 Februari 2005. Sebelum itu jenazah abah telah disembahyangkan di Masjid Nabawi usai solat Fardhu Subuh. Alhamdulillah!
Alhamdulillah juga Allah memudahkan urusan saya untuk pulang bercuti ke Malaysia sebelum abah bertolak ke Mekah pada awal Januari 2005. Teringat kata-kata adik semasa saya beritahu, tak pasti lagi samada dapat balik sebelum abah ke Mekah atau saya hanya akan pulang bercuti untuk menyambut kepulangan abah dari Mekah. Adik kata:
"Abah cakap nko kena balik jugak sebelum abah gi Mekah. Abah nak ko balik." Masa tu agak pelik juga sebab selama 9 tahun saya di Jerman, tidak pernah sekali pun abah mendesak supaya saya balik bercuti ke Malaysia. Rupanya itulah kali terakhir saya bertemu abah. Teringat lambaian akhir abah semasa beratur sebelum masuk ke dewan menunggu di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya. Abah tersenyum sambil melambai ke arah saya dan adik. Ya Allah, rindunya pada abah... rindu sangat-sangat.
Abah tak sempat tunggu saya pulang terus ke Malaysia pada September 2005 tu, abah pergi lebih awal. Abah tak sempat merasa tinggal di rumah baru yang kami adik beradik kongsi bina untuk abah dan mak, abah pergi lebih awal. Abah tak sempat mendukung anak kedua saya, Amira yang ketika itu 4 bulan dalam kandungan, abah pergi lebih awal.
Saya bukan hanya hilang abah. Saya hilang teman bercerita. Saya hilang tempat membuat rujukan. Saya hilang tempat bermanja. Saya ralit bila mendengar abah bercerita. Dari kisah abah kecil yang kematian ibu ketika berusia 10 tahun. Bagaimana abah dihalang masuk ke sekolah Inggeris (High School Muar) setelah tamat darjah 4. Kisah abah merantau belajar sekolah pondok menuntut ilmu agama, kisah zaman Jepun, zaman British dan banyak lagi. Tak lupa kisah abah bermalam di hutan memburu dan bertempur dengan komunis hingga berjaya menembak mati salah seorang daripada mereka semasa zaman darurat. Saya tak pernah jemu mendengar kisah yang sama diulang cerita oleh abah. Tak pernah jemu!
Dulu abah selalu pesan:
"Sembahyang jangan tinggal, kalau tidak macam mana nak doakan abah, mak kalau kami dah tak ada." InsyaAllah bah, orang akan selalu doakan abah dan mak. Orang titipkan Fatihah untuk abah selalu. Bukan sahaja usai solat bah, tapi bila-bila orang ingat abah. Sayang abah, rindu abah! :'(