Nuffnang Ads

Showing posts with label Bicara. Show all posts
Showing posts with label Bicara. Show all posts

Friday, December 30, 2011

Tentang Dhia.. renungan sejenak

Semalam berakhirlah episod Akasia Tentang Dhia. Saya antara yang terjebak dengan drama ni, walaupun agak lewat mengikutinya. Rasanya minggu kedua Tentang Dhia bersiaran baru saya ikut menonton. Bukan nak membincangkan keseluruhan cerita Tentang Dhia, cuma saya tertarik dengan usaha penerbit, penulis skrip dan pengarah menyampaikan mesej-mesej baik kepada penonton melalui drama ini.

Di rumah saya, filem-filem dan drama seram adalah taboo. Selain daripada kurang senang dengan pemaparan unsur khurafat di dalamnya, saya memang penakut pun dan tak mahu anak-anak membesar dalam suasana yang takutkan hantu. Nanti jadi macam saya. Kecil-kecil dulu selalu ditakut-takutkan dengan hantu, momok, pocong dan macam-macam lagi. Jadi siaran TV di rumah akan melalui penapisan saya. - Kadang terlepas jugak babak tembak menembak, bergaduh.. tapi apa yang pasti... bab cerita hantu dan seram memang tak pernah lolos! Kartun yang menggunakan bahasa kasar juga tiada tempat di rumah saya. Hagemaru, Asarichan, Sinchan dan ntah apa-apa -chan lagi memang kena sekat! Walaupun Boboiboy saya lepaskan, saya masih kurang senang dengan penggunaan bahasa 'tak guna' yang sering diulang anak-anak. Penat juga nak latih anak-anak jangan sebut perkataan tu. Nak haramkan Boboiboy, rasa kejam pulak sebab siri tu memang jadi kegilaan anak-anak. Tak dapat tengok TV, mereka ber'you tube' di tablet pulak...

Ok, ok, kita berbalik kepada apa yang nak saya bincangkan. Memerhati keadaan masyarakat sekeliling, saya jadi sedih kerana masyarakat islam kita masih percaya kepada bantuan selain daripada Allah. Kebiasaan berjumpa bomoh berpindah pula kepada berjumpa ustaz! Tarbiah islam sedikit sebanyak berjaya mengubah masyarakat kita 'lari' daripada bomoh, tapi bomoh pun pandai. Mereka tahu, orang kita tak mahu jumpa bomoh, mereka guna title ustaz, tetapi hakikatnya mereka masih menggunakan bantuan jin dan dampingan mereka dalam perubatan. Golongan ustaz seperti inilah yang merosakkan reputasi pengamal-pengamal perubatan islam tulen yang HANYA menggunakan kalimah Allah dalam tujuan perubatan.

Masyarakat kita ada yang mudah sangat percaya dan selalu bersangka baik dengan title ustaz pengamal perubatan yang mereka temui. Bila timbul persoalan, ustaz tersebut menggunakan khidmat khadam (jin peliharaan), makan akan dijawab: "Ustaz tu tetap gunakan ayat-ayat Al Quran untuk mengubat". Atau "jin ustaz tu adalah jin islam". Mereka lupa, sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin. Syirik bila meminta selain daripada Allah. Menggunakan bantuan jin dalam perubatan juga adalah syirik! Menjadi masalah bila kalimah Allah dicampur-adukkan dengan perbuatan yang syirik kerana manusia akan lebih tertarik dengan penonjolan nilai-nilai islam dalam perubatan yang ditunjukkan! Malang sekali.

Wednesday, December 21, 2011

Ada ke patut...., muka maid ke saya ni?

Hari ni cuaca cerah, ada matahari. Alhamdulillah, bolehlah keluarkan baju-baju yang segan silu nak kering dalam rumah ni. Hujan yang berhari-hari turun juga menyebabkan halaman rumah penuh dengan sampah daun mangga. Hari ni 'garbage day', cuaca pun baik, mood nak mengemas luar pun ada, jadi lepas siapkan anak-anak, saya pun mula menyapu dan memungut sampah. Tiba-tiba ada suara menegur: "Wes maring pasar mbak?" (Dah pergi pasar kak?) Saya tak menjawab. "Loh ora nyauri" (La, tak jawab pun). Siapa pulak cakap jawa dengan saya nih? Saya toleh rumah belakang mencari arah suara yang datang. Rupanya dari salah seorang pekerja Indonesia yang sedang mengemas di rumah belakang (mengecat, potong dan pungut dahan kayu). Hmm, diaorang cakap dengan saya rupanya.

Huwaaaaaa.. diaorang ingat saya maid?? Ish, agak-agaklah sikit. Ni main taram je. Tahulah muka ni memang muka jawa. Tak pernah menafikan pun KEJAWAAN saya ni. Apa diaorang ingat yang buat kerja-kerja luar macam tu maid je ke? Sedih nih.. :p. Hmmmm sebelum ni pun masa dok rumah mak mertua kat Shah Alam, selalu orang ingat saya ni maid. Penat, penat saya belajar panjat bangunan tetinggi, naik kapal terbang lagi, diaorang bagi jawatan maid je? isk isk isk. Agaknya maid je kot yang dok gendong budak ke hulu ke hilir. Kita pun biasa tengok kan kat taman permainan, mak bapak duduk kat kerusi dok perhati maid melayan anak-anak main. Maid jiran sebelah rumah mak mertua pun memula ingat saya ni pengasuh "anak-anak saya". Dia baru kerja kat rumah jiran mertua saya dan satu hari tu dia nampak saya tengah melayan anak-anak main kat depan rumah. Dia macam pelik bila saya beritahu, yang budak-budak tu anak saya!

Pernah sekali masa balik Terengganu, beraya rumah kaum kerabat mak mertua. Sampai rumah orang, biasalah kita salam-salam kan? Masa tu, diaorang perkenalkanlah, ni maid si polan, yang tu maid si polan. Tiba kat saya tuan rumah tu boleh tanya: "Yea ni hok sape pulok?" (Ni maid siapa pulak?) Mak mertua saya jawab "Eh, yang ni isteri Izzad...". Dah, dah memang sah muka ni muka seberang!! Cuma tak tampal perkataan MAID je kat dahi!

Cukuplah dengan iklan selingan. Kita serius semula. Sebenarnya saya melihat senario yang membimbangkan di sini. Mesej yang sampai kepada pekerja Indonesia atau sesetengah orang kita: TUGAS MENGURUSKAN RUMAH DAN MELAYAN ANAK-ANAK ADALAH TUGAS PEMBANTU RUMAH. Kenapa jadi macam tu? Sebab kita juga. Sesetengah ibu bapa yang menggaji pembantu rumah mudah MELEPASKAN seluruh tanggungjawab menguruskan rumah dan anak-anak kepada pembantu rumah. Mereka lupa, mereka hanya menggaji PEMBANTU. Hanya PEMBANTU. Bukan PENGGANTI!!

Tak salah menggunakan pembantu sekiranya mampu dan memerlukan. Tak ada salahnya. Tak salah di sisi undang-undang, juga tak salah dari segi moral. Yang jadi salah, bila kita lepaskan semua tugas menguruskan rumah dan anak-anak kepada pembantu. Ibu bapa yang menggunakan khidmat pembantu tak boleh lupa tanggungjawab mereka kepada anak-anak. Jangan dinafikan hak anak-anak kepada kita. Hak untuk mendapat belaian dan pelukan kasih sayang kita. Hak untuk didengari rintihan dan kemahuan emosi mereka. Hak mereka untuk digurau-senda oleh kita. Bukan hak dalam bentuk material semata-mata.

Pelukan, sentuhan, belaian, perhatian dan kasih sayang yang kita beri sepanjang membesarkan anak-anak itulah yang akan 'mengikat' anak-anak dengan kita. Masa kita dengan anak amat singkat sebenarnya. 12 tahun pertama kehidupan mereka amat penting untuk kita dekatkan diri dengan anak-anak. Rugilah kita, jika dalam tempoh tersebut kita sia-siakan masa yang ada. Percayalah, selepas tempoh itu, anak-anak akan semakin menjauhkan diri daripada kita. Jika mereka membesar tanpa sentuhan dan belaian ibu bapa, tak mustahil kita akan 'kehilangan' mereka. Jika selama ini, bibik di rumah menjadi rujukan mereka, seiring usia, kawan-kawan pula akan menjadi tempat rujukan mereka. Mahukah kita dipinggirkan, tidak dihiraukan anak-anak sendiri tika usia merangkak senja? "Kami sibuklah mak, tak sempat nak balik jenguk mak". Di kala itu, seribu penyesalan tak berguna.

Seringkali saya terdengar ungkapan sebegini. "Sesibuk mana pun I, I akan pastikan untuk luangkan masa berkualiti untuk anak-anak I. It's quality, not quantity, that count!" Ya, saya bersetuju, kita perlu beri masa berkualiti untuk anak-anak. Kalau kita ada 24 jam sehari kat rumah dengan anak-anak, tapi anak-anak dibiarkan tanpa perhatian, pun tak guna juga! Tapi kalau seharian tak jumpa anak, bila balik rumah dan jumpa anak kita hanya sebut: "Alahai sayang mama, mari cium sikit dekat mama". Kemudian kita pass semula anak kepada bibik. Bahagian mana yang nak kita kira sebagai masa berkualiti? Bahagian anak cium pipi kita yang sekadar 2, 3 saat itu? Tiba masa makan, bibik dah suap anak makan siap-siap supaya tak ganggu mak, ayah nak menjamu selera. Tonton TV sekejap. "Bik, bawa budak-budak ni masuk tidur, dah pukul 10". Sekali lagi, "Ok honey, it's bedtime. Come give me a big hugs. Good night!". Dan tanggungjawab dilepaskan lagi kepada bibik untuk menidurkan anak. Mudah kan? Lagi parah yang membiarkan anak-anak tidur dengan pembantu. Alasannya, tangisan anak kecil waktu malam mengganggu masa tidur dan rehat mereka! Astaghfirullahalazim! Kalau sampai macam tu sekali, apa perlunya ada anak? Sesak nafas bila tengok perangai manusia yang macam ni.

Berdasarkan contoh di atas, di mana, bahagian yang mana boleh kita kategorikan pemberian masa berkualiti daripada ibu bapa kepada anak-anak mereka? Seharian anak-anak di rumah dengan pembantu. Makan juga disuap pembantu. Sampaikan masa untuk tidur pun, masih lagi tangan pembantu yang membelai mereka. Berapa banyak komponen kasih sayang yang diabaikan di sini? Inilah realiti semasa yang banyak kita lihat (saya tak kata semua ye!). Menyedihkan tapi itulah hakikat.

Tak mudah mendidik anak-anak sebenarnya. Kena ikhlaskan diri, niatkan segalanya hanya kerana Allah, hanya untuk mencari keredaan Allah. InsyaAllah, sesukar manapun, akan ada penyelesaiannya. 24 jam sehari, 7 hari seminggu mengadap perangai yang berbagai ragam, kadang-kala kepala jadi pusing. Tapi percayalah penat lelah akan segera hilang bila anak datang memeluk dengan penuh sayang. Saya sendiri bukan ibu yang sempurna. Anak-anak tak terlepas dari marahan dan bebelan saya, tapi saya cuba setiap hari untuk memperbaiki diri. Sentiasa berazam untuk menjadi ibu yang baik kepada anak-anak saya. Harapan saya cuma satu, benih yang kami semai dan kami jaga dengan dibajai kasih sayang, ditambah dengan didikan agama yang sewajarnya moga akan jadi pohon rimbun yang boleh saya dan suami menumpang teduh kelak. InsyaAllah.

Sunday, September 11, 2011

Tak sayang mulut

Ada orang memang tak sayang mulut. Suka suki je fitnah orang. Memang macam ni kot bila akhir zaman. Fitnah memfitnah tu dah jadi mainan bibir. Kalau orang kafir yang buat kerja fitnah memfitnah ni, saya tak kisah sangat, sebab dah sah-sah mereka bukan islam, walaupun kalau nak diikutkan, dari segi moral ia tetap sesuatu yang tak elok. Bila seorang yang mengaku islam, pakai tudung bagai… tapi kerjanya tak habis-habis memfitnah orang, sentiasa menyusahkan hidup orang, apa kes?? Apa dia ingat dia akan menongkat langit? Tak ingat janji Allah? Setiap perbuatan kita, samada baik atau buruk , walau sekecil biji sawi akan dihitung Allah seadil-adilnya. Tak ada yang akan terlepas dari hitungan Allah. Janji Allah itu benar. Hari Perhitungan itu benar.

Selagi bernyawa, selagi Izrail belum datang memberi salam, selagi itu pintu taubat masih terbuka luas. Gunakan kesempatan yang Allah beri, penuhi baki hayat yang ada dengan perkara yang berfaedah. Besar dosa memfitnah orang. Cuba bayangkan, ajal tiba sebelum kita sempat untuk meminta maaf daripada orang yang kita fitnah. Macam mana tu? Bagaimana pula, kalau orang yang kita fitnah, yang kita aniaya tidak reda dengan apa yang kita buat? Janji Allah, doa orang teraniaya -tak kira seorang yang kufur atau yang beriman-, akan sampai direct pada Allah.