Nuffnang Ads

Friday, December 30, 2011

Tentang Dhia.. renungan sejenak

Semalam berakhirlah episod Akasia Tentang Dhia. Saya antara yang terjebak dengan drama ni, walaupun agak lewat mengikutinya. Rasanya minggu kedua Tentang Dhia bersiaran baru saya ikut menonton. Bukan nak membincangkan keseluruhan cerita Tentang Dhia, cuma saya tertarik dengan usaha penerbit, penulis skrip dan pengarah menyampaikan mesej-mesej baik kepada penonton melalui drama ini.

Di rumah saya, filem-filem dan drama seram adalah taboo. Selain daripada kurang senang dengan pemaparan unsur khurafat di dalamnya, saya memang penakut pun dan tak mahu anak-anak membesar dalam suasana yang takutkan hantu. Nanti jadi macam saya. Kecil-kecil dulu selalu ditakut-takutkan dengan hantu, momok, pocong dan macam-macam lagi. Jadi siaran TV di rumah akan melalui penapisan saya. - Kadang terlepas jugak babak tembak menembak, bergaduh.. tapi apa yang pasti... bab cerita hantu dan seram memang tak pernah lolos! Kartun yang menggunakan bahasa kasar juga tiada tempat di rumah saya. Hagemaru, Asarichan, Sinchan dan ntah apa-apa -chan lagi memang kena sekat! Walaupun Boboiboy saya lepaskan, saya masih kurang senang dengan penggunaan bahasa 'tak guna' yang sering diulang anak-anak. Penat juga nak latih anak-anak jangan sebut perkataan tu. Nak haramkan Boboiboy, rasa kejam pulak sebab siri tu memang jadi kegilaan anak-anak. Tak dapat tengok TV, mereka ber'you tube' di tablet pulak...

Ok, ok, kita berbalik kepada apa yang nak saya bincangkan. Memerhati keadaan masyarakat sekeliling, saya jadi sedih kerana masyarakat islam kita masih percaya kepada bantuan selain daripada Allah. Kebiasaan berjumpa bomoh berpindah pula kepada berjumpa ustaz! Tarbiah islam sedikit sebanyak berjaya mengubah masyarakat kita 'lari' daripada bomoh, tapi bomoh pun pandai. Mereka tahu, orang kita tak mahu jumpa bomoh, mereka guna title ustaz, tetapi hakikatnya mereka masih menggunakan bantuan jin dan dampingan mereka dalam perubatan. Golongan ustaz seperti inilah yang merosakkan reputasi pengamal-pengamal perubatan islam tulen yang HANYA menggunakan kalimah Allah dalam tujuan perubatan.

Masyarakat kita ada yang mudah sangat percaya dan selalu bersangka baik dengan title ustaz pengamal perubatan yang mereka temui. Bila timbul persoalan, ustaz tersebut menggunakan khidmat khadam (jin peliharaan), makan akan dijawab: "Ustaz tu tetap gunakan ayat-ayat Al Quran untuk mengubat". Atau "jin ustaz tu adalah jin islam". Mereka lupa, sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin. Syirik bila meminta selain daripada Allah. Menggunakan bantuan jin dalam perubatan juga adalah syirik! Menjadi masalah bila kalimah Allah dicampur-adukkan dengan perbuatan yang syirik kerana manusia akan lebih tertarik dengan penonjolan nilai-nilai islam dalam perubatan yang ditunjukkan! Malang sekali.

No comments:

Post a Comment