Nuffnang Ads

Friday, October 18, 2013

Gwiyomi sign - nampak tak matang

Gwiyomi.. tak tahu ni kumpulan apa, gambar ehsan pakcik gugel!

Sebenarnya dah agak lama demam Gwiyomi melanda Malaysia. Saya bukan pengikut tegar trend semasa. Jadi saya memang tak pernah sibuk nak ikut trend pun, baik fesyen, interior design.. atau apa-apa ajelah. Memandangkan saya ni buta trend.. sampaikan drama korea, K-Pop yang dah bertahun bertapak di Malaysia pun saya tak pernah layan. Tak sempat satu hal, tapi yang lebih penting saya memang tak berani nak mulakan untuk ikut cerita-cerita bersiri ni. Bimbang ketagih! Nanti semua kerja tergendala. Setakat ni cuma layan siri kat AXN je waktu malam, itupun kadang tengok, kadang miss. Kalau ada masa tengok ulangan, kalau tidak tunggulah bila mereka ulang tayang semula selepas habis season.

Oklah berbalik kepada K-Pop. Tahun lepas sibuk dengan Gangnam Stylenya. Tak suka betul dengan fenomena yang entah apa-apa tu. Jadinya, Home-Censoring-Department activated! :) Anak-anak memang tak berpeluang nak tengok si Psy tu terkinja-kinja dalam TV di rumah. Dan tahun ni Gwiyomi pulak melanda. Alahai masing-masing sibuk bergwiyomi bila tangkap gambar. Kalau sebelum ni sekadar peace sign je, sekarang tambah dengan gwiyomi sign pulak. Kalau budak-budak ber peace sana, peace sini, gwiyomi sana, gwiyomi sini, mungkin nampak cute kot, tapi bila umur dah meningkat ni, eloklah cuba tinggalkan tabiat tu. Nampak tak kena.. macam tak matang.

Eh jangan ada pula yang sentap ye.. ni pendapat saya je. Kita masing-masing bebas nak suarakan pendapat kita kan? Demokrasi katanya.... Tapi kalau memang dah sebati dengan gwiyomi tu, nak buat macam mana, iye tak? Teruskan ajelah... saya tak marah pun... ;)


Saturday, October 5, 2013

Berkerjaya VS surirumah sepenuh masa

"Tak rasa rugi ke tak berkerja?"
"Sayang belajar jauh-jauh lepas tu duduk rumah jaga anak je."
"Suami kerja besar, bolehlah duduk rumah.. kami ni lainlah terpaksa bantu ekonomi keluarga."
"Tak rasa boring ke duduk rumah je?"
"Eh.., kalau aku, mati kutu duduk rumah 24 jam"

Dialog-dialog di atas kerap saya dengar dan kerap sampai ke telinga ni sejak saya mengambil keputusan menjadi surirumah sepenuh masa. Tipulah kalau nak kata saya tak pernah menyesal. Saya dah terbiasa berdikari sejak habis sekolah. Tinggal di Jerman berjauhan dengan keluarga, semua perkara saya uruskan sendiri dan saya dah biasa bekerja setiap kali cuti semester, bukan hanya di Jerman, tetapi sejak di Malaysia lagi. Saya bukan jenis yang akan 100% bergantung kepada orang dan saya tak selesa jadi begitu. 

Suami gaji besar? Berapa banyak dan berapa besar gaji yang boleh kita definisikan sebagai cukup? 5k, 10k, 15k atau 20k? Bagi sesetengah orang, 30k pun dikira masih tak cukup. Semuanya bergantung kepada cara berbelanja. Kalau kena cara, dengan 3k, anak 3, single income pun masih boleh hidup dengan selesa. Tapi kena ukur baju di badan sendirilah.. 

Bosan? Sesekali tu datang juga rasa boring. Bila setiap hari dengan rutin yang sama. Hantar, ambil anak sekolah, kemas rumah, cuci rumah, cuci baju, masak.. benda yang sama berulang, 365/366 hari setahun dan dah berlarutan berapa tahun dah? Kalau tak pernah timbul rasa bosan.. hehehe tak normal tu namanya. Tapi itulah namanya hidup, ada turun dan naiknya. Bila bosan, jangan layan sangat perasaan tu, sehari dua, ok semulalah...

Puashati dengan keadaan sekarang? Alhamdulillah setakat ni saya gembira dengan jalan yang saya pilih. Saya masih berpeluang mengajar secara sambilan. Tak kisahlah walaupun seminggu cuma 2 kali, namun ia cukup untuk beri saya peluang bertukar angin. Sebagai language trainer saya boleh atur jadual sendiri dan hanya menerima job yang sesuai dengan masa saya, jadi masa saya untuk menguruskan anak-anak tidak terganggu. Memanglah kalau fikirkan kawan-kawan lain yang gaji beribu-riban, rasa macam nak kerja full time. Tapi siapa pula nak uruskan anak-anak? Ambil maid? Hmmmm, saya tak suka ada pembantu rumah. Biarlah rumah tunggang-langgang pun, yang penting saya buat sendiri. Macam situasi sekarang ni, saya sibuk nak mengedit dan menyusun semula nota-nota untuk kelas minggu depan, jadi rumah ni dah macam tongkang pecah! Tak sempurna. Tapi terpaksa pejam mata sebab nak siapkan kerja - saya gunakan buku baru untuk mengajar, jadi nota kena buat semula. ## sibuk-sibuk pun sempat lagi blogging? Hehehehe nak release tension... ;)

Hidup saya pun tak sempurna. Banyak kurang sana sini.. mungkin saya lebih kat satu tempat, tapi kurang pulak kat tempat lain. Saya punya peluang urus anak-anak sendiri, pantau anak-anak sendiri, tapi saya tak berpeluang nak bergaya sakan macam kawan-kawan lain yang berkerja. Tetapi adakah ia mengurangkan nilai hidup saya? Tidak sama sekali. Dalam hidup, kita tak mungkin dapat semua yang kita mahu. Saya bahagia dengan hidup saya, syukur ke atas nikmat yang Allah berikan kepada kami sekeluarga dan yang paling penting, ada suami yang sentiasa memberi sokongan kepada saya, bersedia balik awal bila saya ada kelas sebab biasanya lepas maghrib baru dia muncul di depan pintu rumah ;). Dengan nikmat yang Allah berikan ni, dapat menutup semua kekurangan-kekurangan yang saya rasa. Bila rasa hidup banyak kurang, perhatikan orang lain yang lebih susah dari kita, jangan bandingkan dengan orang yang ada lebih dari kita. Kalau sentiasa nak bandingkan hidup kita dengan orang lain yang lebih kaya, lebih berjaya dan lebih segalanya, sampai bila pun kita tak akan pernah rasa cukup. 


Friday, September 20, 2013

Reminiscing: Bad Oldesloe

Hari ni nak mengimbau kembali jejak-jejak kami sepanjang menetap di Bad Oldesloe selama 2 tahun selepas berpindah dari Konstanz. Entry Sepanjang Jalan Kenangan ni sempena genap 8 tahun kami meninggalkan bumi Jerman untuk kembali ke tanah air tercinta. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri... 

Sebelum tu saya nak tunjukkan di mana letaknya Bad Oldesloe. Nun di utara Jerman, sebuah pekan kecil di negeri Schleswig-Holstein. Bandar besar terdekat adalah Luebeck dan Kiel, juga Hamburg yang jaraknya kira-kira 30 minit perjalanan dengan kereta.

Bad Oldesloe
House that Menno Simons is believed to have worked in
House that Menno Simons is believed to have worked in
Coat of arms of Bad Oldesloe
Bad Oldesloe is located in Germany
Bad Oldesloe
Coordinates53°48′42″N 10°22′27″E
Administration
CountryGermany
StateSchleswig-Holstein
DistrictStormarn
MayorTassilo von Bary
Basic statistics
Area52.60 km2 (20.31 sq mi)
Elevation9 m  (30 ft)
Population24,448 (31 December 2012)[1]
 - Density465 /km2 (1,204 /sq mi)
Other information
Time zoneCET/CEST (UTC+1/+2)
Licence plateOD
Postal codes23831–23843
Area code04531
Websitewww.badoldesloe.e
Sumber: wikipedia.org/wiki/Bad_Oldesloe

Nurina membesar selama 2 tahun di Bad Oldesloe. Walaupun dilahirkan di Konstanz, dia hanya sempat menghirup udara Konstanz selama 5 bulan sahaja. Amira pun lahir di Bad Oldesloe.

Nurina di bakoni 

Taman permainan di Ehmkenberg, belakang rumah

Abenteuerspielplatz Erleben leben eV, Poggenbreeden

Kami masih bertiga :)

Senja di Bad Oldesloe dari balkoni rumah

Late summer/early autumn di Poggenbreeden

Daun-daun dah bertukar warna merah, kuning dan gugur. Gambar dari dapur apartment

Taman di sisi apartment kami

macam anak jepun.. domo arigatou gozaimasu :)

Autumn.. musim luruh di Poggenbreeden.. berangin, hujan, sejuk

Sambutan Aidilfitri di Malaysian Embassy, Berlin - bersama keluarga Kak Fuziah dan En. Joewaini

Winter pertama Nurina di Jerman. Carpark Pillauerstrasse 14
Snowfall di Poggenbreeden

Hahaha, merangkak sampai ke dapur mama :)

Kutip Strawberry di Cornils Bauernhof, Bad Oldesloe

Schutzenfest Bad Oldesloe bersama Laila dan Lillia

Geranien di balkoni

Serabainya anak mama.. :)

Nurina bersama Mrs Martens, jiran sebelah apartment yang baik hati. Minum petang di garden house mereka

Amira... usia satu hari :). Asklepios Klinikum, Bad Oldesloe

Amira bersama papa
Bangun pagi dah mula melukis/menconteng.. :)

sayang adik... :)

Nurina bersama rakan sepermainan di Playgroup Blue Elephant, Bad Oldesloe

Mommys di Playgroup: Nina, Regina, Laila, Sylvia...

Nurina demam: di Frankfurt Airport menunggu untuk boarding.. kami pulang... Aufwiedersehen Deutschland!






Tuesday, September 3, 2013

13th Anniversary


Hampir sahaja saya terlupa ulang tahun perkahwinan kami. Kalau tak tengok mesej seorang teman yang turut mengucapkan selamat untuk suaminya, memang saya lupa! Hantar mesej n wish kat Izzad...,dia pun terlupa! Hahahaha eloklah tu, dua-dua lupa.... ;)

Sebelum ni memang kami tak celebrate apa pun - ke pernah? Biasanya saya sekadar beri ucapan kat Izzad je, tapi semalam dia beli kek! :) Gambar kek? Ada dalam hand phone, tak upload lagi ke lappy ni... nantilah kalau dah upload, boleh masukkan... kalau rajin...

13 tahun bersama, semoga rumahtangga kami sentiasa dirahmati Allah. Semoga kami direzekikan dengan anak-anak yang soleh dan solehah dan dia kekal menjadi pasangan saya di dunia hingga ke akhirat. Amin.




Tuesday, August 27, 2013

TPPA: Suara Tun Mahathir disiarkan Utusan Malaysia

Akhirnya Utusan menyiarkan pandangan Tun Mahathir tentang TPPA....

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menggesa kerajaan supaya memberi pertimbangan yang serius sebelum memutuskan untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dengan meletakkan kepentingan negara sebagai agenda utama.
Walau pun negara tidak menandatangani TPPA, beliau melahirkan keyakinannya bahawa Malaysia tetap boleh terus berkembang dari segi dagangan antarabangsa.

"Malaysia telah sekian lama menjadi negara dagangan dan nilai dagangan negara juga meningkat dari tahun ke tahun. Dari sebuah negara yang mempunyai pendapatan per kapita cuma AS$350, kini meningkat sehingga kepada AS$9,000 per kapita.

"Jumlah dagangan negara bernilai hampir US$1 trilion dan jumlah ini masih antara yang terbesar bagi sebuah negara yang kecil. Tanpa TPPA, kita dapat membesarkan dagangan negara dan memperoleh keuntungan daripadanya." "Kenapa kita harus menerima perjanjian ini yang akan membuka pasaran negara kepada modal dan teknologi mereka (AS)," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat TPPA hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130826/ek_06/TTPA-Utamakan-kepentingan-negara-gesa-Tun-M#ixzz2d9uHtAVj
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Rasanya tak perlu saya ulas panjang, saya tidak pro TPPA, jadi saya memang bersetuju dengan pendapat Tun...

Wednesday, August 21, 2013

TPPA: Pandangan Zaini Hassan dalam Cuit Utusan Malaysia

Hari ini Utusan Malaysia yang agak lemau melaporkan tentang TPPA, akhirnya menerusi ruang pojok Cuit oleh Zaini Hassan, bersuara agak kritis tentang TPPA. Saya suka nak memetik dua perenggan tulisan Saudara Zaini Hassan untuk renungan semua. 

"Penjajahan AS dan Barat bukan hanya datang dalam bentuk kapal perang dan senjata api. Kalau ada yang masih ingat, AS sebenarnya sudah berkali-kali mencuba untuk menguasai Selat Melaka. Sebabnya, itulah satu-satunya jalan perdagangan laut yang paling dekat untuk ke Timur Jauh. Semua kuasa besar mengiktiraf hakikat bahawa, sesiapa yang menguasai Selat ini, maka dia akan menguasai ekonomi dunia."

"Jika dahulu Kerajaan Melayu Melaka tumbang kerana si KITOL membuka pintu kota Melaka kepada Portugis, maka sejarah kini berulang. Kalau Tok Pa tak percaya, carilah si KITOL yang dimaksudkan itu kerana berjaya memasukkan Malaysia ke TPPA."

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kebimbangan inilah yang lama bersarang di hati saya sejak mula Rafidah Aziz berunding dengan Amerika Syarikat untuk FTA antara Malaysia dan Amerika Syarikat yang akhirnya dikuburkan kerana mereka tidak mencapai kata sepakat berhubung beberapa permintaan Malaysia. Sangka saya topik FTA Malaysia-AS dah berakhir, rupanya TPPA pula yang muncul selepas itu.

Saya antara individu yang agak skeptikal dengan TPPA yang sejak kebelakangan ini kerap dibualkan. Mungkin ia bukan topik kedai kopi, biasalah orang kita mana suka bincangkan tajuk berat. Kalau bab politik, haaa yang tu semua nak jadi juara. Balik bercuti raya tempohari saya berpeluang duduk berbual dengan abah (bapa mertua). Momen begini mengingatkan kenangan saya dengan abah saya yang dah lama pergi - miss my dad very much :'( -. Berbalik kepada perbualan dengan abah, sebagai ahli statistik yang berpengalaman, sudah tentu pandangan beliau merupakan sesuatu yang perlu saya ketahui. Lama saya berborak dengan abah, sesuatu yang jarang terjadi sebab abah bukan individu yang ringan mulut. Tapi alhamdulillah, saya berjaya bawa abah ke perbincangan yang agak berat - topik ekonomi di kala raya! :) 

Kesimpulan dari perbincangan dengan abah, sebagai ahli statistik, penyertaan Malaysia ke dalam TPPA memanglah dialu-alukan kerana hanya dengan cara itu kita dapat "memaksa" orang kita untuk bersaing di peringkat global. Bila kita terpaksa bersaing dengan orang luar, secara tak langsung kita perlu meningkatkan kualiti perkhidmatan, pengurusan mengikut standard yang telah ditetapkan. Dengan cara itu, baru kita boleh maju. Kalau tidak, kita akan terus di takuk lama. Mungkin boleh maju, tapi lambat atau tak bergerak ke hadapan pun. Ok itu pandangan abah sebagai orang statistik. 

Lepas tu abah tambah pulak, yang ni pandangan peribadi abah tanpa mengambilkira penglibatan beliau dalam dunia statistik. Kata abah, berdasarkan situasi ekonomi orang kita sekarang, abah tak nampak sisi positif yang bakal kita perolehi dari TPPA, sebab penguasaan ekonomi kita masih lemah. Dengan kata lain industri kecil dan sederhana (IKS) dalam negara akan gulung tikar, sebaliknya pemain industri besar seperti GLC dan MNC yang akan mendapat manfaat dari TPPA kerana kebanyakan mereka memang telah mencapai piawaian global. Saya berkongsi pendapat dengan pandangan peribadi abah ni.

Blogger pun agak kurang membincangkan perihal TPPA kecuali Syed Akbar Ali yang agak lantang mengkritik kerajaan pimpinan DS Najib pasca PRU13, termasuklah TPPA yang hangat selepas PRU. Saya tahu SAA merupakan Quranist yang tersohor dan dalam hal tersebut saya tak sependapat dengan beliau. Cuma pandangan kritis beliau dalam hal yang melibatkan kepentingan negara dan melayu yang menarik perhatian saya. Tun Mahathir pun pernah meluahkan kebimbangannya di NST sebelum ni, tapi berapa ramai pun orang kita yang ada akses ke NST? Dan setakat mana suara Tun Mahathir sampai ke telinga orang-orang kita? Sebab baik Utusan Malaysia mahupun Berita Harian, masing-masing tak mendapatkan pandangan Tun mengenai TPPA. Kenapa? Hanya mereka yang tahu..... 


Saturday, August 3, 2013

Anda suka buat dan terima kejutan? :)

Rasanya tak ada orang yang tak suka menerima kejutan kan? Terutama kalau bab-bab yang membabitkan hadiah... haaa boleh senyum sampai ke telinga kan? ;). Suatu masa dahulu orang kita tak pernah bersungut kalau menerima tetamu tanpa dijangka - juga satu bentuk kejutan, sebab kita sering dididik dan diasuh: "Muliakan tetamu kerana mereka datang dengan/membawa rezeki". Saya yang masih kecil waktu tu fikir, buah tangan yang dibawa itulah "rezeki" yang dimaksudkan.. :D.. budak-budak kan lurus... mana faham mainan bahasa! Seiring dengan peredaran zaman, cara hidup orang kita pun semakin berubah. Nilai-nilai yang baik juga semakin terhakis. Berkunjung ke rumah orang tanpa terlebih dahulu memaklumkan kepada tuan rumah kini dianggap sebagai kurang sopan. Dalam masa 30 tahun, nilai yang dahulunya dilihat sebagai baik, kini tidak lagi. Masyarakat kita berkembang menjadi sebuah masyarakat yang individualistik. Dalam hal ini kita memang setaraf barat!

Eh melalut pulak dah... Biasalah kan, kalau dah mula menaip... panjang pula jadinya. Berbalik kepada membuat kejutan atau surprise. Kejutan saya untuk keluarga yang paling menjadi ialah kepulangan saya untuk kali pertama setelah berada di Jerman selama setahun lebih. Selepas membeli tiket, saya hanya maklumkan kepada adik dan kakak saya dan minta mereka merahsiakan kepulangan saya. Tahun 1996, talian telefon masih belum ada di kampung, jadi surat sahaja yang jadi penghubung antara saya dan keluarga. Kapalterbang dari Frankfurt mendarat awal pagi di Subang dan dari Subang saya ambil teksi ke Puduraya. Terkial-kial mengangkat beg besar ke tingkat atas.. "Takpe demi sebuah kejutan, semuanya sanggup ku redah..hehehe". Beli tiket KL-Muar. Tunggu bas. Sampai Muar hampir tengahari, saya upah beca untuk hantar beg dari Perhentian Bas Ekspres di Bentayan ke Hentian Teksi di Maharani sejauh 1 km, saya jalan kaki je, sebab tak sampai hati nak naik beca dan biarkan pakcik tua tu mengayuh. Tapi beg yang naik beca tu? Errr.. hehehe, tu lain... hahahha. Dengan matahari terik atas kepala, saya mula menyesal, "kenapalah pandai sangat aku ni... nak buat kejutan konon". Lepas tu kena tunggu teksi pulak nak masuk ke kampung.. Selagi tak cukup penumpang, teksi taknak jalan. Masa tu tak terfikir utk charter je satu teksi...

Korum cukup, ok jalan... Dah lepas tengahari dah masa tu. Dari Muar nak sampai ke kampung mengambil masa antara 45 minit hingga sejam, bergantung kepada pemandu teksi. Kalau dia buat kerja gila berhenti kat Bukit Gambir dan tunggu penumpang nak ke Gersik atau Kundang Ulu lagilah hampeh... Sepanjang perjalanan hati dug dag dug dag.. macam nak periksa. Sejam berlalu, sampailah depan rumah... senyap, sunyi sepi... Saya heret beg ke pintu tengah rumah. "Assalammualaikum...." Salam ke 2 baru bersahut dan pintu dibuka. Depan mata saya abah dengan muka terkejut, tak percaya. Masa saya salam dan peluk abah, dia bersuara dalam bahasa Jawa, "bertuah punya anak, kenapa nak balik tak cakap?". Ada air mata yang bergenang di mata abah dan saya dah mula menangis.. :') Menangis gembira! Gembira dapat jumpa abah dan keluarga, juga sebab misi saya berjaya! 

Selepas tu ada sekali lagi saya balik tak beritahu juga, tapi abah macam dah agak sebab tetiba adik ke Muar. Dia paksa mak ikut adik... :). Sebenarnya selain nak buat kejutan, sebab utama ialah saya tak mahu menyusahkan keluarga. Dulu kami bukan orang senang, tak ada kenderaan sendiri kecuali sebuah motosikal. Jadi, kalau saya nak mereka ambil di airport, mereka kena sewa kereta. Biarlah saya yang bersusah sedikit tak mengapa...