Nuffnang Ads

Tuesday, December 6, 2011

Home Sweet Home

Akhirnya kami selamat sampai ke rumah di Pasir Gudang. Percutian yang sepatutnya cuma seminggu, terlajak jadi hampir 3 minggu disebabkan kegagalan CAVENZI menghantar semua perabot ke rumah di Ayer Keroh seperti yang dijanjikan.

Perjalanan semalam memang mencabar. Biasanya saya memerlukan 2.15 jam untuk sampai ke rumah dari Ayer Keroh, tapi semalam lebih 3.30 jam sebab memandu dalam hujan lebat. Itupun saya dah membuat lencongan dengan mengambil laluan alternatif ke Pasir Gudang melalui Lebuhraya E22 Senai - Desaru, dan terus ke Tanjung Langsat/Pasir Gudang. Kalau saya ikut Skudai dan masuk ke Lebuhraya Pasir Gudang, harus saya tersekat di tengah jalan sebab air naik atas jalan dan banyak pokok tumbang!

Alhamdulillah kami sampai dengan selamat walaupun banyak rintangan di perjalanan. Fahmi yang selama ni sangat baik duduk di dalam 'seat' menangis sepanjang perjalanan dari Yong Peng ke Pasir Gudang. Saya berhenti sekejap di Machap untuk menyusukan Fahmi dan tukar baju sebab Fahmi muntah! :) Dari Machap Hakimi naik dengan Izzad. "Nak naik dengan papa". Bila tengok Izzad masukkan 'seat' ke kereta dia, Fahmi pun sibuk nak ikut papa. Kami pun ubah seat Fahmi juga ke kereta Izzad. Jadi Fahmi, Hakimi dan Nurina naik dengan Izzad; Amira pula naik dengan saya. Selesai kami pindahkan semua 'seat', tiba-tiba Fahmi tak mahu pula naik dengan Izzad... hehehe kena pindahkan semula ke kereta saya. Nasib baik mood papa diaorang baik.. :) Danke dir Schatz!

Ingatkan lepas menyusu, tukar baju dan berhenti sekejap di Machap, Fahmi akan berhenti menangis. Rupa-rupanya masuk je kereta dan mula gerak, dia sambung semula nyanyian lagu merdu. Nak buat macam mana.., saya pekakkan telinga je lah. Dahla memandu dalam hujan lebat dengan jarak penglihatan yang terbatas, kereta pulak banyak atas 'hiway' ditambah lagi dengan dendangan lagu merdu khas dari Fahmi. Kalau tak sabar dan tak boleh lapangkan kepala, macam-macam boleh berlaku. Alhamdulillah saya ada 2 orang 'babysitters' yang berusaha sedaya upaya menenangkan adik mereka. Tabik hormat pada Amira dan Nurina! Mama angkat topi. Sampai di Cahaya Baru, Fahmi baru ok...

Sepanjang perjalanan dari Tanjung Langsat ke rumah banyak pokok tumbang di tengah jalan. Hampir-hampir saya terlanggar pokok melintang di tengah jalan. Izzad di depan saya tak perasan ada kayu melintang sebab sibuk melayan Hakimi tengok api dari serombong kilang tak sempat mengelak kayu, tapi saya terselamat. Hampir ke susur masuk Rinting, air naik atas jalan, jadi saya ambil lencongan masuk dari Sekolah Agama di Geharu. Jalan depan kuil sebelum susur masuk ke rinting memang selalu naik air. Harus saya tersekat di situ lama kalau tak ambil lencongan.

Semalam merupakan perjalanan yang agak memenatkan bagi saya. Anak-anak pun asyik bertanya "bila nak sampai rumah, mama". Menurut Izzad, Hakimi tak berhenti bercakap sepanjang perjalanan dari Yong Peng ke Pasir Gudang, siap main Lat-tali-tamplom lagi dengan Izzad dalam kereta! Tapi tiba rumah terus menangis dapatkan saya. "Nak naik kereta mama..." Hehehe baru 2 jam tak nampak mama dah menangis bagai. Macam mana nak tinggal kerja macam ni?

No comments:

Post a Comment