Nuffnang Ads

Monday, March 19, 2012

Pembantu rumah Indonesia dan RM700 untuk satu tugas

Hujung minggu tempohari kita dikejutkan dengan dakwaan Dr. Reyna Usman dari TKI bahawa pembantu rumah Indonesia yang bakal bekerja di Malaysia akan dibayar gaji sebanyak RM700 sebulan dengan elaun tambahan sebanyak RM27 sehari jika cuti bulanan tidak diberi. Lagi menarik, seorang pembantu rumah untuk satu tugas khusus samada sebagai penjaga bayi, pembantu untuk memasak, pengemas rumah atau penjaga orang-orang tua. Kementerian Sumber Manusia Malaysia menafikan yang mereka bersetuju dengan syarat tersebut. Hmm, biarlah siapa yang membuat onar memperbetulkan semula keadaan!

Saya memang agak kurang bersetuju dengan kebergantungan yang terlampau masyarakat kita kepada pembantu rumah. Bukan sebab saya suri rumah sepenuh masa, tetapi pada pendapat saya budaya bergantung kepada khidmat pembantu merupakan salah satu penyumbang kepada sikap acuh tak acuh dan kurangnya tanggungjawab generasi muda kini. Dan secara peribadi saya memang tidak selesa bila ada orang asing di rumah. Pergerakan seakan terbatas dan terasa sentiasa diperhatikan! Tambahan pula banyak kes yang berlaku di sekeliling saya, rahsia rumahtangga yang tak sepatutnya keluar dari pintu dan tingkap rumah, dijaja pembantu kepada orang luar - mertua, ipar duai, adik beradik juga merupakan orang luar dalam konteks ini.

Tulisan Dr. Mohd Yusoff Ismail bertajuk "Satu amah, satu tugas: jenaka bangsawan moden" yang disiarkan dalam ruang rencana di Utusan Malaysia hari ini menarik perhatian saya. Tulisan beliau kena dan tepat pada masanya dan harapan saya moga tulisan Dr. Mohd Yusoff Ismail tidak dikesampingkan begitu sahaja oleh pihak-pihak yang terlibat.

Masyarakat kita sebenarnya terlalu manja dan membawa ke tahap mengada-ngada bila tiba bab pembantu rumah. Sesetengahnya tidak mengukur baju di badan sendiri. Ada tu yang sudah terang lagi bersuluh memang tidak mampu menggaji pembantu rumah tetapi masih juga mahukan pembantu. Bukankah itu mencari penyakit namanya?

Melahirkan generasi pemalas.
Mungkin kita pernah lihat situasi ini? Anak-anak yang hanya menghantar pinggan mangkuk selepas makan ke sinki untuk dibersihkan pembantu. Lebih parah yang selamba meninggalkan pinggan di atas meja makan untuk dipungut dan dicuci oleh pembantu rumah. Atau anak-anak yang keberatan untuk membersihkan tandas mereka sendiri. Atau anak-anak yang membiarkan katil dan bilik mereka tidak berkemas. Atau anak-anak yang tak ambil pusing samada kasut-kasut sekolah mereka sudah dicuci atau belum. Yang mereka tahu, pagi Isnin kasut yang bersih dan siap berkapur mesti tersedia untuk dipakai. Tak kurang juga anak-anak yang hanya tahu mencampakkan baju kotor mereka ke dalam bakul baju dan mengambil yang bersih, bergosok dan siap berlipat dari dalam almari. Proses apa yang berlaku dari baju di dalam bakul hingga siap kemas berlipat tersusun dalam almari mereka tak tahu dan mungkin juga tak mahu ambil tahu. Yang penting semua tersedia! Dalam fikiran mereka "kalau cuci dan buat sendiri, nanti pembantu tak ada kerja pula". Kerja-kerja dapur? Lagi panjang nanti nak dihuraikan.. :). Dengan gaya hidup semasa kebanyakan daripada kita maka akan lahirlah anak-anak tak kira perempuan atau lelaki yang langsung tak tahu atau tak biasa melakukan kerja-kerja rumah. Nak salahkan siapa kalau lahir generasi sebegini? Salah kita sendiri kerana kita tidak melatih mereka untuk berdikari. Anak-anak perlu dilatih dan dibiasakan dengan kerja-kerja rumah, tak kira lelaki atau perempuan. Mereka perlu dilatih dengan tanggungjawab. Saya cukup lemas dengan anak-anak yang semua benda mengharapkan bantuan pembantu rumah. Semua minta disuap! Sebab itulah generasi muda kini ramai yang kurang kreatif dan kurang inisiatif!

Penderaan emosi secara tanpa sedar.
Kebanyakan wanita-wanita dari Indonesia yang masyarakat kita ambil sebagai pembantu rumah berasal dari kawasan kampung dan pedalaman dan sering juga mereka tidak mempunyai pendidikan tinggi. Kalau bernasib baik mungkin mereka tamat SMA (setaraf sekolah menengah). Kalau dapat yang tamat SD (sekolah rendah) pun dah dikira beruntung. Ramai juga yang sekadar tahu membaca serba sedikit. Logiklah jika mereka yang mungkin pertama kali seumur hidup jumpa microwave, mesin penyedut hampagas atau mesin basuh automatik dan yang seumpama dengannya memerlukan masa untuk 'biasa' dengan segala butang yang perlu ditekan. Sesetengah majikan sangat 'kedekut' untuk memberi pembantu mereka masa. Yang mereka tahu, sekali beritahu, kena faham, ingat dan mesti pandai kendalikan semua alat-alat bantuan tersebut! Bila si pembantu bertanya berulangkali, keluarlah perkataan 'bodoh', 'lembab' dan sebagainya. Lagi parah bila pembantu dimarah di hadapan individu lain bagaikan kanak-kanak kecil. Mereka, walaupun hanya bekerja sebagai pembantu adalah manusia biasa yang ada perasaan. Bukan setaraf hamba abdi yang tidak punya hak. Itu yang orang kita selalu lupa. Pada mereka: "Aku dah bayar, jadi kau kena buat apa aku suruh dan jangan banyak cakap."

Hilang peluang isteri untuk menambah pahala.
Setiap tugas yang isteri buat untuk suami, anak-anak dan keluarga, jika dilakukan dengan ikhlas merupakan satu ibadah. Bayangkan berapa banyak pahala yang bakal isteri perolehi setiap hari jika mereka ikhlas berbakti untuk suami dan anak-anak? Kalau pahala tu datang bergolek dan boleh kita nampak, saya fikir ramai wanita yang berebut-rebut hendak berbakti kepada suami dan anak-anak mereka.

Saya teringat perbualan antara kami kumpulan pelajar Malaysia dengan pensyarah bahasa kami sewaktu menuntut di Jerman suatu masa dahulu. Pensyarah bahasa saya, seorang wanita, terkejut bila diberitahu adalah sesuatu yang normal dalam masyarakat kita, seorang wanita berkerjaya seperti beliau mempunyai pembantu rumah yang tinggal bersama untuk menguruskan rumahtangga. Pembantu rumah dalam definisi masyarakat kita hanya mampu digajikan oleh orang yang betul-betul kaya dan berada dalam masyarakat mereka. Di Jerman ada istilah pembantu rumah, tetapi mereka hanya datang dan dibayar mengikut jam bekerja. Tanggungjawab membesarkan anak biasanya terletak dibahu ibu-bapa sendiri, kecuali bagi mereka yang benar-benar sibuk akan menggaji pengasuh kanak-kanak (nanny) atau anak-anak dihantar ke rumah pengasuh. Masih juga mereka hanya menjaga anak-anak sepanjang ketiadaan ibu bapa di rumah. Undang-undang buruh di Jerman membenarkan ibu atau bapa yang mempunyai anak kecil bercuti maksimum sehingga anak-anak berusia 3 tahun. Seorang kenalan saya berbangsa Jerman yang pernah bertugas sebagai pengetua Akademi Celcom di Malaysia dan mempunyai 2 orang anak juga hanya menggunakan khidmat pengemas dan pencuci rumah yang datang pada hari-hari tertentu untuk membantu membersihkan rumah. Selainnya mereka sekeluarga melakukan sendiri. Cuba kita bayangkan posisi dan kedudukan yang sama, tetapi individu tersebut adalah orang Malaysia!

Berjaya di pejabat dan juga cemerlang di rumah bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Cuma perlu sedikit kemahiran untuk menguruskan masa dengan efektif di samping pembahagian tugas sesama isteri dan suami yang bekerja. Bak kata pepatah: "yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing". Tak ada salahnya jika lelaki membantu isteri menyelesaikan kerja-kerja rumah. Persepsi "menguruskan rumah adalah tugas perempuan" harus diperbetulkan. Jadikan tugas mengurus rumah tanggungjawab seisi keluarga. Bila anak-anak melihat kerjasama antara ibu bapa, pasti mereka akan mencontohi sikap baik tersebut. Sikap dan mentaliti generasi akan datang kitalah yang mencorakkannya. Pisau dan mentimun ada di tangan kita, jadi fikir-fikirkanlah!

No comments:

Post a Comment