Nuffnang Ads

Showing posts with label Susu ibu. Show all posts
Showing posts with label Susu ibu. Show all posts

Monday, May 23, 2011

Tiada yang lebih baik selain daripada susu ibu!

<< Seorang ibu yang masih berpantang mengeluh kepenatan kerana terpaksa bangun malam untuk membancuh susu untuk bayinya >>

Terus terang, air mata saya menitis bila dengar cerita di atas. Pertama sekali air mata simpati untuk si bayi yang tidak disusui ibunya. Dan air mata simpati untuk si ibu yang mungkin masih tidak menyedari, dia telah mengabaikan satu anugerah Allah yang amat berharga - Kesempatan untuk menyusukan anak, saat anak paling dekat dengan ibunya selain sewaktu di dalam kandungan!

Kadang-kadang bila mengikuti kisah keluarga kurang bernasib baik yang perlukan bantuan, hati jadi terusik bila sampai ke bahagian berita "...perlukan duit belanja susu untuk bayi yang berusia 2 bulan...". Ya Allah ibu..., Allah dah anugerahkan kita dengan keupayaan untuk menyusukan bayi, kenapa susu formula juga yang menjadi pilihan? Seharusnya dalam situasi ekonomi keluarga sebegitu, tidak perlu timbul masalah untuk beli susu. Kenapa tidak dimanfaatkan rezeki Allah untuk bayi??

Tiada susu lain yang dapat menandingi kebaikan dan khasiat susu ibu. Tapi masih ramai ibu-ibu di Malaysia yang 'bangga' menyusukan anak-anak mereka dengan susu formula. Lagi mahal harga susu, lagi tinggi standard mereka!

Sunday, January 30, 2011

Hospital Rakan Bayi

Masa mula-mula balik Malaysia dan berkesempatan melawat anak sepupu Izzad di Hospital Putrajaya, saya tertarik dengan Plak yang ditampal di ruang menunggu hospital. Tertera pengiktirafan 'HOSPITAL RAKAN BAYI'. Tertanya-tanya saya apa pulak Hospital Rakan Bayi ni? Lepas tu barulah saya tahu... apa HRB tu.

Berpeluang melahirkan Izzul Hakimi di Hospital Melaka (juga salah satu HRB), dan pengalaman menemankan adik saya yang berkampung di Hospital Melaka kerana anaknya menghidap 'newborn jaundice' membuatkan saya tertanya-tanya kembali. Layakkah mereka diiktiraf sebagai HRB? Pada pendapat saya, mereka belum layak diiktiraf sebagai HRB. Kenapa? Saya beri sebab dan alasan.

1) Kekurangan pakar laktasi. Seingat saya, hanya seorang pakar laktasi yang saya jumpa. Seorang wanita india. Dia yang beri penerangan semasa kursus suami sebagai peneman dan dia juga yang datang ke wad lepas lebih 6 jam saya bersalin!

2) Sejam pertama selepas bayi dilahirkan adalah waktu paling penting untuk bayi dan ibu, kerana refleks menyusu bayi sangat kuat pada waktu ini. Cogankata ini memang diwar-warkan, tapi tidak dipraktikkan! Bayangkan, lepas melahirkan Hakimi diaorang bagi sekejap Hakimi kat saya, lepas tu masa bidan jahit luka, diaorang bawa keluar Hakimi. Saya tunggu hampir sejam diaorang tak pulangkan Hakimi.. lepas saya minta Hakimi untuk disusukan, baru diaorang bagi. Itupun kejap je.. lepas tu diaorang ambil balik! Adik saya lagi parah... saya lupa nak pesan kat dia suruh minta baby. So lepas 4 jam lahir baru dia mula nak susukan Mu'az... mana nak budak tu. HRB bukan setakat ada pegawai laktasi je... bidan kat wad bersalin pun kena praktikkan juga motto tu!

3) Hospital Rakan Susu Formula di wad kanak-kanak! 2 hari pertama masa Mu'az kena tahan wad, adik saya tak dapat bermalam sekali, jadi pagi saya hantar dia ke hospital, malam saya ambil dia balik. Untuk bekalan susu sebelum dia datang, kami tinggalkan susu yang diperah. Kena masuk dalam bekas plastik, tulis nama, tarikh etc.. Tapi susu adik saya tak digunakan pun untuk susukan Mu'az! Dah pesan, bagi susu ibu, tapi cuma seorang jururawat kat situ yang 'pakai' cakap kami! Menangis adik saya terpaksa buang susu yang dia penat-penat perah. Masa tu dia belum beli pam susu Avent lagi. Beli yang simple je, sampai sakit-sakit tangan dia mengepam susu.

4) Bimbingan ala kadar. Bagi saya yang dah melalui 2 kelahiran sebelum Hakimi, mungkin tak kekok lagi nak menyusukan bayi, tapi kalau macam tulah bimbingan yang pegawai laktasi tu beri untuk semua ibu di situ, senang-senang saya bagi markah 1 daripada 10 markah! Kenapa? Sebab dia datang cuma sekali selama 2 hari saya di wad dan sekadar bertanya, samada saya dah susukan bayi dan beritahu saya supaya teruskan penyusuan. Itu aje!

5) Kemudahan sekadar ada. Tiada bilik khas untuk ibu melarikan diri dan menyusukan bayi sekiranya ibu merasa terganggu dengan kehadiran tetamu pesakit lain di katil sebelah menyebelah.

Banyak lagi saya nak tulis.. tapi nantilah saya masukkan dalam entri lain. Panjang sangat dah, lagipun saya dah mengantuk.. selamat malam!

Monday, January 24, 2011

Susu ibu vs susu formula

Terfikir-fikir, apa cerita pertama saya nak masukkan dalam blog ni. Sebenarnya topik ni selalu bermain kat kepala. Cuma baru sekarang ada medium untuk saya ketengahkan topik ni. Saya gunakan dua-dua, susu ibu dan susu formula. Masa Nurina kecil saya susukan dia sepenuhnya sampai dia berumur setahun, lepas tu campur dengan susu formula. Dia 2 tahun je, stop susu ibu dan terus dengan susu formula. Amira pula 2 tahun susu ibu dan lepas tu baru susu formula. Hakimi, susu ibu sampai umur 7 bulan, lepas tu campur. Kenapa campur awal sangat? Nanti saya cerita kat entri lain. Sampai sekarang Hakimi masih belum berhenti susu ibu lagi. Sekarang ni dia kongsi menyusu? Ya betul, kongsi dengan Fahmi. Jadi sekarang saya menyusukan 2 anak lelaki saya (Hakimi 2 tahun 3 bulan, Fahmi 1 tahun 2 bulan).

Saya nak komen banyak pasal susu formula ni pun, saya bukannya pandai sangat. Cuma pada pendapat saya, setiap bayi seharusnya mendapat HAK mereka untuk menyusu susu ibu. Kalau ibu tak mampu untuk susukan 2 tahun seperti disunnahkan, 6 bulan pertama susu ibu sepenuhnya pun memadai. Lepas tu bolehlah campur dengan susu formula.

Saya sendiri masa mengandungkan Nurina, tak pernah terfikir nak beri dia susu formula. Alhamdulillah saya lahirkan Nurina di Jerman, di mana mereka amat menitik beratkan penyusuan eksklusif untuk bayi sehingga berumur 6 bulan! Agaknya kalau masa tu saya di Malaysia, mungkin Nurina membesar dengan susu formula! Bayangkan, selepas Nurina lahir, 4 jam saya dan 3 jururawat (bidan, jururawat kanak-kanak dan pakar laktasi) berusaha supaya Nurina menyusu. Dia hisap 2, 3 kali dan lepas tu tidur! Dan begitulah episod yang sama berulang sepanjang 6 hari saya di hospital.

Sakit, bengkak, nak bergerak pun susah. Mujur saya tak demam dan payudara tak kena jangkitan kuman. Sampaikan terpaksa pam untuk rasa lega sikit. Nurina akan ditimbang setiap kali sebelum dan selepas menyusu untuk memantau jumlah susu yang dia minum. Seksa kan? Kalau tak kuat semangat, mungkin saya dah beralih ke susu formula. Yang buat saya kagum, jururawat dan doktor di situ tak pernah sekali pun bagi cadangan supaya saya susukan Nurina dengan susu formula. Sebaliknya mereka tak henti-henti bagi semangat dan dorongan supaya saya teruskan penyusuan. Ditakdirkan saya di Malaysia masa tu, rasanya dah lama jururawat beri anak saya susu formula!!

Di hospital mereka berikan rawatan akupunktur untuk melancarkan pengaliran susu dan setiap kali lepas menyusukan Nurina, payudara saya akan dituam dengan 'coolig pad' daripada keju sejuk! Bila kami balik rumah, rutin menimbang Nurina dan mengepam susu diteruskan dengan penimbang digital dan pam elektrik Medela yang disewa dari farmasi. Jururawat yang datang memantau saya dan Nurina selama 10 hari pun sentiasa beri dorongan supaya saya teruskan penyusuan. Sakit, luka, rasa tertekan tu adatlah, lebih-lebih lagi untuk ibu muda macam saya, katanya. Yang penting jangan putus asa. Sentiasa rehatkan diri, minda dan banyakkan pengambilan air dan makanan yang berkhasiat dan seimbang.