Nuffnang Ads

Monday, January 24, 2011

Susu ibu vs susu formula

Terfikir-fikir, apa cerita pertama saya nak masukkan dalam blog ni. Sebenarnya topik ni selalu bermain kat kepala. Cuma baru sekarang ada medium untuk saya ketengahkan topik ni. Saya gunakan dua-dua, susu ibu dan susu formula. Masa Nurina kecil saya susukan dia sepenuhnya sampai dia berumur setahun, lepas tu campur dengan susu formula. Dia 2 tahun je, stop susu ibu dan terus dengan susu formula. Amira pula 2 tahun susu ibu dan lepas tu baru susu formula. Hakimi, susu ibu sampai umur 7 bulan, lepas tu campur. Kenapa campur awal sangat? Nanti saya cerita kat entri lain. Sampai sekarang Hakimi masih belum berhenti susu ibu lagi. Sekarang ni dia kongsi menyusu? Ya betul, kongsi dengan Fahmi. Jadi sekarang saya menyusukan 2 anak lelaki saya (Hakimi 2 tahun 3 bulan, Fahmi 1 tahun 2 bulan).

Saya nak komen banyak pasal susu formula ni pun, saya bukannya pandai sangat. Cuma pada pendapat saya, setiap bayi seharusnya mendapat HAK mereka untuk menyusu susu ibu. Kalau ibu tak mampu untuk susukan 2 tahun seperti disunnahkan, 6 bulan pertama susu ibu sepenuhnya pun memadai. Lepas tu bolehlah campur dengan susu formula.

Saya sendiri masa mengandungkan Nurina, tak pernah terfikir nak beri dia susu formula. Alhamdulillah saya lahirkan Nurina di Jerman, di mana mereka amat menitik beratkan penyusuan eksklusif untuk bayi sehingga berumur 6 bulan! Agaknya kalau masa tu saya di Malaysia, mungkin Nurina membesar dengan susu formula! Bayangkan, selepas Nurina lahir, 4 jam saya dan 3 jururawat (bidan, jururawat kanak-kanak dan pakar laktasi) berusaha supaya Nurina menyusu. Dia hisap 2, 3 kali dan lepas tu tidur! Dan begitulah episod yang sama berulang sepanjang 6 hari saya di hospital.

Sakit, bengkak, nak bergerak pun susah. Mujur saya tak demam dan payudara tak kena jangkitan kuman. Sampaikan terpaksa pam untuk rasa lega sikit. Nurina akan ditimbang setiap kali sebelum dan selepas menyusu untuk memantau jumlah susu yang dia minum. Seksa kan? Kalau tak kuat semangat, mungkin saya dah beralih ke susu formula. Yang buat saya kagum, jururawat dan doktor di situ tak pernah sekali pun bagi cadangan supaya saya susukan Nurina dengan susu formula. Sebaliknya mereka tak henti-henti bagi semangat dan dorongan supaya saya teruskan penyusuan. Ditakdirkan saya di Malaysia masa tu, rasanya dah lama jururawat beri anak saya susu formula!!

Di hospital mereka berikan rawatan akupunktur untuk melancarkan pengaliran susu dan setiap kali lepas menyusukan Nurina, payudara saya akan dituam dengan 'coolig pad' daripada keju sejuk! Bila kami balik rumah, rutin menimbang Nurina dan mengepam susu diteruskan dengan penimbang digital dan pam elektrik Medela yang disewa dari farmasi. Jururawat yang datang memantau saya dan Nurina selama 10 hari pun sentiasa beri dorongan supaya saya teruskan penyusuan. Sakit, luka, rasa tertekan tu adatlah, lebih-lebih lagi untuk ibu muda macam saya, katanya. Yang penting jangan putus asa. Sentiasa rehatkan diri, minda dan banyakkan pengambilan air dan makanan yang berkhasiat dan seimbang.

No comments:

Post a Comment