Nuffnang Ads

Friday, March 23, 2012

Lambatnya Sabtu!

All times shown are local times

AF256
23:20 - 23 March 2012
Paris, Charles de Gaulle (CDG) - France
terminal 2E

18:40 - 24 March 2012
Singapore, Changi (SIN) - Singapore
terminal 1
-----------------------------------------------------------------------------------
Tadi saya semak jadual penerbangan Izzad dari Paris esok. Hmmm, pukul 6.40 petang Sabtu baru sampai Changi. Ambil beg, imigresen, tunggu teksi (kalau teksi dia tak sampai lagi), lalu imigresen kat Johor lagi. Rasanya pukul 9, 10 malam jugaklah baru sampai rumah.

Anak-anak tak sabar nak jumpa papa diaorang. Fahmi pun dah baik demam. Sejak Izzad ke Paris minggu lepas Fahmi mula demam. Baru 2 hari ni ok semula. Tapi badan Fahmi susut sangat sebab sepanjang demam tu dia taknak makan, cuma harapkan susu badan je. Sedih tengok Fahmi yang melidi tak bermaya. Tak boleh berenggang pulak tu, tinggal sekejap pun dia menangis.

Saya takde pesan apa-apa yang special pun dari Izzad, cuma minta coklat Fererro Giotto je. Kat Malaysia saya tak pernah jumpa coklat tu. Tapi kalau tak dapat pun tak apa. Yang penting Izzad selamat sampai ke rumah...


Gambar ni Izzad hantar 3 hari lepas. Pukul 2.30 pagi dia telefon saya semata-mata nak bagitahu, dia kat Eiffel Tower, nak pergi makan di restoran atas kapal menyusuri sungai Seine :). Kebetulan masa tu saya tak tidur lena pun, baru nak terlelap sebab berjaga tunggu Fahmi yang demam.

Monday, March 19, 2012

Pembantu rumah Indonesia dan RM700 untuk satu tugas

Hujung minggu tempohari kita dikejutkan dengan dakwaan Dr. Reyna Usman dari TKI bahawa pembantu rumah Indonesia yang bakal bekerja di Malaysia akan dibayar gaji sebanyak RM700 sebulan dengan elaun tambahan sebanyak RM27 sehari jika cuti bulanan tidak diberi. Lagi menarik, seorang pembantu rumah untuk satu tugas khusus samada sebagai penjaga bayi, pembantu untuk memasak, pengemas rumah atau penjaga orang-orang tua. Kementerian Sumber Manusia Malaysia menafikan yang mereka bersetuju dengan syarat tersebut. Hmm, biarlah siapa yang membuat onar memperbetulkan semula keadaan!

Saya memang agak kurang bersetuju dengan kebergantungan yang terlampau masyarakat kita kepada pembantu rumah. Bukan sebab saya suri rumah sepenuh masa, tetapi pada pendapat saya budaya bergantung kepada khidmat pembantu merupakan salah satu penyumbang kepada sikap acuh tak acuh dan kurangnya tanggungjawab generasi muda kini. Dan secara peribadi saya memang tidak selesa bila ada orang asing di rumah. Pergerakan seakan terbatas dan terasa sentiasa diperhatikan! Tambahan pula banyak kes yang berlaku di sekeliling saya, rahsia rumahtangga yang tak sepatutnya keluar dari pintu dan tingkap rumah, dijaja pembantu kepada orang luar - mertua, ipar duai, adik beradik juga merupakan orang luar dalam konteks ini.

Tulisan Dr. Mohd Yusoff Ismail bertajuk "Satu amah, satu tugas: jenaka bangsawan moden" yang disiarkan dalam ruang rencana di Utusan Malaysia hari ini menarik perhatian saya. Tulisan beliau kena dan tepat pada masanya dan harapan saya moga tulisan Dr. Mohd Yusoff Ismail tidak dikesampingkan begitu sahaja oleh pihak-pihak yang terlibat.

Masyarakat kita sebenarnya terlalu manja dan membawa ke tahap mengada-ngada bila tiba bab pembantu rumah. Sesetengahnya tidak mengukur baju di badan sendiri. Ada tu yang sudah terang lagi bersuluh memang tidak mampu menggaji pembantu rumah tetapi masih juga mahukan pembantu. Bukankah itu mencari penyakit namanya?

Melahirkan generasi pemalas.
Mungkin kita pernah lihat situasi ini? Anak-anak yang hanya menghantar pinggan mangkuk selepas makan ke sinki untuk dibersihkan pembantu. Lebih parah yang selamba meninggalkan pinggan di atas meja makan untuk dipungut dan dicuci oleh pembantu rumah. Atau anak-anak yang keberatan untuk membersihkan tandas mereka sendiri. Atau anak-anak yang membiarkan katil dan bilik mereka tidak berkemas. Atau anak-anak yang tak ambil pusing samada kasut-kasut sekolah mereka sudah dicuci atau belum. Yang mereka tahu, pagi Isnin kasut yang bersih dan siap berkapur mesti tersedia untuk dipakai. Tak kurang juga anak-anak yang hanya tahu mencampakkan baju kotor mereka ke dalam bakul baju dan mengambil yang bersih, bergosok dan siap berlipat dari dalam almari. Proses apa yang berlaku dari baju di dalam bakul hingga siap kemas berlipat tersusun dalam almari mereka tak tahu dan mungkin juga tak mahu ambil tahu. Yang penting semua tersedia! Dalam fikiran mereka "kalau cuci dan buat sendiri, nanti pembantu tak ada kerja pula". Kerja-kerja dapur? Lagi panjang nanti nak dihuraikan.. :). Dengan gaya hidup semasa kebanyakan daripada kita maka akan lahirlah anak-anak tak kira perempuan atau lelaki yang langsung tak tahu atau tak biasa melakukan kerja-kerja rumah. Nak salahkan siapa kalau lahir generasi sebegini? Salah kita sendiri kerana kita tidak melatih mereka untuk berdikari. Anak-anak perlu dilatih dan dibiasakan dengan kerja-kerja rumah, tak kira lelaki atau perempuan. Mereka perlu dilatih dengan tanggungjawab. Saya cukup lemas dengan anak-anak yang semua benda mengharapkan bantuan pembantu rumah. Semua minta disuap! Sebab itulah generasi muda kini ramai yang kurang kreatif dan kurang inisiatif!

Penderaan emosi secara tanpa sedar.
Kebanyakan wanita-wanita dari Indonesia yang masyarakat kita ambil sebagai pembantu rumah berasal dari kawasan kampung dan pedalaman dan sering juga mereka tidak mempunyai pendidikan tinggi. Kalau bernasib baik mungkin mereka tamat SMA (setaraf sekolah menengah). Kalau dapat yang tamat SD (sekolah rendah) pun dah dikira beruntung. Ramai juga yang sekadar tahu membaca serba sedikit. Logiklah jika mereka yang mungkin pertama kali seumur hidup jumpa microwave, mesin penyedut hampagas atau mesin basuh automatik dan yang seumpama dengannya memerlukan masa untuk 'biasa' dengan segala butang yang perlu ditekan. Sesetengah majikan sangat 'kedekut' untuk memberi pembantu mereka masa. Yang mereka tahu, sekali beritahu, kena faham, ingat dan mesti pandai kendalikan semua alat-alat bantuan tersebut! Bila si pembantu bertanya berulangkali, keluarlah perkataan 'bodoh', 'lembab' dan sebagainya. Lagi parah bila pembantu dimarah di hadapan individu lain bagaikan kanak-kanak kecil. Mereka, walaupun hanya bekerja sebagai pembantu adalah manusia biasa yang ada perasaan. Bukan setaraf hamba abdi yang tidak punya hak. Itu yang orang kita selalu lupa. Pada mereka: "Aku dah bayar, jadi kau kena buat apa aku suruh dan jangan banyak cakap."

Hilang peluang isteri untuk menambah pahala.
Setiap tugas yang isteri buat untuk suami, anak-anak dan keluarga, jika dilakukan dengan ikhlas merupakan satu ibadah. Bayangkan berapa banyak pahala yang bakal isteri perolehi setiap hari jika mereka ikhlas berbakti untuk suami dan anak-anak? Kalau pahala tu datang bergolek dan boleh kita nampak, saya fikir ramai wanita yang berebut-rebut hendak berbakti kepada suami dan anak-anak mereka.

Saya teringat perbualan antara kami kumpulan pelajar Malaysia dengan pensyarah bahasa kami sewaktu menuntut di Jerman suatu masa dahulu. Pensyarah bahasa saya, seorang wanita, terkejut bila diberitahu adalah sesuatu yang normal dalam masyarakat kita, seorang wanita berkerjaya seperti beliau mempunyai pembantu rumah yang tinggal bersama untuk menguruskan rumahtangga. Pembantu rumah dalam definisi masyarakat kita hanya mampu digajikan oleh orang yang betul-betul kaya dan berada dalam masyarakat mereka. Di Jerman ada istilah pembantu rumah, tetapi mereka hanya datang dan dibayar mengikut jam bekerja. Tanggungjawab membesarkan anak biasanya terletak dibahu ibu-bapa sendiri, kecuali bagi mereka yang benar-benar sibuk akan menggaji pengasuh kanak-kanak (nanny) atau anak-anak dihantar ke rumah pengasuh. Masih juga mereka hanya menjaga anak-anak sepanjang ketiadaan ibu bapa di rumah. Undang-undang buruh di Jerman membenarkan ibu atau bapa yang mempunyai anak kecil bercuti maksimum sehingga anak-anak berusia 3 tahun. Seorang kenalan saya berbangsa Jerman yang pernah bertugas sebagai pengetua Akademi Celcom di Malaysia dan mempunyai 2 orang anak juga hanya menggunakan khidmat pengemas dan pencuci rumah yang datang pada hari-hari tertentu untuk membantu membersihkan rumah. Selainnya mereka sekeluarga melakukan sendiri. Cuba kita bayangkan posisi dan kedudukan yang sama, tetapi individu tersebut adalah orang Malaysia!

Berjaya di pejabat dan juga cemerlang di rumah bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Cuma perlu sedikit kemahiran untuk menguruskan masa dengan efektif di samping pembahagian tugas sesama isteri dan suami yang bekerja. Bak kata pepatah: "yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing". Tak ada salahnya jika lelaki membantu isteri menyelesaikan kerja-kerja rumah. Persepsi "menguruskan rumah adalah tugas perempuan" harus diperbetulkan. Jadikan tugas mengurus rumah tanggungjawab seisi keluarga. Bila anak-anak melihat kerjasama antara ibu bapa, pasti mereka akan mencontohi sikap baik tersebut. Sikap dan mentaliti generasi akan datang kitalah yang mencorakkannya. Pisau dan mentimun ada di tangan kita, jadi fikir-fikirkanlah!

Saturday, March 17, 2012

Letihnya merempit

Lebih kurang pukul 6.40 petang tadi saya dan anak-anak selamat sampai ke Pasir Gudang. Izzad dah balik dari office dengan dinner yang dah sedia terhidang di atas meja. My darling tak masak pun, cuma beli je. Hmmm, love it! Danke dir Schatz...! Alhamdulillah perjalanan kami dipermudahkan Allah. Highway PLUS arah selatan kurang sesak cuma bila masuk highway Pasir Gudang, timing tak kena.. time orang balik kerja... jadi beraturlah di atas jalan.. :)

Lepas dinner siapkan baju-baju Izzad untuk dipack. Esok dia akan ke Paris. Tak lama, seminggu je. Paris masih sejuk, jadi kena siapkan pakaian panas yang sesuai dan cukup. Kalaulah dapat pergi sekali.. Hmmm, teringat pengalaman menaiki bot menyusuri sungai Seine di kota Paris kala senja hampir berlabuh suatu ketika dulu... Trip pertama keluar dari Jerman selepas sebulan sampai ke Koeln. Masa tu rasa jakun sangat... Iyelah sebelum ni cuma dengar je nama kota cinta Paris, Eiffel Tower. Tak pernah termimpi dapat pergi pun. :)

Monday, March 12, 2012

Kena saman lagi..

Semalam seperti hujung minggu sebelum-sebelum ni, Izzad ke office macam biasa. Saya dah lali dengan kesibukan dia. Orang lain kalau kena masuk office hari Sabtu dan Ahad tu kira tak normallah kan? Tapi bagi Izzad, ada di rumah hari Sabtu dan Ahad yang dikira tak normal! :) Nak buat macam mana, dia memang jenis tak tahu nak duduk diam. Bila fikir-fikir semula, memang ada baiknya keputusan saya untuk jadi suri rumah sepenuh masa. Kalau tidak, mungkin anak-anak tak terurus agaknya. **berdasarkan situasi cara dan masa kerja Izzad pada masa ini yang sentiasa sibuk. Kalau masa kerja dia normal, mungkin lain ceritanya**

Dah melalut sampai kisah saya dan kerja pulak. Petang semalam masa Izzad sampai rumah dia beritahu:

Izzad: "Yang, MBT tu ada seketul saman la."
Saya: "Saman? Kat mana? Bila?" Isk.., kena saman masa saya dok sibuk berulang alik Pasir Gudang - Melaka - Segamat dan ke Shah Alam masa cuti sekolah tempohari ke? Aduiiilaaa kena samanla pulak.
Izzad: "Kat Alor Gajah masa Chinese New Year lepas."
Saya: "CNY? Hmmmm bukan masa tu kita sama-sama balik kampung dan balik rumah Melaka ke? Abang yang bawak kan?" Huhs lega, bukan masa saya yang bawa kereta.
Izzad: "Iye ke? Tapi macam mana pulak boleh kena saman kat Alor Gajah?"
Saya: "Laaa, abang lupa ke, abang bawa kami ikut Simpang Ampat nak balik Pasir Gudang tu. Konon nak bawa anak-anak lalu Alor Gajah, lalu depan sekolah lama Nina..."
Izzad: "Ha ah la.. yang saja buang-buang masa tu kan? Scheisse, kena saman pulak tu."

Nampaknya balik rumah mak esok saya kena bersopan santun di jalanraya. Tak boleh merempit! ;). Setiap kali lepas saya memandu untuk jarak jauh, saya pasti suruh Izzad check di myeg.com untuk rekod saman. Iyelah saman ekor ni bukan kita tahu bila dan di mana diaorang letak kamera tu. Alih-alih sampai je surat saman. Kalau jalan persekutuan, saya kurang risau sikit, sebab biasanya saya patuh pada had laju - cuma kadang-kadang terlebih speed sikit ;). Cuma kat highway tu, kadang tak perasan, sedap je tekan minyak, sedar-sedar tengok meter: eh dah 150/kmh.. lepas minyak semula... :p. Atas highway biasanya saya maintain 110km/h - 130km/h je... ;)