Nuffnang Ads

Monday, July 15, 2013

Resepi: Siakap Sweet Sour Hitam

Upload resepi lagi hari ni. Hahaha buat cuci mata di tengahari bulan puasa.. Kalau suka, boleh cuba. Resepi ni agak unik dan berbeza rasanya kerana kombinasi antara kicap, tomato dan sos tiramnya. Resepi yang saya dapat dari kawan serumah, Kak Iza semasa belajar di Kuantan dulu. Waktu tu kami buat giliran untuk memasak setiap petang bagi mengurangkan bajet bulanan. Setiap kali giliran Kak Iza masak, saya kerap berharap agar dia masak lauk ni. Malu nak minta resepi dari dia, dapat ni pun masa dia bercerita kat kami semasa tengah makan dan bila dia masak saya perhatikan dari jauh. Resepi ni boleh kira 'trade mark' saya semasa di Jerman dan sekarang kira dah jadi resepi keluarga sebab anak-anak pun memang suka sweet sour ni. 

Biasanya saya gunakan ikan siakap atau bawal hitam. Kalau nak gunakan ikan selar yang besar tu pun boleh juga. Semasa di Jerman saya gunakan ikan salmon untuk buat sweet sour. Kalau tak ada salmon, saya gunakan ikan rainbow arch (Regenbogen), sejenis ikan air tawar tempatan. Salmon masak sweet sour? Hahaha boleh saja, gunakan sumber tempatan dan suaikan dengan selera kita ;). Salmon masak kari pun kami buat! Uniknya resepi sweet sour ni warnanya hitam, tak menarik... Tapi bak kata orang putih "don't judge a book by it's cover". Nampak je tak menarik, tapi belum cuba, belum tahu!

Nama ni saya yang bagi sebab selalunya bila orang tanya jenis masakan, saya jawab "sweet sour", tapi lepas tu mesti diaorang akan tanya: "Sweet sour? Tapi kenapa hitam?". Jadi saya tambahlah hitam kat belakang tu untuk mengelakkan kekeliruan dengan sweet sour yang biasa kita makan kat kedai Thailand tu.. :)

Siakap Sweet Sour Hitam yang depan sekali



Siakap Sweet Sour Hitam
Bahan:

1 ekor siakap sederhana besar (500-600g) 
4 biji tomato sederhana besar
2 biji bawang merah 
1/2 labu bawang besar 
3 ulas bawang putih 
1 cm halia - diracik halus
5-6 biji cili padi - racik kasar - kalau suka pedas, boleh tambahkan kuantiti. Kurangkan cili kalau tak suka pedas
1 1/2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
garam dan gula
1/2 cawan air
minyak untuk menumis

Cara:
1. Bersihkan siakap, garam dan kunyitkan dan goreng garing, ketepikan.
2. Kisar bawang merah, bawang besar dan bawang putih, ketepikan.
3. Kisar buah tomato, ketepikan.
4. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 3 sudu besar. Tumiskan halia sekejap. Masukkan bawang kisar dan tumis hingga garing. 
5. Bila bawang dah garing, masukkan tomato yang dah dikisar dan tumis hingga garing juga. Tomato perlu betul-betul masak untuk mengelakkan rasa *maung. 
6. Bila tomato dah garing dan masak, tambahkan sedikit air. Tambahkan sos tiram, kicap dan cili yang diracik kasar. Tambahkan gula dan garam. Masukkan lebihan air dan masak hingga didih. Kuah perlu sedikit pekat, jangan terlalu cair. Kalau terlebih air, biarkan di atas api. Kalau terlalu pekat atau terlebih garing, tambahkan air ;)
7. Bila kuah dah masak, masukkan ikan sekejap ke dalam kuali dan terus hidangkan. Jangan biarkan ikan terendam lama di dalam kuah, nanti lembik pula ikan tu. Atau boleh juga sekadar tuangkan kuah ke atas ikan. Hiaskan dengan timun dan salad. Sedap dimakan dengan nasi panas. Kombinasikan dengan sayur campur dan telur dadar. Lebihan kuah dan ikan kalau dicicah dengan roti pun sedap juga. Biasanya kalau lepas makan ada lebihan kuah saya simpan dan esoknya cicah roti. Nurina pun ikut dah... :)

*maung: ni bahasa Johor kot... maksudnya kat sini rasa mentah atau rasa tak masak tomato tu.








No comments:

Post a Comment