Nuffnang Ads

Showing posts with label tahfiz. Show all posts
Showing posts with label tahfiz. Show all posts

Friday, April 26, 2013

Tahfiz separuh masa waktu malam tamat..

Malam semalam balik dari kelas Tahfiz...

Nina&Mira: Ma, ustazah kata mulai isnin minggu depan kelas tahfiz separuh masa waktu malam dah tak ada lagi. Ustazah kena mengajar di Puteri Wangsa. Kelas separuh masa cuma ada siang je pukul 2.00-4.30 petang. Macam mana kitaorang nak pergi kelas ma? Kitaorang tak nak berhenti kelas tahfiz...

Mira: Nina kata dia nak berhenti sekolah agama ma, nak pergi tahfiz je. Macam mana Mira nak pergi ma? Sekolah agama Mira dari pukul 2.00-3.30. Nina pulak pukul 6.30 baru balik....

Mama: Agak terkejut dengan short notice dari al-islah dan sedikit sesak dengan "macam mana" yang bertubi-tubi. Hmmm tarik nafas panjang.. Takpe, takpe rileks dulu.., nanti mama telefon ustazah, mama bincang dengan ustazah, kita cuba cari penyelesaian ok?

Nina&Mira: Ok, tapi kitaorang tak nak berhenti tau!

*Ya Allah, permudahkanlah urusanku*

---------------------------------------------------

Sebelum tidur semalam kepala ligat memikirkan bermacam pilihan yang ada boleh saya kemukakan kepada Ustazah Rabiatul. Dua tiga kali juga saya terjaga malam dan kepala masih memikirkan topik yang sama. Hahahaha macam tu lah saya, kalau ada benda yang tak settle memang tak senang duduk ;). Tambahan ini melibatkan perkara yang penting, yang anak-anak minat. Alhamdulillah mereka menunjukkan minat dan kesungguhan dalam pembelajaran tahfiz. Walaupun sejak akhir tahun lepas sehingga ke bulan Februari Al Islah kekurangan tenaga pengajar dan mereka kurang membuat hafalan baru, mereka hampir habis juzu' Amma. Bagi saya, cukup baik bagi pelajar separuh masa seperti mereka.

Dan hari ini selepas berbincang dengan Ustazah Rabiatul, kami mencapai kata sepakat yang Nurina akan ke kelas tahfiz pada waktu petang dari pukul 2.00 - 3.15 dan selepas itu saya hantar dia ke sekolah agama. Cuma untuk Amira je masih tak ada kata putus. Amira habis sekolah agama pukul 3.30, jadi agak singkat masa untuk kelas tahfiz yang tamat pukul 4.30 petang. Saya nak hantar sambung mengaji di rumah Cikgu Su dia tak mahu (Amira masih mengaji juzu' 13).. Nampaknya saya kena bincang semula dengan Ustazah Rabiatul.


Wednesday, October 10, 2012

Kenapa saya pilih pusat Tahfiz sebagai pendidikan tambahan?

Jujurnya sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menghantar anak-anak kami untuk belajar di Pusat Tahfiz, samada secara separuh masa atau sepenuh masa. Mungkin pendedahan yang kurang dari pihak saya sendiri. Cuma yang pasti, saya memang berazam untuk memastikan anak-anak kami mengaji dan khatam Al-Quran sebelum mencapai usia 12 tahun. Alhamdulillah, anak sulung saya Nurina berjaya khatam 30 juzuk Al-Quran sebelum dia berusia 9 tahun. Amira (7 tahun) masih mengaji juzuk 7. Hakimi (4 tahun) sudah saya biasakan dengan Iqra'. Tetapi Hakimi masih sukar untuk fokus. Sebutan semua sudah betul, tapi mata meliar ke arah lain bila mengaji. Fahmi ada juga ikut membuka Iqra' bila kakak mengaji.

Berbalik kepada tahfiz. Segalanya bermula 2 tahun lepas. Kakak saya telah mendaftarkan anak sulungnya yang berusia 10 tahun ke sebuah pusat tahfiz sepenuh masa di Melaka. Awalnya tanpa rela dan hanya menurut kehendak abang ipar saya. Saya sebagai ibu saudara juga agak kecewa sebenarnya kerana Hidayah merupakan seorang yang bijak dan cemerlang di sekolah. Pendedahan saya tentang peluang lepasan pusat tahfiz untuk menceburi bidang profesional lain agak kurang. Ditambah pula dengan kehendak abang ipar supaya anaknya mengikuti pengajian 'Mualimah' setelah selesai pengajian Tahfiz. Maksudnya segala ilmu yang pada pendapatnya ilmu dunia terus disisihkan - pendapat yang amat saya tentang, sebabnya semua ilmu itu ilmu Allah. Ilmu Allah bukan setakat ilmu agama semata-mata! Melalui pemerhatian juga ramai lepasan pusat tahfiz yang seakan membataskan penglibatan mereka dalam bidang keagamaan sahaja: samada sebagai penceramah agama, guru-guru, pensyarah - hanya menjurus kepada pendidikan dan agama sahaja! Jarang kita didedahkan dengan kejayaan lepasan pusat tahfiz yang menceburi bidang profesional lain seperti jurutera, doktor, peguam dan sebagainya. Memang ada, tetapi kurang didedahkan kepada umum!

Melihat keupayaan Hidayah berjaya menghafaz 19 juzuk dalam tempoh tak sampai 2 tahun, saya mula memasang niat untuk melihat anak-anak saya juga mendapat didikan di pusat tahfiz, bukan sepenuh masa, tetapi hanya separuh masa. Saya mula meninjau kewujudan pusat tahfiz di persekitaran kediaman. Alhamdulillah, ada sebuah Pusat Tahfiz Perempuan berdekatan dengan rumah. Tetapi memandangkan Nurina masih belum khatam, saya pendamkan dulu hasrat saya dari pengetahuan suami. Hanya Kak Iya dan adik tahu tentang hasrat saya ni. Malangnya pusat tahfiz tersebut telah ditutup sekitar Mac 2012 kerana gurunya berpindah ke Selangor. Saya agak kecewa memikirkan hasrat saya yang tidak kesampaian. Jadi selepas Nurina khatam Al Quran pada April 2012, dia mengulang mengaji semula di rumah Cikgu Sue.

Lebih kurang 2 bulan lepas, saya mula nampak sekumpulan pelajar perempuan berpurdah kerap berulang-alik ke Jalan Beringin 9. Saya tahu sebelum ni kerap pelajar Tahfiz Lelaki yang berpusat di Beringin 11 ke Beringin 9. Mungkinkah telah dibuka pusat tahfiz perempuan pula? Hati saya kembali berbunga mengharap. Jadi minggu lepas, saya memberanikan diri mencadangkan kepada Izzad tentang hasrat saya untuk menghantar Nurina dan Amira ke pusat tahfiz secara separuh masa (dalam hati tak henti berdoa moga Izzad bersetuju). Saya percaya niat yang baik, insyaAllah akan dipermudahkan urusannya! Alhamdulillah Izzad bersetuju tanpa banyak soal, asalkan Nurina dan Amira kekal mendapat pendidikan akademik dan agama sebagaimana biasa. Syukur kepadamu ya Allah!

Setelah mendapat keizinan Izzad, saya terus ke Beringin 9 untuk bertanya. Saya dimaklumkan, premis tersebut adalah kediaman mudir (warden). Pusat Tahfiz Perempuan memang ada dibuka, tetapi di Beringin 6. Saya kemudiannya ke Beringin 6 berjumpa Ustazah Khadijah. Saya diberi borang permohonan dan diberi penerangan. Setelah selesai urusan permohonan dan sesi temuduga, akhirnya Amira dan Nurina diterima sebagai pelajar tahfiz separuh masa bermula Selasa, 09.10.2012.

Sebenarnya, rencana di dalam sisipan Mega Utusan Malaysia tentang huffaz yang menceburi bidang profesional memberi saya motivasi dan pencetus untuk saya meluahkan hasrat menghantar 2 anak perempuan belajar tahfiz kepada Izzad. Allah telah memberi jalan kepada saya dan semoga usaha kami diberkati Allah.

Amira sewaktu berusia 3 tahun dan Nurina yang berusia 5 tahun mampu menghafal dialog beberapa episod siri Upin dan Ipin yang berdurasi 5 minit setiap episod hampir tanpa sebarang kesalahan. Saya masih belum menyediakan jadual khusus untuk mereka belajar setiap hari di rumah, sekadar memastikan mereka menyiapkan kerja-kerja sekolah dan menjelang peperiksaan mereka perlu sekurang-kurangnya satu kali 'khatam' buku sekolah. Itu memadai bagi saya dan alhamdulillah mereka masih mengekalkan prestasi yang cemerlang di sekolah kebangsaan dan juga di sekolah agama. Jadi besarlah harapan saya moga kemahiran mereka untuk mengingat itu masih ada dan dapat digunakan dengan sebaiknya. Tahun lepas saya pernah melatih Amira yang terlupa untuk memberitahu saya ada satu surah tambahan untuk pertandingan Hafazan (cikgu memberi masa seminggu untuk menghafaz 11 surah). Dalam masa tak sampai sehari, dia dapat hafaz satu surah tersebut. Tahun lepas juga saya ada melatih Nurina membuat persediaan pertandingan bercerita dalam bahasa inggeris. Dengan bantuan flash card yang saya sediakan, Nurina mampu menghafal cerita dalam masa satu hari. Jadi rasanya keputusan saya tidak salah. Saya percaya mereka memiliki kemahiran asas untuk menghafaz, cuma bimbingan yang lebih sistematik daripada tenaga pengajar yang berkelayakan perlu untuk membolehkan mereka mampu menghafaz Al Quran pula.

Tuesday, October 9, 2012

Tahfiz Al-Islah, Taman Rinting

Mulai hari ni, Amira dan Nurina akan memulakan pengajian separuh masa di Pusat Tahfiz (Perempuan) Al Islah di Taman Rinting. Doa dan harapan saya moga Amira dan Nurina akan diberikan kemudahan Allah swt untuk menghadapi pelajaran baru di sana. Sedaya mungkin saya dan suami akan cuba memberikan pendidikan yang seimbang, dunia dan akhirat untuk anak-anak kami. Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk menghantar Nurina dan Amira belajar tahfiz secara separuh masa, tapi tak ada tempat yang dekat. Dulu memang ada sebuah pusat tahfiz di taman ni juga, tapi sejak guru yang mengajar berpindah ke Selangor, pusat tahfiz pun ditutup. Kebetulan Pusat Tahfiz Al Islah baru berpindah ke sini, memang rezeki saya la tu. Izzad setuju je dengan saranan saya, asalkan anak-anak tetap ke sekolah kebangsaan dan sekolah agama seperti biasa.

Jadi Amira dan Nurina akan berhenti mengaji di rumah Cikgu Sue. Petang lepas balik sekolah agama boleh mereka rehat dan siapkan kerja sekolah. Saya pun senangla sikit tak payah nak tapis siri-siri kat TV untuk mereka. Bila dah ke kelas tahfiz dari 7.30 - 9.30 malam, secara tak langsung tak dapat tengok TV ;). Mungkin boleh kot setengah jam, sebelum masuk tidur pukul 10 malam tu.

Pusat Tahfiz Perempuan Al Islah mempunyai 16 orang pelajar tahfiz sepenuh masa, 4 orang pelajar separuh masa dengan 2 orang tenaga pengajar. Hantar anak sepenuh masa (tinggal di asrama) di Pusat Tahfiz? Hmm.., setakat ini, itu bukan pilihan saya. Saya masih perlukan anak-anak dan rasanya anak-anak pun masih perlukan saya.