Nuffnang Ads

Wednesday, October 10, 2012

Kenapa saya pilih pusat Tahfiz sebagai pendidikan tambahan?

Jujurnya sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menghantar anak-anak kami untuk belajar di Pusat Tahfiz, samada secara separuh masa atau sepenuh masa. Mungkin pendedahan yang kurang dari pihak saya sendiri. Cuma yang pasti, saya memang berazam untuk memastikan anak-anak kami mengaji dan khatam Al-Quran sebelum mencapai usia 12 tahun. Alhamdulillah, anak sulung saya Nurina berjaya khatam 30 juzuk Al-Quran sebelum dia berusia 9 tahun. Amira (7 tahun) masih mengaji juzuk 7. Hakimi (4 tahun) sudah saya biasakan dengan Iqra'. Tetapi Hakimi masih sukar untuk fokus. Sebutan semua sudah betul, tapi mata meliar ke arah lain bila mengaji. Fahmi ada juga ikut membuka Iqra' bila kakak mengaji.

Berbalik kepada tahfiz. Segalanya bermula 2 tahun lepas. Kakak saya telah mendaftarkan anak sulungnya yang berusia 10 tahun ke sebuah pusat tahfiz sepenuh masa di Melaka. Awalnya tanpa rela dan hanya menurut kehendak abang ipar saya. Saya sebagai ibu saudara juga agak kecewa sebenarnya kerana Hidayah merupakan seorang yang bijak dan cemerlang di sekolah. Pendedahan saya tentang peluang lepasan pusat tahfiz untuk menceburi bidang profesional lain agak kurang. Ditambah pula dengan kehendak abang ipar supaya anaknya mengikuti pengajian 'Mualimah' setelah selesai pengajian Tahfiz. Maksudnya segala ilmu yang pada pendapatnya ilmu dunia terus disisihkan - pendapat yang amat saya tentang, sebabnya semua ilmu itu ilmu Allah. Ilmu Allah bukan setakat ilmu agama semata-mata! Melalui pemerhatian juga ramai lepasan pusat tahfiz yang seakan membataskan penglibatan mereka dalam bidang keagamaan sahaja: samada sebagai penceramah agama, guru-guru, pensyarah - hanya menjurus kepada pendidikan dan agama sahaja! Jarang kita didedahkan dengan kejayaan lepasan pusat tahfiz yang menceburi bidang profesional lain seperti jurutera, doktor, peguam dan sebagainya. Memang ada, tetapi kurang didedahkan kepada umum!

Melihat keupayaan Hidayah berjaya menghafaz 19 juzuk dalam tempoh tak sampai 2 tahun, saya mula memasang niat untuk melihat anak-anak saya juga mendapat didikan di pusat tahfiz, bukan sepenuh masa, tetapi hanya separuh masa. Saya mula meninjau kewujudan pusat tahfiz di persekitaran kediaman. Alhamdulillah, ada sebuah Pusat Tahfiz Perempuan berdekatan dengan rumah. Tetapi memandangkan Nurina masih belum khatam, saya pendamkan dulu hasrat saya dari pengetahuan suami. Hanya Kak Iya dan adik tahu tentang hasrat saya ni. Malangnya pusat tahfiz tersebut telah ditutup sekitar Mac 2012 kerana gurunya berpindah ke Selangor. Saya agak kecewa memikirkan hasrat saya yang tidak kesampaian. Jadi selepas Nurina khatam Al Quran pada April 2012, dia mengulang mengaji semula di rumah Cikgu Sue.

Lebih kurang 2 bulan lepas, saya mula nampak sekumpulan pelajar perempuan berpurdah kerap berulang-alik ke Jalan Beringin 9. Saya tahu sebelum ni kerap pelajar Tahfiz Lelaki yang berpusat di Beringin 11 ke Beringin 9. Mungkinkah telah dibuka pusat tahfiz perempuan pula? Hati saya kembali berbunga mengharap. Jadi minggu lepas, saya memberanikan diri mencadangkan kepada Izzad tentang hasrat saya untuk menghantar Nurina dan Amira ke pusat tahfiz secara separuh masa (dalam hati tak henti berdoa moga Izzad bersetuju). Saya percaya niat yang baik, insyaAllah akan dipermudahkan urusannya! Alhamdulillah Izzad bersetuju tanpa banyak soal, asalkan Nurina dan Amira kekal mendapat pendidikan akademik dan agama sebagaimana biasa. Syukur kepadamu ya Allah!

Setelah mendapat keizinan Izzad, saya terus ke Beringin 9 untuk bertanya. Saya dimaklumkan, premis tersebut adalah kediaman mudir (warden). Pusat Tahfiz Perempuan memang ada dibuka, tetapi di Beringin 6. Saya kemudiannya ke Beringin 6 berjumpa Ustazah Khadijah. Saya diberi borang permohonan dan diberi penerangan. Setelah selesai urusan permohonan dan sesi temuduga, akhirnya Amira dan Nurina diterima sebagai pelajar tahfiz separuh masa bermula Selasa, 09.10.2012.

Sebenarnya, rencana di dalam sisipan Mega Utusan Malaysia tentang huffaz yang menceburi bidang profesional memberi saya motivasi dan pencetus untuk saya meluahkan hasrat menghantar 2 anak perempuan belajar tahfiz kepada Izzad. Allah telah memberi jalan kepada saya dan semoga usaha kami diberkati Allah.

Amira sewaktu berusia 3 tahun dan Nurina yang berusia 5 tahun mampu menghafal dialog beberapa episod siri Upin dan Ipin yang berdurasi 5 minit setiap episod hampir tanpa sebarang kesalahan. Saya masih belum menyediakan jadual khusus untuk mereka belajar setiap hari di rumah, sekadar memastikan mereka menyiapkan kerja-kerja sekolah dan menjelang peperiksaan mereka perlu sekurang-kurangnya satu kali 'khatam' buku sekolah. Itu memadai bagi saya dan alhamdulillah mereka masih mengekalkan prestasi yang cemerlang di sekolah kebangsaan dan juga di sekolah agama. Jadi besarlah harapan saya moga kemahiran mereka untuk mengingat itu masih ada dan dapat digunakan dengan sebaiknya. Tahun lepas saya pernah melatih Amira yang terlupa untuk memberitahu saya ada satu surah tambahan untuk pertandingan Hafazan (cikgu memberi masa seminggu untuk menghafaz 11 surah). Dalam masa tak sampai sehari, dia dapat hafaz satu surah tersebut. Tahun lepas juga saya ada melatih Nurina membuat persediaan pertandingan bercerita dalam bahasa inggeris. Dengan bantuan flash card yang saya sediakan, Nurina mampu menghafal cerita dalam masa satu hari. Jadi rasanya keputusan saya tidak salah. Saya percaya mereka memiliki kemahiran asas untuk menghafaz, cuma bimbingan yang lebih sistematik daripada tenaga pengajar yang berkelayakan perlu untuk membolehkan mereka mampu menghafaz Al Quran pula.

7 comments:

  1. saya minta copy paste statement ni yer..bagus untuk renungan bersama

    ReplyDelete
    Replies
    1. Silakan.., alhamdulillah moga membawa kebaikan..

      Delete
  2. MashaAllah..semoga anak2 puan jadi soleh solhah..saya pun sedang mencari2 tahfiz terbaik utk anak lelaki saya, 9 tahun..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Puan, insyaAllah.. Saya doakan juga semoga pencarian puan berhasil :)

      Delete
  3. Bole suggestkan tahfiz di melaka utk anak lelaki sy berumor 9 dan 10 tahun tak?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalammualaikum,
      puan boleh cuba Pusat Bimbingan Al Islah di Sungai Air Hitam. Pusat Tahfiz yang anak saya hadiri dahulu sebelum mereka berpindah ke Melaka. Puan boleh lawat page mereka di http://al-islah.m-change.info/

      atau FB https://www.facebook.com/Pusat-Bimbingan-Al-Islah-118437281559515/

      Pengasas Madrasah, Ustaz Firdaous dan isterinya Ustazah Rabiatul Adawiyah al Hafizah sangat-sangat baik. Mereka bermula sebagai pusat pengajian yang kecil dan sederhana, dan sekarang alhamdulillah mereka amat membanggakan.

      Pusat Bimbingan Al Islah
      157, JALAN SG AIR HITAM, KAMPUNG BARU, BERTAM MALIM 75250 MELAKA.
      06-3322-557

      Delete
  4. Pembetulan.

    Mudir ialah Pengurus/Pengetua.. bukan warden..

    ReplyDelete