Nuffnang Ads

Monday, December 5, 2011

Review CAVENZI - pengalaman menyakitkan hati berurusan dengan Cavenzi!

Setelah rumah yang kami beli pada tahun 2008 dan kunci kami terima pada disember 2009 terbiar selama hampir 2 tahun, maka bermula pertengahan tahun ini kami mula menanam rumput di laman, pasang grill, pasang lampu dan kipas. Pengubahsuaian dapur kami KIV dulu memandangkan kami masih lagi tinggal di Pasir Gudang. Cukuplah dengan kabinet kecil di dapur untuk menyimpan sedikit pinggan mangkuk. Lagipun kalau semua benda nak dibuat dalam satu masa, banyak juga perbelanjaannya. Pada cuti Deepavali lepas kami balik lagi ke Melaka untuk mencari perabot. Niat hanya untuk meninjau je di Cavenzi di Taman Semabok Perdana, tapi Izzad terus beli! Hmmm mulanya saya agak keberatan dengan tema hitam putih yang dipilih, tapi melihat kepada bajet kami dan juga keterbatasan waktu untuk Izzad meninjau-ninjau ke kedai lain, saya bersetuju aje. Jadi hari tu kami beli semua perabot asas untuk rumah kami di Cavenzi.

Di Cavenzi kami membeli kelengkapan untuk 3 bilik tidur.  Set bilik 2 dan bilik 3 terdiri daripada katil berukuran queen, meja sisi, almari 2 pintu dan cermin. Set untuk bilik tidur utama terdiri daripada katil bersaiz queen, almari 4 pintu, meja solek, kerusi dan meja sisi. Selain daripada itu set ruang tamu terdiri daripada sofa 3+2, meja kopi, rak TV dan multimedia dan rak pamer juga menjadi pilihan. Untuk ruang makan kami memilih meja empat segi dengan 6 kerusi. Kami beli mana yang penting sahaja. Bilik 4 kami biarkan kosong dulu sebab bilik tu akan digunakan sebagai bilik bacaan dan bilik kerja. Perancangannya kami akan buat build in book storage dan work place. Mungkin saya akan tempatkan day bed yang boleh dijadikan tempat tidur juga. Setelah membayar deposit sebanyak 30% daripada jumlah belian, kami bersetuju untuk penghantaran barang pada 19.11.2011. Bayaran penuh perlu dibuat sebelum penghantaran barang.

Seminggu selepas membuat tempahan, bahagian stor Cavenzi menghubungi saya untuk memastikan tarikh penghantaran. Mengambilkira kekangan waktu, saya membuat perubahan tarikh penghantaran dari 19.11.2011 ke 21.11.2011 untuk membolehkan saya pulang ke Melaka dan melunaskan baki bayaran sebanyak 70%. 18 November merupakan hari terakhir penggal persekolahan, jadi saya bimbang tak sempat balik ke Melaka. Jadi kami bersetuju dengan tarikh yang baru. Pada pagi 19 November saya ke Cavenzi untuk melangsaikan baki bayaran dan mereka berjanji untuk menelefon saya petang itu bagi menetapkan masa penghantaran. Satu petang saya menunggu, malam baru mereka telefon untuk MENANGGUHKAN PENGHANTARAN!! Hah?? Lepas bayar habis tiba-tiba nak tangguh pulak! Selepas berbincang, saya TERPAKSA bersetuju dengan tarikh baru, 23.11.2011. Sebelum tu mereka beri pilihan untuk hantar separuh barang, pasang kemudian. Atau hantar pada 24.11.2011. Mana boleh sebab saya dah plan nak balik semula ke Pasir Gudang pada hujung minggu tu. Dan sebelum tu saya nak bawa anak-anak balik ke rumah mak pada hari Khamis!

Pagi Ahad saya ke Cavenzi sekali lagi untuk meluahkan ketidakpuasan hati saya kepada Pengurus Cavenzi. Mereka berjanji, barang-barang saya akan dihantar pada 23.11.2011 lengkap! Tidak ada satu barang pun akan tertinggal! Pengurus Cavenzi Melaka, Encik Iskandar Ong sendiri berkata, dia akan pastikan barang-barang saya akan dihantar tepat pada tarikh baru yang telah dipersetujui. Saya siap ingatkan sekali lagi, kalau hantar 2, 3 kali, berapa kali saya nak ulang alik JB-Melaka. Berbekalkan janji Encik Iskandar, saya pulang ke rumah. Pada 23.11.2011 mereka menelefon saya lebih kurang pukul 10.00 pagi untuk mengetahui jalan ke rumah. "Hmm, bagus jugak diaorang ni, janji pukul 11, tapi pukul 10 dah sampai", fikir saya. Tiba di rumah, satu persatu barang diturunkan dan saya dihidangkan dengan satu kejutan! Barang-barang saya masih tak lengkap! Barang dah turun baru mereka nak beritahu?? Apa boleh saya buat selain dari terpaksa bersetuju untuk penghantaran berikutnya? Saya tanya bila? "Minggu depan" jawab mereka. Saya nak tarikh tapi yang saya dapat hanya MINGGU DEPAN. Sedap-sedap je diaorang aturkan jadual saya. Ingat JB-Melaka tu sebelah rumah ke apa? Mana masa saya lagi, minyak, tol... Yang paling saya sakit hati bila keluar 'statement'. "Akak pilih je masa yang sesuai dengan akak, tak payah pening kepala, kami akan hantar ikut masa akak. Bila-bila masa akak 'free' akak 'call' je kami dan kami akan hantar barang."

Hellooooooo sedapnya mulut bercakap. Ini saya dah atur masa sayalah ni, tapi korang yang tak padai nak tepati janji dan tak pandai nak telefon beritahu pulak tu. Cara cakap, macam saya yang buat masalah. Sudahlah tu ada ke patut sampai rumah baru beritahu saya, barang tak lengkap! Memang tak bertanggungjawab! Lepas siap pasang set bilik tidur, baru saya perasan, sofa tak ada. Saya tanya pekerja yang pasang katil tu. Dia kata, lori akan datang sekali lagi untuk hantar. Laaa.. tadi kata almari bilik tidur 3 je yang tak ada dengan set meja makan. Bila saya periksa semula, untuk bilik tidur 3 cuma ada tilam je!!!! Tak boleh jadi nih. Nak marah, yang ada cuma 2 orang budak tukang pasang je. Saya diamkan. Tak lama lepas tu pemandu lori telefon saya lagi. Saya ingatkan nak beritahu dia nak hantar sofa, rupanya nak beritahu, sofa akan dihantar sekali dengan set bilik tidur 3 dan set meja makan. Ya Allah, sakitnya hati saya hanya tuhan je yang tahu. Nak je saya sembur, tapi saya masih bersabar. Sakit hati tapi macam biasa TERPAKSA terima. Masa tu tak terfikir pun nak telefon Encik Iskandar, pengurus Cavenzi Melaka. Cuma petang tu saya SMS Encik Iskandar, beritahu situasi saya. Ingat dia nak jawab? Hmmmm jangan harap!! Sakit hati buat saya langsung tak ada mood nak telefon dan ke Cavenzi lagi. Izzad pun suruh tunggu je sampai minggu depan.

Seminggu menunggu, akhirnya pada hari Rabu, 30 November mereka telefon untuk 'confirmkan' tarikh penghantaran barang yang masih kurang. Mereka nak hantar pada hari Khamis, 01.12.2011. Hari Jumaat baru saya terima semua barang saya sebab Khamis tu kereta rosak pulak (bateri kong) jadi saya tak dapat balik ke Melaka.

Kesimpulan yang boleh saya buat lepas berurusan dengan Cavenzi:

  1. Saya tak akan lagi ke Cavenzi untuk membeli perabot!
  2. Service out!
  3. Communication and management out!
  4. Mereka buat polisi, pembeli kena lunaskan bayaran sebelum penghantaran barang, tapi mereka sendiri tak dapat tepati tarikh penghantaran.
  5. Service after sale out! Mentang-mentanglah kami dah lunaskan bayaran, tak ada inisiatif dari bahagian sale untuk bertanya samada barang kami dah sampai atau tidak. Juga tidak, selepas aduan pertama yang saya buat. Tak usah tanya tentang SMS saya yang tak berbalas. Kalau beli setakat dua tiga ratus, mungkin saya boleh terima kalau diberi layanan seperti ni, tapi kami beli barang lengkap untuk satu rumah. Memang tak pandai jaga customer. Menyesal pun ada berhabis beribu kat diaorang...


Berminat dengan CAVENZI?? Lupakan saja... jangan harap saya akan ke sana lagi!

Sunday, November 27, 2011

Cuti-cuti Shah Alam

Khamis lepas abah SMS Izzad beritahu mereka nak datang Pasir Gudang. Memandangkan Izzad sibuk dan saya pula masih di Melaka menguruskan rumah kami, jadi saya cadangkan kepada Izzad supaya benarkan saya memandu sendiri ke Shah Alam. 2, 3 hari di sana saya kembalilah semula ke Melaka, menyambung urusan yang belum selesai ni.
Mulanya Izzad tak benarkan, tapi selepas beberapa ketika, dia setuju. Memang saya tak pernah memandu sendiri ke Shah Alam. Mungkin itu yang menyebabkan Izzad tak benarkan pada mulanya. Jadi, jumaat petang saya dan anak-anak bertolak ke Shah Alam. Alhamdulillah perjalanan kami dipermudahkan. Cuma jammed hampir sejam di Seremban sebab ada accident.

Tuesday, November 22, 2011

Cuti sekolah

Sabtu lepas bermulalah cuti penggal akhir persekolahan bagi sesi 2011. Nurina menamatkan darjah dua dengan mendapat 5A, tempat kedua dalam kelas. Sekolah Agama tempat pertama dengan peratus keseluruhan sebanyak 96%. Amira muncul pelajar terbaik taska, pelajar terbaik PASTI Kawasan Pasir Gudang dan pelajar ketiga terbaik bagi PASTI Negeri Johor.

Cuti ni saya agak sibuk dengan anak-anak yang dijangkiti HFMD. Bermula dengan Amira, kemudian menyusul Hakimi dan akhir sekali Fahmi. Nurina terselamat kerana dari awal saya sudah asingkan dia dari Amira. Izzad pun saya asingkan daripada anak-anak kerana melalui pembacaan saya di blog-blog yang saya lawati, kebarangkalian untuk lelaki dewasa dijangkiti HFMD adalah tinggi. Rumah pun dah macam bau hospital dek Dettol spray untuk membasmi kuman. Tangan kerap dicuci, samada dengan sabun atau cecair antiseptik. Penting supaya Izzad tidak dijangkiti. Saya bimbangkan final audit dia penghujung November nanti. Izzad perlu sihat supaya kerja-kerja di pejabat tidak tergendala. Tambahan pula selepas adik memaklumkan kepada saya bahawa Alim dijangkiti HFMD daripada Mu'az dan Iman.

Minggu pertama cuti sekolah ni saya dan anak-anak di Melaka menguruskan rumah. Minggu kedua baru balik kampung. Izzad sibuk dengan persiapan akhir sebelum 'final audit' pada 29 November ini. Jadi saya bawa anak-anak jauh dari kesibukan bapa mereka agar Izzad lebih fokus dan tidak perlu rasa bersalah bila kerap terpaksa pulang lewat.

Wednesday, November 2, 2011

Serba salah

Sehingga kini, saya amat tidak bersetuju sekiranya anak saya dilantik menjadi pengawas sekolah seawal usia 9 tahun. Pengawas sekolah bererti dia akan berbaju lain, tak kiralah dari segi warna atau jenis. Saya tak mahu dia berasa, dirinya 'lebih' dari orang lain. Saya khuatir ia akan menjadi titik tolak kepada wujudnya perasaan 'perasan bagus' di dalam diri anak-anak saya.

Dan semalam, perkara itu berlaku. Nurina pulang dari sekolah dan menyerahkan surat lantikan dirinya sebagai pengawas sekolah bagi sesi persekolahan 2012. Bukan menidakkan keupayaan anak sendiri, juga bukan tidak mahu bekerjasama dengan pihak sekolah, tapi saya masih kuat dengan pendirian saya sebelum ini. Masih terbayang di ruang mata pengalaman bersekolah suatu masa dahulu. Ketika dalam darjah 5, kawan-kawan yang rapat dengan saya dilantik menjadi pengawas. Selepas mereka bertudung biru, saya bukan lagi kawan mereka. Pengawas dengan 'klik' mereka sendiri. Sebab itu saya berazam untuk tidak jadi seperti mereka apabila saya sendiri dilantik menjadi pengawas sekolah pada tahun berikutnya. Pengalaman yang sama berlaku semasa di sekolah menengah. Saya hanya 'diterima' semula apabila saya juga berbaju biru seperti mereka!

Anak-anak, saya tanamkan dengan sifat jangan memilih kawan. Asalkan dia baik, tak kisahlah dia pandai atau tidak, kawan je. Selalu saya bertanya, siapa rakan sebelah meja; dengan siapa dia rehat dan berkongsi bekalan makanan yang saya bekalkan. Saya galakkan dia berkongsi makanan dengan rakan. Tujuan saya, mudah-mudahan akan membina sifat pemurah dalam diri anak-anak saya.

Berbalik kepada cerita pengawas. Saya tidak bersetuju. Izzad bersetuju, tapi selepas mendengar alasan saya, dia serahkan semula keputusan kepada saya. Alasan Izzad, saya yang lebih kenal anak kami, sebab dia jarang bersama anak-anak - tak tahu nak 'judge' sifat sebenar anak-anak. Nurina pula bersungguh-sungguh nak jadi pengawas! Semalam dia menangis semahunya (tanpa suara) bila saya kata TAK BOLEH. Hari ni pun sama juga. Saya masih belum kembalikan borang persetujuan ibu bapa. Saya tersepit antara kemahuan saya dan anak. Bimbang sekiranya keputusan mengikut kemahuan dan acuan saya bakal mengguris hati anak dan meninggalkan bekas di hati mereka. Bagaimana jika ia menjadi dendam yang terpendam? Tambah teruk sekiranya ia menyebabkan dia kehilangan tumpuan di sekolah.

Barangkali isu ini remeh bagi sesetengah ibu. Cuma ia agak memenuhkan kepala saya saat ini.. :). Hampir saja menenggelamkan rasa teruja saya untuk Amira yang akan mewakili daerah Pasir Gudang dalam Kuiz Kecemerlangan Akademik PASTI peringkat negeri Johor di Simpang Renggam esok. 2 tahun lepas Nurina mendapat tempat kedua peringkat negeri Melaka. Bagaimana dengan Amira? Good Luck Amira, Viel Glueck!!

-----Update-----
Amira dapat tempat ketiga untuk seluruh negeri Johor dan Pelajar Terbaik Pasti Kawasan Pasir Gudang 2011. Alhamdulillah....

Wednesday, October 19, 2011

Kememeh

Macam mana nak menangani anak yang kememeh? Ni dah kira kememeh tahap kronik nih. Puas dah buat macam-macam cara... berlembut, berkeras, tegas, denda, etc.. tapi biasanya hanya bertahan 2, 3 hari.. lepas tu jadi semula.

Mati kutu dah sebenarnya dengan Amira. Mudah sangat menangis.. terlalu sensitif! Kita tersalah cakap sikit pun dah boleh buat dia mengalirkan air mata! Lemas dibuatnya. Cikgu pun selalu komplen... pasal belajar ok, tak ada masalah langsung. She is the best in her school! Cuma bab kememeh tu la, cikgu mengaji pun komplen juga.

Semalam memang tahap kesabaran saya sangat-sangat tipis. Amira terpilih mewakili sekolah dalam Pertandingan Kecemerlangan PASTI peringkat daerah Pasir Gudang. Jadi cikgu buatlah latih tubi untuk dia. Bolehnya dia menangis bila kena buat latihan. Hishhh geram betul. Kat rumah lepas bagi dia rehat, saya minta dia baca sirah Rasulullah s.a.w.

"Baca dan hafal dulu, nanti mama check." Sejam berlalu... tiba-tiba dia datang, "Ma.., buku tertinggal kat dalam kereta."
"Haaa.., habis tu dari tadi Amira buat apa kat dalam bilik tu? Kan mama suruh baca sirah!"
"Kakak Nina suruh sikatkan rambut dia."
"Dah, dah pergi ambik buku tu cepat. Lain yang orang suruh, lain yang dibuatnya."

Dan bebelan saya pun panjang berjela. Lagi buat kita geram, baru marah cam tu dia dah meraung macam kena pukul! Siapa yang tak panas hati...

Amira, Amira... kuatkanlah sikit hati tu.. jangan sensitif sangat!

Wednesday, October 12, 2011

Telefon genggam atau telefon bimbit?

Istilah mana satu yang betul sebenarnya? Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, hanya wujud istilah telefon bimbit = telefon selular. Jadi, rasanya istilah telefon genggam wujud daripada terjemahan terus perkataan 'hand phone' ke dalam bahasa melayu. Hehehe.. mimpi apa saya bercakap tentang bahasa pulak hari ni? :) Hmm saje je, bukan apa... teringat, kali pertama saya gunakan telefon bimbit. Saya mula terjebak, kalau tak silap tahun 2001. Telefon bimbit pertama saya dihadiahkan oleh Faridah, jenama D2 Vodafone. Dalam kalangan rakan-rakan satu batch, saya orang terakhir yang menggunakan telefon bimbit! :). Puas kena racun kawan-kawan, tapi saya selesa dengan telefon talian tetap je, sampailah Faridah hadiahkan telefon tu. Itupun telefon tu lebih banyak duduk di rumah berbanding ikut saya berjalan :p.

Lepas D2, saya beralih kepada Nokia. Nokia 3210 menemani saya dari tahun 2004 hingga tahun 2008. Nokia tu pun milik Izzad yang dibeli pada tahun 2000. Saya paling sayang Nokia 3210.. cuma beratnya tu yang tak tahan... :). Selepas Nokia 3210, ada 3 telefon lain yang saya gunakan, masih setia dengan Nokia. 2 menemui ajal di tangan anak-anak, satu lagi masih elok. Berganti lagi sebab Izzad minta saya tukar guna telefon Nokia 6300 pulak. "Telefon yang lama tu takde kamera, susah nak tengok gambar anak-anak kalau abang out station". Jadi saya pun bertukar ke telefon berkamera penghujung 2010. Tak sampai 6 bulan guna telefon tu, LCD pulak retak. Anak-anak yang kecil ni herolah katakan, semua benda dicampak dan dibalingnya. Saya beralih pula ke Nokia C5 yang baru Izzad beli tak sampai 2 bulan. Macam separuh hati je member masa nak tukar hak milik.. ;). C5 jadi rezeki saya sebab Serimax sponsor dan 'paksa' dia guna Blackberry - mudah untuk check e-mail kalau dia out station.

Saya bukanlah 'gadjet freak' dan saya tak perlu sentiasa boleh dihubungi. Jadi, saya masih boleh hidup tanpa telefon bimbit. Saya tetap saya yang simple-mimple. Buktinya, bertahun-tahun di Jerman, saya kekal saya yang dulu juga. Jati diri saya tak pernah berubah. Cara hidup, mentaliti masyarakat sana, sedikit sebanyak mungkin mempengaruhi hidup saya kini, tapi melayu saya tak ada slanga Jerman. Teringat komen jiran sebelah rumah mak. "Nko belajo jauh-jauh sampai luo negeri, tapi bila balik kampung tak kekok buat keje-keje luo, menebas, menyangkul". Errrr... saya cuma jawab. "Saya tetap saya Kak Som, belajar tinggi bukan bermakna saya tak boleh buat kerja-kerja macam ni dah". Mungkinlah bagi sesetengah orang, bila dah belajar tinggi, dah pergi oversea.., mereka tak pandang kerja-kerja remeh di kampung. Tapi bukan saya ye.

Yang ketara perubahan saya... Jerman mengubah saya dari minah bunga-bunga kepada seorang wanita simple yang lemas dengan bunga-bunga style English and Co.... Dulu, suatu masa dahulu..., memang saya suka bunga-bunga macam tu.... hahahahaha. Kawan-kawan masa kat Poly pun masih 'mentrademarkkan' saya dengan "Zubaidah yang lemah-lembut, gemalai, lady like tu". Hahahahaha.... lembut? lady like? Eeeiii meremang bulu roma... :D

Monday, October 10, 2011

Minggu peperiksaan

Bermula hari ini sampailah minggu depan, satu demi satu peperiksaan akhir anak-anak akan bermula. Hari ni Amira mula periksa, hingga minggu depan. 17. Oktober pula, Nurina akan mula periksa sekolah agama. Cuma jadual peperiksaan akhir tahun untuk sekolah kebangsaan je belum diedarkan. Cuti Deepavali nanti ada tugas besar yang menanti. Gott, gibt mir genug Kraft! Sekarang ni pun sebenarnya banyak urusan yang perlu diselesaikan. Pening jugak nak urus satu persatu.. banyak sangat! :) Izzad pun agak sibuk dan bakal bertambah sibuk menjelang pertengahan bulan sebab ada audit yang menanti! Hahaha, habis outstation minggu lepas, berderet kerja perlu diselesaikan.. kesian dia! Tambah pulak dengan urusan maid yang tak selesai lagi. Haishhh berapa kali nak kena panjat pejabat imigresen ni?

Fahmi dah semakin petah jadi burung kakak tua :) Rajin mengulang apa yang kita sebut. Seronok melayan dia. Dan ragamnya pun boleh tahan juga. Kalau dah merajuk dan mengamuk..., jenuh nak memujuk dia. Papa dia pulak suka sangat menyakat si 'bongsu' ni. Sekarang ni saya dipanggil MANG, MAMANG atau AMANG (MAma + ayaNG) dan Izzad jadi PANG (PApa + abaNG). Kelakar betul bunyinya. Anak-anak yang lain, memang ada fasa diaorang panggil APANG untuk papa... tapi mama, tetap bunyi mama. Cuma dengan Fahmi ni... merasa pulak jadi Mang :D.. Dah macam Siamang pulak bunyinya.. :)