Nuffnang Ads

Friday, July 20, 2012

Pelajar sekolah dibenarkan bawa telefon bimbit ke sekolah mulai tahun 2013

Tiga hari lepas, baca tajuk depan surat khabar pun saya dah buat saya geleng kepala. Bila baca artikel penuh, lagilah buat sesak dada! Berfikir, kenapalah mereka yang duduk di atas sana cuai sangat bila buat keputusan? Ya... anda benar dengan telahan anda. Saya antara yang tidak bersetuju dengan cadangan yang dibawa kepada pengetahuan umum oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong : Pelajar boleh bawa telefon bimbit ke sekolah.

Semalam, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim ada berkata: "Jika ingin melakukan perubahan, biarlah perubahan itu membawa lebih banyak kebaikan, dan bukan atas kepentingan satu-satu pihak sahaja."

Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim pula berkata: "Saya bimbang ia menjejaskan tumpuan pembelajaran, disalahguna, menambahkan beban guru untuk memantau sewaktu proses pembelajaran selain berlakunya kes-kes kecurian."

Selain itu, banyak lagi pandangan pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan pindaan undang-undang ini. Saya katakan cadangan kerana menurut YB Menteri Pelajaran malam tadi, keputusan samada melulus atau menolak belum dibuat!

Secara peribadi, saya berpendapat cadangan tersebut amat tidak sesuai. Saya sependapat dengan seorang pembaca Utusan, bahawa kanak-kanak penuh dan kaya dengan sifat ingin tahu, jadi kebarangkalian kemudahan itu disalahguna memang tidak dapat dielakkan.

Ok, apa kata kita senaraikan kebaikan dan keburukan daripada cadangan tersebut. Alah, macam kita buat karangan debat kat sekolah dulu-dulu... :)

Kebaikan:
1. Memudahkan pemantauan. Ibu bapa dapat memantau dan berhubung dengan anak-anak dengan mudah, terutama bila berlaku kes-kes kecemasan. Lebih bagus sekiranya telefon dilengkapi dengan GPS. Proses menjejaki anak-anak jika berlaku penculikan atau ponteng kelas akan menjadi lebih mudah.
2. Pembelajaran secara maya. Dengan adanya iPad, proses pembelajaran secara maya dapat dijalankan. Jadi secara tidak langsung kita dapat menyaingi negara maju yang lebih ke hadapan dalam hal ini. Walaupun saya sendiri agak kurang bersetuju dengan alasan ini kerana setiap sekolah telah dilengkapkan dengan makmal komputer. Jadi di mana rasionalnya penggunaan iPad sendiri?
3. Hmmm apa lagi nak letak kat ruangan ni? Serius... saya tak jumpa hujah lain yang menyokong cadangan ni. Yang ada pun agak berbaur politik... untuk memenuhkan poket pihak yang memperkenalkan iPad 1Malaysia!! Saya dah kata.. agak berbaur politik, tapi rasanya tak boleh disangkal pun....

Keburukan:
1. Penyalahgunaan gajet. Naluri kanak-kanak dan remaja yang sentiasa ingin tahu boleh menyumbang kepada penyalahgunaan telefon bimbit di sekolah.
2. Kes Kecurian. Membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah akan hanya mengundang kecurian di sekolah. Kita tidak boleh nafikan bahawa sekolah bukan hanya dipenuhi oleh pelajar yang elok akhlaknya. Jadi jangan diberi ruang pelajar nakal untuk 'beraksi'. Siapa yang akan dipertanggungjawabkan jika berlaku kecurian telefon bimbit di sekolah? Sudahnya nanti pihak sekolah juga dipersalahkan kerana tidak menyediakan persekitaran yang bebas 'pelajar nakal'.
3. Mengganggu tumpuan pelajar. Peranan sekolah adalah untuk memberi input dalam bentuk akademik semaksima mungkin mengikut sukatan yang telah ditetapkan di samping penerapan nilai-nilai murni. Pada masa sekarang, setiap matapelajaran hanya diperuntukkan selama 25 minit untuk satu masa (mengambil contoh di sekolah anak saya). Sekiranya masa yang sedia singkat digunakan lagi untuk memastikan pelajar tidak bersms dan leka dengan gajet mereka, berapa minit lagi yang tinggal? 10 minit?
4. Menambah beban guru. Di kebanyakan sekolah, jumlah pelajar di dalam kelas seramai 35 - 40 orang bukan sesuatu yang pelik. Kita andaikan sahaja separuh kelas membawa telefon bimbit ke sekolah dan 25% daripadanya leka dengan gajet mereka. Cuba bayangkan beban tambahan bagi guru-guru untuk memantau pelajar sekolah selain daripada tugas hakiki yang telah diamanahkan kepada mereka dan juga tugas tambahan sedia ada? 
5. Masalah disiplin baru. Mencuri rakam video dan gambar yang tak sepatutnya pasti sukar dikawal dan hasilnya masalah disiplin baru timbul. Kita selalu mengkritik pihak sekolah sekiranya disiplin pelajar teruk. Tetapi pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, apakah sumbangan kita sebagai ibu bapa dan masyarakat dalam membantu pihak sekolah untuk memperbaiki masalah disiplin pelajar?
6. Mewujudkan jurang sosial di kalangan pelajar. Salah satu tujuan utama pemakaian pakaian seragam sekolah adalah untuk mengelakkan wujudnya jurang sosial yang dapat dibezakan melalui pakaian dalam kalangan pelajar sekolah. Dengan pakaian yang sama, tak akan timbul masalah "aku pakai baju jenama G**, kau hanya pakai baju pasar raya". Serius, masalah jurang sosial berdasarkan pakaian kerap menjadi topik perbincangan di negara yang tidak mengamalkan pemakaian uniform sekolah seperti Jerman. Pernah juga mereka mengusulkan pemakaian uniform untuk mengelakkan jurang sosial semakin meruncing di sekolah-sekolah. Satu usul yang akhirnya tidak dapat dilaksanakan, lantaran mendapat tentangan daripada majoriti yang terbiasa dengan sistem pakaian biasa ke sekolah. Sikap menunjuk-nunjuk dan berlumba-lumba pasti akan wujud: Siapa yang ada gajet paling terkini? Tablet siapa yang lebih mahal? Gajet siapa yang paling canggih?
7. Kebebasan sekolah menjadi terbatas. Bagaimana guru menjalankan tugas mengajar anak kita di sekolah, selagi ia bertepatan dengan falsafah pendidikan, biarlah menjadi urusan pihak sekolah. Dengan telefon masakini yang dilengkapi dengan kemudahan merakam video dan gambar, kita khuatir ada yang mengambil kesempatan untuk merakamkan setiap aktiviti di sekolah yang akhirnya mengundang campurtangan keterlaluan pihak ibu bapa dan luar.
8. Peningkatan kos untuk penjaga. Jika si A ada telefon bimbit atau iPad. Kawannya si B pun mahu gajet yang sama juga. Sedangkan ibu bapa si B punya tanggungan lain yang lebih mendesak. Bingit telinga mendengar rengekan si anak, dibelikan juga telefon bimbit. Murah aje, RM100. Fikirnya masalah akan selesai. Rupanya tidak, setiap minggu telefon minta ditambah nilai. Minima RM10 seminggu, bermakna kos tambahan sebanyak RM40 setiap bulan untuk kad pra bayar.

Dalam perjalanan pulang sekolah tadi, saya sempat mengajukan soalan berkaitan kepada anak saya Nurina yang berusia 9 tahun.
Saya: "Nina, pihak Kementerian Pelajaran bercadang membenarkan pelajar sekolah bawa telefon bimbit mulai tahun depan, apa pendapat Nina?"
Nina: Dengan muka terkejut bertanya, "La, apa pasal pulak?"
Saya: "Kenapa? Tak boleh ke? Cuba Nina bagi sebab kat mama, kenapa tak boleh."
Nina: "Iyelah ma, nanti kalau murid-murid bawa telefon bimbit ke sekolah, kalau murid-murid tu tak pandai jaga telefon diaorang dan hilang, siapa yang nak bertanggung jawab?"
Saya: "Lagi?"
Nina: "Nanti telefon tertinggal kat dalam kelas"

Dan sebab seterusnya masih menjurus kepada hilang, tertinggal atau dicuri. Nak expect apa sangatlah dari budak sementah tu kan? Tapi sekurang-kurangnya dia pun tahu fikir, benda tu tak elok....

Kesimpulannya, membenarkan penggunaan telefon bimbit, iPad, iPhone, tablet juga telefon pintar di sekolah hanya akan mengundang lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Jadi saya fikir, tak perlulah kita menambah masalah sedia ada yang tak selesai dengan masalah baru. Itu cari penyakit namanya! Dan sebagai penutup bicara, elok juga kalau KPM pertimbangkan cadangan untuk membenarkan pelajar membawa Astro on-the-go (AOTG) ke sekolah kot!? Alang-alang bawa iPad ke sekolah, apa salahnya AOTG sekali, iye tak? ;)

No comments:

Post a Comment