Nuffnang Ads

Tuesday, October 30, 2012

Semak Keputusan Peperiksaan anak-anak di SAPS

Hari ni saya cuba semula untuk menyemak keputusan Peperiksaan Akhir Tahun Nina di halaman SAPS (Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah). Minggu lepas hanya ada keputusan Peperiksaan Setengah Tahun je. Ermmm hari ni pun masih ada satu subjek yang belum dimasukkan markahnya, Bahasa Malaysia 2.
##kemaskini pada 5.11.2012: Keputusan peperiksaan dah keluar. Nina dapat 10A ;). Tahniah Nina!##

Berdasarkan keputusan peperiksaan, penekanan harus diberi kepada matapelajaran Bahasa Malaysia Pemahaman. Nina hanya mendapat 80 markah! Cukup-cukup makan untuk dapat A sahaja. Mata pelajaran lain semua sangat baik, 94 hingga 98. Pening juga saya, anak melayu, tapi Bahasa Melayu kurang mantap. Jika nak dibandingkan dengan Bahasa Arab (98) dan Bahasa Inggeris (94), macamlah Nina ni tak bercakap melayu di rumah. Di rumah, saya bukan bercakap Jerman pun dengan anak-anak, kecuali masa bebel marahkan mereka ;). Bahasa Jerman adalah bahasa perbualan untuk saya dengan Izzad. Jadi kalau tetiba mama dan papa berbual dalam bahasa Jerman, tahulah mereka ada rahsia yang sedang diperkatakan ;). Tapi sejak kebelakangan ni saya perhatikan, Nina mula dapat menangkap isi perbualan kami dan banyak perkataan Jerman yang dia dah faham maksudnya. Sejak balik dari Jerman, Nina seperti terputus hubungan dengan bahasa Jerman. Memanglah sayang, tapi saya kekok untuk berbahasa Jerman dengan dia sejak balik sini. Hajat di hati, Nina akan saya ajar bahasa Jerman mungkin setahun dua lagi. Buat masa sekarang biar dia mulakan dengan kelas tahfiz. Tak boleh terlalu banyak aktiviti, kesian kat anak-anak. Nanti tak ada masa untuk rehat pula.

Berbalik kepada keputusan peperiksan, matapelajaran Pendidikan Seni pun dapat 80 markah juga. Dari darjah 1 hingga darjah 3 Nina tak pernah dapat lebih 80 markah bagi matapelajaran Pendidikan Seni. Kuah memang betul-betul tumpah ke nasi ni, sebab baik saya mahupun Izzad, kami memang tak berbakat dalam bidang seni. Lukis melukis memang out, kecuali lukisan kejuruteraan, itupun terpaksa sebab nak lulus periksa. Lepas CAD ada, lukis pun cuma guna komputer je kan..:)

Amira pula dah tak sama sistem dengan Nina. Amira sekarang sistem KSSR. Tak ada periksa, cuma penilaian peringkat sekolah sahaja. Jujurnya saya masih agak risau, kerana sebagai ibubapa, kita tidak tahu kedudukan anak dalam sistem ini. Pada pendapat saya KSSR akan berjaya dengan kerjasama baik antara pihak sekolah dan ibubapa. Kalau sistem dijalankan tetapi pendekatan pihak sekolah tetap macam PKSR juga (tiada interaksi berterusan antara pihak sekolah dan penjaga), rasanya objektif KSSR tidak akan tercapai. Dua minggu lepas saya ada berbual dengan Cikgu Junaidah, guru Bahasa Malaysia Amira. Menurut Cikgu Junaidah, Amira dah boleh sampai ke Band 5. Band 6 mungkin susah sikit sebab soalan untuk Band 6 memang direka untuk budak yang betul-betul cemerlang. Bukan sekadar tahu jawab soalan, tetapi tahu untuk menerangkan logik jawapan yang diberikan. Di sinilah murid-murid dilatih untuk berfikiran kreatif, bukan sekadar meluahkan semula apa yang telah diberi oleh guru di dalam kelas. Saya amat positif dengan sistem ini, tetapi perlu ada kesungguhan dari pihak yang melaksanakannya. Budaya kerja perlu diubah, jika tidak, anak-anak kita bakal menjadi bahan ujikaji Sistem Pendidikan Negara sekali lagi!

Saya nampak cerewet ke dengan keputusan peperiksaan anak-anak? Entahlah ye.., saya cuma nak pastikan mereka buat yang terbaik untuk diri mereka. Selama ni saya beri kekebasan kepada mereka. Tak pernah menyekat mereka untuk bermain, gunakan tablet, laptop, internet, tengok tv. Asalkan kerja sekolah siap, dan yang terbaru mereka buat hafalan untuk kelas tahfiz, mereka bebas untuk mengisi masa lapang pada waktu petang dengan aktiviti sendiri. Cuma kalau gunakan internet, saya akan pantau kandungannya, juga TV pun ada tapisan yang dibuat. Mereka bebas mengatur jadual harian sendiri tetapi tetap tertakluk kepada peraturan asas saya, contohnya setiap hari pukul 10 malam kena masuk tidur. Saya tak pernah memberi kelonggaran kepada masa tidur terutama jika hari bersekolah. Kalau hari cuti atau kalau di kampung, itu lain cerita. Jadi dengan kebebasan yang diberi, belajar tanpa tekanan dan paksaan, saya harap mereka tak lalai. Betul keputusan masih cemerlang, cuma untuk subjek Bahasa Malaysia, memang perlu penambahbaikkan.

No comments:

Post a Comment