Nuffnang Ads

Tuesday, July 30, 2013

Sayonara Exora CPS, Welcome to the family Exora Bold CFE ;)

Kalau masih ingat, saya pernah bercerita tentang cakap-cakap Encik Suami nak trade in Exora kami kepada Exora Bold sejurus pelancarannya tahun lepas, boleh baca SINI.  Dan selepas lebih setahun setengah, Encik Suami betul-betul buat kerja gila. Trade in Exora CPS M Line, ambil Exora Bold CFE Premium... hahahaha. Kira memang peminat setia Exora le ni. Marah? Tak pun, cuma rasa sayang kat CPS tu la... dah lebih 4 tahun jadi sebahagian daripada hidup kami. Berat hati juga nak bersetuju untuk trade in ke Bold, tapi bila tengok Encik Suami memang serius nak tukar, saya iyakan aje. Queen Control? Eh bukan macam tu, tapi kami memang kerap buat keputusan bersama, jadi pandangan pasangan akan diambil kira bila melibatkan hal yang besar.

Jadi, 2 minggu lepas kami dapat kereta selepas 2 minggu buat tempahan. Agak lambat prosesnya sebab kami ambil nombor kereta lama. Kenapa tak pakai nombor baru je? Hmm masa kami buat tempahan, plat terkini Johor ialah JPM XXXX. Sekarang ni dah JPN dah. Entahlah rasa tak best pulak nak guna plat Johor, jadinya kami ambil nombor lama je. Tak adalah orang perasan sangat kami tukar kereta sebab plat lama, kaler kereta pun sama dengan yang lama... :)

Ok 2 minggu dah saya bawa kereta tu untuk hantar, ambil anak ke sekolah. Yang paling ketara memang RPM hampir stabil pada 2000 walau dah tekan minyak hingga 80kmh. Jalan sekitar Rinting ni, kat mana pun boleh tekan minyak sangat kan, dapat 80kmh tu pun dah kira bagus. Lagi satu, enjin tak mengaum bila kita tekan minyak - tukar gear rendah ke gear tinggi. Yang ni kalau semasa memotong di highway memang terasalah perbezaannya. Tuil signal pun lembut je, tak macam CPS yang bunyi tac, tac. Penggunaan minyak? Setakat 2 minggu ni, rasanya untuk perjalanan jarak dekat, saya tak nampak sangat beza dengan CPS kami dulu. Tapi untuk perjalanan jarak jauh, memang jimat. Dengan CPS dulu kalau full tanked hanya cukup untuk pergi balik ke kampung je, kalau saya bawa lebih 120kmh, lagilah kuat makan minyak. Tapi dengan Bold, full tanked tak habis pun untuk perjalanan pergi balik ke kampung saya pada kelajuan 120-140kmh. Ada baki hampir 200kmh lagi. Fungsi Auto cruise belum dicuba lagi...

Yang agak mengganggu, bunyi kipas yang kuat lepas enjin dimatikan. Fungsi kipas adalah untuk menyejukkan enjin. Kalau selepas perjalanan jauh, 3 minit jugalah kipas tu berbunyi dan agak bising! Ok bab enjin memang saya tak pandai, jadi saya tak akan komen. Komen saya cuma apa yang orang kebanyakan macam saya ni perasan, itu je. Jadi kalau nak tahu tentang enjin, sila cari blog lain ok! Aha satu lagi hampir terlupa, Bold ada integrated reverse camera kat cermin pandang belakang. CPS kami dulu pun kami tambah reverse camera, tapi dia papar kat DVD player.

Puas hati dengan Bold? Kalau dengan CPS dulu pun saya memang dah puas hati, jadi dengan Bold ni dah tentu berganda puas hati tu ;)

Monday, July 15, 2013

Resepi: Siakap Sweet Sour Hitam

Upload resepi lagi hari ni. Hahaha buat cuci mata di tengahari bulan puasa.. Kalau suka, boleh cuba. Resepi ni agak unik dan berbeza rasanya kerana kombinasi antara kicap, tomato dan sos tiramnya. Resepi yang saya dapat dari kawan serumah, Kak Iza semasa belajar di Kuantan dulu. Waktu tu kami buat giliran untuk memasak setiap petang bagi mengurangkan bajet bulanan. Setiap kali giliran Kak Iza masak, saya kerap berharap agar dia masak lauk ni. Malu nak minta resepi dari dia, dapat ni pun masa dia bercerita kat kami semasa tengah makan dan bila dia masak saya perhatikan dari jauh. Resepi ni boleh kira 'trade mark' saya semasa di Jerman dan sekarang kira dah jadi resepi keluarga sebab anak-anak pun memang suka sweet sour ni. 

Biasanya saya gunakan ikan siakap atau bawal hitam. Kalau nak gunakan ikan selar yang besar tu pun boleh juga. Semasa di Jerman saya gunakan ikan salmon untuk buat sweet sour. Kalau tak ada salmon, saya gunakan ikan rainbow arch (Regenbogen), sejenis ikan air tawar tempatan. Salmon masak sweet sour? Hahaha boleh saja, gunakan sumber tempatan dan suaikan dengan selera kita ;). Salmon masak kari pun kami buat! Uniknya resepi sweet sour ni warnanya hitam, tak menarik... Tapi bak kata orang putih "don't judge a book by it's cover". Nampak je tak menarik, tapi belum cuba, belum tahu!

Nama ni saya yang bagi sebab selalunya bila orang tanya jenis masakan, saya jawab "sweet sour", tapi lepas tu mesti diaorang akan tanya: "Sweet sour? Tapi kenapa hitam?". Jadi saya tambahlah hitam kat belakang tu untuk mengelakkan kekeliruan dengan sweet sour yang biasa kita makan kat kedai Thailand tu.. :)

Siakap Sweet Sour Hitam yang depan sekali



Siakap Sweet Sour Hitam
Bahan:

1 ekor siakap sederhana besar (500-600g) 
4 biji tomato sederhana besar
2 biji bawang merah 
1/2 labu bawang besar 
3 ulas bawang putih 
1 cm halia - diracik halus
5-6 biji cili padi - racik kasar - kalau suka pedas, boleh tambahkan kuantiti. Kurangkan cili kalau tak suka pedas
1 1/2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
garam dan gula
1/2 cawan air
minyak untuk menumis

Cara:
1. Bersihkan siakap, garam dan kunyitkan dan goreng garing, ketepikan.
2. Kisar bawang merah, bawang besar dan bawang putih, ketepikan.
3. Kisar buah tomato, ketepikan.
4. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 3 sudu besar. Tumiskan halia sekejap. Masukkan bawang kisar dan tumis hingga garing. 
5. Bila bawang dah garing, masukkan tomato yang dah dikisar dan tumis hingga garing juga. Tomato perlu betul-betul masak untuk mengelakkan rasa *maung. 
6. Bila tomato dah garing dan masak, tambahkan sedikit air. Tambahkan sos tiram, kicap dan cili yang diracik kasar. Tambahkan gula dan garam. Masukkan lebihan air dan masak hingga didih. Kuah perlu sedikit pekat, jangan terlalu cair. Kalau terlebih air, biarkan di atas api. Kalau terlalu pekat atau terlebih garing, tambahkan air ;)
7. Bila kuah dah masak, masukkan ikan sekejap ke dalam kuali dan terus hidangkan. Jangan biarkan ikan terendam lama di dalam kuah, nanti lembik pula ikan tu. Atau boleh juga sekadar tuangkan kuah ke atas ikan. Hiaskan dengan timun dan salad. Sedap dimakan dengan nasi panas. Kombinasikan dengan sayur campur dan telur dadar. Lebihan kuah dan ikan kalau dicicah dengan roti pun sedap juga. Biasanya kalau lepas makan ada lebihan kuah saya simpan dan esoknya cicah roti. Nurina pun ikut dah... :)

*maung: ni bahasa Johor kot... maksudnya kat sini rasa mentah atau rasa tak masak tomato tu.








Sunday, July 14, 2013

Resepi: Puding Roti

Ok hari ni nak kongsi resepi Puding Roti. Puding ni antara yang kerap saya buat sebab mudah, cepat siap dan sedap. Setakat ni, versi ni yang selalu saya buat setelah banyak kali mencuba resepi lain. Sumber resepi saya tak ingat (masa tu main salin je dari web). Puding roti ni kalau makan gitu je tanpa sos, kurang umph. Mula-mula buat dulu tak terfikir nak makan dengan sos, sudahnya saya terpaksa habiskan sorang-sorang. Lepas tengok ada yang makan dengan sos, terus buat sos vanilla dan sekarang buat satu adunan memang licin selalu. - kalau buat untuk berbuka, sanggup Amira ketepikan makanan lain, hampir separuh loyang masuk ke pinggan dia :)

Gambar?? Setelah dibelek dalam album, tiada gambar dalam simpanan. Nanti kalau ada saya upload kemudian.

Ok lepas upload resepi ni tergerak hati nak buat puding roti untuk berbuka. Jadi dapatlah ambil gambar.. :) Macam nilah rupa bentuknya... Sedap dimakan ketika panas atau boleh juga dihidang sejuk.

Puding roti dengan sos vanilla



Puding Roti.
Bahan:
8 keping roti dicarik kecil
2 sudu besar butter dicairkan - 40 saat dalam mikrowave
2 sudu besar raisin hitam
4 biji telur 
2 cawan susu segar - susu cair biasa pun boleh juga (kalau nak puding sedikit lembik, boleh tambahkan susu)
3 sudu besar gula
1 sudu teh serbuk kayu manis
1 sudu teh vanilla
1 sudu besar gula perang

Cara:
- Gaulkan roti yang telah dicarikkan dengan butter cair dan raisin. Masukkan ke dalam loyang pembakar yang telah dilengser dengan butter.
- Dalam bekas lain, dengan menggunakan pemukul (whisk), pukul telur dan gula hingga agak kembang. Tak perlu kembang sangat sebab kita bukan nak buat kek ;). Masukkan serbuk kayu manis dan vanilla, kacau sebati. Masukkan susu dan kacau lagi hingga sebati.
- Tuangkan adunan susu ke atas roti dan tekan-tekan sedikit supaya roti meresap dengan susu. Kalau suka boleh taburkan sedikit hirisan badam.Taburkan 1 sudu besar gula perang ke atas puding roti.  Bakar dengan suhu 175 C selama 40 - 45 minit. 

Bahan Sos Vanilla:
1 1/2 cawan susu segar
2 sudu besar tepung kastard 
3 sudu besar gula
1 sudu teh vanilla

Cara:
- Bancuh tepung kastard dengan sedikit air suam dan ketepikan.
- Didihkan susu, gula dan vanilla dalam periuk kecil. 
- Bila susu mendidih, kecilkan api dan masukkan bancuhan tepung kastard sedikit demi sedikit dan kacau. Tambahkan bancuhan tepung hingga dapat kepekatan sos yang diingini - tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair. Jika terlalu pekat, boleh tambahkan sedikit susu atau air untuk mencairkan kembali sos. Jika terlalu cair, boleh tambahkan bancuhan tepung kastard.



Monday, July 1, 2013

D untuk Bahasa Melayu :O

Pagi sabtu kami ke hari terbuka SKTR 3 bagi menandatangani Buku Rekod persekolahan anak-anak. Mula-mula ke kelas Amira. Keputusan yang kami dapat adalah keputusan KSSR tahun lepas!! Kami keliru, hilang kata-kata. Apa perlunya membincangkan keputusan tahun 2012 pada pertengahan tahun 2013?? Secara keseluruhannya Amira mencapai Band 4 dan Band 5 kecuali untuk matapelajaran DST (Dunia Sains dan Teknologi) hanya mencapai Band 2. Alasannya, memang itu Band tertinggi yang mampu dicapai oleh pelajar kerana kekangan masa (silibus banyak tetapi hanya diperuntukkan 1 masa berganda setiap minggu). DST hanya sekali seminggu? Ya, tak tipu.. saya pun pelik semasa menyemak jadual persekolahan Amira tahun lepas, tetapi memang itu arahan Kementerian Pelajaran. Macam mana nak perkasakan sains? Hmmm siapalah yang merangka jadual di KPM agaknya.

Banyak yang nak ditanya kepada guru kelas Amira tetapi kami kesuntukan waktu sebab perlu ke kelas Nurina dan ke Sekolah Agama pula untuk menghadiri mesyuarat PIBG dan majlis penyampaian hadiah Amira. Satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah pemahaman Bahasa Inggeris dan cikgu minta supaya Amira kuatkan suara bila membaca di dalam kelas! :)

Di kelas Nurina kami dihidangkan dengan kejutan dari guru kelas. "Alhamdulillah ada penambahbaikkan dari Gagal (D) dalam Bahasa Melayu 2 (Pemahaman) pada ujian setara bulan Mac kepada Sangat Baik (A) kali ini". Saya ingatkan saya salah dengar dan mata pun salah tengok.. Blurr sekejap... GAGAL Bahasa Melayu 2?? Macam mana boleh sampai gagal? Markah pula hanya 35%. Nak kata pelajaran merosot, tidak juga, sebab mata pelajaran lain (teras dan tambahan) semuanya masih Sangat Baik (A, A+) dan dia dapat keputusan 4A1D.

Tak kiralah walaupun ia keputusan bulan Mac dan untuk bulan Mei dia kembali kepada prestasi asal. Bagi saya dan suami, ini sebagai tanda yang dia tak stabil. Tetapi kenapa? Kalau sekadar penurunan ke B atau C, bagi saya masih boleh difahami. Tetapi dari A ke D, seakan dia mengalami black out! Masa untuk kembali duduk bercerita dengan Nurina semula. Perlu menyelami hati dia semula.. tanya masalah dia... Saya akui, kebelakangan ni memang kami kurang berpeluang duduk berdua, bercerita macam dahulu. Masa sangat terbatas dengan aktiviti hariannya yang penuh. Dan saya perlu gunakan masa yang ada sebaiknya, insyaAllah kami akan perbaiki kelemahan yang ada.

Banyak perkara perlu saya atur semula. Ada ruang yang perlu dibaiki.