Nuffnang Ads

Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Sunday, April 21, 2013

Tolak UMNO, tetapi terima DAP

Demam PRU semakin hangat dengan hari ini merupakan hari penamaan calon. Saya manusia tidak berparti dan sebelum ini saya mengundi berdasarkan calon. Sebab itu undi saya pernah ke BN dan pernah juga ke PAS ;). Cuma PKR je tidak... PKR is still a big NO, NO to me.. :p. Lebih baik tak pergi mengundi dari beri undi ke PKR!!

Sejak setahun lepas, saya rajin melawat ke Sopo Blog seperti syedoutsidethebox, mummyrokiah, zamkata, rockybru, helenang, stopthelies dan banyak lagi. Sopo pro establishment? Yup rata-rata sopo pro establishment atau neutral. Selain daripada itu, saya kerap juga menjadi tetamu di drmaza, uzar, ustaz hasrizal dan ridhuan tee. Oppo blog dan news portal pun saya pergi juga, tapi biasanya jantung kerap berdegup kencang bila baca komen-komen mereka yang banyak menggunakan kata-kata kesat dan caci maki. Tak percaya cuba ke Malaysiakini versi Inggeris, jangan versi Bahasa Melayu sebab yang rajin komen, rajin mengutuk ni, mereka tak berbahasa melayu. Rasanya bukan sebab malu, tapi mereka memang tak boleh berbahasa Melayu. It shows us, how pathetic they are actually... Nama je orang Malaysia, promo Malaysian Malaysia, tapi tak mampu berbahasa Melayu... hmmmm. Blog pro establishment pun, kalau mereka kerap gunakan bahasa kasar, lucah dan tak sopan memang saya banned.

Satu perkara yang kerap berlegar-legar dan bermain di kepala saya. Apa pertimbangan, perkiraan yang kebanyakan pemimpin PAS gunakan dan seterusnya diterima oleh pengikut mereka dalam hal yang menyentuh tentang DAP? Saya sejak awal celik tentang politik (abah selalu dan kerap bersembang politik dengan saya sejak saya bersekolah menengah lagi) memang bukan fan DAP. Dan sejak mengikuti blog Helenang setahun lepas, lebih banyak tentang DAP yang saya tahu. Dan DAP seperti yang diceritakan oleh abah saya masih sama seperti DAP yang didedahkan oleh Helen. Mereka tak pernah berubah.

Peliknya, kenapa PAS kata mereka dah berubah? Mereka kata DAP dah boleh terima perjuangan PAS untuk menegakkan dan mendirikan negara Islam. Sekadar pemimpin DAP kini rajin berselendang, bersongkok keluar masuk surau dan masjid kerana ingin mengambil hati, bolehkah dianggap mereka sudah berubah? Dan menyentuh negara Islam, bukankah negara kita juga telah diiktiraf sebagai negara Islam? Dengan Islam diletakkan sebagai agama rasmi dalam perlembagaan negara, majoriti penduduknya menganut Islam, ketua negaranya seorang Islam, pemimpin negaranya seorang Islam, dasar-dasarnya banyak yang mengaplikasi sistem Islam - kita adalah sebuah negara Islam. Cuma kita bukan negara Islam seperti acuan Pakistan, Afghanistan, Arab Saudi dan lain-lain.

Hanya kerana pemimpin negara kita belum bersedia melaksanakan hudud, maka kita tak layak digelar negara Islam? Dan kerajaan sekarang wajib dan perlu ditukar? Seperti pertanyaan awal saya, bagaimana mereka boleh lunak dan menerima DAP dengan tangan terbuka, dialu-alukan sedangkan dalam masa yang sama mereka menolak keras UMNO yang seagama dan berkongsi syahadah dengan mereka? Mengapa boleh berbaik sangka dengan DAP sedangkan dengan UMNO sentiasa berburuk sangka?

Sering juga saya bertanya kepada diri, apakah pandangan dan hati saya yang masih terhijab dari menerima dan melihat kebenaran, atau mereka? Menilai diri yang pengetahuan agamanya tak terbanding dengan Uzar, Dr Maza juga Ustaz Hasrizal, boleh jadi saya yang masih silap dalam membuat perhitungan. Tetapi tanpa latarbelakang agama sehebat mereka pun, tak semestinya perhitungan saya juga salah. ;) Atau bagaimana??

Monday, September 17, 2012

"Make a lie big..." - kuasa pembohongan yang didendang berterusan

"Make a lie big, make it simple, keep saying it and eventually they will believe it" - quoted Adolf Hitler

Saya bukan mahu mempromosi Adolf Hitler, walaupun saya lama menetap di Jerman. Nilai-nilai yang ada dalam masyarakat Jerman banyak mencorakkan pemikiran saya. Tapi satu yang tetap kekal, jati diri saya sebagai seorang melayu muslim dan sebagai rakyat Malaysia.

Saya bersetuju dengan apa yang Adolf Hitler katakan. Sesuatu pembohongan itu, jika didendang berulang kali, lama kelamaan akan dianggap benar dan diakui sebagai fakta. Sudahnya mana yang betul, mana yang salah pun, kita sendiri tidak tahu. Begitulah yang berlaku dalam senario politik masakini dalam negara kita. Fakta palsu dan fitnah seringkali dihebahkan berulangkali hingga akhirnya diterima ramai sebagai berita yang benar! Begitu besar kuasa mengadu-domba. Jadi tidak hairanlah jika Allah swt mengutuk perbuatan adu domba ini, kerana sesungguhnya ia memang merosakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Semalam saya menghadiri jamuan Aidilfitri di rumah junior saya semasa di Jerman. Alhamdulillah saya berpeluang bertemu dengan rakan-rakan lama. Bila dah berkumpul, timbul juga isu politik dalam perbualan kami. Memandangkan saya dan mereka dulu merupakan kumpulan pelajar yang simpati pada Anwar Ibrahim dan pro reformasi, jadi kami sempat bertukar situasi terkini. Tergelak saya bila seorang rakan, yang dulunya merupakan penyokong tegar ADIL, bersungguh-sungguh menggelengkan kepala bila diajukan nama Anwar. Memang betul-betul dah berpatah arang, berkerat rotan dengan AI. Masing-masing tersenyum mengenang masa silam sewaktu kami berkobar-kobar dengan semangat reformasi yang diperjuangkan Anwar. Sambil mengulit nota kuliah, kami bertikam lidah di mailing list yahoogroups antara kumpulan pro kerajaan dan pro reformasi. Dahulu tiada Facebook, Twitter dan blog pun hanya digunakan untuk merakam kenangan sebagai pelajar di tempat orang. Tak ramai yang mendedikasikan diri untuk berpolitik di alam maya melalui blog. Kami hanya berpolitik di mailing list, di bawah jambatan ketika berkumpul untuk ber BBQ juga bila ada makan-makan di rumah rakan. Alhamdulillah kepada yang kini sedar bahawa individu AI yang diperjuangkan langsung tidak berhak diberikan simpati dan sokongan, dan saya akan terus berdoa agar rakan yang masih dibuai kata-kata manis "perjuangan untuk membebaskan negara dan bangsa dari kuasa zalim kerajaan semasa" akan tersedar dari mimpi.

Allah selamatkan Malaysia dari kemusnahan dan moga Malaysia kekal aman dan makmur.

Tuesday, February 28, 2012

Nak pilih siapa PRU13 nanti?

Rasanya ahli politik di Malaysia ni, tak kiralah pihak kerajaan atau pembangkang, kerjanya memang 24 jam berpolitik. Dah bila masanya nak memajukan negara? Belah sini buat sesuatu, yang belah sana bangkang. Kalau belah sana buat kerja, yang belah sini pulak ambil giliran untuk membangkang. Bangkang, bangkang, bangkang. Tak habis-habis membangkang! Dua-dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang), kerja utamanya MEMBANGKANG! Lemas wei... letih!

Orang kata kalau pegangan politik neutral maknanya tiada pendirian, jadi macam lalang. Saya pun taknaklah jadi macam lalang kan? Jadi saya pilih pakatan yang kurang mudaratnya kepada agama, bangsa dan negara.

Sejak layak untuk mengundi, saya dah 2 kali mengundi. Kali pertama masa balik cuti ke Malaysia pada 2003 dan kali kedua pada tahun 2008. Masa tu kami dah menetap di Alor Gajah pun dan saya balik untuk mengundi di kampung dengan adik. Sebelum tahun 2003 saya tak pernah mengundi pun. Masa pihak Embassy di Berlin hantar borang untuk undi pos, saya tak pernah kembalikan pun borang mengundi.. ;p. Ntah, belum ada kesedaran lagi masa tu, betapa penting nilai 1 undi dan hak kita untuk mengundi perlu digunakan sebaiknya.

Nak undi siapa PRU13 nanti? Hmmm setakat ni dua-dua SCHEISSE! Mungkinkah.., mungkinkah akan tersimpan kertas undi saya tak berusik nanti? Tunggu dan lihat.. samada saya akan bertukar menjadi lalang; atau berdiri bertenggek di atas pagar tak terjun; ataupun terjun dengan si labu atau si labi.

Monday, January 30, 2012

Kenapa taksub sangat pada Anwar Ibrahim?

Saya kurang senang nak berbicara tentang politik. Dulu, abah merupakan rakan bual saya bila membicarakan tentang politik. Abah merupakan pejuang UMNO suatu masa dahulu, sewaktu zaman mudanya. Pertelingkahan dalam UMNO dari tahun 60an hingga 70an sehinggalah kes pembatalan UMNO lama pada 1986 membuatkan abah tawar hati dan bertukar menjadi berkecuali.

Anwar Ibrahim pernah menjadi antara pemimpin yang saya kagumi. Sewaktu zaman persekolahan saya, saya berbangga dengan pemimpin negara seperti Anwar yang petah berkata-kata. Semasa menuntut di Jerman, ketika kes liwat pertama ke atas Anwar, saya antara yang bersimpati dengan beliau. Sudahnya komuniti kami yang kecil di Jerman terpecah dua. Satu kelompok pro kerajaan, satu kelompok pro Anwar. Tapi kami tak adalah sampai 'berperang', cuma berperang mulut dalam mailing list atau bila ada gathering kat bawah jambatan di Konstanz ;)

Tetapi dalam kebanyakan masa, saya agak berkecuali bila menyentuh soal politik. Saya menyokong usaha-usaha kerajaan yang membawa kesejahteraan kepada rakyat tetapi dalam masa yang sama saya tetap mengkritik bila pihak yang memerintah ada buat salah.

Berbalik kepada isu Anwar, darjah kepercayaan saya kepada beliau menjurus ke angka sifar bukan kerana percaya kepada tuduhan liwat dan video skandal beliau tetapi hasil pemerhatian yang berterusan bersumberkan kedua-dua media pro pembangkang dan juga pro kerajaan. Akal saya yang waras dah tak boleh nak terima Anwar. Kadang saya sendiri pelik, hanya kerana ketaksuban kepada individu, kita jadi 'malas' untuk berfikir secara waras dan logik. Cubalah analisa kembali Anwar secara neutral... Betullah kata orang, cinta itu buta. Mereka sebenarnya dalam fasa 'cintakan' Anwar, hinggakan semua yang dilihat itu indah belaka....