Nuffnang Ads

Sunday, January 30, 2011

Hospital Rakan Bayi

Masa mula-mula balik Malaysia dan berkesempatan melawat anak sepupu Izzad di Hospital Putrajaya, saya tertarik dengan Plak yang ditampal di ruang menunggu hospital. Tertera pengiktirafan 'HOSPITAL RAKAN BAYI'. Tertanya-tanya saya apa pulak Hospital Rakan Bayi ni? Lepas tu barulah saya tahu... apa HRB tu.

Berpeluang melahirkan Izzul Hakimi di Hospital Melaka (juga salah satu HRB), dan pengalaman menemankan adik saya yang berkampung di Hospital Melaka kerana anaknya menghidap 'newborn jaundice' membuatkan saya tertanya-tanya kembali. Layakkah mereka diiktiraf sebagai HRB? Pada pendapat saya, mereka belum layak diiktiraf sebagai HRB. Kenapa? Saya beri sebab dan alasan.

1) Kekurangan pakar laktasi. Seingat saya, hanya seorang pakar laktasi yang saya jumpa. Seorang wanita india. Dia yang beri penerangan semasa kursus suami sebagai peneman dan dia juga yang datang ke wad lepas lebih 6 jam saya bersalin!

2) Sejam pertama selepas bayi dilahirkan adalah waktu paling penting untuk bayi dan ibu, kerana refleks menyusu bayi sangat kuat pada waktu ini. Cogankata ini memang diwar-warkan, tapi tidak dipraktikkan! Bayangkan, lepas melahirkan Hakimi diaorang bagi sekejap Hakimi kat saya, lepas tu masa bidan jahit luka, diaorang bawa keluar Hakimi. Saya tunggu hampir sejam diaorang tak pulangkan Hakimi.. lepas saya minta Hakimi untuk disusukan, baru diaorang bagi. Itupun kejap je.. lepas tu diaorang ambil balik! Adik saya lagi parah... saya lupa nak pesan kat dia suruh minta baby. So lepas 4 jam lahir baru dia mula nak susukan Mu'az... mana nak budak tu. HRB bukan setakat ada pegawai laktasi je... bidan kat wad bersalin pun kena praktikkan juga motto tu!

3) Hospital Rakan Susu Formula di wad kanak-kanak! 2 hari pertama masa Mu'az kena tahan wad, adik saya tak dapat bermalam sekali, jadi pagi saya hantar dia ke hospital, malam saya ambil dia balik. Untuk bekalan susu sebelum dia datang, kami tinggalkan susu yang diperah. Kena masuk dalam bekas plastik, tulis nama, tarikh etc.. Tapi susu adik saya tak digunakan pun untuk susukan Mu'az! Dah pesan, bagi susu ibu, tapi cuma seorang jururawat kat situ yang 'pakai' cakap kami! Menangis adik saya terpaksa buang susu yang dia penat-penat perah. Masa tu dia belum beli pam susu Avent lagi. Beli yang simple je, sampai sakit-sakit tangan dia mengepam susu.

4) Bimbingan ala kadar. Bagi saya yang dah melalui 2 kelahiran sebelum Hakimi, mungkin tak kekok lagi nak menyusukan bayi, tapi kalau macam tulah bimbingan yang pegawai laktasi tu beri untuk semua ibu di situ, senang-senang saya bagi markah 1 daripada 10 markah! Kenapa? Sebab dia datang cuma sekali selama 2 hari saya di wad dan sekadar bertanya, samada saya dah susukan bayi dan beritahu saya supaya teruskan penyusuan. Itu aje!

5) Kemudahan sekadar ada. Tiada bilik khas untuk ibu melarikan diri dan menyusukan bayi sekiranya ibu merasa terganggu dengan kehadiran tetamu pesakit lain di katil sebelah menyebelah.

Banyak lagi saya nak tulis.. tapi nantilah saya masukkan dalam entri lain. Panjang sangat dah, lagipun saya dah mengantuk.. selamat malam!

Thursday, January 27, 2011

Sayangkan isteri, tinggal tinggalkan

Siapalah yang mencipta peribahasa tu kan? Kalau ikut peribahasa tu, Izzad memang bebetul sayangkan saya la ek? Sebab selalu kena tinggal.. hikhikhik. Isnin depan Izzad akan ke Kuantan lagi selama 2 minggu. Jadi, Tahun Baru Cina ni kami bercuti tanpa Izzad lagi. Alang-alang Izzad tak ada, saya plan nak jenguk rumah kat Ayer Keroh. Bersih-bersihkan mana yang patut, pergi potong nama Amira kat SK Bukit Beruang, ambil surat kat rumah Kak Nani. Banyak urusan yang boleh saya selesaikan.

Berbalik kepada tajuk entri hari ni. Sebenarnya sejak baru kahwin lagi saya dah biasa PJJ (Perkahwinan Jarak Jauh) dengan Izzad. Masa saya kat Heidelberg dan Izzad kat Konstanz, kami jumpa 2 minggu atau sebulan sekali. Biasanya saya la yang turun ke Konstanz sebab saya boleh susun jadual kelas 'cantik-cantik' punye. Kelas saya padat dari Isnin sampai Khamis. Jumaat tu pagi je saya ada kelas, beg dah letak siap-siap dalam locker kat stesen keretapi. Jadi habis je kelas pukul 11.15 saya terus bergegas naik keretapi untuk balik ke Konstanz. 5, 6 jam lepas tu, sampailah saya ke Konstanz.

Lepas kami abis belajar, Izzad dapat kerja kat Jerman, saya pulak balik Malaysia dengan baby Nurina. Memula cadang nak balik 2 bulan je, tapi jadi 6 bulan pulak! Kes nak tunggu tiket murah kat MATTA Fair..:) Bila balik semula ke Jerman, Izzad selalu kerja kat site sebab dia buat high speed railway untuk ICE di Ingolstadt dan Nuernberg. 2 minggu sekali baru dia balik. Kalau dia kerja luar Jerman, lagilah 4, 5 minggu baru balik. Jadi saya dah terbiasa uruskan hidup kami anak beranak sendiri.

Wednesday, January 26, 2011

Hari tanpa beg plastik

Rasanya semua orang dah tahu kan, setiap Sabtu mulai Januari 2011 adalah hari tanpa beg plastik. Satu langkah ke arah gaya hidup yang lebih mesra alam. Idea yang amat bagus.

Tengahari Sabtu lepas tetiba Izzad telefon dari pejabat. "Yang, Goh tak hantar lagilah report yang abang nak kena check tu. Kita hantar jam Nina dan Amira kat City Chain tu hari ni nak? Lepas tu boleh beli barang-barang dapur sekali. Abang masuk office esok je la."

So, sabtu tu kami pergi Jusco Teberau City untuk hantar jam Nina dan Amira yang 'pening lalat', beli jeans untuk Nina sebab seluar dia sume dah singkat dan beli barang untuk saya sikit. Lepas tu kami pergi Tesco Extra Plentong untuk beli barang-barang dapur. Tiba Tesco, saya pelik jugakla, kenapa tak ramai orang kat Tesco ni? Saya tengok jam, 22 haribulan. Sebab belum gaji ke? Tapi kalau Tesco Plentong, tak kiralah belum gaji ke, dah gaji ke, memang selalu ramai orang. Atau sebab hari tanpa beg plastik? Saya ngan Izzad buat kesimpulan, mungkin sebab hari tanpa beg plastik! Walaupun kami takdela yakin sangat dengan kesimpulan yang kami buat tu. Jadi hari tu kami dapat berbelanja dengan tenang dan tak perlu tunggu lama di kaunter! Bestnya kalau selalu macam nih :)

Ahad tu, on the way balik ke rumah dari office, Izzad singgah Tesco sekejap sebab dia terlupa nak beli kopi untuk office. Dan memang betul pun apa yang kami agak semalam, sebab orang tak datang shopping hari Sabtu tu. SEBAB TAK ADA BEG PLASTIK! Izzad cakap, cashier kat Tesco yang beritahu. Orang tak datang/kurang datang shopping sebab tak ada beg plastik! Adeh.. sengal betul. Sampai macam tu sekali orang kita tak nak beri sokongan? Kalau kita kata mentaliti dunia ketiga, pandai pulak marah.

Saya tak nampak apa yang susah pun tak ada beg plastik. Masa tinggal di Jerman dulu, kalau pergi kedai memang diaorang tak sediakan beg plastik pun. Ada beg plastik kat kaunter tu, tapi kena bayarlah, 30 cent satu kalau tak silap. Biasanya saya akan bawa beg kain (Einkaufstaschen) dan masukkan barang sume dalam tu. Tak pun bawa je beg galas, ha masukkan sume dalam beg, habis cerita!

Pergi berbelanja kat sini hari Sabtu, macam tu jugaklah kami buat. Tapi sebab naik kereta, kami bawa kotak boleh lipat (Klappbox - saya bawa balik dari Jerman dulu, ada lagi, tahan betul). Kat kereta, sume barang susun @ masukkan dalam kotak. Senang nak angkat masuk rumah. 2 kali angkat dah selesai. Kalau guna beg plastik, mau 4, 5 kali ulang alik angkat beg-beg plastik tu. Kan jimat tenaga! Orang kita ni memang 'resistant' kot untuk pembaharuan, terutama kalau perubahan atau pembaharuan ke arah yang lebih positif! Kalau yang negatif tu cepat je terima. Pelik betul!

Monday, January 24, 2011

Surirumah dan Facebook

Topik macam bagus! Hehehehe... 2 minggu lepas kot, masa tengah tukar siaran kat tv, tetiba tersagkut kejap kat slot Ustazah Siti Nor Bahyah, Semanis Kurma. Pasal Facebookla.. bla, bla, bla. Tapi saya tertarik ngan apa yang Aziz M. Osman cakap.. sume ada pro dan kontranya. Baik dan buruk kesan penggunaan Facebook adalah bergantung kepada si pengguna sendiri. Lepas tu ustazah tu ada tanye tetamu dia sorang lagi (Zila Bakarin kalau tak silap saya) tentang surirumah yang ada Facebook, patut ke tak patut surirumah berfacebook. Saya terus malas nak follow, tukar channel lain.. so saya sendiri pun tak tahu apa pandangan peribadi ustazah tu.

Surirumah dan Facebook. Apa yang salahnya? Apa yang peliknya? Surirumah bukan robot pun. Apa, ingat dengan title surirumah, dah tak boleh nak buat benda lain? Kena masak, jaga anak, uruskan rumah, tanam bunga, jirus bunga, sapu sampah, buang sampah.. itu je? Kalau ada sesiapa la yang fikir macam tu, ha saya suruh diaorang masuk darjah satu balik! Berfacebook tu tak salah. Yang salahnya kalau gunakan Facebook tu untuk tujuan tak baik... macam test market ke, cari cinta lama, cari cinta baru (ni kes untuk yang dah kahwin ek!).

Susu ibu vs susu formula

Terfikir-fikir, apa cerita pertama saya nak masukkan dalam blog ni. Sebenarnya topik ni selalu bermain kat kepala. Cuma baru sekarang ada medium untuk saya ketengahkan topik ni. Saya gunakan dua-dua, susu ibu dan susu formula. Masa Nurina kecil saya susukan dia sepenuhnya sampai dia berumur setahun, lepas tu campur dengan susu formula. Dia 2 tahun je, stop susu ibu dan terus dengan susu formula. Amira pula 2 tahun susu ibu dan lepas tu baru susu formula. Hakimi, susu ibu sampai umur 7 bulan, lepas tu campur. Kenapa campur awal sangat? Nanti saya cerita kat entri lain. Sampai sekarang Hakimi masih belum berhenti susu ibu lagi. Sekarang ni dia kongsi menyusu? Ya betul, kongsi dengan Fahmi. Jadi sekarang saya menyusukan 2 anak lelaki saya (Hakimi 2 tahun 3 bulan, Fahmi 1 tahun 2 bulan).

Saya nak komen banyak pasal susu formula ni pun, saya bukannya pandai sangat. Cuma pada pendapat saya, setiap bayi seharusnya mendapat HAK mereka untuk menyusu susu ibu. Kalau ibu tak mampu untuk susukan 2 tahun seperti disunnahkan, 6 bulan pertama susu ibu sepenuhnya pun memadai. Lepas tu bolehlah campur dengan susu formula.

Saya sendiri masa mengandungkan Nurina, tak pernah terfikir nak beri dia susu formula. Alhamdulillah saya lahirkan Nurina di Jerman, di mana mereka amat menitik beratkan penyusuan eksklusif untuk bayi sehingga berumur 6 bulan! Agaknya kalau masa tu saya di Malaysia, mungkin Nurina membesar dengan susu formula! Bayangkan, selepas Nurina lahir, 4 jam saya dan 3 jururawat (bidan, jururawat kanak-kanak dan pakar laktasi) berusaha supaya Nurina menyusu. Dia hisap 2, 3 kali dan lepas tu tidur! Dan begitulah episod yang sama berulang sepanjang 6 hari saya di hospital.

Sakit, bengkak, nak bergerak pun susah. Mujur saya tak demam dan payudara tak kena jangkitan kuman. Sampaikan terpaksa pam untuk rasa lega sikit. Nurina akan ditimbang setiap kali sebelum dan selepas menyusu untuk memantau jumlah susu yang dia minum. Seksa kan? Kalau tak kuat semangat, mungkin saya dah beralih ke susu formula. Yang buat saya kagum, jururawat dan doktor di situ tak pernah sekali pun bagi cadangan supaya saya susukan Nurina dengan susu formula. Sebaliknya mereka tak henti-henti bagi semangat dan dorongan supaya saya teruskan penyusuan. Ditakdirkan saya di Malaysia masa tu, rasanya dah lama jururawat beri anak saya susu formula!!

Di hospital mereka berikan rawatan akupunktur untuk melancarkan pengaliran susu dan setiap kali lepas menyusukan Nurina, payudara saya akan dituam dengan 'coolig pad' daripada keju sejuk! Bila kami balik rumah, rutin menimbang Nurina dan mengepam susu diteruskan dengan penimbang digital dan pam elektrik Medela yang disewa dari farmasi. Jururawat yang datang memantau saya dan Nurina selama 10 hari pun sentiasa beri dorongan supaya saya teruskan penyusuan. Sakit, luka, rasa tertekan tu adatlah, lebih-lebih lagi untuk ibu muda macam saya, katanya. Yang penting jangan putus asa. Sentiasa rehatkan diri, minda dan banyakkan pengambilan air dan makanan yang berkhasiat dan seimbang.

Saturday, January 22, 2011

Blog dalam Bahasa Melayu

As salam...,
terbuat juga akhirnya blog dalam bahasa melayu. Bukannya malas nak guna bahasa jerman lagi... kokocincau.blogspot.com masih wujud dan akan terus wujud, sebab kat situlah saya akan terus jaga bahasa jerman saya supaya tak berkarat! :p

Kenapa ada blog kedua? Entah ek... hehhehe sebenarnya saya ni memang suka menulis. Pernah berangan-angan nak jadi penulis novel macam Khadijah Hashim, Ahadiat Akashah, tapi itulah, bahasa tak cukup mantap, tersadailah saya kat tengah-tengah. Kira bolehlah.. tak bute teknologi dan tak juga hampeh dalam sastera! Perasan betul anak Pak Usop nih ;)

Jadinya, blog ni khusus untuk saya merapu dalam bahasa ibunda, selain blog kokocincau, kalau tetiba saya nak berangan bermata biru.. hehehehehe. Dan satu lagi, kalau bolehlah, saya akan pastikan penggunaan bahasa saya taklah guna bahasa singkat dan kontot macam tulis SMS tu. Tak ada la nak guna bahasa baku penuh bertatabahasa tu, cuma saya akan cuba sebaik mungkin ok! Tapi kalau tak berjaya jugak... jangan marah... :)