Nuffnang Ads

Monday, January 30, 2012

Kenapa taksub sangat pada Anwar Ibrahim?

Saya kurang senang nak berbicara tentang politik. Dulu, abah merupakan rakan bual saya bila membicarakan tentang politik. Abah merupakan pejuang UMNO suatu masa dahulu, sewaktu zaman mudanya. Pertelingkahan dalam UMNO dari tahun 60an hingga 70an sehinggalah kes pembatalan UMNO lama pada 1986 membuatkan abah tawar hati dan bertukar menjadi berkecuali.

Anwar Ibrahim pernah menjadi antara pemimpin yang saya kagumi. Sewaktu zaman persekolahan saya, saya berbangga dengan pemimpin negara seperti Anwar yang petah berkata-kata. Semasa menuntut di Jerman, ketika kes liwat pertama ke atas Anwar, saya antara yang bersimpati dengan beliau. Sudahnya komuniti kami yang kecil di Jerman terpecah dua. Satu kelompok pro kerajaan, satu kelompok pro Anwar. Tapi kami tak adalah sampai 'berperang', cuma berperang mulut dalam mailing list atau bila ada gathering kat bawah jambatan di Konstanz ;)

Tetapi dalam kebanyakan masa, saya agak berkecuali bila menyentuh soal politik. Saya menyokong usaha-usaha kerajaan yang membawa kesejahteraan kepada rakyat tetapi dalam masa yang sama saya tetap mengkritik bila pihak yang memerintah ada buat salah.

Berbalik kepada isu Anwar, darjah kepercayaan saya kepada beliau menjurus ke angka sifar bukan kerana percaya kepada tuduhan liwat dan video skandal beliau tetapi hasil pemerhatian yang berterusan bersumberkan kedua-dua media pro pembangkang dan juga pro kerajaan. Akal saya yang waras dah tak boleh nak terima Anwar. Kadang saya sendiri pelik, hanya kerana ketaksuban kepada individu, kita jadi 'malas' untuk berfikir secara waras dan logik. Cubalah analisa kembali Anwar secara neutral... Betullah kata orang, cinta itu buta. Mereka sebenarnya dalam fasa 'cintakan' Anwar, hinggakan semua yang dilihat itu indah belaka....

Sunday, January 29, 2012

Misi yang belum berjaya

Hakimi akan masuk 4 tahun Oktober depan, jadi dah masanya untuk dia belajar tidur di bilik sendiri. Nurina mula tidur di bilik sendiri masa umur 4 tahun dan Amira masa umur 2 tahun. Proses yang mengambil masa agak panjang dan menuntut kesabaran yang tinggi. Hampir setahun, setiap pukul 3 atau 4 pagi mereka akan ke bilik kami dan sambung tidur sampai pagi. Mula-mula hampir setiap malam mereka bangun dan ke bilik kami. Lepas tu semakin berkurangan, seminggu sekali, sampailah mereka tidur lena hingga ke pagi di bilik sendiri. Yang penting ibu bapa jangan stress bila nak didik anak-anak dengan benda baru. Kena beri mereka masa yang cukup tapi dalam masa yang sama kena tegas, contohnya waktu nak tidur, hanya di bilik mereka sendiri. Tapi kalau pukul 3, 4 pagi mereka datang ke bilik kita, jangan pulak kita suruh tidur semula di bilik mereka. Boleh jadi drama kalau kita berkeras nak mereka balik semula ke bilik. Biarkan saja mereka tidur bersama kita.

Jadi untuk membolehkan bilik ke 3 di rumah kami lebih mesra kanak-kanak, fungsinya perlu diubah. Bilik yang sebelum ni berfungsi sebagai bilik tamu dan tempat menyimpan barang (yang kami pisahkan dengan almari) perlu diatur semula. Maknanya, kotak-kotak buku perlu dikeluarkan, dipilih mana yang masih perlu dan hantar ke rumah Ayer Keroh. Buku-buku dan nota-nota itulah harta kami. Benda lain nak buang takpe, tapi bukan buku-buku dan nota-nota tu. Jauh dah belayar. Dari Konstanz ke Shah Alam, kemudian ke Melaka dan ke Pasir Gudang dan akan kembali ke Melaka semula.

Kelmarin saya dah susun semula bilik Nurina dan Amira. Biar mereka dapat semangat baru dengan susun atur dan suasana bilik yang baru. Nampaknya mereka teruja! :). Sekarang kepala ligat berfikir, macam mana nak buat dengan bilik 3 tu. Tempat sangat terhad dan proses memilih, membuang dan menyusun tu perlukan masa. Dalam masa yang sama rumah tak boleh berselerak dan terabur! Hahaha pening, pening. Macam mana nak buat tu?

Nampaknya saya yang kena selongkar barang-barang saya dulu. Bila dah siap, baru bagi giliran kat Izzad pilih barang-barang dia pulak. Soalnya..., bila nak mula? Hahaha... motivasi, motivasi... Saya sangat memerlukan motivasi untuk memunggah kotak sekarang!!!

Tuesday, January 17, 2012

Yuhu.. berjaya meratakan Bukit Rinting!

Bagi mereka yang kenal rapat dengan saya (adik beradik, ex housemate), rasanya mereka tahu, kerja yang paling saya tak suka adalah MELIPAT KAIN BAJU! Tak malu pun nak mengaku. Memang tak suka nak buat, tapi kena buat. Kalau tak, rumah tak serupa rumah orang! Dan saya ni cerewet kalau bab melipat baju. Tak boleh asal siap atau asal lipat je. Mesti kena kemas, tak boleh ronyok-ronyok. Bila angkat baju dari penyidai pun kena susun elok-elok dalam bakul. Terukkan? Tapi rasanya sekarang ni dah ok sikit... dulu masa bujang lagi teruk rasanya. Dulu kalau saya lipat t-shirt, ha sebijik macam kat kedai tu: saiz lipatan kena sama, susun ikut warna.. hehehe teruk, teruk. Tapi sekarang dah banyak 'improvement'. Darjah kecerewetan saya dah banyak menurun... ;p

Dalam pada saya cerewet tu, saya pun ada kelemahannya.... tak suka melipat baju! Tak tahu kenapa, tapi memang susah nak dapat motivasi untuk melipat baju. Dan hari ini, saya berjaya menghabiskan semua stock baju yang tak berlipat! Huhs.. bangga betul. Hahahaha buruk perangai anak Pak Usop ni.

Azam saya... lepas ni, baju akan terus dilipat selepas diangkat dari penyidai! Tak nak simpan-simpan lagi. Bila dah mula menyimpan yang jadi malas tu. Asyik bertangguh, tangguh dan tangguh. Akhirnya menimbun jadi bukit... jadi gunung pun iye jugak. Kakak saya bagi tips, hangerkan semua baju anak-anak. Senang kerja. Hmmm berapa banyak hanger yang nak kena pakai? Banyak pulak ruang yang diperlukan untuk gantung baju-baju. Jadi saya kekal dengan cara lama. Gantung baju mana yang patut je. Baju basahan, baju tidur untuk semua masih saya lipat. Nurina dan Amira pun dah mula saya latih untuk melipat baju sendiri: kadang-kadangla. Dan saya terpaksa menahan diri untuk mengomplen bila mereka lipat tak cantik! Takut nanti membantutkan usaha mereka untuk berdikari. Jadi tahankan mata, zip mulut. Tegur sikit-sikit je, kalau ada yang serabai sana sini, saiz lipatan tak sama, terima saja!

Thursday, January 12, 2012

Trade in Exora ni nak?



Rasanya Proton lancarkan Exora Bold 2 minggu lepas kot. Exora generasi pertama guna enjin CPS, tapi Exora Bold guna enjin CFE. Saya bukan pandai bab-bab enjin nih, apa tu CPS pun baru saya faham lepas gi www.masihtidakdiketahui.wordpress.com, lepas google! Padahal sebelum tu puaslah Cik Abe dok pung pang, pung pang pasal CPS itu, CPS ini.. dengo je, faham idak :p

Satu yang saya pasti, Exora kami ni kuatlah makan minyak, terutama kalau untuk perjalanan dekat. "Full tanked" Exora hanya tahan 2 minggu untuk perjalanan saya ulang alik ambil dan hantar anak ke sekolah. Biasalah kan kejap-kejap break, tekan minyak, break lagi, tekan minyak, break lagi.. hehhehe. Izzad kata, Exora Bold lebih ekonomi. Dengan enjin baru, mereka ada teknologi di mana RPM kekal rendah, walaupun dengan kelajuan tinggi. "Test drive" yang diaorang buat, RPM kekal kurang dari 2000 walaupun meter dah 120km/h. Cuma, macam mana untuk perjalanan dekat? Jimat jugak ke? Nanti baca review dia dulu... :)

Lepas Proton keluarkan Exora Bold dan kami tengok model baru kat TV, saya dan Izzad dok borak-borak pasal kereta kat depan rumah.

Izzad: "Yang, kita trade in Exora ni nak?"
Saya: "Nak trade in dengan apa? Trade in dengan Exora Bold?"
Izzad: "Ha, ah.. kita ambik Exora Bold"
Saya: "Abang ni, orang lain kalau trade in, tukar jenama dan model sekali, at least model. Ni abang nak Exora jugak?"
Izzad: "Itu orang lain. Exora ni dah optimumla untuk family kita, cuma model baru tu, abang rasa lagi bagus, jom tukar."

Hahahaha, ada-ada je Izzad ni. Bukan boleh percaya dia ni. Tengok masa nak beli Exora dulu. Memanglah ada perancangan nak beli kereta kedua masa tu, kami dok bincang, tinjau-tinjau antara Exora, Citra2Rondo dan Nissan Grand Livina. Tapi memang tak putuskan lagi nak yang mana. Alih-alih satu Sabtu tu, seminggu lepas Exora dilancarkan, Izzad balik rumah tunjuk resit booking kereta! Hah, terkejut badak saya. Laa, kita cuma tengok kat TV, Internet dengan surat khabar je, dia dah beli. Lepas booking baru dia bawa saya dan anak-anak ke Proton Edar untuk tengok Exora tu. Dua minggu lepas tu kami dapat kereta.

Saya tak pernah kisah pun kereta apa kami guna, yang penting ekonomi dan mampumilik. Mampumilik maksud saya bukan setakat mampu nak keluarkan sebiji kereta dan bayar ansuran bulanan. Tapi termasuk sekali kos penyelenggaraan yang mampu kami tanggung! Sebab tu dari kereta pertama sampai kereta kedua, kami pakai Proton je :). Dah, itu je yang sesuai dengan poket kami.. :)

Teringat komen seorang hamba Allah masa kami baru balik dari Jerman dan beli SAGA tu. Dia kata, kalau setakat SAGA, jurutaip sekolah dia pun pakai kereta tu. Hmm pedih menusuk kalbu masa dengar tu, tapi senyum jugaklah, walaupun rasanya kelat! Pada diaorang, dah duduk lama kat oversea, takkan pakai Proton je? Kurang-kurang pun kereta Jepun, takpun Korea ke. Lantaklah orang nak cakap apa pun, yang bayarnya kami, kalau rosak nak kena repair pun kami jugak yang nak kena bayar. Tak jadi kudis dengan cakap-cakap orang macam tu.

Nak jaga standard? Hahaha banyaklah standard diaorang. Diaorang tak tahu, professor kami kat Jerman yang ada PHD tu kayuh basikal je tiap-tiap hari pergi Uni. Tak kira hujan, panas, salji, selamba je Herr Schiller kayuh basikal 20km pergi dan balik! Cuma saya tak pernah nampak Rektor Uni kayuh basikal :). Tapi kalau pensyarah biasa tu, naik basikal je ke sana sini. Bawak pun beg galas je, simple!

Masa saya mengajar kat UiTM pun, saya bawak beg galas jugak! Sampai memula diaorang ingat, saya ni student jugak. Jaga standard? Jaga status? Apa ada dengan semua tu?

Friday, January 6, 2012

Parkinglah elok-elok

Setiap tahun mesti ada mak ayah yang ikut suka dia je parking kereta masa nak tunggu anak balik sekolah. Sakit hati wooo tengok perangai orang macam ni. Beraturlah elok-elok. Ini tidak, ada tu sesuka dia 'double side parking' kat tempat yang sesak. Dah tak pasal-pasal orang sebelah tu takleh nak keluar. Orang belakang tak boleh nak lalu.. yang depan pun tersangkut! Yang beratur parking tepi jalan pulak, minimakanlah jarak seminima mungkin, supaya orang lain pun dapat tempat jugak. Hmmm ada tu jaraknya, nak masuk satu kereta tak muat, tapi kalau tak masuk kereta kat situ, kita bleh dok bersimpuh main batu seremban!

Kalau kat sekolah agama lagi tensen. Jalan dahla sempit, ada jugak yang tak reti-reti nak parking elok-elok supaya ada laluan untuk kereta lain bergerak! Yang dok membatu parking depan pagar tunggu anak pun ada, padahal kat belakang berderet orang tunggu nak lalu!

Letihla orang macam ni. Spesis ni lebih kurang sama dengan orang yang potong barisan ikut lorong kecemasan kat hiway bila jammed. Pentingkan diri sendiri.. omputeh cakap selfish, orang Jerman cakap selbstsuechtig!

Mana ada cara senang nak dapat duit!

Sejak belajar di Jerman lagi, rasanya pada tahun 1997 kawan-kawan dah mula promote "cara mudah dapatkan $$, hanya dengan melayari Internet". Ada kawan siap datang bawa slip bank sebagai bukti jumpa saya dan Faridah di apartment kami. Masa tu kalau tak silap, dia dapat DM60 (kalau ditukar dalam ringgit lebih kurang RM150 mengikut kadar tukaran semasa). Tapi saya dan Faridah memang tak pernah cair pun dengan pujuk rayu mereka. Faridah selalu cakap, duit apa yang diaorang bagi kita tu? Ada ke orang senang-senang nak bagi duit kat orang lain? Kata kuncinya di sini: Dapat duit dengan mudah!

Lepas tu sekitar tahun 2003, hebohlah pulak pasal Swiss Cash. Ramai jugalah kawan-kawan yang join. 2003-2005 saya dan Izzad pindah ke Bad Oldesloe, sebuah bandar kecil di utara Jerman, hampir sejam perjalanan dari Hamburg. Tak ada komuniti melayu di Bad Oldesloe. Cuma di FH Luebeck, setengah jam perjalanan dari Bad Oldesloe, ada 7 orang pelajar Malaysia yang menuntut di sana. Jadi aman sikit dari promosi secara langsung ni. Cuma promosi dari e-mail Alumni MGSS je masih ada.

Kembali ke Malaysia saya mula kenal dan tahu tentang MLM. MLM tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Semuanya menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda dari wang pelaburan dalam waktu yang singkat. Teringat Skim Pak Man Telo waktu zaman persekolahan saya dulu. Ramai sungguh yang masuk skim walaupun keuntungan yang dijanjikan tak masuk akal.

Tak sampai setahun di Malaysia bermacam-macam MLM cuba diperkenalkan kepada saya. Tetap saya tolak dengan berhemah. Kalau dengan orang yang boleh saya bincang, saya kemukakan pandangan dan berikan alasan, saya akan bersuara. Tak semua orang boleh dkritik. Jadi bila jumpa tukang promote yang jenis kedua ni, saya diamkan je. Dengar sebab hormat tak bermakna kena ikut, iye tak? Mutakhir ini, sana sini orang bercakap tentang Fusion Excel. Dengan tagline: "penjanaan keuntungan pasif serendah USD100 setiap bulan", Fusion Excel menjadi trend masakini. Blog Aidid Muaddib ada membincangkan tentang Fusion Excel ini. Kalau dia tulis guna pen dan kertas kajang, maunya berkajang-kajang tulisan dia tu ;). Saya tak pandai nak bercakap panjang lebar macam Bro Aidid. Segala macam fakta dia keluarkan. Kita tinggal baca dan fahamkan aje.

Pada sayalah, kita cuma perlu kembali kepada konsep muamalat yang asas. Keuntungan perniagaan yang telah ditetapkan jumlahnya adalah RIBA. Titik, tamat, full stop! Kalau kita pegang pada yang satu tu... datanglah Fusion Excel ke, Passion Excellent ke.. apa-apalah, insyaAllah kita tak akan terjebak! Memanglah, siapa tak nak duit kan, siapa tak nak kaya? Kalau member promote bagus-bagus punye, pendapatan hingga mencecah RM lima angka sebulan, siapa pun akan angkat-angkat kening kan? Lagilah bila tengok orang-orang yang join tu kadang yang alim-alim, yang kita rasa jauh lebih baik dan alim dari kita. Hmmm, tepuk dada tanya akal. Jangan gelap mata kerana wang ringgit.

Thursday, January 5, 2012

Al Fatihah Dato Salleh Majid : Hilangnya sebutir permata



Sabtu lepas dan sabtu sebelumnya saya tercari-cari kolum Saranan Salleh. Tak ada. Tertanya-tanya, kenapa ye? Dah berhenti menuliskah? Saya memang mengikuti tulisan beliau di Utusan Malaysia, tetapi tak pernah cuba ambil tahu tentang kehidupan peribadi Dato Salleh Majid. Justeru membaca tajuk "Salleh Majid meninggal dunia. Belasungkawa di muka 11" di muka depan Utusan Malaysia semalam (03.01.2012) memang amat mengejutkan saya. Yang pertama terlintas di kepala saya, "kita kehilangan seorang lagi manusia hebat".

Nama Salleh Majid mula lekat di kepala saya ketika beliau menjadi Presiden BSKL. Dari 1995 hingga 2005 saya agak jarang mengikuti perkembangan tentang Salleh Majid. Sekali sekala ada berita beliau saya baca di Internet. Setelah kembali semula ke Malaysia, saya mula membaca Saranan Salleh di Utusan Malaysia dan sejak itu kemunculan tulisan beliau amat saya nantikan. Kebiasaannya tulisan beliau memang tidak pernah menghampakan saya.

Walaupun menulis tentang ekonomi, Salleh Majid memilih untuk menggunakan bahasa yang mudah dan santai. Barangkali beliau maklum, pembaca biasa seperti saya memang allergic dengan bahasa-bahasa ekonomi. Taktik beliau menjadi. Seronok membaca idea-idea bernas, kritikan pedas yang beliau kemukakan. Salleh Majid memang lantang bersuara dan orang seperti beliau memang sangat diperlukan negara. Berjaya, bijak, punya nama dan rajin berkongsi pengalaman, pandangan, tidak kedekut ilmu di samping berani untuk bersuara.

Tulisan Blogger Shahabudeen Jalil memang menepati apa yang saya rasa dan saya fikir.

http://www.shahabudeenjalil.com/2012/01/apa-beza-datuk-salleh-majid-dan-tokoh-perniagaan-lain-di-malaysia/

Al Fatihah Dato Salleh Majid. Moga dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Monday, January 2, 2012

Ombak Rindu: Antara novel dan filem

Semalam Izzad bersemangat menemankan saya menonton filem Ombak Rindu yang jualan tiketnya mencecah angka 11 juta tu. Novel karya Fauziah Ashari tu saya baca dua kali. Kali pertama ketika saya bercuti selama 6 bulan di kampung pada 2003/2004 selepas tamat belajar, sementara menunggu tiket MATTA-Fair untuk pulang semula ke Jerman. Kali kedua saya baca novel tu semula pada minggu lepas.

Sebelum saya menonton Ombak Rindu, adik dah 'warning' awal-awal, saya akan kecewa kerana jalan cerita hanya 40% sama dengan novel. Takpe, takpe, saya nak tengok sendiri. 5 minit pertama menonton saya dah tak sedap hati sebab persekitaran watak Izzah yang amat berbeza dengan novel.

Saya memujuk hati lagi dan sampai kesudahan cerita cuma satu perkataan dapat membayangkan perasaan saya iaitu HAMPA! Hampa kerana saya membayangkan perasaan yang sama akan saya alami seperti menonton filem "Message in The Bottle" pada tahun 1999 yang diangkat daripada novel karya Nicholas Spark. Menonton filem Message in The Bottle seakan saya menyelak satu persatu helaian novel yang diterjemahkan ke layar perak. Keasyikan membaca novel dapat saya rasai ketika menonton. Berlainan sekali dengan menonton Ombak Rindu.

Saya kira Osman Ali kejam kerana sekadar meminjam watak-watak utama di dalam Ombak Rindu dan mengubah watak mereka sesuka hati. Watak Hariz agak lemau di dalam filem. Watak Izzah seperti tiada kekuatan. Mila yang banyak terjerit-jerit dan membentak-bentak juga menyesakkan dada. Azizah Mahzan memang over dan mengada-ngada dengan bahasa melayu slanga inggerisnya. Meluat! Sampaikan Izzad pun komen "Eii, dia ni lagi. Dia ni kalau berlakon memang tahu macam ni je ke yang?" - maksudnya tergedik-gedik dengan style mat salleh celup tu. Watak Pak Dollah dan Mak Jah juga kabur, macam serba tak kena. Ditambah dengan plot yang terlompat-lompat. Memang menghampakan!

Patutlah Fauziah Ashari kecewa dengan filem ini. Mungkin pengarah punya alasan sendiri. Nak ikut macam cerita Titanic kot. Cerita yang sekadar meminjam beberapa fakta sebenar tentang kejadian tenggelamnya kapal mewah Titanic dan diadun dengan imaginasi penulis skrip tentang kisah cinta Jack dan Rose. Tup-tup box office! 3 kali jugak saya masuk panggung masa tu gara-gara Di Caprio, hehehe. Berbalik kepada Ombak Rindu, bagi penonton yang pernah membaca novel Fauziah Ashari, kami inginkan "feel" yang datang semasa membaca novel itu muncul kembali bila menontonnya di layar perak. Namun hampa juga yang menjelma.

Hahaha itulah coretan saya pengkritik tak bertauliah setelah menonton filem Ombak Rindu. Filem biasa-biasa saja dan elakkan mengharap dan menanti kisah novel sebenar dari filem ini! ;)