Nuffnang Ads

Sunday, April 28, 2013

Review: Restoran Al-Hanin, makanan arab di Larkin Idaman

Hari ni nak bercerita tentang makan lagi. Kali ni makanan arab pula. Dah lama tercari-cari makanan arab yang sedap di area JB tapi belum jumpa yang berkenan di hati. Bulan lepas kami pergi ke Restoran Parsia di Taman U, Skudai. Makanan kering tak berkuah dan rasa hambar. Cuma rasa garam je. Yang jadi penyelamat cuma Saffron rice, roti - Nina panggil roti karpet sebab bentuknya macam karpet 4 segi dan kebab daging. Jus buah-buahan yang kami pesan pun masam.. tak rasa gula.

Semalam Utusan Malaysia ada keluarkan rencana tentang restoran nasi arab yang baru buka di Larkin Idaman. Kebetulan kami sedang dok berfikir nak makan mana malam tu. Saya tunjuk Izzad paper, dia terus google. Jumpa page Restoran Al Hanin. Tengok gambar pun menarik...!

Jadi lepas maghrib kami gerak ke Larkin. Masukkan GPS Coordinate siap-siap takut sesat lagi... :). Bagus page mereka ni.. siap letak GPS Coordinate lagi, jadi mudahlah kami nak mencari.

Sampai di restoran lebih kurang pukul 8:00 malam. Ada tempat untuk makan bersila dan juga meja panjang. Kami memilih makan di meja. Kami pilih 3 hidangan: Kabsah Ayam, Nasi  Mandhi Kambing dan Kebab. Air pula jus oren untuk saya, jus tembikai untuk Nina dan Izzad, milo ais untuk Kimi, Fahmi dan Amira. Budak bertiga ni memang kanak-kanak milo! :). Tak lama lepas tu, pelayan datang semula... Kabsah ayam dan kebab dah habis. Jadi kami tukar dengan Mandhi Ayam dan Maqlubah Ayam. Sambil berbual, saya dok memerhatikan persekitaran restoran. Restoran agak sempit sebab pangkin untuk makan bersila memakan ruang yang agak banyak. Masih boleh ditambah-baik lagi. Suka dengan alunan qasidah di Al-Hanin, terasa macam kat timur tengah pula. ;)

Interior Restoran Al Hanin... cantik kan? Gambar dari Facebook Restoran Al Hanin. Masa kami pergi  susunan dah agak berterabur sikit ;)

Selepas lebih setengah jam hidangan dan minuman yang kami pesan pun sampai dengan 3 pinggan extra. Pelayan minta maaf sebab kami menunggu agak lama. Tak kisah pun sebenarnya sebab tak rasa lama menunggu. Kami sibuk berbual dan ralit mendengar qasidah ;).

Maqlubah Ayam. Gambar dari blog Al Hanin

Nasi Mandhi Ayam, side dishes: sup, cili dan rojak timun+tomato. Gambar dari blog Al Hanin

Komen? Seeeeeeedappppppp sangat! Cukup rasa rempah, tak kering dan daging serta ayam yang lembut. Jus pun sedap. Jus pun cuma RM3 je. Kalau kat Nando's mahunya dekat RM7 segelas jus. Kimi bersemangat makan, padahal masa mula-mula sampai dia masih dok merengek nak makan di Pizza Hut. Komen Kimi: "Ermmm sedapnya. Pa, lepas ni kita tak payah pergi makan kat tempat lain ye, makan kat sini je." Hahahaha.. Kimi kalau jumpa tempat yang sedap, memang dia cakap macam tu. Minggu lepas di El-Migos, AEON Tebrau City pun dia cakap benda yang sama juga. Satu lagi tempat yang dia suka ialah Sedap Corner. Kalau pergi Sedap Corner, menu pilihan dia sama je... Mee Goreng! Saya tak berapa suka ke Sedap Corner, sebab bagi saya makanan yang rasa biasa-biasa aje, tapi harga mahal! Bayangkan sepinggan Mee Goreng Kicap pun harganya RM10! Kalau kami pergi Sedap Corner pun sebab ikutkan selera anak-anak.

Semalam di Al Hanin kami cuma bayar RM53 untuk makanan dan minuman. Kalau pergi Kenny Rogers, El-Migos atau Nandos bil kami 2 kali ganda dari itu :). Saya sangat puashati! Menu memang asli arab tetapi dengan sedikit touch melayu sebab ada air lada tu. Yelah kan Melayu ni kan kalau makan tak sah kalau tak pedas :). Jadi lepas ni kalau nak makan makanan arab yang sedap... bolehlah ke Restoran Al Hanin di 

No. 2 Jalan Idaman 3, Taman Larkin Idaman, Johor Bahru Johor. 
Hj Zulrahim 0167474898 / 07-2212759
GPS: 1.494239,103.752168
Waktu perniagaan : 10:00 pagi - 10:00 malam

Saya beri 5 bintang utuk makanan dan 3 bintang untuk suasana restoran :). 3 bintang je sebab susunan agak berterabur... tapi qasidah memang best!

Friday, April 26, 2013

Tahfiz separuh masa waktu malam tamat..

Malam semalam balik dari kelas Tahfiz...

Nina&Mira: Ma, ustazah kata mulai isnin minggu depan kelas tahfiz separuh masa waktu malam dah tak ada lagi. Ustazah kena mengajar di Puteri Wangsa. Kelas separuh masa cuma ada siang je pukul 2.00-4.30 petang. Macam mana kitaorang nak pergi kelas ma? Kitaorang tak nak berhenti kelas tahfiz...

Mira: Nina kata dia nak berhenti sekolah agama ma, nak pergi tahfiz je. Macam mana Mira nak pergi ma? Sekolah agama Mira dari pukul 2.00-3.30. Nina pulak pukul 6.30 baru balik....

Mama: Agak terkejut dengan short notice dari al-islah dan sedikit sesak dengan "macam mana" yang bertubi-tubi. Hmmm tarik nafas panjang.. Takpe, takpe rileks dulu.., nanti mama telefon ustazah, mama bincang dengan ustazah, kita cuba cari penyelesaian ok?

Nina&Mira: Ok, tapi kitaorang tak nak berhenti tau!

*Ya Allah, permudahkanlah urusanku*

---------------------------------------------------

Sebelum tidur semalam kepala ligat memikirkan bermacam pilihan yang ada boleh saya kemukakan kepada Ustazah Rabiatul. Dua tiga kali juga saya terjaga malam dan kepala masih memikirkan topik yang sama. Hahahaha macam tu lah saya, kalau ada benda yang tak settle memang tak senang duduk ;). Tambahan ini melibatkan perkara yang penting, yang anak-anak minat. Alhamdulillah mereka menunjukkan minat dan kesungguhan dalam pembelajaran tahfiz. Walaupun sejak akhir tahun lepas sehingga ke bulan Februari Al Islah kekurangan tenaga pengajar dan mereka kurang membuat hafalan baru, mereka hampir habis juzu' Amma. Bagi saya, cukup baik bagi pelajar separuh masa seperti mereka.

Dan hari ini selepas berbincang dengan Ustazah Rabiatul, kami mencapai kata sepakat yang Nurina akan ke kelas tahfiz pada waktu petang dari pukul 2.00 - 3.15 dan selepas itu saya hantar dia ke sekolah agama. Cuma untuk Amira je masih tak ada kata putus. Amira habis sekolah agama pukul 3.30, jadi agak singkat masa untuk kelas tahfiz yang tamat pukul 4.30 petang. Saya nak hantar sambung mengaji di rumah Cikgu Su dia tak mahu (Amira masih mengaji juzu' 13).. Nampaknya saya kena bincang semula dengan Ustazah Rabiatul.


Sunday, April 21, 2013

Tolak UMNO, tetapi terima DAP

Demam PRU semakin hangat dengan hari ini merupakan hari penamaan calon. Saya manusia tidak berparti dan sebelum ini saya mengundi berdasarkan calon. Sebab itu undi saya pernah ke BN dan pernah juga ke PAS ;). Cuma PKR je tidak... PKR is still a big NO, NO to me.. :p. Lebih baik tak pergi mengundi dari beri undi ke PKR!!

Sejak setahun lepas, saya rajin melawat ke Sopo Blog seperti syedoutsidethebox, mummyrokiah, zamkata, rockybru, helenang, stopthelies dan banyak lagi. Sopo pro establishment? Yup rata-rata sopo pro establishment atau neutral. Selain daripada itu, saya kerap juga menjadi tetamu di drmaza, uzar, ustaz hasrizal dan ridhuan tee. Oppo blog dan news portal pun saya pergi juga, tapi biasanya jantung kerap berdegup kencang bila baca komen-komen mereka yang banyak menggunakan kata-kata kesat dan caci maki. Tak percaya cuba ke Malaysiakini versi Inggeris, jangan versi Bahasa Melayu sebab yang rajin komen, rajin mengutuk ni, mereka tak berbahasa melayu. Rasanya bukan sebab malu, tapi mereka memang tak boleh berbahasa Melayu. It shows us, how pathetic they are actually... Nama je orang Malaysia, promo Malaysian Malaysia, tapi tak mampu berbahasa Melayu... hmmmm. Blog pro establishment pun, kalau mereka kerap gunakan bahasa kasar, lucah dan tak sopan memang saya banned.

Satu perkara yang kerap berlegar-legar dan bermain di kepala saya. Apa pertimbangan, perkiraan yang kebanyakan pemimpin PAS gunakan dan seterusnya diterima oleh pengikut mereka dalam hal yang menyentuh tentang DAP? Saya sejak awal celik tentang politik (abah selalu dan kerap bersembang politik dengan saya sejak saya bersekolah menengah lagi) memang bukan fan DAP. Dan sejak mengikuti blog Helenang setahun lepas, lebih banyak tentang DAP yang saya tahu. Dan DAP seperti yang diceritakan oleh abah saya masih sama seperti DAP yang didedahkan oleh Helen. Mereka tak pernah berubah.

Peliknya, kenapa PAS kata mereka dah berubah? Mereka kata DAP dah boleh terima perjuangan PAS untuk menegakkan dan mendirikan negara Islam. Sekadar pemimpin DAP kini rajin berselendang, bersongkok keluar masuk surau dan masjid kerana ingin mengambil hati, bolehkah dianggap mereka sudah berubah? Dan menyentuh negara Islam, bukankah negara kita juga telah diiktiraf sebagai negara Islam? Dengan Islam diletakkan sebagai agama rasmi dalam perlembagaan negara, majoriti penduduknya menganut Islam, ketua negaranya seorang Islam, pemimpin negaranya seorang Islam, dasar-dasarnya banyak yang mengaplikasi sistem Islam - kita adalah sebuah negara Islam. Cuma kita bukan negara Islam seperti acuan Pakistan, Afghanistan, Arab Saudi dan lain-lain.

Hanya kerana pemimpin negara kita belum bersedia melaksanakan hudud, maka kita tak layak digelar negara Islam? Dan kerajaan sekarang wajib dan perlu ditukar? Seperti pertanyaan awal saya, bagaimana mereka boleh lunak dan menerima DAP dengan tangan terbuka, dialu-alukan sedangkan dalam masa yang sama mereka menolak keras UMNO yang seagama dan berkongsi syahadah dengan mereka? Mengapa boleh berbaik sangka dengan DAP sedangkan dengan UMNO sentiasa berburuk sangka?

Sering juga saya bertanya kepada diri, apakah pandangan dan hati saya yang masih terhijab dari menerima dan melihat kebenaran, atau mereka? Menilai diri yang pengetahuan agamanya tak terbanding dengan Uzar, Dr Maza juga Ustaz Hasrizal, boleh jadi saya yang masih silap dalam membuat perhitungan. Tetapi tanpa latarbelakang agama sehebat mereka pun, tak semestinya perhitungan saya juga salah. ;) Atau bagaimana??

Tuesday, April 9, 2013

Check up mata Fahmi: juling ke tak juling?

Pada hari Jumaat, 5.4.2013 saya membuat temujanji dengan pakar Opthalmology Dr. Yip Kong Yake 叶钢毅医生 di Regency Specialist Hospital, Seri Alam untuk Fahmi. Sebelum ni saya pernah bercerita tentang mata Fahmi yang nampak juling air dalam entry lepas, boleh baca di sini.

Jadi selepas hantar Kimi ke PASTI pukul 8.15 pagi, saya dan Fahmi terus ke Regency sebab pendaftaran dibuka pukul 8.30 pagi dan saya dimaklumkan bahawa di sana first come first serve, walaupun dah buat temujanji! Kat flyover berdekatan Tesco tak jammed, jadi sebelum pukul 8.30 kami dah daftar. Doktor masuk pukul 9.00 pagi. Jadi tunggulah 30 minit, bawak Fahmi pusing-pusing.

Pukul 9.05 pagi doktor sampai... dan nama pesakit pertama dipanggil, bukan kami ;). Tunggu lagi... Pukul 9.25 pagi pesakit pertama keluar dan nama berikutnya... IZZUL FAHMI IZZAD. Bawa Fahmi masuk.. "Selamat pagi doktor" - hensemnya dr :p. Pandai cakap melayu pulak tu... Hahahaha saya biasanya kalau berurusan dengan doktor, saya cakap bahasa melayu penuh! Tak campur sepatah pun perkataan asing, kecuali kalau tak dapat nak diterjemah ke dalam bahasa melayu.. kadang tu cuma jumpa bahasa jerman je sebagai terjemahannya hehehehe. Bukan apa, seronok bila tengok doktor-doktor cina ni berbahasa melayu. Bahasa Melayu Dr. Yip boleh saya kategorikan sebagai bagus. Tak ada slang cina sangat.. mungkin sebab dia dulu belajar di India kot. Paed Fahmi dulu, kat Regency juga grad dari Taiwan, saya macam biasa masuk-masuk je terus cakap melayu, dia berusaha bersungguh-sungguh untuk cakap melayu juga. Satu yang saya tabik, mereka hormat dengan bahasa yang jadi pilihan kita.. 

Ok, melalut sampai ke bab bahasa pulak... fokus!!!!! :). Jadi, dia pun tengok rekod perubatan Fahmi sebelum ni dengan Dr. Lee Mun Seng yang dah pindah.... Tanya saya, kenapa datang.. Saya pun ceritala, bimbang anak juling, sbb kadang pergerakan mata hitam kanan-kiri tak seragam bla bla bla. 

Dr Yip buat 5 ujian.. 2 daripadanya ujian menggunakan peralatan perubatan. Untuk ujian yang ke 4 untuk mengesan ketidaknormalan bahagian dalam mata, kedua belah Fahmi dititiskan dengan sejenis cecair dan setengah jam selepas itu baru dijalankan ujian.

Hampir pukul 10.30 pagi, kami dipanggil semula. Hasil ujian menunjukkan mata Fahmi sihat. Akar mata (optic nerve) juga dalam keadaan baik. Tiada ketidaknormalan pada lens yang boleh menghalang kemasukan cahaya untuk dibalikkan semula oleh retina. Fahmi juga tiada rabun dekat, tiada rabun jauh... dan kalau saya tak salah dengar, tak rabun warna juga. Dr. Yip juga tunjukkan saya dengan menyuluh mata Fahmi dengan lampu picit, cahaya masuk betul-betul di tengah-tengah anak mata, bagi kedua-dua mata kiri dan kanan. Bila saya ajukan, kenapa kadang-kadang kedudukan mata hitam macam tak center pada mata putih. Dr terangkan... yang tu bukan juling (hmmm pelik juga, bukanke cara nak tengok juling ke tidak, optiknya memang macam tu?).

Doktor kata, proses tumbesaran fungsi-fungsi mata Fahmi masih lagi berjalan dan mungkin matanya memerlukan masa yang lebih lama berbanding kanak-kanak lain untuk mendapatkan penyeragaman pergerakan mata. Sebenarnya masih ada rasa was-was (dan doktor pun dapat baca dari air muka saya rupanya :p). Dari satu segi saya amat bersyukur sebab mata Fahmi berfungsi dengan baik, cuma masih lagi sedikit bimbang... Tapi kan, dah doktor cakap macam tu, dia yang pakarnya, saya terima pandangan doktor... cuma pantau memang tetap kena pantau. Saya tanya, kalau dalam setahun lagi saya datang untuk kawalan, macam mana. Doktor kata, "ok, kita jumpa lagi dalam masa setahun, tapi mata anak puan memang ok!"

Huhs.. lega sangat bila dah jumpa doktor ni... sejak tahun lepas, saya kerap risaukan mata Fahmi.....

Saturday, April 6, 2013

Menyertai dunia telefon pintar dengan Galaxy Ace Plus ;)

Dua hari lepas saya dapat kejutan yang tak disangka daripada Schatzi saya. Saya dihadiahkan Galaxy Ace Plus berwarna putih. Tak pernah minta dan tak sangka, tetiba je dapat hadiah. Yelah, tak sangka sebab birthday saya lama lagi, anniversary kami pulak dah lepas. Apa-apa pun alhamdulillah rezeki Allah beri melalui Izzad. Danke dir Schatz! Jadi selepas 2 tahun Nokia C5 menemani saya, maka secara rasmi saya merehatkannya. Sayang C5 tu walaupun dah tanggal sana sini sebab selalu sangat dihempas, dibaling heroes saya semasa mereka kecil.

Nokia C5 yang menemani saya lebih 2 tahun... akan tetap saya simpan elok-elok. Masih berfungsi walaupun pernah melalui zaman sukar bila dihempas, dibaling heroes saya.. ;)

Selepas bertahun-tahun setia dengan Nokia, saya beralih ke Samsung pula. Sekarang ni anak-anak dah tak mahu guna HTC Flyer dan Tablet made in China mereka. Empat-empat berebut telefon mama. Si Kimi siap sound papa dia, "Papa bawalah i-pad (touch pad) Kimi ke office, Kimi dah tak nak dah, dah rosak!" Blurrr je kami dengar statement macam tu. Mentang-mentang ada gading bertuah, tanduk dah tak berguna lagi ;). Padahal sebelum ni, 2 touch pad itulah yang mereka empat beradik rebutkan.

Ni Galaxy Ace Plus hadiah dari my hubby... mode: masih jakun lagi... hehehe
Untuk review Galaxy Ace Plus ni, boleh ke review.uk.samsung.com. Nak beri komen sendiri, saya memang tak tahu apa-apa pun spec-spec hand phone ni. Dan lagi saya masih tak mahir dengan Galaxy Ace Plus ni. Swipe sana, swipe sini. Bab swipe-menswipe tu tak adalah jakun sangat kan, sebab HTC Flyer tu pun dah biasa saya guna. Cuma, saya ni kan old fashion sikit, hand phone untuk saya cukup sekadar boleh telefon dan sms sahaja. Apa-apa pun terima kasih kat Izzad... kejutan yang sangat menjadi! Ich liebe dich Schatz... :)