Nuffnang Ads

Sunday, July 14, 2013

Resepi: Puding Roti

Ok hari ni nak kongsi resepi Puding Roti. Puding ni antara yang kerap saya buat sebab mudah, cepat siap dan sedap. Setakat ni, versi ni yang selalu saya buat setelah banyak kali mencuba resepi lain. Sumber resepi saya tak ingat (masa tu main salin je dari web). Puding roti ni kalau makan gitu je tanpa sos, kurang umph. Mula-mula buat dulu tak terfikir nak makan dengan sos, sudahnya saya terpaksa habiskan sorang-sorang. Lepas tengok ada yang makan dengan sos, terus buat sos vanilla dan sekarang buat satu adunan memang licin selalu. - kalau buat untuk berbuka, sanggup Amira ketepikan makanan lain, hampir separuh loyang masuk ke pinggan dia :)

Gambar?? Setelah dibelek dalam album, tiada gambar dalam simpanan. Nanti kalau ada saya upload kemudian.

Ok lepas upload resepi ni tergerak hati nak buat puding roti untuk berbuka. Jadi dapatlah ambil gambar.. :) Macam nilah rupa bentuknya... Sedap dimakan ketika panas atau boleh juga dihidang sejuk.

Puding roti dengan sos vanilla



Puding Roti.
Bahan:
8 keping roti dicarik kecil
2 sudu besar butter dicairkan - 40 saat dalam mikrowave
2 sudu besar raisin hitam
4 biji telur 
2 cawan susu segar - susu cair biasa pun boleh juga (kalau nak puding sedikit lembik, boleh tambahkan susu)
3 sudu besar gula
1 sudu teh serbuk kayu manis
1 sudu teh vanilla
1 sudu besar gula perang

Cara:
- Gaulkan roti yang telah dicarikkan dengan butter cair dan raisin. Masukkan ke dalam loyang pembakar yang telah dilengser dengan butter.
- Dalam bekas lain, dengan menggunakan pemukul (whisk), pukul telur dan gula hingga agak kembang. Tak perlu kembang sangat sebab kita bukan nak buat kek ;). Masukkan serbuk kayu manis dan vanilla, kacau sebati. Masukkan susu dan kacau lagi hingga sebati.
- Tuangkan adunan susu ke atas roti dan tekan-tekan sedikit supaya roti meresap dengan susu. Kalau suka boleh taburkan sedikit hirisan badam.Taburkan 1 sudu besar gula perang ke atas puding roti.  Bakar dengan suhu 175 C selama 40 - 45 minit. 

Bahan Sos Vanilla:
1 1/2 cawan susu segar
2 sudu besar tepung kastard 
3 sudu besar gula
1 sudu teh vanilla

Cara:
- Bancuh tepung kastard dengan sedikit air suam dan ketepikan.
- Didihkan susu, gula dan vanilla dalam periuk kecil. 
- Bila susu mendidih, kecilkan api dan masukkan bancuhan tepung kastard sedikit demi sedikit dan kacau. Tambahkan bancuhan tepung hingga dapat kepekatan sos yang diingini - tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair. Jika terlalu pekat, boleh tambahkan sedikit susu atau air untuk mencairkan kembali sos. Jika terlalu cair, boleh tambahkan bancuhan tepung kastard.



Monday, July 1, 2013

D untuk Bahasa Melayu :O

Pagi sabtu kami ke hari terbuka SKTR 3 bagi menandatangani Buku Rekod persekolahan anak-anak. Mula-mula ke kelas Amira. Keputusan yang kami dapat adalah keputusan KSSR tahun lepas!! Kami keliru, hilang kata-kata. Apa perlunya membincangkan keputusan tahun 2012 pada pertengahan tahun 2013?? Secara keseluruhannya Amira mencapai Band 4 dan Band 5 kecuali untuk matapelajaran DST (Dunia Sains dan Teknologi) hanya mencapai Band 2. Alasannya, memang itu Band tertinggi yang mampu dicapai oleh pelajar kerana kekangan masa (silibus banyak tetapi hanya diperuntukkan 1 masa berganda setiap minggu). DST hanya sekali seminggu? Ya, tak tipu.. saya pun pelik semasa menyemak jadual persekolahan Amira tahun lepas, tetapi memang itu arahan Kementerian Pelajaran. Macam mana nak perkasakan sains? Hmmm siapalah yang merangka jadual di KPM agaknya.

Banyak yang nak ditanya kepada guru kelas Amira tetapi kami kesuntukan waktu sebab perlu ke kelas Nurina dan ke Sekolah Agama pula untuk menghadiri mesyuarat PIBG dan majlis penyampaian hadiah Amira. Satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah pemahaman Bahasa Inggeris dan cikgu minta supaya Amira kuatkan suara bila membaca di dalam kelas! :)

Di kelas Nurina kami dihidangkan dengan kejutan dari guru kelas. "Alhamdulillah ada penambahbaikkan dari Gagal (D) dalam Bahasa Melayu 2 (Pemahaman) pada ujian setara bulan Mac kepada Sangat Baik (A) kali ini". Saya ingatkan saya salah dengar dan mata pun salah tengok.. Blurr sekejap... GAGAL Bahasa Melayu 2?? Macam mana boleh sampai gagal? Markah pula hanya 35%. Nak kata pelajaran merosot, tidak juga, sebab mata pelajaran lain (teras dan tambahan) semuanya masih Sangat Baik (A, A+) dan dia dapat keputusan 4A1D.

Tak kiralah walaupun ia keputusan bulan Mac dan untuk bulan Mei dia kembali kepada prestasi asal. Bagi saya dan suami, ini sebagai tanda yang dia tak stabil. Tetapi kenapa? Kalau sekadar penurunan ke B atau C, bagi saya masih boleh difahami. Tetapi dari A ke D, seakan dia mengalami black out! Masa untuk kembali duduk bercerita dengan Nurina semula. Perlu menyelami hati dia semula.. tanya masalah dia... Saya akui, kebelakangan ni memang kami kurang berpeluang duduk berdua, bercerita macam dahulu. Masa sangat terbatas dengan aktiviti hariannya yang penuh. Dan saya perlu gunakan masa yang ada sebaiknya, insyaAllah kami akan perbaiki kelemahan yang ada.

Banyak perkara perlu saya atur semula. Ada ruang yang perlu dibaiki. 

Wednesday, June 12, 2013

SKMM does exist!

Sejak beberapa bulan lepas Encik Hubby diminta membantu seorang rakan sebagai saksi dalam kes mahkamah - fitnah, gangguan menerusi Facebook. Mulanya Encik Hubby keberatan nak melibatkan diri dengan urusan mahkamah, tetapi sebagai individu yang pernah merasa betapa peritnya hidup bila privisi diganggu, saya meyakinkan (sebenarnya hampir mendesak!) Encik Hubby supaya membantu rakan tersebut. Alhamdulillah dia menerima pandangan saya. Dah dua kali kes berjalan di Mahkamah Johor Bahru. Dua hari lepas Encik Hubby berkongsi perkembangan terbaru kes - mereka berjaya mendapatkan bukti dari pegawai SKMM yang hadir pada sebutan terbaru kes. Bukti SKMM adalah memihak kepada rakan sekerja - dia diganggu dan difitnah menerusi akaun Facebook palsu yang menggunakan identitinya. Satu kemenangan moral untuk mereka yang teraniaya!

Selama hampir dua tahun dia dipandang serong oleh pihak pengurusan syarikat atas kesalahan yang tidak dilakukan. Difitnah dan disaman juga atas kesalahan yang tidak dilakukan. Mujur dia berani berdepan dengan saman yang diterima dan menggunakan saluran yang betul: buat report polis dan mengupah peguam untuk mewakilinya. SKMM pun memberi kerjasama menyediakan dokumen yang diperlukan oleh pihak mahkamah. Alhamdulillah Allah itu maha adil, yang benar tetap benar, yang bersalah pasti akan menerima balasan setimpal. Teruja nak tahu, apa reaksi si pembuat fitnah tersebut ;)

Jadi bagi sesiapa yang sentiasa terancam, diganggu kehidupan oleh anasir luar, dicuri identiti dan ideanya, anda dipersilakan untuk menggunakan saluran yang betul untuk bertindak. Buat laporan polis. Dengan laporan polis yang ada, pihak SKMM bersedia untuk membantu. Lihat sahaja kes rakan Encik Hubby - keadilan berpihak kepada yang tak bersalah! Kepada yang diganggu, hak anda akan terbela dan kepada yang rajin mengganggu kehidupan orang seperti pemfitnah rakan Encik Hubby, anda tak akan selamanya selamat. Macam statement yang popular tu..., kat dunia ni lagi Allah bayar cash!

Thursday, June 6, 2013

KL Tour - Review: The Zon All Suites Residences on the park, Kuala Lumpur

The Zon All Suites Residences
The Zon on the park. Pic credited to www.cuti.my
Dah lama tak bercuti panjang dengan anak-anak, selain daripada balik kampung yang kadang balik sekeluarga,tapi yang kerapnya hanya saya dan anak-anak sahaja. Sejak cuti panjang bersama anak-anak di Awana Kijal 3 tahun lepas, mereka hanya berpeluang berjalan secara day-trip atau percutian singkat sahaja. Ke I-City semasa ziarah Aki dan Tokmi di Shah Alam, TTI semasa balik kampung di Kuala Terengganu, Bukit Gambang Water Park semasa balik ke Shah Alam - buat route panjang untuk balik JB ;). Taman Buaya, Zoo Melaka bila balik ke Ayer Keroh. Ke Hello Kitty Town pun tak dirancang dahulu <-- pagi pergi swimming, lunch di Subway dan lepas lunch terus ke Hello Kitty Town. Dan ke Kota Bahru semasa menghadiri majlis resepsi Paksu <-- Semua cuti sambil menyelam minum air!


Kami dah plan lama nak bawa anak-anak berjalan ke Kuala Lumpur. Ronda-ronda KL. Bawa anak-anak naik pengangkutan awam dan banyak lagi. Iyelahkan mereka membesar di Melaka dan Johor, jadinya Kuala Lumpur memang asing bagi mereka. Kami memilih The Zon All Suites Residences on the park, Kuala Lumpur kerana lokasinya yang strategik - berdekatan dengan KLCC dan stesen LRT. 2 Bedroom Deluxe Suite menjadi pilihan kami selama 4 malam menginap di situ. Nak ke KLCC 5 minit je, cuma perlu jalan kaki melalui taman dan Masjid As Syakirin.

Suite yang sangat luas dan selesa untuk kami sekeluarga. Yang paling penting, tandas bersih! Service pun sangat bagus - breakfast yang meriah dengan pilihan, petugas yang tak lokek dengan senyuman, house keeping pun bagus, swimming pool yang bersih - kami tak lepaskan peluang berenang berlatar belakangkan Twin Tower! Sebelum menginap di The Zon dan selepas booking, saya baca banyak komen negatif tentang lif di sini. Ada yang kata terpaksa menunggu selama 20 minit. Cuak juga, tetapi selama 4 malam di The Zon tak pernah pula kami menunggu lif lebih dari 5 minit! Memang lif kecil dan kami berkongsi lif dengan pekerja house keeping. Tapi masa menunggu masih boleh diterima...  


The Zon KL: Deluxe Suite - bedroom 1 (abaikan katil yang dah renyuk diterjah anak-anak saya)
The Zon KL: Deluxe Suite - bedroom 2
The Zon KL: Deluxe Suite - toilet

The Zon KL: Deluxe Suite - dining room

Dan kami dapat suite di tingkat 14 yang mengadap Twin Tower :). Sayang banyak gambar hilang tak sempat nak simpan sebelum Galaxy Ace Plus saya jammed.. :(. Hampir semua gambar kami di KL hilang.. sedihnya :'(

Twin Tower dari bilik kami... ni je gambar Twin Tower yang tinggal/dapat diselamatkan

Sebelum membuat tempahan di The Zon, kami terlebih dahulu meninjau di The Nomad Sucasa, Jalan Ampang. Alhamdulillah kami memilih The Zon - lokasi yang strategik, harga yang berpatutan. Kalau diizinkan ke KL lagi, kami pasti akan meletakkan The Zon dalam senarai teratas! Hmmm tak perlu ke InterContinental, Pacific Regency, Maya Hotel, Impiana KLCC sebab dengan bajet separuh dari 5 star pun, anda dapat lokasi yang strategik di The Zon (****)!

Wednesday, June 5, 2013

Cendol Bakar Kuala Selangor -

Cuti kami bermula awal pada musim cuti sekolah kali ini. Jumaat 23 Jun Izzad menjadi saksi pernikahan rakan sekerja warga Perancis yang bertemu jodoh dengan wanita melayu tempatan. Saya dan anak-anak turut hadir meraikan Francois dan Eja. Balik ke rumah, sibuk menyiapkan baju-baju untuk bercuti.

Pagi Sabtu kami bergerak ke Bestari Jaya (Batang Berjuntai) untuk meraikan majlis persandingan Che Noor, juga rakan sekerja Izzad. Kami bermalam di rumah Mak Ngah di Kuala Selangor. Dah lama tak balik Kuala Selangor. Alhamdulillah ada rezeki berjumpa Mak Ngah, Nor & keluarga juga Boy & keluarga.

Pagi Ahad bermula ekspedisi misteri kami. Misteri sebab anak-anak masih tak tahu rancangan kami. Mereka diberitahu, kami akan hantar Izzad untuk meeting di Kuala Lumpur selama 4 hari dan saya akan bawa mereka balik bercuti ke kampung. Dalam perjalanan dari Kuala Selangor menuju ke E25 LATAR Highway untuk ke Kuala Lumpur saya terperasan banyak kereta beratur nak masuk ke satu kawasan gerai. Bila diamati ada signboard "Cendol Bakar Pandu Lalu.Drive Thru". 

Cendol Bakar Kuala Selangor. Gambar ni disnap selepas kami buat u-turn. Deretan kereta di hadapan kanan sekali beratur untuk masuk ke drive-thru

Saya: "Eh bang tengok tu, cendol pun ada drive thru la. Macam menarik je, jom kita cuba, nak tak?" 
Izzad: "Iyelah.. banyak kereta beratur tu. Sedap kot. Betul ke nak try ni?"
Saya: "Bolehlah... Kita cuba ek?"
Izzad: "Boleh gak.. ni pun dah nak tengahari. Nanti tak payah berhenti makan lagi."

Jadi En Suami pun buat u turn. Kami tak drive thru sebab panjang sangat nak Q. Kami masuk ke kawasan parking. Memang ramai orang sungguh, bukan setakat melayu je, cina pun ada dan kebanyakannya plat kereta luar Selangor dan Wilayah.

Cendol Bakar di Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor

Kami beli 2 cendol pulut dan bawa ke kedai sebelah sebab anak-anak nak makan ABC. Sedap ke cendol bakar ni? Memang sedap!! Rasa dia memang lain. Sekejap je satu mangkuk dah habis. Izzad siap order satu mangkuk lagi, cendol biasa pulak - kami kongsi. Memang puas hati. Rahsia sedap cendol bakar ni mungkin dari proses penyediaan bahannya, di mana mereka menggunakan gula melaka yang dibakar terlebih dahulu sebagai ramuan utama. 

Cendol Pulut. Sedap sangat!! :)

Memang berbaloi la siapa yang beratur di drive thru tu, sebab memang sedap. Sambil menunggu pesanan, sempat saya belek keratan akhbar yang mereka tampal. Berita Harian pun ada keluarkan artikel mengenai Cendol Bakar ni. Dan selepas menggoggle... rupa-rupanya dalam JJCM pun ada keluar. Hmmm saya tak pernah tengok JJCM, jadi memang ketinggalan keretapilah. Kepada peminat cendol, anda mesti cuba Cendol Bakar Kuala Selangor!

Monday, May 20, 2013

Claytan Ayer Hitam

Punyalah lama dah berhajat nak ke Claytan di Ayer Hitam ni. Orang kata ada banyak rejected items yang masih elok dijual dengan harga murah. Saya memang suka stoneware ni, apalagi kalau murah! Ala, Seltmann Weiden tu dulu pun saya beli masa offer.. dari EUR 500 harga asal dia dapat potongan 50%. Kira oklah kan?

Sabtu kami hantar mak ke kampung setelah mak di rumah saya selama 2 minggu. Ikutkan nak mak kat sini lagi, tapi kesian pulak Mashitah kat rumah kalau mak lama-lama kat sini. Semalam pun dia peluk atuk masa saya dok menyakat nak bawa mak balik. Memang dia tak bagi atuk dia ikut saya lagi :)

Dalam perjalanan balik ke Pasir Gudang, kami ke Kluang menghadiri majlis perkahwinan junior kami semasa di Jerman, Suzie. Seronok dapat jumpa Ad, Tety, Suzie... Girls yang lain tak dapat datang sebab ada urusan lain. Tak kisahlah dapat jumpa mereka bertiga pun rasa happy sangat. Tahniah Suzie.. semoga rumahtangga berkekalan hingga ke akhir hayat..

Claytan showroom di Ayer Hitam
Dah alang-alang sampai ke Kluang, kami ke Claytan Outlet and Showroom. Nama gempak kan? Aaa ada showroom untuk barang baru dan ada ruang untuk jual barang-barang reject. Ok showroom pertama tu saya tak jengah pun sebab tujuan utama ke sini mmg nak cari stoneware murah!! Haaa rambang mata tengok banyak sangat pinggan, mangkuk, pinggan hidang, teko, cawan, pasu... Eii rasa nak ambik semua. Hahahaha tamak sungguh!

biru, merah, kelabu, putih, bercorak, plain... semua ada :)
Jadi saya masuk, belek dari satu tempat ke tempat yang lain dan mula memilih. Encik Hubby tolong ambil gambar dan entertain anak-anak kat depan outlet. Seronok sebab dikelilingi stoneware tu tanpa perlu kejap-kejap pesan "jangan berlari, jangan sentuh nanti pecah, behave sikit boleh tak?" - sebab anak-anak dengan papa diaorang. Danke Schatzi, sebab beri saya kesempatan untuk memilih dengan aman juga tolong ambilkan gambar kat sini sebab saya sibuk memilih... hehehe




Sedang memilih teko ;)

Stoneware: mari pilih yang berkenan di hati

lagi satu showroom.. :)
Gambar atas ni showroom kedua. Nampak macam peralatan bilik mandi etc.. Saya tak masuk pun sebab tak ada keperluan. Jadi tak tahu apa yang ada dijual di situ. Sesiapa yang plan nak ke sini, Outlet Claytan terletak di:

57th Mile, Jalan Johor, 86100 Ayer Hitam.
(waktu perniagaan dari jam 10.00pagi - 6.00 petang)
Boleh datang samada dari exit Ayer Hitam atau exit Machap.  

Kalau dari exit Ayer Hitam, belok kiri dan teruskan memandu hingga ke traffic light pertama di bandar Ayer Hitam, belok kiri, teruskan memandu lebih kurang 2 km dan akan nampak papan tanda Claytan di sebelah kanan.

Kalau dari exit Machap, belok kanan. Teruskan memandu lebih kurang 5 km dan akan jumpa Claytan di sebelah kiri. Jarak ni saya agak-agak je sebab semalam tak tengok pun km di kereta. Tapi memang tak jauh dari kedua-dua exit. Cuma kalau ikut Ayer Hitam kebarangkalian akan tersangkut jammed di traffic light tu ada terutama kalau datang waktu cuti sekolah. 

Jadi semalam saya dapat beli sedikit kelengkapan tambahan untuk rumah kami di Melaka dan untuk kegunaan seharian di Pasir Gudang. Tak lupa untuk adik juga :) Dalam kepala dah plan untuk ke sini lagi.. tak jauh dari exit, jadi kalau balik rumah mak, boleh singgah kejap :)


yang berjaya dipilih semalam...
Stoneware Claytan yang sempat saya pilih semalam. Harga antara RM2 - RM12. Yang RM12 tu teko (gantikan teko Seltmann Weiden yang dah sompek, Kimi terjatuhkan - dah cuba tanya Seltmann Weiden, Jerman untuk ganti tapi diaorang dah tak keluarkan model tu lagi :(.. Claytan pun ok jugalah). Serviceplate tu harga antara RM5 - RM7.50 je, mana tak rambang mata. Sedap je pilih, letak tepi, hantar ke kaunter, pilih lagi, letak tepi, cina jaga kedai pulak tolong angkatkan.. Hahahaha lagi sedaplah memilih. Bila dah sampai kaunter barulah nak kira: "Eh dah berapa ni bang?". "Dia dah kira semua tu, seratus je". Biar betul?? Masuk semula ke dalam... ambil lagi 3 keping pinggan besar yang depan sekali tu :p... Jadi jumlah keseluruhan RM113.10 . Mana nak dapat harga macam ni kalau pergi Aeon kan? Jumaat aritu saya ke SSF, rectangle plate saiz sederhana sebiji dah RM12.90. Jadi saya memang puashati sangat-sangat dapat ke Claytan ni.. Paling puashati sebab ada orang tolong bayarkan ;). Rezeki jangan ditolak.... Vielen, vielen Dank Schatz!



Thursday, May 16, 2013

Handbag: Part I *Coach jadi milikku jua :)*

Pernah dengar pepatah melayu baru: Perempuan dengan handbag tidak boleh dipisahkan? Selepas menjejakkan kaki ke bumi Jerman pada 5 Oktober 1995, saya tak pernah sekalipun menyandang beg tangan aka handbag. Tahun 1995 menandakan titik mula saya berubah dari ladylike kepada serabai :p. Serius, memang serabai. Kalau semasa masih belajar di Kuantan, saya memang cerewet. Baju dan tudung mesti nak matching warna, dengan kasut sekali. Keluar ke bandar Kuantan (saya duduk kat dalam hutan di pinggir bandar Kuantan ;) seminggu sekali tu sibuk la dengan handbag dan mak nenek bagai.. hehehe. Dulu selalu geleng kepala bila tengok Ina Jubet main rembat je pakai tudung.. baju kaler hijau, tudung kaler kuning.. kadang dia pakai dengan tudung merah (????). Hmmm betullah kata orang, roda tu bulat, tak sampai 2 tahun pun, saya berubah jadi sebiji macam Ina hehehe... Cuma, tudung febret saya purple muda. Tak kira baju kaler apa..., tudung selalunya purple muda :). Ada satu masa tu sampai x housemate saya pernah tanya lepas bertahun kami balik Malaysia: "Hang masih dok pakai tudung kaler purple tu ka?" Hahahaha.. ;)

Tiba di Jerman, dalam batch saya cuma ada 2 orang perempuan. Senior pulak ada 6 orang je perempuan. Yang lain semua lelaki. Tiba pulak tu dah hujung-hujung summer nak masuk autumn/fall. Dah mula sejuk, banyak hujan dan berangin. Orang-orang Jerman pun berbungkus je. Member perempuan satu batch pulak jenis sempoi, senior pun sama, bukan jenis dressing sakan. Jadinya saya pun ikut rentak diaorang. Mula-mula tinggalkan lipstik, lepas tu wardrobe saya dari ladylike tukar kepada straight cut jeans, t-shirt, kemeja. Warna pun tukar kepada natural colour - beige, grey, dark green - sume warna-warna malap. Dahla siang pendek, pakai warna malap-malap, tak ceria langsung! Handbag? Satu handbag Rorine yang Kak Iya hadiahkan time saya nak ke Jerman pun seronok 'tidur' dalam kotak-kotak kat bawah katil saya. Ke sana ke mari saya usung beg galas je. Senang, semua benda boleh sumbat kat situ... buku, botol air, coklat, tisu.

Semasa saya kahwin, hantaran untuk saya tak ada handbag dan alat make-up macam yang orang biasa beri. Mami dan mak sedara Izzad dok pelik masa tu sebab dua benda yang biasa ada tu, tak ada. Memang saya tak nak sebab saya tahu kalau beri pun, bukannya saya pakai. "Kalau nak beri beg juga, belikan Ruecksack (beg galas)," beritahu saya kepada Izzad. Dia cuma gelengkan kepala je.

Bila dah ada anak, lagilah beg galas tu jadi kemestian. Keluarkan buku, gantikan dengan diapers, wet tissue, changing mat, tuala, baju ganti, thermometer, ubat, burnol, minyak angin, etc etc etc. Dah macam farmasi bergerak pulak beg galas tu. Sekali lagi tak ada tempat untuk handbag dalam hidup saya. Tahun 2005, buat pertama kali selepas 10 tahun saya beli handbag murah kaler grey dari kain jut. 2 Euro je. Ada lagi sampai  sekarang, cuma zip je dah rosak. Lepas tu dari tempoh 2008 - 2012 saya pakai 2 slingbag takde jenama. Satu beli kat pasar malam Alor Gajah dan satu lagi beli kat Jusco. Sampai lunyai saya gunakan beg berharga RM75 tu.. Beli masa less 50%. Lepas beg tu lunyai, saya beli beg lain, kat Jusco jugak. Pun sama beg offer 50%. 

Dalam pertengahan tahun lepas kot, saya terjebak la pulak dengan beg Coach. :P :P. Masa tu teringin sgt nak pakai handbag. Kekawan kat FB pulak dok like, like satu page ni BrandedLifestyleCouture. Dekat setengah tahun jugalah saya dok membelek FB dia sampailah satu hari tu tetiba je "terorder" slingbag kat situ... Ter??? Hahahaha.. kira tak sengajalah kan? ;) Dan akhirnya saya jadi pemilik sah Coach Signature Stripe Demi Crossbody Black/White.

Coach Signature Stripe Demi Crossbody Black/White milik saya :)
Branded freak? Tak, tak.. dan rasanya tak akan kot. Cuma teringin nak pakai beg Coach. Tu aje. Tak salah kan nak beli, lagipun saya bukan beli beg yang harga ribu riban. Kalau beribu tu, saya pun fikir berpuluh kali nak bayar. Yelah, beg harga ribu riban, tapi isi dgn wallet yang cuma ada RM50 je... Rasa cam nak nangis je kan? 

Dah tamat mengidam Coach? Hehehe belum lagi... sebab slingbag tu kecik je, cuma muat wallet, hp, wet tissue... Jadi saya tengah dok usha beg yang besar sikit. Mungkin Satchel kot, takpun Hobo ke. Tengoklah nanti... :)