Nuffnang Ads

Friday, March 23, 2012

Lambatnya Sabtu!

All times shown are local times

AF256
23:20 - 23 March 2012
Paris, Charles de Gaulle (CDG) - France
terminal 2E

18:40 - 24 March 2012
Singapore, Changi (SIN) - Singapore
terminal 1
-----------------------------------------------------------------------------------
Tadi saya semak jadual penerbangan Izzad dari Paris esok. Hmmm, pukul 6.40 petang Sabtu baru sampai Changi. Ambil beg, imigresen, tunggu teksi (kalau teksi dia tak sampai lagi), lalu imigresen kat Johor lagi. Rasanya pukul 9, 10 malam jugaklah baru sampai rumah.

Anak-anak tak sabar nak jumpa papa diaorang. Fahmi pun dah baik demam. Sejak Izzad ke Paris minggu lepas Fahmi mula demam. Baru 2 hari ni ok semula. Tapi badan Fahmi susut sangat sebab sepanjang demam tu dia taknak makan, cuma harapkan susu badan je. Sedih tengok Fahmi yang melidi tak bermaya. Tak boleh berenggang pulak tu, tinggal sekejap pun dia menangis.

Saya takde pesan apa-apa yang special pun dari Izzad, cuma minta coklat Fererro Giotto je. Kat Malaysia saya tak pernah jumpa coklat tu. Tapi kalau tak dapat pun tak apa. Yang penting Izzad selamat sampai ke rumah...


Gambar ni Izzad hantar 3 hari lepas. Pukul 2.30 pagi dia telefon saya semata-mata nak bagitahu, dia kat Eiffel Tower, nak pergi makan di restoran atas kapal menyusuri sungai Seine :). Kebetulan masa tu saya tak tidur lena pun, baru nak terlelap sebab berjaga tunggu Fahmi yang demam.

Monday, March 19, 2012

Pembantu rumah Indonesia dan RM700 untuk satu tugas

Hujung minggu tempohari kita dikejutkan dengan dakwaan Dr. Reyna Usman dari TKI bahawa pembantu rumah Indonesia yang bakal bekerja di Malaysia akan dibayar gaji sebanyak RM700 sebulan dengan elaun tambahan sebanyak RM27 sehari jika cuti bulanan tidak diberi. Lagi menarik, seorang pembantu rumah untuk satu tugas khusus samada sebagai penjaga bayi, pembantu untuk memasak, pengemas rumah atau penjaga orang-orang tua. Kementerian Sumber Manusia Malaysia menafikan yang mereka bersetuju dengan syarat tersebut. Hmm, biarlah siapa yang membuat onar memperbetulkan semula keadaan!

Saya memang agak kurang bersetuju dengan kebergantungan yang terlampau masyarakat kita kepada pembantu rumah. Bukan sebab saya suri rumah sepenuh masa, tetapi pada pendapat saya budaya bergantung kepada khidmat pembantu merupakan salah satu penyumbang kepada sikap acuh tak acuh dan kurangnya tanggungjawab generasi muda kini. Dan secara peribadi saya memang tidak selesa bila ada orang asing di rumah. Pergerakan seakan terbatas dan terasa sentiasa diperhatikan! Tambahan pula banyak kes yang berlaku di sekeliling saya, rahsia rumahtangga yang tak sepatutnya keluar dari pintu dan tingkap rumah, dijaja pembantu kepada orang luar - mertua, ipar duai, adik beradik juga merupakan orang luar dalam konteks ini.

Tulisan Dr. Mohd Yusoff Ismail bertajuk "Satu amah, satu tugas: jenaka bangsawan moden" yang disiarkan dalam ruang rencana di Utusan Malaysia hari ini menarik perhatian saya. Tulisan beliau kena dan tepat pada masanya dan harapan saya moga tulisan Dr. Mohd Yusoff Ismail tidak dikesampingkan begitu sahaja oleh pihak-pihak yang terlibat.

Masyarakat kita sebenarnya terlalu manja dan membawa ke tahap mengada-ngada bila tiba bab pembantu rumah. Sesetengahnya tidak mengukur baju di badan sendiri. Ada tu yang sudah terang lagi bersuluh memang tidak mampu menggaji pembantu rumah tetapi masih juga mahukan pembantu. Bukankah itu mencari penyakit namanya?

Melahirkan generasi pemalas.
Mungkin kita pernah lihat situasi ini? Anak-anak yang hanya menghantar pinggan mangkuk selepas makan ke sinki untuk dibersihkan pembantu. Lebih parah yang selamba meninggalkan pinggan di atas meja makan untuk dipungut dan dicuci oleh pembantu rumah. Atau anak-anak yang keberatan untuk membersihkan tandas mereka sendiri. Atau anak-anak yang membiarkan katil dan bilik mereka tidak berkemas. Atau anak-anak yang tak ambil pusing samada kasut-kasut sekolah mereka sudah dicuci atau belum. Yang mereka tahu, pagi Isnin kasut yang bersih dan siap berkapur mesti tersedia untuk dipakai. Tak kurang juga anak-anak yang hanya tahu mencampakkan baju kotor mereka ke dalam bakul baju dan mengambil yang bersih, bergosok dan siap berlipat dari dalam almari. Proses apa yang berlaku dari baju di dalam bakul hingga siap kemas berlipat tersusun dalam almari mereka tak tahu dan mungkin juga tak mahu ambil tahu. Yang penting semua tersedia! Dalam fikiran mereka "kalau cuci dan buat sendiri, nanti pembantu tak ada kerja pula". Kerja-kerja dapur? Lagi panjang nanti nak dihuraikan.. :). Dengan gaya hidup semasa kebanyakan daripada kita maka akan lahirlah anak-anak tak kira perempuan atau lelaki yang langsung tak tahu atau tak biasa melakukan kerja-kerja rumah. Nak salahkan siapa kalau lahir generasi sebegini? Salah kita sendiri kerana kita tidak melatih mereka untuk berdikari. Anak-anak perlu dilatih dan dibiasakan dengan kerja-kerja rumah, tak kira lelaki atau perempuan. Mereka perlu dilatih dengan tanggungjawab. Saya cukup lemas dengan anak-anak yang semua benda mengharapkan bantuan pembantu rumah. Semua minta disuap! Sebab itulah generasi muda kini ramai yang kurang kreatif dan kurang inisiatif!

Penderaan emosi secara tanpa sedar.
Kebanyakan wanita-wanita dari Indonesia yang masyarakat kita ambil sebagai pembantu rumah berasal dari kawasan kampung dan pedalaman dan sering juga mereka tidak mempunyai pendidikan tinggi. Kalau bernasib baik mungkin mereka tamat SMA (setaraf sekolah menengah). Kalau dapat yang tamat SD (sekolah rendah) pun dah dikira beruntung. Ramai juga yang sekadar tahu membaca serba sedikit. Logiklah jika mereka yang mungkin pertama kali seumur hidup jumpa microwave, mesin penyedut hampagas atau mesin basuh automatik dan yang seumpama dengannya memerlukan masa untuk 'biasa' dengan segala butang yang perlu ditekan. Sesetengah majikan sangat 'kedekut' untuk memberi pembantu mereka masa. Yang mereka tahu, sekali beritahu, kena faham, ingat dan mesti pandai kendalikan semua alat-alat bantuan tersebut! Bila si pembantu bertanya berulangkali, keluarlah perkataan 'bodoh', 'lembab' dan sebagainya. Lagi parah bila pembantu dimarah di hadapan individu lain bagaikan kanak-kanak kecil. Mereka, walaupun hanya bekerja sebagai pembantu adalah manusia biasa yang ada perasaan. Bukan setaraf hamba abdi yang tidak punya hak. Itu yang orang kita selalu lupa. Pada mereka: "Aku dah bayar, jadi kau kena buat apa aku suruh dan jangan banyak cakap."

Hilang peluang isteri untuk menambah pahala.
Setiap tugas yang isteri buat untuk suami, anak-anak dan keluarga, jika dilakukan dengan ikhlas merupakan satu ibadah. Bayangkan berapa banyak pahala yang bakal isteri perolehi setiap hari jika mereka ikhlas berbakti untuk suami dan anak-anak? Kalau pahala tu datang bergolek dan boleh kita nampak, saya fikir ramai wanita yang berebut-rebut hendak berbakti kepada suami dan anak-anak mereka.

Saya teringat perbualan antara kami kumpulan pelajar Malaysia dengan pensyarah bahasa kami sewaktu menuntut di Jerman suatu masa dahulu. Pensyarah bahasa saya, seorang wanita, terkejut bila diberitahu adalah sesuatu yang normal dalam masyarakat kita, seorang wanita berkerjaya seperti beliau mempunyai pembantu rumah yang tinggal bersama untuk menguruskan rumahtangga. Pembantu rumah dalam definisi masyarakat kita hanya mampu digajikan oleh orang yang betul-betul kaya dan berada dalam masyarakat mereka. Di Jerman ada istilah pembantu rumah, tetapi mereka hanya datang dan dibayar mengikut jam bekerja. Tanggungjawab membesarkan anak biasanya terletak dibahu ibu-bapa sendiri, kecuali bagi mereka yang benar-benar sibuk akan menggaji pengasuh kanak-kanak (nanny) atau anak-anak dihantar ke rumah pengasuh. Masih juga mereka hanya menjaga anak-anak sepanjang ketiadaan ibu bapa di rumah. Undang-undang buruh di Jerman membenarkan ibu atau bapa yang mempunyai anak kecil bercuti maksimum sehingga anak-anak berusia 3 tahun. Seorang kenalan saya berbangsa Jerman yang pernah bertugas sebagai pengetua Akademi Celcom di Malaysia dan mempunyai 2 orang anak juga hanya menggunakan khidmat pengemas dan pencuci rumah yang datang pada hari-hari tertentu untuk membantu membersihkan rumah. Selainnya mereka sekeluarga melakukan sendiri. Cuba kita bayangkan posisi dan kedudukan yang sama, tetapi individu tersebut adalah orang Malaysia!

Berjaya di pejabat dan juga cemerlang di rumah bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Cuma perlu sedikit kemahiran untuk menguruskan masa dengan efektif di samping pembahagian tugas sesama isteri dan suami yang bekerja. Bak kata pepatah: "yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing". Tak ada salahnya jika lelaki membantu isteri menyelesaikan kerja-kerja rumah. Persepsi "menguruskan rumah adalah tugas perempuan" harus diperbetulkan. Jadikan tugas mengurus rumah tanggungjawab seisi keluarga. Bila anak-anak melihat kerjasama antara ibu bapa, pasti mereka akan mencontohi sikap baik tersebut. Sikap dan mentaliti generasi akan datang kitalah yang mencorakkannya. Pisau dan mentimun ada di tangan kita, jadi fikir-fikirkanlah!

Saturday, March 17, 2012

Letihnya merempit

Lebih kurang pukul 6.40 petang tadi saya dan anak-anak selamat sampai ke Pasir Gudang. Izzad dah balik dari office dengan dinner yang dah sedia terhidang di atas meja. My darling tak masak pun, cuma beli je. Hmmm, love it! Danke dir Schatz...! Alhamdulillah perjalanan kami dipermudahkan Allah. Highway PLUS arah selatan kurang sesak cuma bila masuk highway Pasir Gudang, timing tak kena.. time orang balik kerja... jadi beraturlah di atas jalan.. :)

Lepas dinner siapkan baju-baju Izzad untuk dipack. Esok dia akan ke Paris. Tak lama, seminggu je. Paris masih sejuk, jadi kena siapkan pakaian panas yang sesuai dan cukup. Kalaulah dapat pergi sekali.. Hmmm, teringat pengalaman menaiki bot menyusuri sungai Seine di kota Paris kala senja hampir berlabuh suatu ketika dulu... Trip pertama keluar dari Jerman selepas sebulan sampai ke Koeln. Masa tu rasa jakun sangat... Iyelah sebelum ni cuma dengar je nama kota cinta Paris, Eiffel Tower. Tak pernah termimpi dapat pergi pun. :)

Monday, March 12, 2012

Kena saman lagi..

Semalam seperti hujung minggu sebelum-sebelum ni, Izzad ke office macam biasa. Saya dah lali dengan kesibukan dia. Orang lain kalau kena masuk office hari Sabtu dan Ahad tu kira tak normallah kan? Tapi bagi Izzad, ada di rumah hari Sabtu dan Ahad yang dikira tak normal! :) Nak buat macam mana, dia memang jenis tak tahu nak duduk diam. Bila fikir-fikir semula, memang ada baiknya keputusan saya untuk jadi suri rumah sepenuh masa. Kalau tidak, mungkin anak-anak tak terurus agaknya. **berdasarkan situasi cara dan masa kerja Izzad pada masa ini yang sentiasa sibuk. Kalau masa kerja dia normal, mungkin lain ceritanya**

Dah melalut sampai kisah saya dan kerja pulak. Petang semalam masa Izzad sampai rumah dia beritahu:

Izzad: "Yang, MBT tu ada seketul saman la."
Saya: "Saman? Kat mana? Bila?" Isk.., kena saman masa saya dok sibuk berulang alik Pasir Gudang - Melaka - Segamat dan ke Shah Alam masa cuti sekolah tempohari ke? Aduiiilaaa kena samanla pulak.
Izzad: "Kat Alor Gajah masa Chinese New Year lepas."
Saya: "CNY? Hmmmm bukan masa tu kita sama-sama balik kampung dan balik rumah Melaka ke? Abang yang bawak kan?" Huhs lega, bukan masa saya yang bawa kereta.
Izzad: "Iye ke? Tapi macam mana pulak boleh kena saman kat Alor Gajah?"
Saya: "Laaa, abang lupa ke, abang bawa kami ikut Simpang Ampat nak balik Pasir Gudang tu. Konon nak bawa anak-anak lalu Alor Gajah, lalu depan sekolah lama Nina..."
Izzad: "Ha ah la.. yang saja buang-buang masa tu kan? Scheisse, kena saman pulak tu."

Nampaknya balik rumah mak esok saya kena bersopan santun di jalanraya. Tak boleh merempit! ;). Setiap kali lepas saya memandu untuk jarak jauh, saya pasti suruh Izzad check di myeg.com untuk rekod saman. Iyelah saman ekor ni bukan kita tahu bila dan di mana diaorang letak kamera tu. Alih-alih sampai je surat saman. Kalau jalan persekutuan, saya kurang risau sikit, sebab biasanya saya patuh pada had laju - cuma kadang-kadang terlebih speed sikit ;). Cuma kat highway tu, kadang tak perasan, sedap je tekan minyak, sedar-sedar tengok meter: eh dah 150/kmh.. lepas minyak semula... :p. Atas highway biasanya saya maintain 110km/h - 130km/h je... ;)

Tuesday, February 28, 2012

Nak pilih siapa PRU13 nanti?

Rasanya ahli politik di Malaysia ni, tak kiralah pihak kerajaan atau pembangkang, kerjanya memang 24 jam berpolitik. Dah bila masanya nak memajukan negara? Belah sini buat sesuatu, yang belah sana bangkang. Kalau belah sana buat kerja, yang belah sini pulak ambil giliran untuk membangkang. Bangkang, bangkang, bangkang. Tak habis-habis membangkang! Dua-dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang), kerja utamanya MEMBANGKANG! Lemas wei... letih!

Orang kata kalau pegangan politik neutral maknanya tiada pendirian, jadi macam lalang. Saya pun taknaklah jadi macam lalang kan? Jadi saya pilih pakatan yang kurang mudaratnya kepada agama, bangsa dan negara.

Sejak layak untuk mengundi, saya dah 2 kali mengundi. Kali pertama masa balik cuti ke Malaysia pada 2003 dan kali kedua pada tahun 2008. Masa tu kami dah menetap di Alor Gajah pun dan saya balik untuk mengundi di kampung dengan adik. Sebelum tahun 2003 saya tak pernah mengundi pun. Masa pihak Embassy di Berlin hantar borang untuk undi pos, saya tak pernah kembalikan pun borang mengundi.. ;p. Ntah, belum ada kesedaran lagi masa tu, betapa penting nilai 1 undi dan hak kita untuk mengundi perlu digunakan sebaiknya.

Nak undi siapa PRU13 nanti? Hmmm setakat ni dua-dua SCHEISSE! Mungkinkah.., mungkinkah akan tersimpan kertas undi saya tak berusik nanti? Tunggu dan lihat.. samada saya akan bertukar menjadi lalang; atau berdiri bertenggek di atas pagar tak terjun; ataupun terjun dengan si labu atau si labi.

Tuesday, February 21, 2012

Diet.. diet.. diet!

Kalau dah namanya perempuan memang tak boleh lari dari topik yang satu ni. Kenapa sibuk nak diet? Dah sampai tahap kronik ke? Takdelah gitu..., cuma saya kurang selesa dengan badan sekarang. Biasalah, bila umur dah lepas penanda aras 35, kadar metabolisma pun menurun dan semakin menyusut. Kalau dulu, makan coklat 2, 3 papan satu hari pun tak memberi kesan, tapi sekarang ni tahan geram je lah. Tapi selaluya kalah jugak. Anak-anak tengah nak membesar, tetiap minggu minta buat kek, puding roti. Habis tu kalau dah buat, takkan saya nak tengok je? Hehehe ada jelah alasan.

Mulai semalam, saya jaga semula makan. Makan malam tak boleh tambah nasi dan bermula hari ni saya makan oat balik. Dah lebih setengah tahun saya stop ambil oat, tu yang berat pun dah bertambah. Kalau lemak tu naik ke muka, oklah juga. Ni berkumpul kat tempat yang tak sepatutnya. Nak sarung jeans pun separuh pengsan dah! Memanglah, sebahagian jeans tu dah lebih 15 tahun dah, tapi masih elok lagi. Cuma kat kaki seluar tu sebahagiannya dah jadi rambu ramba.. :). Yang koyak kat lutut sebab saya jatuh basikal kat tepi hostel masa di Konstanz pun masih ada lagi. Lepas bersalinkan Fahmi dan sehingga 3 bulan lepas saya sangat selesa dengan jeans-jeans lama saya. Tapi sekarang, boleh pakai, tapi kurang selesa! Sebab tu kena mulakan semula proses menyukat makan, menahan diri dari coklat, kek & Co. Huwaaa terbayang-bayang Magnum Royal Belgian Chocolate di depan mata....

Monday, February 13, 2012

Hangin lagi

Siapa agaknya yang mula gunakan perkataan hangin ni? Rasanya tak pernah wujud perkataan hangin ni masa saya sekolah dulu-dulu.

Semalam saya memang hangin betul. Mak saya sekarang ni kerja sampingan dia mengurut orang. Sejak bila dia mula mengurut pun saya tak berapa pasti sebenarnya. Masa saya kecil dulu ada jugalah mak mengurut, tapi biasa-biasa je. Itupun cuma urut anak-anak kalau terseliuh ke, sakit badan ke dan urut kalau abah sakit pinggang. Tapi biasanya sayalah yang tukang pijak-pijak belakang abah bila abah penat atau sakit pinggang.. :). Sebelum saya pergi Jerman dulu mak tak mengurut pun. Bila saya balik 10 tahun kemudian, mak dah jadi tukang urut! Ramai pulak customer!

Dan semalam mak saya dibawa pergi seorang hamba Allah ke rumah dia di Kundang Ulu, kira-kira 10km dari kampung saya untuk mengurut. Janjinya mengurut seorang je. Pukul 11 pagi dia ambil mak kat rumah. Biasanya kalau mengurut seorang je, sejam dah siap. Tapi semalam pukul 6.45 petang baru dia hantar mak balik semula! Cuba bayangkan betapa risaunya kami. Dahla telefon rumah orang tu, dia tak angkat. Kami nak pergi tak tahu arah. Dia pulak langsung tak inform atau telefon beritahu lambat hantar mak balik. Macam-macam perkara timbul kat kepala kami adik beradik. Lagi buat kami sakit hati, dalam jangkamasa tu mak kena urut 6 orang!! Helloooo mak saya tu dah tua, dah 75 tahun. Kesianla sikit kat orang tua tu.

Sebab risau sangat, kakak saya yang tinggal dengan mak di kampung pergi bertanya sana sini untuk cari rumah hamba Allah tu. Masa mak pergi kakak saya tak ada sebab dia ada kelas. Pukul 6.30 petang kakak saya sampai rumah hamba Allah tu dan diberitahu, mak baru je dihantar balik. Tak ada langsung perkataan maaf sebab lewat hantar mak dan tak inform kami. Diaorang boleh buat selamber derk je. Eiiii orang jenis ni pun ada. Tak tahu kami adik beradik punyalah risau semalam. Memang tak ada adab! Malam semalam saya telefon mak, pesan kat mak, kalau orang tu datang minta urut lagi, jangan ikut! Kalau dia banyak songeh, suruh dia telefon saya. Sedap-sedap je buat mak orang macam tu.

Tengahari tadi lepas hantar Amira dan Nurina ke sekolah agama dan angkat Hakimi yang tertidur dalam kereta, Fahmi minta air dan nak tidur. Saya baru je placing atas karpet nak baca suratkhabar. Tiba-tiba Fahmi muntah! Habis sofa, karpet dan lantai. Alahai anak mama... baru nak luruskan badan, dah ada kerja menanti. Jadi mandikan Fahmi, angkat Hakimi masuk bilik dan mula kerja-kerja membersih dan mencuci lantai. Bab cuci najis ni tak boleh ikut suka je. Bukan setakat zahir nampak bersih, tapi tak suci. Cuci muntah tak cukup setakat lap dan lepas tu kita mop. Belum suci lagi tu. Kalau terpijak dengan kaki yang basah, lepas tu dibawa merata-rata rumah sampai ke tempat solat, takut menjejaskan solat kita. Wudhu' tak batal, tapi bila kita dalam keadaan berwudhu' dan nak solat tapi kaki yang basah pijak lantai yang tak suci, tu yang jadi masalah ;). Sebab tu juga saya cukup jaga kalau ada cicak masuk dan tinggalkan najis di lantai. Saya cuci dulu najis cicak tu, kemudian baru mop lantai. Muntah pula perlu dicuci dengan air yang mengalir.

Lepas sesi mencuci dan membersih, saya tengok Fahmi dah tertidur dalam bilik. Jam dah pun pukul 3.15 petang. Nak kena ambil Nurina dan Amira pula. Hakimi dan Fahmi yang tidur perlu dipindahkan ke dalam kereta. Dalam perjalanan ke sekolah, dalam keadaan yang dah terlambat, ada je orang yang tak reti bahasa bila atas jalan. Yang tak reti nak bagi signal bila nak membelok satu hal. Kita ni yek yek le tunggu dia utk beri laluan, la rupenye dia belok. Dah lepas tu bertali arus pulak kereta lalu... geramnya! Dah lepas satu halangan, mamat depan ni pulak bersantai-santai atas jalanraya. Kok iye pun nak bercinta kat telefon tu, takkan bawa 30km/j je? Huhs letihla orang macam ni. Selalu orang kata perempuan je yang tak pandai memandu atas jalan, tapi lelaki pun serupa! Yang ego langsung tak nak beri signal bila belok, yang suka cilok ikut dan dia je, yang keluar simpang tak pandang kiri kanan macamlah dia ada 7 nyawa. Kadang tu bawa kereta besor mahal-mahal tapi tak ikut law! Hish... letih!